26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Dewa 19, Padi Reborn cipta sejarah konsert 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali dalam sejarah penganjuran konsert di Malaysia, dua kumpulan legenda Indonesia bakal disatukan di atas satu pentas menerusi konsert berjudul Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil.

Penganjuran berskala besar ini dijangka mencetus fenomena luar biasa dalam kalangan peminat muzik serantau, khususnya Baladewa dan Sobat Padi yang sekian lama menantikan detik bersejarah ini.

Selepas kali terakhir menggegarkan Kuala Lumpur pada 29 September 2023 menerusi konsert A Night At The Orchestra – Chapter 5, kumpulan legenda Dewa 19 kembali menyemarakkan pentas Malaysia dengan konsep yang sarat emosi dan nostalgia.

Tiga tahun penantian itu disifatkan sebagai tempoh yang penuh rasa rindu, seakan menggambarkan judul-judul lagu ikonik mereka seperti Kangen, Angin dan Sedang Ingin Bercinta yang sentiasa mekar dalam jiwa peminat.

Konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya menjadi simbol hubungan erat antara Dewa 19 dan peminat mereka di Malaysia.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, Malaysia sentiasa mempunyai kedudukan istimewa di hati anggota Dewa 19 sejak awal kejayaan mereka menembusi pasaran tempatan dan membina kelompok peminat setia yang dikenali sebagai Baladewa.

“Pemilihan judul Cintaku Tertinggal di Malaysia lahir daripada rasa penghargaan dan keterikatan emosi yang mendalam terhadap peminat di negara ini.

“Konsert ini bakal menyaksikan penampilan barisan pemuzik utama Dewa 19 termasuk Ahmad Dhani selaku pengasas, Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha, sekali gus menjanjikan persembahan yang mantap dan berkarisma,” katanya.

Lebih istimewa, konsert ini turut menampilkan tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello, bersama Tyo Nugros di posisi dram.

Kombinasi ini diyakini bakal menghidupkan semula rangkaian lagu-lagu malar segar seperti Roman Picisan, Separuh Nafas, Pangeran Cinta dan Laskar Cinta dalam susunan persembahan yang penuh jiwa.

Dalam usaha mencipta sejarah baharu, Icon Entertainment mengambil langkah berani dengan menyatukan Dewa 19 bersama Padi Reborn sebagai band jemputan istimewa.

Ini adalah kali pertama dua kumpulan gergasi Indonesia itu berkongsi satu pentas di Malaysia, sekali gus menjadikan konsert ini sebagai momen yang amat signifikan dalam landskap industri muzik serantau.

Padi Reborn yang cukup sinonim dengan lagu-lagu popular seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban dijangka melengkapkan malam penuh romantika itu.

Pertemuan Baladewa dan Sobat Padi di bawah satu bumbung bukan sahaja menyatukan dua kelompok peminat, malah membuktikan bahawa muzik dan cinta mampu merentasi sempadan serta menyatukan jiwa.

Konsep persembahan yang diketengahkan tidak bersifat extravaganza berlebihan, sebaliknya memberi fokus kepada kekuatan karya dan emosi yang dibawa oleh kedua-dua kumpulan.

Pada malam 6 Jun 2026 nanti, Axiata Arena Bukit Jalil bakal dipenuhi aura kasmaran dan kenangan indah menerusi rangkaian lagu cinta yang telah menjadi runut bunyi kehidupan ramai peminat sejak lebih dua dekad lalu.

Menariknya, penganjur turut menetapkan tema pakaian yang unik dan autentik buat peminat iaitu T-Shirt Band Original.

Tema ini dilihat sebagai simbol kesetiaan dan identiti sebenar peminat terhadap idola masing-masing, sekali gus mewujudkan suasana solidariti dan kebersamaan yang lebih intim di dalam arena.

Tiket konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia akan mula dijual pada Jumaat, 27 Februari 2026, jam 11 pagi menerusi laman rasmi Ticket2U.

Harga tiket ditawarkan mengikut beberapa kategori menarik iaitu RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta) dan RM488 (Sedang Ingin Bercinta).

Dengan sambutan yang dijangka luar biasa, peminat disaran mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Penganjuran konsert ini diyakini bakal mencatat satu lagi sejarah gemilang dalam industri hiburan tanah air, sekali gus menjadikan Axiata Arena Bukit Jalil bergema dengan sorakan dan nyanyian ribuan peminat.

Pertembungan dua nama besar, Dewa 19 dan Padi Reborn, bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan cinta, persahabatan dan muzik yang akan terpahat sebagai momen epik dalam kalendar hiburan Malaysia tahun 2026.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular