27.3 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 16, 2026

PAS digesa terima Hamzah Zainudin perkukuh PN hadapi PRU-16

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – PAS disaran mempertimbangkan penerimaan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.

Cadangan itu disuarakan oleh Penyelaras RESET Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang berpandangan bahawa penyertaan tokoh berpengaruh seperti Hamzah mampu memberikan nilai tambah signifikan kepada kekuatan blok pembangkang.

Menurut beliau, langkah itu berpotensi memperluaskan sokongan rakyat merentasi pelbagai kaum dan latar belakang, sekali gus mengukuhkan kedudukan PN sebagai alternatif politik yang lebih diyakini.

Beliau berkata, Hamzah mempunyai pengaruh politik yang besar bukan sahaja dalam parti sendiri, malah dihormati oleh pelbagai pihak dalam landskap politik negara.

“Keupayaan itu dilihat mampu membantu merapatkan jurang antara parti-parti yang menginginkan penyatuan dan kestabilan politik yang lebih inklusif.

Dalam masa sama, pengalaman luas Hamzah sebagai Ketua Pembangkang serta bekas Menteri turut menjadi faktor penting yang boleh menyumbang kepada pengukuhan kepimpinan dan hala tuju gabungan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pengalaman itu amat diperlukan dalam mendepani cabaran semasa termasuk isu ekonomi dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Peranan Hamzah sebagai “jambatan politik” berpotensi menjadi pemangkin kepada usaha penyatuan ummah dan pembentukan kesepakatan lebih besar dalam kalangan parti-parti pembangkang.

“Langkah ini wajar dilihat sebagai strategi ke hadapan bagi memperkukuh kedudukan Perikatan Nasional sebagai alternatif yang diyakini rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui cadangan itu mungkin menerima tentangan daripada pihak tertentu, namun menegaskan kepentingan penyatuan dan kestabilan politik perlu diutamakan.

Beliau turut merujuk kepada pandangan tokoh negarawan, Tun Mahathir Mohamad, yang dilihat menyokong keperluan kepimpinan berwibawa dalam menjayakan agenda penyatuan lebih besar melibatkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Tambah beliau, dengan kemungkinan PRU-16 berlaku secara mengejut, penyertaan segera Hamzah dilihat mampu memperkukuh jentera dan kesiapsiagaan PN dalam menghadapi pilihan raya terbabit.

Sehubungan itu, beliau berharap langkah menerima Hamzah dalam gabungan berkenaan bukan sahaja bersifat strategik, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pembentukan kekuatan politik yang lebih stabil dan inklusif menjelang PRU-16.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular