editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Huawei sekali lagi mencuri perhatian industri teknologi dengan pelancaran HUAWEI Mate X7, sebuah telefon pintar lipat premium yang menggabungkan prestasi pengimejan bertaraf flagship dalam rekaan ultra-nipis dan elegan.
Menerusi konsep “Unfolding Light”, peranti terbaharu ini bukan sekadar evolusi dalam kategori foldable, malah menetapkan penanda aras baharu dalam fotografi mudah alih.
Selama ini, peranti foldable sering berdepan cabaran untuk menyeimbangkan reka bentuk yang nipis dan mudah alih dengan sistem kamera berprestasi tinggi.
HUAWEI Mate X7 hadir memecahkan kompromi tersebut dengan menawarkan pengalaman kamera setanding telefon flagship konvensional, tanpa menjejaskan profilnya yang ramping dan sofistikated.
Ia direka khusus untuk pengguna yang mahukan kebebasan kreatif dalam satu peranti yang fleksibel dan berkuasa.

Menjelang musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, saat-saat bermakna dipenuhi warna, cahaya dan emosi daripada tanglung merah yang bercahaya, makan malam perjumpaan keluarga hinggalah persembahan meriah dan suasana malam yang gemerlapan.
HUAWEI Mate X7 dibangunkan untuk merakam setiap detik ini dengan ketepatan warna, prestasi cahaya rendah yang luar biasa serta kedalaman sinematik yang memukau.
Di teras sistem pengimejan ini ialah teknologi True-to-Colour Camera yang dikuasakan oleh susunan spektral 4×4 inovatif.
Seni bina sensor canggih ini meningkatkan ketepatan warna sehingga 43 peratus, membolehkan peranti menangkap maklumat cahaya dan warna dengan lebih tepat.

Hasilnya, tona merah kekal pekat, kilauan emas tampak semula jadi dan setiap rona perayaan dirakam tanpa lebihan saturasi atau herotan warna, walaupun dalam keadaan pencahayaan mencabar.
Melengkapkan sistem ini ialah Ultra Lighting HDR Camera yang direka untuk mengawal keseimbangan cahaya dan bayang dengan lebih halus.
Dilengkapi sensor 1/1.28 inci RYYB Ultra Aperture, lensa quadruple-sliced serta kaca ultra nipis setebal 0.4mm, sistem ini memaksimumkan kemasukan cahaya sambil mengekalkan ketajaman imej.
Tambahan pula, apertur fizikal boleh laras 10 tahap membolehkan pengguna menyesuaikan tangkapan mengikut persekitaran, sama ada di bawah cahaya matahari terik, dalam suasana malap atau ketika peralihan senja ke malam.

Setiap gambar yang dihasilkan menampilkan julat dinamik luas dan kedalaman sinematik yang lebih dramatik.
HUAWEI Mate X7 turut memperkenalkan Kamera Telefoto Makro 50MP yang menawarkan fleksibiliti merakam dari pelbagai jarak.
Dengan konfigurasi lensa pepenjuru 4+1 serta sistem periskop telefoto makro canggih, ia menyokong zum optikal 3.5× sambil mengurangkan saiz modul kamera sehingga 44 peratus.
Kejayaan kejuruteraan ini memastikan peranti kekal ultra-nipis walaupun dilengkapi keupayaan zum berprestasi tinggi.
Sama ada merakam panorama bandar, potret candid dari jauh atau perincian makro yang halus, hasilnya kekal jelas dalam resolusi tinggi.
Bagi pencipta kandungan video, HUAWEI Mate X7 menetapkan aras baharu menerusi teknologi Ultra HDR Video yang menawarkan julat dinamik sehingga 17.5 EV dalam resolusi 4K.

Melalui gabungan pendedahan berbilang masa nyata dan analisis adegan pintar, setiap rakaman mengekalkan tekstur terperinci, sorotan seimbang serta warna yang kaya walaupun dalam situasi kontras tinggi seperti bunga api, persembahan pentas atau suasana malam bandar.
Setiap bingkai diproses dengan ketepatan piksel untuk memastikan hasil video tampak hidup dan mendalam.
Semua inovasi ini disepadukan dalam reka bentuk lipat ultra nipis yang menjadi identiti Huawei, membuktikan bahawa kecanggihan teknologi dan estetika premium mampu wujud tanpa kompromi.
HUAWEI Mate X7 bukan sekadar memperkenalkan ciri kamera baharu, malah mentakrif semula potensi telefon pintar foldable, sekali gus membuka lembaran baharu dalam dunia fotografi mudah alih dan kebebasan kreatif.

