30.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
Home Blog Page 15

Genting Malaysia naik taraf sekolah Pahang, KPM sasar 7 sekolah K9 jadi K11

editormaxinfo@gmail.com

TRIANG – Genting Malaysia Berhad terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan pendidikan negara apabila menganjurkan majlis penyerahan rasmi Inisiatif Sekolah Angkat MADANI (SAM) yang membabitkan dua buah sekolah di negeri Pahang, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kemahal itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Pejabat Pendidikan Daerah Bentong sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasa ekosistem pendidikan secara menyeluruh dan mampan.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang; Ahmad Zamri Md Isa dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan; Wong Kah Who, Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam, Resorts World Genting; Spencer Lee dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Inisiatif Sekolah Angkat MADANI ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat di bawah aspirasi Genting Bersama Malaysia yang menekankan pembangunan komuniti secara inklusif melalui kerjasama strategik antara sektor swasta, kerajaan dan masyarakat setempat.

Melalui pendekatan yang dirangka secara tersasar, program ini memberi fokus kepada penambahbaikan infrastruktur sekolah, pemerkasaan persekitaran pembelajaran serta sokongan menyeluruh kepada keperluan pendidikan berdasarkan cabaran sebenar yang dihadapi oleh pihak sekolah.

Dua buah sekolah yang menerima manfaat daripada inisiatif ini ialah Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kemahal dan Sekolah Menengah Kebangsaan LKTP Kampung Sertik.

Kedua-dua institusi ini menerima pelbagai bentuk penambahbaikan termasuk penaiktarafan kemudahan akademik, sokongan teknologi pembelajaran dan kemudahan sokongan untuk warga sekolah.

Di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kemahal, pelbagai kerja naik taraf telah dilaksanakan merangkumi pembaikan bumbung makmal komputer, penambahbaikan makmal sains dengan pemasangan projektor, meja dan kipas serta peningkatan kemudahan bilik darjah melalui pemasangan kipas siling, Google TV, peranti internet dan projektor LCD bagi menyokong pembelajaran digital yang lebih efektif.

Selain itu, dewan utama sekolah turut dilengkapi dengan sistem pembesar suara dan rostrum baharu, pembinaan sangkar latihan sofbol untuk aktiviti kokurikulum, pemasangan sistem penyaman udara di bilik guru serta pelaksanaan program pembangunan untuk guru dan murid.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan LKTP Kampung Sertik turut menerima penambahbaikan menyeluruh melibatkan dewan utama sekolah termasuk pemasangan jubin baharu, pendawaian semula, sistem pembesar suara serta kemudahan paparan digital.

Kemudahan bilik katering sekolah juga dinaik taraf dengan peralatan memasak baharu bagi menyokong pembelajaran praktikal pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan Malaysia menyasarkan antara lima hingga tujuh Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) akan dinaik taraf kepada Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) pada tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan setakat ini terdapat sembilan sekolah K11 dan 26 sekolah K9 di seluruh negara, dengan empat lagi sekolah K9 berjaya dinaik taraf kepada K11 pada tahun ini membabitkan sekolah di Kelantan, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, konsep K11 membolehkan murid, khususnya di kawasan pedalaman termasuk dalam kalangan Orang Asli, mengikuti pendidikan di institusi yang sama dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima, sekali gus membantu mengurangkan kadar keciciran pelajar.

Mengulas mengenai pelaksanaan Sekolah Angkat MADANI, beliau berkata sebanyak 921 projek telah berjaya dilaksanakan pada tahun lalu di seluruh negara termasuk 68 projek di Pahang.

Bagi tahun ini, kementerian menyasarkan pelaksanaan 1,500 projek melibatkan jumlah sekolah yang sama, dengan proses pemilihan kini berada di peringkat akhir sebelum dilaksanakan secara berfasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Genting Malaysia Berhad atas sumbangan signifikan dalam pembangunan pendidikan, termasuk bantuan berjumlah RM100,000 kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Kemahal dan RM118,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Sertik, Karak.

Sementara itu,  Ahmad Zamri berkata, inisiatif Sekolah Angkat MADANI mencerminkan pendekatan kolaboratif yang amat signifikan antara sektor korporat dan pendidikan, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan progresif untuk murid serta guru.

Dalam pada itu, Spencer Lee berkata, pihaknya kekal komited untuk menyokong pembangunan pendidikan jangka panjang melalui pendekatan yang memberi tumpuan kepada keperluan sebenar sekolah.

Katanya, setiap inisiatif dirangka berdasarkan proses libat urus yang teliti bagi memastikan sokongan yang diberikan benar-benar memberi impak bermakna kepada komuniti pendidikan.

Majlis penyerahan ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan Kumpulan Genting memperkukuh sektor pendidikan negara melalui kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan komuniti setempat.

Dalam perkembangan lain, Genting turut melaksanakan beberapa inisiatif tambahan menerusi Genting Plantations Berhad, termasuk penubuhan Pusat Produksi Video di Sekolah Kebangsaan Taman Indahpura 2 di Kulai, Johor bagi melatih pelajar dalam bidang kewartawanan, pengacaraan dan penerbitan kandungan pendidikan.

Di Sabah pula, Sekolah Kebangsaan Ladang Sabapalm di Sandakan menerima sokongan dalam bentuk kerja pembaikan dan pengubahsuaian bangunan utama, pembinaan kedai serbaneka serta penaiktarafan kemudahan asas seperti sistem pembesar suara dan papan tanda.

Kesemua usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan Genting dalam melahirkan generasi masa hadapan yang berilmu, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran global.

PAS digesa terima Hamzah Zainudin perkukuh PN hadapi PRU-16

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – PAS disaran mempertimbangkan penerimaan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Cadangan itu disuarakan oleh Penyelaras RESET Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang berpandangan bahawa penyertaan tokoh berpengaruh seperti Hamzah mampu memberikan nilai tambah signifikan kepada kekuatan blok pembangkang.

Menurut beliau, langkah itu berpotensi memperluaskan sokongan rakyat merentasi pelbagai kaum dan latar belakang, sekali gus mengukuhkan kedudukan PN sebagai alternatif politik yang lebih diyakini.

Beliau berkata, Hamzah mempunyai pengaruh politik yang besar bukan sahaja dalam parti sendiri, malah dihormati oleh pelbagai pihak dalam landskap politik negara.

“Keupayaan itu dilihat mampu membantu merapatkan jurang antara parti-parti yang menginginkan penyatuan dan kestabilan politik yang lebih inklusif.

Dalam masa sama, pengalaman luas Hamzah sebagai Ketua Pembangkang serta bekas Menteri turut menjadi faktor penting yang boleh menyumbang kepada pengukuhan kepimpinan dan hala tuju gabungan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pengalaman itu amat diperlukan dalam mendepani cabaran semasa termasuk isu ekonomi dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Peranan Hamzah sebagai “jambatan politik” berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha penyatuan ummah dan pembentukan kesepakatan lebih besar dalam kalangan parti-parti pembangkang.

“Langkah ini wajar dilihat sebagai strategi ke hadapan bagi memperkukuh kedudukan Perikatan Nasional sebagai alternatif yang diyakini rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui cadangan itu mungkin menerima tentangan daripada pihak tertentu, namun menegaskan kepentingan penyatuan dan kestabilan politik perlu diutamakan.

Beliau turut merujuk kepada pandangan tokoh negarawan, Tun Mahathir Mohamad, yang dilihat menyokong keperluan kepimpinan berwibawa dalam menjayakan agenda penyatuan lebih besar melibatkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Tambah beliau, dengan kemungkinan PRU-16 berlaku secara mengejut, penyertaan segera Hamzah dilihat mampu memperkukuh jentera dan kesiapsiagaan PN dalam menghadapi pilihan raya terbabit.

Sehubungan itu, beliau berharap langkah menerima Hamzah dalam gabungan berkenaan bukan sahaja bersifat strategik, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pembentukan kekuatan politik yang lebih stabil dan inklusif menjelang PRU-16.

Fender Elie 12: Speaker bluetooth 120W premium dengan bunyi profesional dan ciri lengkap

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama gitar legenda, Fender, dilihat semakin agresif memperluas pengaruhnya dalam segmen audio mudah alih menerusi pelancaran speaker Bluetooth terbaharu, Fender Elie 12.

Produk ini bukan sekadar speaker biasa, sebaliknya tampil sebagai peranti audio premium yang menggabungkan teknologi moden dengan sentuhan profesional yang sinonim dengan jenama tersebut.

Fender Elie 12 hadir dengan kuasa output 120W, menjadikannya antara speaker mudah alih paling berkuasa dalam kelasnya.

Prestasi bunyi yang dihasilkan menampilkan bass yang dalam dan padu, disertai treble yang jelas tanpa gangguan walaupun pada tahap kelantangan tinggi.

Susunan bunyi pula kekal seimbang dengan soundstage yang luas, memberikan pengalaman audio yang lebih imersif dan tidak berserabut.

Keupayaan ini disokong oleh sistem dual chamber yang memisahkan frekuensi bass dan treble, sekali gus menghasilkan bunyi yang lebih bersih serta terperinci.

Sama seperti ulasan profesional, penulis sendiri merasai speaker ini dilihat mampu merapatkan jurang antara penggunaan santai dan sistem audio berprestasi tinggi, menjadikannya hampir setaraf dengan kelengkapan audio profesional.

Dari segi prestasi, Fender Elie 12 mampu mencapai tahap tekanan bunyi sekitar 101dB, sesuai digunakan dalam ruang besar atau persekitaran luar.

Menariknya, peranti ini juga menyokong sambungan sehingga 100 unit speaker secara serentak melalui mod party atau multi-speaker, memberikan fleksibiliti tinggi untuk acara berskala sederhana.

Kelebihan utama yang membezakan model ini daripada speaker Bluetooth lain terletak pada ciri profesional yang ditawarkan.

Fender Elie 12 dilengkapi input XLR dan 1/4 inci combo, membolehkan sambungan terus kepada mikrofon atau gitar.

Selain itu, ia turut menyokong sehingga empat saluran input serentak, sekali gus membuka peluang kepada pengguna untuk mengendalikan pelbagai sumber audio dalam satu masa.

Dari aspek sambungan, teknologi Bluetooth 5.3 yang disertakan menawarkan kestabilan serta latensi rendah, manakala sokongan audio resolusi tinggi 24-bit/48kHz memastikan kualiti bunyi kekal optimum.

Gabungan ciri ini menjadikan Fender Elie 12 sebagai peranti hibrid yang berfungsi sebagai speaker Bluetooth dan juga penguat mini untuk kegunaan muzik.

Bagi kegunaan mudah alih, speaker ini dilengkapi bateri yang mampu bertahan sehingga sekitar 15 jam penggunaan.

Ciri pengecasan pantas turut disediakan, di mana hanya 15 minit pengecasan mampu memberikan sehingga dua jam masa main balik.

Tambahan pula, fungsi reverse charging membolehkan ia digunakan sebagai power bank, sesuai untuk aktiviti luar dan perjalanan.

Dari sudut rekaan, Fender Elie 12 menampilkan gaya minimalis moden dengan struktur monolitik yang kukuh.

Walaupun tampil ringkas, binaannya dilihat tahan lasak dan praktikal, termasuk keupayaan kalis percikan air dengan penarafan IP54 yang menambah nilai untuk penggunaan luar.

Secara keseluruhan, Fender Elie 12 menawarkan pakej lengkap dengan kekuatan bunyi, fleksibiliti sambungan dan ciri profesional dalam satu peranti.

Ia sesuai digunakan untuk pelbagai situasi seperti acara kecil, persembahan langsung, busking serta penghasilan kandungan di studio.

Walau bagaimanapun, harga sekitar RM1,800 ke atas mungkin dilihat agak premium bagi sesetengah pengguna.

Selain itu, saiznya yang sedikit besar berbanding speaker biasa serta keupayaan yang mungkin berlebihan untuk kegunaan ruang kecil turut menjadi pertimbangan.

Sebagai kesimpulan, Fender Elie 12 bukan sekadar speaker Bluetooth biasa, tetapi sebuah peranti audio premium yang menggabungkan mobiliti dengan prestasi profesional.

Ia dilihat sebagai pilihan ideal bagi pengguna yang mengutamakan kualiti bunyi tinggi serta keupayaan serba boleh dalam satu peranti, khususnya dalam kalangan pemuzik dan pencipta kandungan digital.

Akademi Sepaktakraw Malaysia dilancar, lonjak pembangunan bakat & prestasi sukan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sukan tradisi negara terus melakar sejarah tersendiri apabila Akademi Sepaktakraw Malaysia secara rasmi dilancarkan, menandakan satu langkah besar dalam memperkukuh pembangunan bakat serta ekosistem sukan sepak takraw di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pelancaran akademi sulung seumpamanya itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa sukan warisan yang telah lama menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

Penubuhan Akademi Sepaktakraw Malaysia dilihat sebagai inisiatif strategik yang akan menjadi pusat utama latihan, pembangunan dan persediaan atlet berprestasi tinggi.

Ia bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dari peringkat akar umbi hingga ke elit, malah menyediakan laluan yang lebih tersusun dan mampan bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan ini.

Dibangunkan di bawah seliaan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia, akademi ini turut berperanan melengkapi inisiatif sedia ada dengan memperkukuh saluran pembangunan bakat secara lebih bersepadu.

Usaha ini dijangka mampu meningkatkan daya saing Malaysia dalam arena sepak takraw serantau dan global.

Presiden PSM, Dato’ Mohd Sumali Reduan berkata, sepak takraw adalah sebahagian daripada identiti negara yang terus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Menurut beliau, penubuhan akademi ini membuka ruang kepada pembangunan bakat yang lebih sistematik, selain memastikan atlet menerima sokongan, kemudahan dan pendedahan terbaik untuk mencapai kejayaan.

Dalam masa sama, pelancaran ini turut menyaksikan Telekom Malaysia diumumkan sebagai Rakan Teknologi Rasmi dan Penyedia Ketersambungan Eksklusif akademi berkenaan.

Melalui peranan itu, TM menyediakan capaian jalur lebar berkelajuan tinggi bagi menyokong operasi harian, latihan atlet serta keperluan siaran perlawanan secara langsung.

Selain itu, TM menerusi perkhidmatan Unifi TV turut menawarkan kemudahan hiburan televisyen premium di fasiliti penginapan akademi, sekali gus meningkatkan pengalaman atlet sepanjang menjalani latihan dan program pembangunan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris menyifatkan kerjasama ini sebagai satu manifestasi komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan sukan negara, selaras dengan aspirasi untuk memperkasa komuniti serta melahirkan bakat masa hadapan.

Beliau berkata, sokongan berterusan terhadap sepak takraw adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas global.

Kerjasama antara PSM dan TM yang dimeterai sejak Mei 2025 merangkumi sokongan kepada pasukan sepak takraw lelaki dan wanita kebangsaan dalam pelbagai kejohanan utama termasuk ASTAF Asian Cup, Sukan SEA, Sukan Asia dan ISTAF World Cup.

Inisiatif ini turut membabitkan pembangunan bakat menerusi program seperti National Sepak Takraw Development Programme (NSTDP) dan Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS).

Penubuhan Akademi Sepaktakraw Malaysia bukan sahaja memperkukuh landskap pembangunan sukan negara, malah menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi.

Dalam masa yang sama, ia mengangkat kembali martabat sepak takraw sebagai simbol perpaduan, kebanggaan dan aspirasi generasi masa depan Malaysia.

Ghea Indrawari undang Siti Nurhaliza, Ernie Zakri & Aisha Retno ke Konsert Rasi Jiwa KL 8 Mei ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi muda berbakat dari Indonesia, Ghea Indrawari, mencuri perhatian peminat muzik serantau apabila secara terbuka mengundang tiga nama besar industri muzik Malaysia untuk hadir ke konsert solonya yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada Mei ini.

Pelantun lagu popular “Rinduku” itu tanpa berselindung menyatakan hasratnya agar Biduanita Negara, Siti Nurhaliza, selain dua penyanyi tersohor tanah air, Ernie Zakri dan Aisha Retno, sudi meluangkan masa untuk menyaksikan persembahannya secara langsung.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama platform hiburan Astro Gempak baru-baru ini, Ghea menyuarakan jemputan itu dengan penuh sopan dan rendah diri, sekali gus menyentuh hati ramai peminat.

Momen itu pantas menjadi tular di media sosial, bukan sahaja kerana keberanian penyanyi muda berkenaan, tetapi juga pendekatannya yang penuh hormat terhadap ikon dan rakan artis serantau.

Konsert yang diberi judul “GHEA INDRAWARI: RASI JIWA – Live in Kuala Lumpur” dijadualkan berlangsung pada 8 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur, menandakan konsert solo pertama Ghea di Malaysia.

Persembahan ini dilihat sebagai satu langkah besar dalam kerjaya seninya, khususnya dalam memperluas pengaruh di pasaran muzik Malaysia.

Tindakan mengundang tiga penyanyi berpengaruh itu turut disifatkan sebagai langkah berani seorang artis muda yang bersedia diuji di hadapan figura-figura ternama industri.

Umum mengetahui, Siti Nurhaliza adalah ikon muzik dengan reputasi antarabangsa, manakala Ernie Zakri dikenali dengan kekuatan vokalnya yang luar biasa.

Dalam masa sama, Aisha Retno pula sering diangkat sebagai antara suara generasi baharu paling berkarisma di Malaysia.

Gabungan tiga nama besar ini menjadikan jemputan Ghea satu momen signifikan dalam perjalanan kariernya, selain memperlihatkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan diri sebagai penghibur.

Lebih daripada itu, langkah terbabit turut dilihat sebagai simbol hubungan erat antara industri muzik Malaysia dan Indonesia yang semakin kukuh dari semasa ke semasa.

Konsert “Rasi Jiwa” dijangka menampilkan deretan lagu penuh emosi yang menjadi identiti Ghea, sekali gus menjanjikan pengalaman persembahan yang sarat dengan penghayatan buat para peminat.

Kehadiran tiga penyanyi yang diundang itu, sekiranya menjadi kenyataan, pasti mencipta detik bersejarah bukan sahaja kepada Ghea, malah kepada peminat muzik tempatan yang hadir.

Dari segi harga, tiket konsert ini ditawarkan dalam beberapa kategori termasuk Free Standing antara RM198 hingga RM238, tempat duduk berharga RM338 hingga RM368, selain pakej Meet & Greet bernilai RM300 serta VIP Suite yang mencecah RM5,000 bagi pengalaman lebih eksklusif.

Peminat yang ingin menyaksikan persembahan Ghea boleh mendapatkan tiket melalui platform rasmi BookMyShow (MyBookShow Malaysia).

Dengan persiapan rapi serta sokongan peminat yang semakin meningkat, Ghea dilihat bersedia untuk memberikan persembahan terbaiknya di Kuala Lumpur.

Apa yang pasti, kehadirannya kali ini bukan sekadar untuk menghiburkan, tetapi untuk meninggalkan impak tersendiri dalam landskap muzik tempatan.

Sekiranya jemputan kepada tiga nama besar itu disambut, konsert ini berpotensi menjadi antara momen paling diingati dalam kalangan peminat muzik serantau, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Ghea Indrawari sebagai antara bintang baharu yang semakin bersinar.

Program latihan jahitan OKU: Kerjasama strategik YBK, YBCare, AFSM dan PERJATI perkasa ekonomi komuniti

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa ekonomi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) terus diperkukuh menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pelaksanaan Program Latihan Jahitan yang membabitkan kerjasama strategik antara Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare), AfSM Sewtech Technology Academy dan Persatuan Kebajikan Insan Istimewa Jati Diri (PERJATI).

Majlis menandatangani MoU berlangsung di Pejabat PERJATI di Perumahan Awam Desa Rejang, sekali gus menandakan komitmen bersama dalam memperkasa golongan OKU melalui latihan kemahiran dan peluang penjanaan pendapatan mampan.

MoU berkenaan telah dimeterai oleh Pengerusi YBK, Dato’ Haji Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBCare, Datin Dr. (h.c.) Hajah Hartini Osman, Pengarah Urusan AfSM Sewtech Technology Academy, Datuk Asfarena Samion, serta Pengerusi PERJATI, Rosali Mat Nasir.

Program ini dirangka khusus untuk memberi latihan kemahiran jahitan kepada ahli OKU di bawah PERJATI serta komuniti Perumahan Awam Desa Rejang.

Melalui inisiatif ini, peserta bukan sahaja dilatih menghasilkan produk jahitan berkualiti, malah diberi peluang menjana pendapatan melalui pemasaran hasil produk mereka.

AfSM Sewtech Technology Academy akan memainkan peranan penting dalam menyediakan modul latihan komprehensif, tenaga pengajar berpengalaman serta kemudahan peralatan jahitan.

Selain itu, institusi terbabit turut memberi bimbingan dalam aspek pengeluaran dan pengkomersialan produk bagi memastikan peserta mampu bersaing dalam pasaran sebenar.

Sementara itu, YBK bertindak sebagai penyelaras utama program, manakala YBCare dan PERJATI memberi tumpuan kepada penyelarasan komuniti, kebajikan peserta serta promosi produk yang dihasilkan oleh golongan OKU.

Dalam ucapannya, Datin Dr. (h.c.) Hajah Hartini Osman berkata, program ini bukan sekadar memberi kemahiran asas, malah bertujuan meningkatkan keupayaan peserta untuk mencapai tahap pendapatan lebih tinggi.

“Pendekatan latihan berterusan dan peningkatan kemahiran atau “upskilling” amat penting selaras dengan usaha negara memperkasa pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

“Ramai dalam kalangan peserta, khususnya golongan berusia, sebenarnya mempunyai pengalaman luas dalam bidang jahitan namun tidak diberi pengiktirafan sewajarnya,” katanya.

Justeru, program ini menjadi platform untuk mengiktiraf kemahiran sedia ada serta mempertingkatkan nilai komersial hasil kerja mereka.

Tambahnya lagi, inisiatif itu juga membuka ruang kepada penggunaan bahan kitar semula seperti pakaian terpakai untuk dijadikan produk baharu yang bernilai, sekali gus menyokong konsep ekonomi lestari dan menjana pendapatan tambahan kepada peserta.

Program latihan ini akan dilaksanakan sepenuhnya di Perumahan Awam Desa Rejang, Kuala Lumpur dan dijangka memberi manfaat kepada komuniti OKU setempat, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah dan asnaf.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Desa Rejang, Haji Ismail Shaari, tokoh aktivis OKU Malaysia, Mohd Faiz Shuhaimi, Pengurus Besar YBK, Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, serta barisan pegawai daripada YBK, YBCare dan ahli PERJATI.

Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi OKU melalui latihan kemahiran yang bersifat inklusif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya saing.

Sultan Pahang cemar duli ke majlis Aidilfitri PEKAP, sumbangan RM100,000 perkukuh tabung pendidikan anak Pahang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) berlangsung meriah dengan keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur, sekali gus mencerminkan keakraban hubungan antara institusi diraja dan rakyat Pahang di perantauan.

Yang Dipertua PEKAP, Datuk Azman Shah Abdullah dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kesudian baginda mencemar duli ke majlis yang disifatkan sebagai amat bermakna kepada seluruh warga PEKAP serta hadirin.

Beliau berkata, sambutan Aidilfitri itu bukan sahaja menjadi medan meraikan kemenangan selepas Ramadan, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan anak-anak Pahang di Lembah Klang.

Dalam majlis berkenaan, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada tabung pendidikan PEKAP.

Sumbangan itu akan dimanfaatkan bagi tujuan Anugerah Pelajar Cemerlang, sekali gus membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan anak-anak Pahang.

Datuk Azman Shah berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan berterusan baginda terhadap pembangunan pendidikan dan kebajikan ahli persatuan.

Beliau berkata, pihak PEKAP telah melaksanakan titah baginda untuk mewujudkan skim insurans berkelompok, yang sebelum ini disarankan dalam Majlis Sembah Menghadap di Hotel M Resort pada Ogos 2025.

“Hasil pelaksanaan itu, beberapa ahli telah menerima manfaat, sekali gus membuktikan komitmen persatuan dalam menjaga kebajikan ahlinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PEKAP kini dalam perancangan untuk menubuhkan Yayasan Kebajikan Anak Pahang bagi memperluaskan lagi peranan dalam membantu masyarakat, khususnya anak-anak Pahang di ibu kota.

Walau bagaimanapun, penubuhan yayasan itu tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri Pahang sebelum mendapat pengesahan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail yang juga penasihat PEKAP, bersama barisan kepimpinan kerajaan dan tetamu kehormat lain.

Dalam ucapannya, Datuk Azman Shah merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas sokongan berterusan terhadap aktiviti PEKAP, termasuk sumbangan kewangan bagi penganjuran majlis Aidilfitri.

Terdahulu, kerajaan negeri telah menanggung sepenuhnya kos penganjuran majlis Aidilfitri tahun lalu berjumlah RM183,000, manakala pada tahun ini sebanyak RM100,000 lagi disumbangkan bagi menjayakan sambutan itu.

Sumbangan itu jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong usaha kebajikan dan perpaduan masyarakat Pahang di perantauan.

Selain itu, PEKAP turut merancang untuk menganjurkan sambutan Jubli Intan sempena ulang tahun ke-60 penubuhannya dalam masa terdekat.

Majlis berprestij itu diharapkan akan mendapat perkenan diraja untuk disempurnakan dengan penuh gilang-gemilang, sekali gus mengiktiraf sumbangan panjang persatuan dalam memperjuangkan kebajikan anak-anak Pahang.

Dalam masa sama, pindaan Perlembagaan PEKAP yang telah diperjuangkan selama sedekad turut diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh tadbir urus persatuan.

Mengakhiri ucapannya, Datuk Azman Shah menyeru seluruh warga PEKAP agar terus bersatu dan komited dalam memajukan persatuan di bawah naungan diraja.

UPSI, ATU perkukuh kerjasama bangunkan modal insan tentera dan Pendidikan

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Dalam usaha memperkukuh pembangunan sumber manusia ketenteraan yang merangkumi aspek pendidikan, latihan pedagogi dan kebolehpasaran anggota, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalin kolaborasi strategik bersama Akademi Tentera Udara (ATU), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Naib Canselor UPSI, Md Amin Md Taff berkata, pihak universiti menyambut baik inisiatif berkenaan dan bersedia menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan etnik serta latihan profesional.

Menurut beliau, UPSI satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan kursus Bahasa Etnik seperti Bahasa Semai, selain memiliki tenaga pengajar daripada komuniti Orang Asli sendiri.

Justeru, kerjasama ini dilihat mampu menyokong usaha TUDM dalam menarik penyertaan belia Orang Asli, khususnya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan melalui penyediaan latihan asas serta kursus khas yang bersesuaian.

“Kolaborasi ini membuka ruang kepada pelaksanaan program Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL), yang membolehkan anggota TUDM menukarkan pengalaman kerja kepada kelayakan akademik seperti Diploma atau Ijazah.

“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam meningkatkan mobiliti kerjaya serta pengiktirafan profesional dalam kalangan anggota tentera,” katanya.

Selain itu, UPSI turut mencadangkan pelaksanaan latihan keusahawanan digital sebagai persediaan awal kepada anggota tentera dalam menghadapi kehidupan selepas menamatkan perkhidmatan.

Pendekatan ini bertujuan memastikan mereka mempunyai kemahiran tambahan yang relevan dalam ekonomi digital semasa.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh jati diri generasi muda melalui pendidikan dan kesedaran terhadap kepentingan pertahanan negara.

Tumpuan diberikan kepada tiga aspek utama iaitu pengambilan dan pendidikan Orang Asli, pelaksanaan program APEL serta persediaan persaraan anggota, selain latihan pedagogi dan teknologi untuk instruktur TUDM.

Sementara itu, Komandan ATU, Nurul Amir Othman berkata, kunjungan itu adalah langkah awal ke arah membina kerjasama dua hala yang lebih menyeluruh antara ATU dan UPSI.

Beliau berkata, antara fokus utama pihaknya adalah untuk meningkatkan penyertaan belia Orang Asli dalam TUDM, khususnya dalam bidang teknikal seperti teknisyen pesawat, pembantu juruteknik dan krew udara.

Menurutnya, walaupun program terbabit mempunyai potensi besar, tahap penyertaan masih rendah dan memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan tinggi bagi memastikan kejayaannya.

Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperluas skop kerjasama meliputi aspek sukan, latihan kepimpinan serta penglibatan dalam program universiti seperti konvokesyen dan hari kokurikulum.

Inisiatif ini dilihat berpotensi menjadi platform pendedahan awal serta saluran rekrutmen kepada pelajar.

Kolaborasi strategik ini diyakini mampu memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan dan ketenteraan dalam melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan negara.

iQIYI Starship 2026 Kuala Lumpur: Esther Yu temui peminat, ‘Speed and Love’ raih sambutan hangat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih 1,000 peminat setia hiburan Asia menjadi saksi kepada kemeriahan luar biasa apabila acara iQIYI Starship 2026 membuat penampilan sulungnya di Malaysia, sekali gus menjadi satu malam yang penuh warna dan emosi.

Acara yang dianjurkan oleh iQIYI International itu turut menampilkan kehadiran istimewa Duta Global Antarabangsa iQIYI, Esther Yu, yang berjaya mencuri perhatian hadirin dengan pesona dan keperibadiannya yang mesra.

Kehadiran Esther Yu di pentas utama disambut dengan sorakan gemuruh daripada peminat Malaysia yang telah lama menantikan peluang untuk bertemu bintang kesayangan mereka secara langsung.

Sejak kemunculan awalnya, beliau berjaya memikat hati penonton melalui interaksi santai dan penuh kehangatan, sekali gus menjadikan suasana acara lebih intim dan bermakna.

Sepanjang acara berlangsung, pelbagai segmen menarik disajikan termasuk sesi soal jawab eksklusif bersama media, permainan interaktif di atas pentas serta momen istimewa bersama peminat.

Turut memeriahkan acara ialah kehadiran personaliti tempatan seperti Moses Wong, Jestinna Kuan dan Rasyidah Abu Johan yang membantu merapatkan lagi hubungan antara peminat dan bintang antarabangsa itu.

Salah satu detik yang paling mencuri perhatian pada malam itu adalah apabila Esther Yu mencuba bertutur dalam Bahasa Melayu secara langsung di atas pentas.

Usaha beliau untuk mendekati budaya tempatan menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin, sekali gus memperlihatkan keikhlasan beliau dalam menghargai peminat di Malaysia.

Acara itu turut menjadi platform untuk meraikan kejayaan drama bersiri popular Speed and Love, sebuah C-Drama asli iQIYI yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penonton Asia Tenggara.

Watak Jiang Mu yang dibawakan oleh Esther Yu telah memberi impak mendalam kepada penonton, sekali gus melayakkan beliau menerima pengiktirafan sebagai Peranan Wanita C-Drama Moden Paling Popular 2025 iQIYI Malaysia.

Dalam ucapannya di pentas, Esther Yu meluahkan rasa terharu atas sambutan yang diterima.

Beliau menyatakan kegembiraannya dapat bertemu peminat di Malaysia serta menghargai sokongan yang diberikan, di samping berharap dapat kembali lagi pada masa akan datang.

Lebih daripada sekadar acara peminat, iQIYI Starship 2026 di Kuala Lumpur mencerminkan perubahan landskap hiburan moden yang semakin berkembang melangkaui skrin digital.

Acara ini menjadi bukti kepada strategi iQIYI dalam merapatkan jurang antara kandungan penstriman dan pengalaman dunia sebenar, sekali gus mengukuhkan hubungan emosi antara penonton dan selebriti.

Sebagai salah satu inisiatif utama iQIYI dalam usaha mengembangkan kandungan hiburan China ke peringkat global, iQIYI Starship menggabungkan pengalaman interaktif, penampilan selebriti serta pameran kandungan yang membolehkan penonton mendalami penceritaan dengan lebih dekat dan bermakna.

Malam itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah eksklusif, di mana seramai 80 peminat bertuah berpeluang untuk mengambil gambar bersama Esther Yu, menjadikan pengalaman tersebut sebagai kenangan yang sukar dilupakan sepanjang hayat.

Mengulas kepentingan Malaysia sebagai destinasi pertama bagi siri jelajah ini, Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, menyifatkan Malaysia sebagai pasaran yang semakin penting dalam rantau ini.

Beliau berkata, penganjuran iQIYI Starship 2026 di Malaysia merupakan langkah strategik untuk mendekati penonton secara lebih dekat, selain meraikan kejayaan kandungan seperti “Speed and Love” bersama peminat tempatan.

iQIYI Starship 2026 bukan sahaja berjaya menghiburkan peminat, malah turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara pasaran utama bagi hiburan Asia yang semakin berkembang pesat.