32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Baizura Kahar ‘comeback’ selepas 18 tahun, Keluarga Iskandar 3 jadi titik mula baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Siri komedi kekeluargaan popular, Keluarga Iskandar 3, kembali mencuri perhatian penonton apabila tiga episod pertamanya mula bersiaran pada 6, 7 dan 8 Februari lalu, setiap Jumaat hingga Ahad jam 9 malam di Astro Ria.

Musim terbaharu ini bukan sahaja menghidangkan kesinambungan kisah keluarga Iskandar yang penuh warna-warni, malah turut menyaksikan kemunculan istimewa pelakon Baizura Kahar yang membuat ‘comeback’ selepas hampir dua dekad meninggalkan dunia lakonan.

Sejak ditayangkan, perbualan mengenai Keluarga Iskandar 3 hangat diperkatakan di media sosial termasuk Threads, Instagram dan Facebook.

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah kemunculan Baizura yang memegang watak Dr. Sofea, isteri kepada Alan.

Kehadirannya dalam siri ini disambut penuh keterujaan oleh peminat yang sekian lama menantikan kepulangannya ke layar kaca.

Keluarga Iskandar 3 terus menampilkan barisan pelakon utama yang menjadi tunjang kekuatan siri ini sejak diperkenalkan pada tahun 2012.

Antaranya termasuk Kismah Johari sebagai Khatijah Ali atau Mak Jah, Hilal Azman sebagai Aziz Iskandar (Abang Long), Sobri Anuar sebagai Azman Iskandar (Abang Ngah), Susan Lankester sebagai Kamariah Abdullah (Kak Ngah), Azhar Sulaiman sebagai Kamal (Abang Teh), Anita Baharom sebagai Azura Iskandar (Kak Teh) serta Zain Hamid sebagai Azlan Iskandar (Ayah Chik).

Kehadiran watak baharu seperti Dr. Sofea dilihat berjaya menyuntik dinamika segar dalam jalan cerita musim ketiga ini.

Bagi peminat setia, kemunculan Baizura dalam Keluarga Iskandar 3 ibarat pengubat rindu.

Kali terakhir beliau muncul di layar perak adalah menerusi filem Sepi sekitar tahun 2008. Selepas itu, beliau mengambil keputusan untuk berehat panjang daripada dunia seni.

Menurut Baizura, keputusan meninggalkan bidang lakonan sebelum ini dibuat atas faktor keutamaan hidup.

“Ketika di awal pembabitan, saya berlakon bagi menampung perbelanjaan pengajian di universiti. Namun selepas menamatkan pengajian, saya memilih untuk memberi fokus kepada kerjaya dan kehidupan peribadi.

“Walaupun begitu, minat terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan menerima tawaran daripada KL Motion Pictures Sdn. Bhd. untuk membintangi Keluarga Iskandar 3, Baizura menyifatkannya sebagai ketentuan yang telah tersusun indah.

Mengambil inspirasi daripada dialog popular siri ini, “Allah dah set from the top”, beliau percaya tawaran itu hadir pada waktu yang tepat dalam hidupnya.

Kini apabila anak-anaknya semakin membesar, beliau merasakan inilah masa paling sesuai untuk kembali aktif, namun dengan syarat projek yang diterima benar-benar bersesuaian.

Bagi Baizura, pemilihan naskhah yang tepat amat penting, lebih-lebih lagi selepas berehat hampir 17 hingga 18 tahun daripada industri hiburan.

Sebagai seorang penulis yang sudah biasa bekerjasama dengan KL Motion Pictures dan pengarah serta penulis skrip Keluarga Iskandar, Wan Hazliza Wan Zainuddin, Baizura mengakui beliau berasa selesa berada di set penggambaran.

Keserasian sedia ada serta pemahaman terhadap gaya penulisan dan komedi yang diketengahkan menjadikan proses comeback lebih lancar dan meyakinkan.

“Penerbitan musim ketiga yang merangkumi 24 episod ini tidak terlalu berat dari segi penceritaan, sekali gus menjadikan batu loncatan terbaik untuk saya kembali menapak dalam industri seni.

“Pengalaman itu membuka ruang dan keyakinan baharu untuk terus menerima tawaran pada masa akan datang” katanya.

Dengan pembabitan sulung dalam Keluarga Iskandar 3, Baizura turut menyatakan kesediaannya untuk kembali aktif berlakon sekiranya diberikan peluang dalam projek yang benar-benar “bercakap” kepadanya dan sesuai dengan prinsip serta fasa kehidupannya kini.

Keluarga Iskandar 3 boleh ditonton setiap Jumaat hingga Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria, serta distrim menerusi Astro GO dan sooka.

Kehadiran Baizura Kahar pastinya menjadi antara tarikan utama musim ini, sekali gus menambah kemeriahan dan kekuatan jenama drama komedi keluarga yang telah bertapak lebih sedekad dalam industri hiburan tanah air.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular