29.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Astro lancar Inspirasi SeeNI Award, platform pengiktirafan Nasional buat PMKS Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Astro terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju industri hiburan dan platform media arus perdana negara menerusi penganjuran Inspirasi SeeNI Award, sebuah inisiatif pengiktirafan khas yang memberi tumpuan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia.

Penganjuran anugerah ini direalisasikan menerusi kerjasama strategik bersama RichWorks Consulting Group, selaras dengan komitmen berterusan Astro dalam memperkasakan usahawan tempatan.

Inisiatif ini lahir daripada rancangan khas Borak SeeNI yang sebelum ini menjadi wadah penceritaan inspirasi, perkongsian pengalaman serta perspektif baharu dalam kalangan usahawan baharu dan yang sedang berkembang.

Melalui platform terbabit, tercetus idea untuk mewujudkan Inspirasi SeeNI Award sebagai simbol pengiktirafan terhadap jenama tempatan yang berjaya membina perniagaan berdaya saing.

Penganjuran anugerah ini membawa jenama Astro ke satu tahap lebih tinggi dalam memperkukuh kredibiliti pengiktirafan bertaraf nasional.

Sebagai jenama media arus perdana yang dipercayai dan berpengaruh di Malaysia, penglibatan Astro dilihat mampu memperluaskan jangkauan inspirasi ke seluruh negara, sekali gus mengangkat kisah kejayaan usahawan tempatan ke pentas yang lebih besar.

Naib Presiden, Pembangunan Pengiklanan SME, Astro, Datin Norashikin Habibur Rahman berkata, penglibatan Astro dalam penganjuran anugerah ini merupakan satu penghargaan dan tanggungjawab strategik dalam menyokong agenda pemerkasaan PMKS serta pembangunan ekonomi negara.

“Kolaborasi bersama RichWorks diyakini mampu memperluaskan penyampaian naratif kejayaan usahawan menerusi penceritaan yang autentik dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

“Kerjasama ini berpotensi menonjolkan Astro sebagai peneraju usaha memartabatkan dan meningkatkan keupayaan PMKS di Malaysia.

“Dengan kekuatan platform penyiaran dan ekosistem media yang komprehensif, Astro bukan sahaja memperkukuh jenama usahawan tempatan di peringkat nasional, malah membuka ruang kepada pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Inspirasi SeeNI Award turut berkait rapat dengan program Titan’s Inner Circle Meeting (ICM), sebuah platform kepimpinan eksklusif anjuran RichWorks Consulting Group Sdn. Bhd. yang dianjurkan sebanyak tiga kali setahun.

Program ini menghimpunkan usahawan berprestasi tinggi di bawah ekosistem Titan dan Titan Circle Plus++ (TCP++), sekali gus menjadi medan perkongsian strategi pertumbuhan dan pengukuhan perniagaan berskala besar.

Anugerah yang dipertandingkan merangkumi beberapa kategori utama berdasarkan prestasi kewangan tahun 2025.

Antaranya termasuk Gladiator Award bagi ahli Titan dengan jualan tahunan antara RM10 juta hingga RM25 juta.

Gladiator Rising Star Award pula mengiktiraf ahli dengan julat jualan sama yang mencatatkan pertumbuhan minimum tiga peratus dalam tempoh penyertaan antara tiga bulan hingga setahun.

Gladiator Growth Award diberikan kepada ahli yang mencapai pertumbuhan sekurang-kurangnya tiga peratus dengan tempoh penyertaan program melebihi setahun, manakala Gladiator Prime Growth Award dianugerahkan kepada perniagaan dengan jualan antara RM50 juta hingga RM100 juta serta pertumbuhan konsisten.

Stalion Award pula menjadi pengiktirafan tertinggi kepada ahli Titan yang mencatat jualan antara RM100 juta hingga RM1 bilion, mewakili perniagaan berskala besar dengan impak ekonomi signifikan.

Turut diperkenalkan ialah Astro Inspirasi SeeNI Award, iaitu anugerah khas kepada usahawan yang memanfaatkan ekosistem penyiaran Astro sebagai platform pengiktirafan kejayaan dan penjenamaan perniagaan mereka.

Bagi edisi 2026, majlis ini melibatkan 161 buah perniagaan dengan 198 penerima anugerah merangkumi pelbagai kategori pencapaian di peringkat nasional.

Pengiktirafan ini bukan sahaja meraikan kejayaan kewangan, malah menjadi simbol daya tahan, inovasi dan keupayaan PMKS dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Melalui Inspirasi SeeNI Award, Astro dan RichWorks terus komited membina ekosistem yang menyokong kebangkitan usahawan tempatan, sekali gus menjadikan platform media sebagai pemangkin transformasi dan pertumbuhan perniagaan Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular