30.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 21, 2026

Sultan Pahang cemar duli ke majlis Aidilfitri PEKAP, sumbangan RM100,000 perkukuh tabung pendidikan anak Pahang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang di Ibu Kota (PEKAP) berlangsung meriah dengan keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur, sekali gus mencerminkan keakraban hubungan antara institusi diraja dan rakyat Pahang di perantauan.

Yang Dipertua PEKAP, Datuk Azman Shah Abdullah dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kesudian baginda mencemar duli ke majlis yang disifatkan sebagai amat bermakna kepada seluruh warga PEKAP serta hadirin.

Beliau berkata, sambutan Aidilfitri itu bukan sahaja menjadi medan meraikan kemenangan selepas Ramadan, malah menjadi platform penting untuk mengeratkan silaturahim dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan anak-anak Pahang di Lembah Klang.

Dalam majlis berkenaan, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada tabung pendidikan PEKAP.

Sumbangan itu akan dimanfaatkan bagi tujuan Anugerah Pelajar Cemerlang, sekali gus membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan dalam kalangan anak-anak Pahang.

Datuk Azman Shah berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan berterusan baginda terhadap pembangunan pendidikan dan kebajikan ahli persatuan.

Beliau berkata, pihak PEKAP telah melaksanakan titah baginda untuk mewujudkan skim insurans berkelompok, yang sebelum ini disarankan dalam Majlis Sembah Menghadap di Hotel M Resort pada Ogos 2025.

“Hasil pelaksanaan itu, beberapa ahli telah menerima manfaat, sekali gus membuktikan komitmen persatuan dalam menjaga kebajikan ahlinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PEKAP kini dalam perancangan untuk menubuhkan Yayasan Kebajikan Anak Pahang bagi memperluaskan lagi peranan dalam membantu masyarakat, khususnya anak-anak Pahang di ibu kota.

Walau bagaimanapun, penubuhan yayasan itu tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri Pahang sebelum mendapat pengesahan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail yang juga penasihat PEKAP, bersama barisan kepimpinan kerajaan dan tetamu kehormat lain.

Dalam ucapannya, Datuk Azman Shah merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas sokongan berterusan terhadap aktiviti PEKAP, termasuk sumbangan kewangan bagi penganjuran majlis Aidilfitri.

Terdahulu, kerajaan negeri telah menanggung sepenuhnya kos penganjuran majlis Aidilfitri tahun lalu berjumlah RM183,000, manakala pada tahun ini sebanyak RM100,000 lagi disumbangkan bagi menjayakan sambutan itu.

Sumbangan itu jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong usaha kebajikan dan perpaduan masyarakat Pahang di perantauan.

Selain itu, PEKAP turut merancang untuk menganjurkan sambutan Jubli Intan sempena ulang tahun ke-60 penubuhannya dalam masa terdekat.

Majlis berprestij itu diharapkan akan mendapat perkenan diraja untuk disempurnakan dengan penuh gilang-gemilang, sekali gus mengiktiraf sumbangan panjang persatuan dalam memperjuangkan kebajikan anak-anak Pahang.

Dalam masa sama, pindaan Perlembagaan PEKAP yang telah diperjuangkan selama sedekad turut diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh tadbir urus persatuan.

Mengakhiri ucapannya, Datuk Azman Shah menyeru seluruh warga PEKAP agar terus bersatu dan komited dalam memajukan persatuan di bawah naungan diraja.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular