editormaxinfo@gmail.com
TANJONG MALIM – Dalam usaha memperkukuh pembangunan sumber manusia ketenteraan yang merangkumi aspek pendidikan, latihan pedagogi dan kebolehpasaran anggota, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalin kolaborasi strategik bersama Akademi Tentera Udara (ATU), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Naib Canselor UPSI, Md Amin Md Taff berkata, pihak universiti menyambut baik inisiatif berkenaan dan bersedia menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan etnik serta latihan profesional.
Menurut beliau, UPSI satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan kursus Bahasa Etnik seperti Bahasa Semai, selain memiliki tenaga pengajar daripada komuniti Orang Asli sendiri.
Justeru, kerjasama ini dilihat mampu menyokong usaha TUDM dalam menarik penyertaan belia Orang Asli, khususnya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan melalui penyediaan latihan asas serta kursus khas yang bersesuaian.

“Kolaborasi ini membuka ruang kepada pelaksanaan program Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL), yang membolehkan anggota TUDM menukarkan pengalaman kerja kepada kelayakan akademik seperti Diploma atau Ijazah.
“Inisiatif ini dilihat sebagai langkah penting dalam meningkatkan mobiliti kerjaya serta pengiktirafan profesional dalam kalangan anggota tentera,” katanya.
Selain itu, UPSI turut mencadangkan pelaksanaan latihan keusahawanan digital sebagai persediaan awal kepada anggota tentera dalam menghadapi kehidupan selepas menamatkan perkhidmatan.
Pendekatan ini bertujuan memastikan mereka mempunyai kemahiran tambahan yang relevan dalam ekonomi digital semasa.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan memperkukuh jati diri generasi muda melalui pendidikan dan kesedaran terhadap kepentingan pertahanan negara.
Tumpuan diberikan kepada tiga aspek utama iaitu pengambilan dan pendidikan Orang Asli, pelaksanaan program APEL serta persediaan persaraan anggota, selain latihan pedagogi dan teknologi untuk instruktur TUDM.
Sementara itu, Komandan ATU, Nurul Amir Othman berkata, kunjungan itu adalah langkah awal ke arah membina kerjasama dua hala yang lebih menyeluruh antara ATU dan UPSI.

Beliau berkata, antara fokus utama pihaknya adalah untuk meningkatkan penyertaan belia Orang Asli dalam TUDM, khususnya dalam bidang teknikal seperti teknisyen pesawat, pembantu juruteknik dan krew udara.
Menurutnya, walaupun program terbabit mempunyai potensi besar, tahap penyertaan masih rendah dan memerlukan sokongan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan tinggi bagi memastikan kejayaannya.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk memperluas skop kerjasama meliputi aspek sukan, latihan kepimpinan serta penglibatan dalam program universiti seperti konvokesyen dan hari kokurikulum.
Inisiatif ini dilihat berpotensi menjadi platform pendedahan awal serta saluran rekrutmen kepada pelajar.
Kolaborasi strategik ini diyakini mampu memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan dan ketenteraan dalam melahirkan modal insan berkualiti, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan negara.

