32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Bella Astillah lancar “Ya Raya”, lagu raya 2026 penuh ceria bersama Fipper

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, kembali menyemarakkan suasana Aidilfitri tahun ini menerusi pelancaran single Raya terbaharu berjudul “Ya Raya”, sebuah karya yang menggabungkan elemen moden dan tradisional dalam satu susunan muzik segar namun masih mengekalkan jiwa lagu Raya yang dekat di hati masyarakat Malaysia.

Lagu “Ya Raya” yang ditulis oleh Rudeen, dikompos oleh Rudeen bersama Exactesy serta diterbitkan oleh Exactesy, hadir dengan suntikan keceriaan, kesyukuran dan semangat kebersamaan.

Ia dilihat berpotensi menjadi antara lagu Raya 2026 yang bakal menghiasi carta penstriman digital dan dimainkan berulang kali sepanjang musim perayaan.

Dengan melodi yang mudah melekat dan korus yang catchy, “Ya Raya” membawa pendengar meraikan momen-momen kecil yang bermakna bersama keluarga dan sahabat handai.

Bella berkata, keterikatannya dengan lagu ini terjalin seawal kali pertama beliau mendengar demo yang diperdengarkan kepadanya.

“Lagu ini mempunyai aura positif yang benar-benar menggambarkan suasana Aidilfitri yang sering saya lalui saban tahun.

““Ya Raya” adalah lagu yang ringan, penuh rasa syukur dan sesuai untuk meraikan kebersamaan, sama ada menyambut Hari Raya di kampung mahupun di bandar.

“Elemen ceria yang diselitkan dalam susunan muziknya juga mampu membuatkan sesiapa sahaja tersenyum sebaik mendengarnya,” katanya.

Walaupun kedengaran bertenaga dan penuh keceriaan, proses rakaman lagu ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Bella berkata, dia berdepan cabaran untuk mengekalkan tenaga vokal yang konsisten tanpa kedengaran dibuat-buat, lebih-lebih lagi ketika itu beliau berada dalam keadaan kurang sihat.

Namun begitu, beliau mengakui bahagian korus adalah antara momen paling menyeronokkan sepanjang sesi rakaman kerana melodinya yang mudah diingati sehingga seluruh pasukan di studio turut menyanyikannya bersama.

Keistimewaan “Ya Raya” turut terletak pada keseimbangan antara bunyi klasik lagu Raya dan sentuhan kontemporari yang lebih segar.

Lagu ini tidak hanya tertumpu kepada kemeriahan besar perayaan, sebaliknya memberi penekanan kepada nilai menghargai detik-detik kecil bersama insan tersayang.

Pendekatan ini menjadikan “Ya Raya” bukan sekadar lagu bermusim, tetapi karya yang relevan didengar saban tahun.

Menariknya, pelancaran single ini turut diserikan dengan kolaborasi bersama jenama gaya hidup tempatan, Fipper. Kerjasama ini memperluaskan mesej lagu daripada sekadar muzik kepada simbol gaya hidup sempena musim perayaan.

Bagi Bella, Aidilfitri bukan hanya berkisar tentang muzik atau fesyen semata-mata, tetapi merangkumi keseluruhan pengalaman daripada perjalanan pulang ke kampung sehinggalah momen berkunjung ke rumah sanak saudara.

“Kolaborasi bersama Fipper dilihat sebagai manifestasi keselesaan dan gaya santai yang sinonim dengan suasana Raya rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pihak Fipper menyifatkan pemilihan Bella Astillah sebagai wajah kolaborasi ini selari dengan nilai jenama itu yang meraikan keaslian, keselesaan dan gaya hidup masyarakat tempatan.

“Bella dilihat sebagai figura positif dan autentik yang dekat dengan pelbagai lapisan umur, sekali gus menjadikan kempen ini lebih relevan dan menyentuh emosi pengguna,” katanya.

Melalui projek ini, Fipper turut memperlihatkan evolusinya daripada sekadar jenama selipar kepada jenama gaya hidup yang hadir dalam perjalanan harian serta momen istimewa pelanggan.

Sementara itu, pihak Universal Music Malaysia berkata, pemilihan lagu “Ya Raya” dibuat secara teliti oleh pasukan A&R yang menilai beberapa demo berdasarkan kekuatan melodi, lirik serta potensi komersialnya.

“Bella Astillah dipilih berdasarkan imej, kekuatan vokal dan hubungannya yang kukuh bersama peminat.

“Kolaborasi bersama Fipper pula disifatkan sebagai pendekatan organik, dengan penekanan untuk menghasilkan lagu Raya yang tulen, mudah diingati dan dekat di hati pendengar tanpa penjenamaan yang terlalu menonjol,” katanya.

Bella berharap agar “Ya Raya” mampu menjadi lagu yang menemani detik-detik bermakna setiap kali Aidilfitri menjelma.

Beliau menyeru agar orang ramai menghargai masa bersama insan tersayang, memaafkan dan mensyukuri setiap peluang yang hadir.

Harapannya agar lagu ini bukan sahaja menjadi siulan pada tahun ini, malah terus dimainkan pada tahun-tahun mendatang sebagai simbol kegembiraan dan kenangan indah Aidilfitri.

Single “Ya Raya” boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 13 Februari 2026, sekali gus menandakan kemunculan antara lagu Raya baharu yang dijangka menjadi pilihan utama rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular