32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

FINAS perluas bengkel vokal dan lakonan OKU drama radio, Teo Nie Ching sokong industri kreatif inklusif

editormaxinfo@gmail.com

Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa bakat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam industri kreatif negara terus diperkukuh menerusi penganjuran Bengkel Kreatif OKU Vokal dan Lakonan Asas (Drama Radio) yang julung kali diadakan hasil kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia.

Majlis penutupan dan penyampaian sijil bengkel berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, bersempena sambutan Hari Radio Sedunia.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Februari itu diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan penyertaan seramai 30 peserta OKU daripada pelbagai kategori termasuk fizikal, pendengaran, pembelajaran dan mental.

Bengkel berkenaan adalah cetusan idea Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, Azmi Jaffri, yang melihat potensi besar dalam kalangan golongan OKU untuk diketengahkan dalam bidang seni suara dan lakonan.

Menurut Azmi, kebanyakan individu OKU memiliki bakat tersendiri namun sering berdepan keterbatasan akses dan peluang untuk menonjolkan kebolehan mereka dalam industri arus perdana seperti televisyen dan radio.

“Pendekatan bengkel ini memberi fokus khusus kepada teknik vokal dan lakonan asas bagi drama radio, satu cabang seni yang semakin jarang diberi perhatian walhal ia adalah medium hiburan dan penyampaian maklumat yang berkesan melalui ekspresi suara.

“Peserta didedahkan kepada teknik pernafasan, kawalan tonasi serta sebutan yang jelas, tanpa bergantung kepada pergerakan fizikal atau ekspresi wajah seperti dalam lakonan visual,” katanya.

Sementara itu, Teo dalam ucapannya menyifatkan penganjuran bengkel ini sebagai satu langkah kritikal ke arah menjadikan industri kreatif negara lebih inklusif dan progresif.

Katanya, program berkenaan bukanlah yang terakhir, malah pihak FINAS akan mengenal pasti lokasi sesuai meliputi zon utara, selatan, timur serta Sabah dan Sarawak bagi memperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara.

“Ini satu langkah penting untuk memastikan industri kreatif kita benar-benar inklusif. Kita mahu lebih ramai bakat OKU diberi ruang dan peluang untuk menyerlah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Bahagian Latihan FINAS memainkan peranan penting dalam merealisasikan program ini, khususnya dalam menyusun modul latihan dan menyediakan tenaga pengajar berpengalaman.

Antara barisan tenaga pengajar yang terlibat ialah Fauziah Nawi selaku penasihat bengkel, Siti Hajar Ismail, mantan guru vokal Akademi Fantasia, serta Adam Shahz, pemenang Pelakon Baharu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 menerusi filem Juvana 2.

Selain memperkukuh asas lakonan suara untuk drama radio, ilmu yang dipelajari turut membuka ruang kepada peserta untuk menceburi bidang rakaman suara latar (voice over), iklan komersial dan animasi.

Secara tidak langsung, inisiatif ini berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada peserta yang berjaya mengasah bakat dan kemahiran mereka.

Penganjuran bengkel ini juga dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya teras Ihsan yang menekankan nilai empati dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan sokongan.

Harapan turut disuarakan agar stesen televisyen dan radio, sama ada milik kerajaan mahupun swasta, dapat menyokong usaha ini dengan membuka lebih banyak ruang penyertaan kepada bakat OKU dalam produksi masing-masing.

Dengan sambutan yang menggalakkan serta komitmen berterusan daripada FINAS dan rakan strategik, Bengkel KreatifOKU Vokal dan Lakonan Asas (Drama Radio) dijangka menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu dan memperkukuh ekosistem industri kreatif yang lebih inklusif di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular