30.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
Home Blog Page 14

Mualaf Orang Asli kuasai asas al-Quran dalam 7 jam guna Kaedah Haraki

0

editormaxinfo@gmail.com

PANGKOR – Dalam satu pencapaian yang disifatkan luar biasa, seramai 28 mualaf Orang Asli berjaya mempelajari asas bacaan al-Quran dalam tempoh hanya kira-kira satu hari menerusi Kursus Literasi al-Quran Kaedah Haraki yang diadakan di Suria Beach Resort, Pulau Pangkor.

Program intensif yang berlangsung selama kira-kira 7.5 jam itu membabitkan peserta berusia antara 9 hingga 55 tahun, yang majoritinya berada pada tahap sifar literasi, malah ada yang tidak pernah mengenal huruf atau menerima pendidikan formal.

Kejayaan ini sekali gus mencerminkan potensi besar pendekatan inovatif dalam memperkasakan pendidikan al-Quran dalam kalangan komuniti marginal.

Kursus berkenaan menggunakan Kaedah Haraki, satu pendekatan pembelajaran unik yang menekankan teknik pergerakan badan atau Total Physical Response (TPR) serta kaedah tanpa hafalan.

Pendekatan ini membolehkan peserta memahami asas bacaan dengan lebih cepat dan efektif, walaupun bermula dari kosong.

Menurut dapatan kajian yang dijalankan oleh lima pemerhati terdiri daripada guru Asas Pengajian Islam Mualaf (APIM) dan mubaligh Orang Asli, program terbabit menunjukkan perubahan ketara dalam tempoh yang singkat.

Peserta bukan sahaja mampu mengenal huruf, malah sebahagian daripada mereka sudah boleh membaca asas al-Quran dengan baik.

Selain peningkatan dari segi kemahiran membaca, peserta turut menunjukkan perubahan positif dalam keyakinan diri serta minat terhadap pembelajaran al-Quran, sekali gus memberi impak menyeluruh kepada perkembangan diri mereka.

Pengasas Kaedah Haraki, Dr. Zakaria Nasirudin, yang juga mantan pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, berkata, kaedah ini dibangunkan khusus untuk membantu golongan yang tidak mempunyai asas literasi.

Beliau berkata, pendekatan itu tidak bermula dengan hafalan huruf seperti kaedah tradisional, sebaliknya menggunakan konsep “TIRU” iaitu pelajar melihat, guru menunjukkan, menerangkan dan pelajar terus meniru.

“Peserta terus didedahkan kepada ayat al-Quran sebenar tanpa perlu menunggu mereka menguasai huruf secara berasingan, sekali gus mempercepatkan proses pembelajaran.

“Pendekatan santai berasaskan penceritaan juga membantu mengurangkan tekanan dan menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan,” katanya.

Kaedah Haraki mula dibangunkan pada tahun 2013 hasil pengalaman sebenar membabitkan seorang pelajar mualaf Orang Asli dari Pengkalan Hulu yang berjaya membaca al-Quran dalam tempoh sekitar tujuh jam sahaja.

Pengalaman itu menjadi titik tolak kepada pembangunan kaedah ini secara lebih sistematik.

Sejak itu, Kaedah Haraki telah mendapat pengiktirafan di pelbagai peringkat apabila berjaya meraih beberapa pingat emas serta anugerah inovasi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Kaedah ini turut diperkukuhkan melalui penyelidikan di peringkat doktor falsafah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Walaupun keberkesanan program ini diakui, pemerhati berpendapat bahawa tempoh satu hari masih belum mencukupi untuk memastikan penguasaan yang benar-benar mantap.

Mereka menekankan keperluan untuk mengadakan program susulan bagi memastikan peserta dapat memperkukuh kemahiran yang telah dipelajari.

Dalam masa sama, Kaedah Haraki dilihat mempunyai potensi besar untuk diperluaskan ke lebih banyak komuniti, khususnya dalam kalangan mualaf dan golongan yang berdepan cabaran literasi.

Pendekatan yang mudah, praktikal dan interaktif menjadikannya sesuai untuk dilaksanakan di kawasan pedalaman serta komuniti yang kurang mendapat akses pendidikan formal.

Kejayaan kursus ini membuktikan bahawa dengan pendekatan yang tepat dan inovatif, golongan yang sebelum ini dianggap sukar untuk mempelajari bacaan al-Quran mampu mencapai kemajuan dalam tempoh singkat.

Ia sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha mendekatkan masyarakat kepada al-Quran serta memperkukuh penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.

Kata Hati: Filem cinta pelakon popular & pemandu e-Hailing tayang 4 Jun 2026

0

editormaxinfo@gmail.com

Foto Ravin Awesome Pictures

PETALING JAYA – Industri perfileman tempatan bakal diserikan dengan kemunculan sebuah naskhah romantik komedi terbaharu berjudul Kata Hati, yang mengangkat kisah cinta luar biasa antara seorang pelakon wanita popular dan pemandu e-hailing dalam latar kehidupan moden yang penuh warna.

Filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn Bhd. ini bukan sahaja menjanjikan hiburan santai, malah menyelitkan elemen realiti kehidupan di sebalik dunia glamor selebriti.

Penerbitnya, Muhammad Bahir berkata, idea menghasilkan filem itu tercetus hasil pengalaman beliau sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan tempatan, yang memberi peluang untuk melihat sendiri perbezaan antara persona selebriti di hadapan kamera dan kehidupan sebenar mereka di belakang tabir.

Menurut beliau, Kata Hati bukan sekadar kisah percintaan, sebaliknya sebuah penceritaan yang lebih mendalam mengenai kehidupan, emosi dan pilihan hati.

Filem arahan Nadiah Hamzah itu menggabungkan elemen percintaan, humor dan drama dalam satu penceritaan yang segar dan dekat dengan penonton.

Ia menampilkan gandingan pelakon muda yang sedang meningkat naik iaitu Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris sebagai teraju utama, disokong oleh barisan pelakon popular seperti Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman.

Lebih menarik, Kata Hati turut diserikan dengan kemunculan khas beberapa nama besar industri hiburan tanah air termasuk Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon yang pasti menambah daya tarikan kepada naskhah ini.

Penerbit eksekutif, Juliana Foo berkata, filem ini hadir tepat pada masanya, ketika penonton tempatan kini banyak disajikan dengan karya bercorak aksi dan seram.

Katanya, genre romantik komedi seperti ini sudah lama tidak diketengahkan secara meluas, sedangkan masih ramai penonton yang merindui kisah cinta ringan yang menghiburkan.

Kata Hati boleh dianggap sebagai sebuah “modern fairy tale” yang mengangkat elemen “high-stakes romance”, sekali gus menawarkan pengalaman sinematik yang menyentuh emosi dan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton,” katanya.

Dalam pada itu, Nadiah Hamzah menyifatkan filem ini sebagai sebuah karya yang sarat dengan pelbagai emosi, daripada gelak tawa hingga ke tangisan, yang disatukan dalam jalan cerita unik.

Selepas mengarahkan filem berunsur lebih berat sebelum ini, beliau menyatakan hasrat untuk menghasilkan sebuah naskhah cinta ringan yang mampu menghiburkan penonton secara menyeluruh.

Beliau turut berkongsi pemilihan pelakon utama dibuat menerusi sesi uji bakat dan meskipun mereka terdiri daripada pendatang baharu di layar perak, komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan amat membanggakan.

Nadiah berharap penonton dapat merasai kejujuran dan keindahan kisah cinta yang dipaparkan serta hadir ke pawagam untuk menyaksikan pengalaman emosi yang lengkap.

Penggambaran Kata Hati telah dijalankan sekitar Ogos 2025 di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan.

Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026.

Dari segi penceritaan, Kata Hati mengisahkan Ayra Natasha lakonan Nia Atasha, seorang pelakon wanita yang sedang meningkat naik dan menjadi perhatian ramai, terutama selepas kemunculan sulungnya dalam sebuah filem aksi berskala besar bersama teman lelakinya yang juga pelakon terkenal, Zayn Mikhail lakonan Fazziq Muqris.

Namun, kehidupannya mula berubah apabila satu insiden memalukan menjadi tular dan mencetuskan krisis dalam hidupnya.

Dalam kekalutan itu, Ayra bertemu dengan Imran Firdaus lakonan Yusof Hashim, seorang pemandu e-hailing yang tidak terpengaruh dengan dunia glamor selebriti.

Pertemuan itu membuka lembaran baharu apabila Imran kemudiannya dipelawa menjadi pemandu peribadi Ayra oleh kakaknya, Maya lakonan Scha Alyahya, sekali gus mencetuskan hubungan yang tidak dijangka antara dua dunia yang berbeza.

Dengan gabungan jalan cerita yang menyentuh hati, elemen humor dan lakonan segar, Kata Hati dijangka menjadi antara filem romantik komedi tempatan yang dinanti-nantikan tahun ini, sekali gus mengubat kerinduan penonton terhadap kisah cinta yang ringan tetapi bermakna.

Mr. Helmet dilancar di Malaysia: Mesin sanitasi helmet bunuh 99 peratus kuman

0

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Satu inovasi baharu dalam penjagaan kebersihan penunggang motosikal diperkenalkan menerusi pelancaran mesin automatik “Mr. Helmet” yang berlangsung meriah dengan kehadiran hampir 500 motosikal.

Mesin berteknologi terkini yang dibangunkan oleh CleanXpert Sdn Bhd itu direka khas untuk menyah bau, menghapuskan kuman serta bakteria, selain mengembalikan kesegaran kepada helmet pengguna motosikal yang digunakan setiap hari.

Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan dalam kalangan penunggang, khususnya di negara beriklim panas dan lembap seperti Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif CleanXpert Sdn Bhd, Razalee Yahya berkata, pengenalan Mr. Helmet bukan sekadar inovasi teknologi, malah sebahagian daripada usaha penjenamaan bersama rakan strategik industri termasuk Petronas Lubricant Marketing.

Menurut beliau, teknologi ini mampu membunuh sehingga 99 peratus kuman pada helmet, berbanding kaedah cucian biasa yang tidak menjamin tahap sanitasi optimum.

“Penggunaan helmet yang kerap tanpa pembersihan menyeluruh boleh memberi kesan kepada kesihatan, termasuk masalah kulit kepala.

“Mesin ini dilihat sebagai penyelesaian praktikal kepada masalah yang sering dipandang ringan oleh pengguna motosikal,” katanya pada majlis pelancaran mesin berkenaan.

Razalee berkata, Malaysia antara negara terawal di rantau ini yang memperkenalkan teknologi berkenaan, walaupun trend penggunaan mesin sanitasi helmet ini mula berkembang di China.

Pihaknya kini giat meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan kebersihan helmet dalam kehidupan harian.

Dalam perancangan pengembangan, CleanXpert Sdn Bhd menyasarkan pemasangan kira-kira 1,000 unit mesin Mr. Helmet di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Selain itu, syarikat turut merancang untuk memperluaskan operasi ke pasaran Indonesia dan Vietnam, yang dikenal pasti sebagai antara negara dengan jumlah pengguna motosikal tertinggi di Asia.

Buat masa ini, mesin terbabit telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti stesen minyak, bengkel motosikal dan kedai dobi, dengan sasaran seterusnya merangkumi masjid serta kawasan awam bagi memudahkan akses kepada orang ramai.

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet); Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ts. Hasrolnizam Shaari; serta Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairul Anuar Khalid.

Dalam majlis yang sama, satu Memorandum Persefahaman turut dimeterai antara CleanXpert Sdn Bhd dengan Petronas Lubricant Marketing serta rakan strategik dari Indonesia dan Vietnam sebagai langkah memperkukuh kerjasama dan memperluas pasaran teknologi tersebut ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Altimet dalam ucapannya menyifatkan inovasi Mr. Helmet sebagai satu inisiatif yang amat relevan, khususnya bagi masyarakat di Lembah Klang yang bergantung kepada motosikal sebagai kenderaan harian dan sumber pendapatan seperti penghantar makanan.

Beliau berkata, helmet antara peralatan paling penting bagi penunggang, namun sering diabaikan aspek kebersihannya.

“Faktor cuaca panas dan lembap di Malaysia menyebabkan pengguna motosikal mudah berpeluh, sekali gus meningkatkan keperluan kepada solusi sanitasi seperti yang ditawarkan oleh mesin ini.

“Saya melihat potensi besar inovasi ini sebagai peluang keusahawanan melalui model perniagaan mesin layan diri, khususnya di lokasi tumpuan seperti tempat makan dan rumah ibadat,” katanya.

Pelancaran Mr. Helmet bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, malah membuka ruang kepada peningkatan kesedaran awam terhadap kepentingan kebersihan peralatan harian, di samping merancakkan ekosistem keusahawanan berasaskan inovasi di Malaysia.

Kedah ikut jejak Anwar Ibrahim, laksana dasar penjimatan hadapi krisis global

1

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Besar Kedah untuk melaksanakan dasar penjimatan dalam pengurusan kewangan negeri dilihat sebagai langkah positif yang akhirnya selari dengan pendekatan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.

Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, keputusan kerajaan negeri itu menunjukkan kesediaan untuk mengadaptasi pendekatan yang lebih matang, berhemah serta berpaksikan realiti, khususnya dalam menangani tekanan kos dan krisis tenaga global yang semakin meruncing.

Menurut beliau, walaupun langkah terbabit disifatkan agak lewat, ia tetap dialu-alukan kerana mencerminkan pengiktirafan terhadap keperluan disiplin fiskal yang sebelum ini sering ditekankan oleh Kerajaan MADANI.

“Dalam suasana krisis global yang semakin kompleks dan saling berkait, kerajaan negeri tidak boleh terus terperangkap dalam politik sensasi atau kenyataan populis.

“Keutamaan kini perlu beralih kepada penyelesaian yang tuntas, praktikal dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pendekatan yang kini diambil oleh kerajaan negeri Kedah itu sebelum ini pernah dipersoal dan diperkecilkan, namun kini dijadikan sebagai sandaran dalam memastikan kestabilan kewangan negeri.

Katanya, jika langkah ini menjadi permulaan kepada perubahan yang lebih besar, ia wajar diberikan sokongan oleh semua pihak, walaupun mengambil masa untuk direalisasikan sepenuhnya.

Dalam pada itu, beliau secara sinis menyentuh mengenai penganjuran rumah terbuka Aidilfitri berskala besar sebelum ini, yang menurutnya mungkin menjadi titik kesedaran terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang lebih berdisiplin.

“Disiplin fiskal bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Rakyat Kedah pastinya mengharapkan kesedaran ini dapat dikekalkan secara konsisten dan bukan bermusim,” katanya.

Langkah kerajaan negeri Kedah ini dijangka menjadi penanda aras baharu dalam usaha memperkukuh pengurusan kewangan negeri, selari dengan dasar penjimatan dan kebertanggungjawaban fiskal yang sedang diperkasakan di peringkat Persekutuan.

TP-Link & UiTM jalin kerjasama strategik perkasa kemahiran rangkaian pelajar Malaysia

1

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (TP-Link Malaysia) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik dalam usaha memperkasa kemahiran perangkaian perusahaan dalam kalangan pelajar, selaras dengan keperluan industri digital yang semakin berkembang pesat.

Kerjasama selama tiga tahun ini dirangka khusus bagi merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, sekali gus memastikan graduan UiTM dilengkapi dengan kemahiran praktikal yang relevan serta berdaya saing di pasaran kerja.

Inisiatif ini turut memperkukuh hubungan antara sektor industri dan institusi pendidikan tinggi dalam membangunkan bakat masa depan negara.

Melalui kolaborasi ini, TP-Link Malaysia akan melaksanakan penyelesaian rangkaian perusahaan Omada di makmal UiTM, membolehkan pelajar memperoleh pendedahan langsung kepada teknologi dan infrastruktur yang digunakan dalam persekitaran perniagaan sebenar.

Pendekatan ini disokong oleh program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada pensijilan profesional Omada Certified Network Administrator (OCNA) yang diiktiraf di peringkat global.

Selain itu, pelajar turut berpeluang menjalani latihan industri dan praktikal bersama TP-Link Malaysia, sekali gus menyediakan laluan lebih jelas daripada alam universiti ke dunia pekerjaan dalam ekonomi digital negara yang semakin kompetitif.

Inisiatif ini turut dibina berasaskan kejayaan kerjasama terdahulu antara TP-Link Malaysia dan Universiti Malaya, yang menyaksikan lebih 500 pelajar menyertai program pensijilan rangkaian pada tahun 2025, mencerminkan permintaan tinggi terhadap kemahiran teknikal yang selaras dengan keperluan industri semasa.

Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd., Hugo Cai berkata, keperluan terhadap tenaga profesional dalam bidang rangkaian perusahaan semakin meningkat seiring dengan perkembangan infrastruktur digital merentasi pelbagai industri.

Menurut beliau, kerjasama ini memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang kemahiran tersebut dengan menyediakan latihan praktikal serta pensijilan yang relevan, sekali gus memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran industri sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, penyelarasan antara kurikulum akademik dan keperluan industri amat penting dalam memastikan graduan kekal relevan dalam landskap teknologi yang sentiasa berubah.

Katanya, kerjasama strategik seperti ini membolehkan UiTM memperkukuh program akademiknya agar selari dengan perkembangan teknologi serta jangkaan industri, sekali gus melahirkan graduan yang lebih kompeten dan bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua pihak turut merancang untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, perundingan serta pertukaran pengetahuan, yang akan memperkukuh hubungan antara jurutera industri dan tenaga akademik.

Seiring dengan aspirasi Malaysia untuk memperkukuh ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan negara terus berdaya saing, khususnya dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur digital moden.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian perusahaan Omada melalui laman rasmi TP-Link di www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/ 

13 juta strim, Rocketfuel kuasai muzik raya 2026

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Rocketfuel Entertainment terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara peneraju industri hiburan tempatan apabila kempen Aidilfitri tahun ini, “Macam Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment”, mencatat kejayaan luar jangkaan menerusi pencapaian lebih 13 juta penstriman digital.

Kempen itu menampilkan tujuh lagu raya yang mendapat sambutan hangat daripada pendengar, termasuk “Rindu Raya” nyanyian ALPHA, “Kampung Kita” oleh Wani Kayrie, “Raya Macam Raya” kolaborasi Hael Husaini bersama ALPHA, “Duit Raya” oleh Sharul Kamal dan Mierul Aiman, serta “Senyum Gugur Di Penghujung Doa” oleh Dayang Nurfaizah.

Turut mendapat perhatian ialah “Restu Raya” nyanyian Nadeera dan “Lagu Raya Untukmu” oleh Hael Husaini.

Kejayaan ini sekali gus membuktikan kemampuan Rocketfuel Entertainment dalam menghasilkan kandungan yang relevan serta dekat dengan citarasa semasa pendengar tempatan.

Meneruskan momentum itu, Rocketfuel Entertainment tampil dengan pelbagai pelancaran muzik baharu sepanjang tahun.

Bintang meningkat naik, Qal G, memperkenalkan single terbaharu berjudul “Seharusnya Aku”, susulan kejayaan debutnya “Sepi” selepas muncul sebagai finalis program Big Stage Alpha.

Seorang lagi peserta program sama, Awienit, turut bakal melancarkan single sulungnya dalam masa terdekat.

Di peringkat antarabangsa, duo vokal lelaki dari Korea Selatan, HoonDoo, melancarkan lagu “Jejak Yang Tertinggal” sebagai runut bunyi rasmi drama bersiri Dendam Seorang Mentua yang dilancarkan pada 15 April 2026.

Dalam perkembangan lain, Wani Kayrie kini giat membuat persiapan ke pentas separuh akhir Muzik-Muzik ke-40 menerusi lagu viralnya “Cak Cak Cekuk” yang mencatat jutaan tontonan dan penstriman digital.

Penyanyi itu menyifatkan pentas terbabit sebagai peluang besar untuk menampilkan persembahan terbaiknya.

Sementara itu, Nadeera dijangka melancarkan single terbaharu berjudul “Cuba Jadi Aku” pada Jun 2026, manakala Hael Husaini turut merancang kolaborasi baharu pada tahun ini.

Selain muzik, Rocketfuel Entertainment turut memperkukuhkan kehadiran dalam bidang lakonan dan kandungan digital.

Mierul Aiman bakal membintangi filem Tarung bersama Zul Ariffin, manakala Fazziq Muqris akan muncul dalam filem Kata Hati.

Finalis Dewi Remaja 2023, Qistina Rania, pula bakal tampil dalam filem Darah Gagap, manakala Bella Dowanna akan membintangi siri Ate Kome di platform Viu.

Dalam perkembangan lain, Evertts Gomes dan Hawa Rizwana bakal bergandingan dalam siri romantik “PL I Love You”.

Pelakon baharu Arabella Ellen pula akan membintangi drama “Wishlist” arahan Michael Ang yang bakal disiarkan di slot MegaDrama Astro Ria, selain turut aktif dalam siri pendek di platform Sooka.

Menariknya, Rocketfuel Entertainment turut memperkenalkan atlet bola sepak wanita negara, Qaseh Rania sebagai wajah baharu di bawah naungan mereka, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat dalam mengetengahkan bakat daripada pelbagai latar belakang.

Kejayaan kempen ini turut menarik minat pelbagai jenama besar seperti Vida, KFC, Shell, Bath & Body Works, U Mobile dan Lepas Malaysia, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik.

Menurut Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Rajahram Anand, kempen “Macam Macam Raya” mencerminkan kekuatan jenama dalam menghasilkan kandungan yang dekat dengan rakyat.

Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Sher Leen Wee pula menyifatkan tahun ini sebagai antara yang paling signifikan buat syarikat itu, bukan sahaja dari segi pelancaran karya baharu tetapi juga pengembangan portfolio artis merentasi pelbagai platform.

Dalam pada itu, Ketua A&R Rocketfuel Entertainment, Pasha Ahmad berkata, setiap pelancaran dirancang secara teliti bagi memastikan kualiti karya yang dihasilkan mampu memberi impak jangka panjang kepada industri.

JABAT ERAT 2026: Festival seni indie antarabangsa gegar ODEON KL

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penganjuran JABAT ERAT (Festival Kesenian Fringe) yang dijadual berlangsung pada Jun ini dijangka mencetuskan gelombang baharu dalam industri seni tanah air apabila ia tampil bukan sekadar sebagai festival, sebaliknya sebagai sebuah gerakan budaya yang meraikan ekspresi seni sepanjang tahun.

Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., JABAT ERAT membawa pendekatan unik berteraskan semangat “Do-It-Yourself” (D.I.Y) yang mengangkat kebebasan berkarya dalam kalangan penggiat seni.

Festival ini merangkumi pelbagai aspek termasuk pengeluaran rekod seperti vinil, kaset dan CD, penghasilan merchandise, siri jelajah band serta keseluruhan ekosistem pengurusan seni yang diusahakan secara independen.

Pengarah Urusan Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., Mozylir Mokhtarudin berkata, JABAT ERAT diwujudkan sebagai hab rangkaian yang menyatukan komuniti seni dari Malaysia, Asia Tenggara dan peringkat global.

Menurut beliau, festival ini menghimpunkan pelbagai pihak dalam industri termasuk penganjur bebas, pemilik venue, peminat muzik, kumpulan band, label rakaman serta artis baharu dan veteran dalam pelbagai genre muzik rock and roll.

“Acara ini akan berlangsung di ODEON KL kerana matlamat kami adalah untuk menjadikan lokasi ini sebagai pusat budaya Fringe Arts yang inklusif, selamat dan berteraskan komuniti, khususnya dalam kalangan belia, namun tetap mengekalkan elemen ‘raw’ yang autentik,” katanya.

Tambah beliau, JABAT ERAT juga berperanan sebagai platform untuk menghidupkan semula semangat peminat muzik dan budaya, selain membuka ruang kepada bakat tempatan untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Lebih 20 artis tempatan dan antarabangsa dijangka memeriahkan festival ini, antaranya Yellow Fang dari Thailand, Dom 65 dari Indonesia, Megumi Acorda dari Filipina serta Coaltar of the Deepers dari Jepun.

Turut serta ialah barisan artis tempatan seperti Faye Faire, Bayangan, Hawa, Tripping Haze Ceremony, Quarter Life, Dogtooth, The Garrison, The World Ends With You, Speedwitches, Swindle, Playburst, Man Dead Set, Soft, Pogowolves, Viona, The Impatient Sisters, Amrita Soon, Women & Children, Leaism dan Straw Lim yang mewakili pelbagai genre termasuk rock, punk, shoegaze, metal dan indie.

Mozylir berkata, festival ini bukan sahaja memberi hiburan, tetapi juga berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu antara penggiat seni tempatan dan antarabangsa, khususnya dalam konteks realiti kehidupan band indie yang menjelajah dari satu lokasi ke lokasi lain.

Katanya lagi, JABAT ERAT membuka ruang kepada perniagaan tempatan dan perusahaan independen untuk turut serta, sekali gus merancakkan ekonomi kreatif di peringkat akar umbi.

Festival JABAT ERAT akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat, 5 Jun hingga Ahad, 7 Jun 2026 di ODEON KL.

Tiket pra-jualan ditawarkan pada harga RM118, RM178 dan RM218, manakala jualan umum bermula pada RM138 hingga RM238.

Dalam perkembangan berkaitan, penganjuran festival ini turut menyaksikan kerjasama strategik antara ODEON KL dan LOKÉT MY sebagai rakan rasmi tiket.

LOKÉT, yang juga platform pengurusan acara dan penyedia tiket terkemuka, akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan infrastruktur hiburan serta meningkatkan pengalaman pengunjung.

Sementara itu, Pengarah ODEON KL, Zarimah Mohamed berkata, kerjasama ini bertujuan membangunkan ekosistem industri kreatif yang lebih mampan melalui integrasi teknologi, sokongan kepada penganjur serta penambahbaikan pengalaman penonton.

Menurut beliau, sinergi antara kedua-dua pihak bukan sahaja tertumpu kepada jualan tiket, malah merangkumi usaha jangka panjang untuk memperkasa industri kreatif melalui penggunaan teknologi pengurusan acara yang canggih serta analitik data bagi memahami keperluan dan kehendak penonton dengan lebih mendalam.

“Melalui kolaborasi ini, kami komited untuk memastikan setiap acara yang dianjurkan mampu memberikan pengalaman yang lancar, efisien dan bermakna kepada semua pihak, termasuk pengunjung dan penggiat industri,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi laman rasmi festival www.jabaterat.com.my.

‘TARUNG: Unforgiven’ lancar treler rasmi, filem aksi penuh emosi tayang 7 Mei ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem aksi tempatan yang dinanti-nantikan, TARUNG: Unforgiven, melangkah ke fasa promosi seterusnya dengan pelancaran treler rasmi yang menjanjikan gabungan aksi berintensiti tinggi dan emosi mendalam menjelang tayangan di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei ini.

Selepas ‘first look’ yang mencetuskan perbualan hangat di media sosial, treler berdurasi satu minit 45 saat itu memberikan gambaran lebih jelas tentang dunia MARGA, sebuah organisasi elit yang menjadi latar utama penceritaan filem ini.

Treler berkenaan dibuka dengan konflik perebutan kuasa dalam organisasi itu sebelum membawa penonton menyaksikan babak pertarungan sengit antara watak Hatta lakonan Mierul Aiman dan Isa yang dibawakan oleh Aedy Ashraf.

Visual yang realistik, koreografi aksi yang mantap serta konflik emosi yang tegang menjadikan filem ini bukan sekadar hiburan aksi, tetapi turut sarat dengan tema penebusan dan harga sebuah kesilapan.

Filem arahan Razaisyam Rashid ini turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Aeril Zafrel serta beberapa lagi nama besar industri perfileman tempatan.

Menurut Razaisyam, treler yang dilancarkan hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan pengalaman sinematik yang dibina dalam filem terbabit, dengan banyak elemen sengaja tidak didedahkan bagi memberi impak lebih mendalam kepada penonton di layar perak.

Sementara itu, Aedy Ashraf yang turut bertindak sebagai penerbit dan penerbit eksekutif menyifatkan penglibatannya dalam keseluruhan proses penerbitan sebagai pengalaman yang sangat bermakna.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sokongan penonton selepas teaser filem itu mencatat lebih sejuta tontonan dalam tempoh singkat.

Treler rasmi ini dilancarkan dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya filem berkenaan yang berlangsung di Banglo 289, Kuala Lumpur dengan kehadiran barisan pelakon, penerbit, pengarah serta wakil media dan pemamer.

Dalam usaha memperkukuh promosi, pihak penerbit Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw turut merancang beberapa inisiatif pemasaran termasuk tayangan awal bermula 6 Mei serta siri jelajah bersama barisan pelakon di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.

Selain itu, kolaborasi strategik turut dijalinkan bersama pelbagai rakan jenama bagi mendekatkan pengalaman filem kepada peminat.

Antaranya termasuk kerjasama dengan platform tiket digital Wetix yang menawarkan pakej eksklusif serta merchandise edisi terhad, selain kolaborasi bersama Kunafa Aiwahhh yang memperkenalkan menu khas diinspirasikan daripada filem ini.

Dari aspek muzik, TARUNG: Unforgiven menampilkan dua runut bunyi utama iaitu lagu ‘Test’ nyanyian kumpulan Distorted serta lagu ‘Terbang’ yang dibawakan oleh Noh Salleh, yang mengangkat tema persaudaraan, pengorbanan dan kemaafan.

Filem ini mengisahkan perjalanan seorang bekas juara silat yang diburu masa silam akibat satu tragedi hitam, sehingga memaksanya bertarung dalam gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya.

Namun, konflik memuncak apabila lawan yang dihadapinya adalah individu yang pernah rapat dengannya suatu ketika dahulu.

Dengan gabungan aksi mendebarkan dan jalan cerita yang penuh emosi, TARUNG: Unforgiven dijangka menjadi antara naskhah tempatan terbesar tahun ini serta mampu menarik perhatian penonton di pawagam seluruh negara.

Isu Hamzah: PN digesa buat keputusan, Faizal jangan halang penyatuan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) digesa menentukan kedudukan Hamzah Zainudin secara kolektif tanpa dipengaruhi kepentingan individu, susulan kenyataan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Ahmad Faizal Azumu yang dilihat menolak penyertaan parti baharu pimpinan Ahli Parlimen Larut itu ke dalam gabungan berkenaan.

Gesaan itu disuarakan oleh mantan Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail yang menyifatkan alasan penolakan terhadap Hamzah, termasuk isu pertemuan beliau dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai tidak kukuh dan bersifat remeh.

Menurut beliau, Hamzah adalah seorang tokoh berpengaruh yang konsisten memperjuangkan agenda agama, bangsa dan negara, selain dilihat sebagai ikon penyatuan yang mampu memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama politik khususnya dalam kalangan parti-parti Melayu.

Beliau berpandangan kenyataan Ahmad Faizal berhubung pertemuan itu memberi gambaran seolah-olah UMNO kini dianggap sebagai musuh utama Bersatu, sekali gus berpotensi menjejaskan usaha penyatuan ummah yang lebih besar di peringkat nasional.

Tambahnya, pendekatan sedemikian boleh menggagalkan usaha membina kesepakatan politik yang lebih inklusif, terutama apabila ia datang daripada pemimpin yang didakwa kurang memahami realiti landskap politik semasa berbanding pengalaman luas yang dimiliki Hamzah.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Perikatan Nasional bukan milik mutlak mana-mana parti komponen, sebaliknya keputusan berkaitan keahlian gabungan perlu diputuskan secara musyawarah bersama semua pihak termasuk PAS sebagai antara tonggak utama gabungan itu.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan penggunaan isu sumpah atau bai’ah sebagai justifikasi mempertahankan sesuatu pendirian, sambil menegaskan integriti dan kelayakan moral pemimpin seharusnya menjadi keutamaan dalam menentukan kepimpinan.

“Perjuangan asal Bersatu adalah untuk menentang amalan kleptokrasi agar parti itu tidak tersasar daripada prinsip perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menasihati Ahmad Faizal agar tidak mengutamakan kepentingan peribadi sehingga menjejaskan matlamat penyatuan ummah, sebaliknya kembali kepada asas perjuangan dan menunjukkan kepimpinan yang lebih berwibawa.

Dalam kenyataan sama, beliau turut menyentuh perkembangan di Perak dengan menyatakan bahawa prestasi pentadbiran kerajaan negeri ketika ini dilihat lebih memberangsangkan dengan hala tuju yang lebih jelas berbanding sebelum ini.

Beliau juga menggesa semua pihak mengambil iktibar daripada titah Sultan Perak yang menyeru kerjasama merentas parti bagi menangani cabaran semasa termasuk krisis tenaga global yang turut memberi kesan kepada negara.

Menurutnya, seruan itu wajar dijadikan panduan dalam membentuk kesepakatan politik yang lebih matang dan berpaksikan kepentingan rakyat serta kestabilan negara secara keseluruhan.