26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Yayasan PEKEMA santuni 1,000 keluarga B40 Selayang menerusi Program Kasih Ramadan 2026

editormaxinfo@gmail.com

SELAYANG – Seramai 1,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) di sekitar Selayang menerima manfaat dan bantuan daripada Yayasan PEKEMA menerusi pelaksanaan Program Kasih Ramadan 2026.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan sebagai usaha meringankan beban kewangan keluarga yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, khususnya menjelang ketibaan Ramadan Al-Mubarak.

Menerusi inisiatif berkenaan, setiap keluarga menerima sumbangan bakul makanan bagi membantu persiapan menyambut bulan penuh keberkatan dengan lebih tenang dan teratur.

Pelaksanaan program bagi Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berlangsung di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, dengan penerima terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah yang telah dikenal pasti di sekitar kawasan berkenaan.

Program ini anjuran bersama Yayasan PEKEMA, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer serta Jawatankuasa Penduduk Zon 10 MPS, sekali gus mencerminkan sinergi kukuh antara badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam memperkasakan kebajikan komuniti.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer.

Turut hadir ialah barisan kepimpinan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta para penerima manfaat.

Naib Presiden PEKEMA, YM Raja Petra Marudin Raja Nordin, berkata Program Kasih Ramadan bukan sekadar penganjuran bermusim bersempena Ramadan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya kebajikan dalam kalangan warga industri automotif Bumiputera.

“Ramadan adalah bulan yang sarat dengan keberkatan, keinsafan dan rahmat, justeru ia wajar dimanfaatkan untuk memperbanyakkan amalan kebajikan dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Kami menyedari cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat memberi kesan besar kepada golongan B40, asnaf, warga emas serta keluarga berpendapatan rendah di sekitar Selayang.

“Saya berharap sumbangan yang disalurkan bukan sahaja dapat meringankan beban perbelanjaan harian, malah menjadi simbol sokongan moral kepada penerima bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.

Katanya lagi, sebagai organisasi yang mewakili pemain industri automotif Bumiputera, PEKEMA bukan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan, malah menitikberatkan aspek kebajikan, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 10 MPS, Ahmad Zahiri Zahid Sofian berkata, kolaborasi strategik antara Yayasan PEKEMA dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Majlis Zon 10 membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat terus diberi keutamaan.

“Kerjasama erat seumpama itu membolehkan bantuan kebajikan disalurkan secara lebih tersusun dan tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya keluarga B40 di kawasan Selayang,” katanya.

Program Kasih Ramadan ini turut mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli PEKEMA, sukarelawan serta rakan strategik yang bersama-sama berganding bahu menjayakan misi kebajikan terbabit.

Semangat kerjasama dan solidariti yang dipamerkan jelas mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kesejahteraan komuniti setempat.

Yayasan PEKEMA komited untuk meneruskan pelaksanaan program kebajikan seumpama ini pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasa komuniti, memperkukuh jaringan sokongan sosial dan memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara, khususnya menjelang musim perayaan dan bulan-bulan penting dalam kalendar Islam seperti Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular