editormaxinfo@gmail.com
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menzahirkan penghargaan kepada 42 pesara universiti menerusi penganjuran Majlis Jasamu Dikenang sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama institusi berkenaan.
Daripada jumlah itu, tujuh adalah pesara yang telah meninggal dunia, manakala majlis berkenaan disertai oleh 34 pesara serta waris yang hadir bagi menerima penghormatan daripada pihak universiti.
Majlis penuh bermakna itu berlangsung di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah dalam suasana hiba namun sarat dengan rasa bangga.
Naib Canselor UPSI, Md Amin Md Taff, berkata penganjuran majlis bertepatan dengan Aspirasi UPSI iaitu “Jiwa UPSI: Bakti Disemai, Legasi Dijiwai”.

“Majlis berkenaan bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya melambangkan rasa hormat, terima kasih dan kasih sayang seluruh warga universiti terhadap insan-insan yang telah mencurahkan bakti tanpa mengenal lelah.
“pesara yang diraikan telah menghayati Jiwa UPSI dalam setiap amanah yang dipikul, dengan menzahirkan nilai kasih kepada universiti, wibawa dalam perkhidmatan serta pengorbanan yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Katanya lagi, mereka bukan sekadar bekas kakitangan, malah arkitek kepada kejayaan universiti sama ada berkhidmat di bilik kuliah, pejabat pentadbiran, makmal, bengkel mahupun di sebalik tabir operasi universiti.
“Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan telah menyemai nilai, disiplin serta budaya kerja yang kini menjadi DNA kepada Jiwa UPSI,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan reputasi dan pencapaian UPSI pada hari ini adalah hasil kesinambungan bakti serta legasi yang ditinggalkan oleh pesara.

Justeru, mereka akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar UPSI sepanjang hayat berteraskan semangat Jiwa UPSI.
Tambah beliau, pihak universiti komited untuk terus memelihara hubungan silaturahim dengan pesara melalui jemputan rasmi ke majlis ilmu dan aktiviti kebersamaan, selain memberi ruang kepada mereka menyumbang kepakaran serta pengalaman menerusi Skim Khidmat Budiman.
Majlis anjuran Bahagian Sumber Manusia UPSI itu turut menyaksikan sesi penyampaian Kad Budi Bitara kepada para pesara dan waris sebagai simbol penghargaan serta keprihatinan berterusan universiti terhadap kebajikan warga yang telah menamatkan perkhidmatan.

Sementara itu, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman, berkata majlis itu menghimpunkan warga universiti dalam suasana penuh emosi dan penghormatan bagi menyantuni 42 pesara yang telah berkhidmat dengan dedikasi dan kesetiaan.
Menurutnya, pesara UPSI adalah nadi yang menggerakkan jentera kecemerlangan universiti selama ini, dan komitmen serta kesetiaan yang ditunjukkan wajar dijadikan teladan serta inspirasi kepada warga kerja yang masih meneruskan perkhidmatan.
“Walaupun selepas ini tuan-tuan dan puan-puan tidak lagi berada di pejabat secara fizikal, sumbangan yang dicurahkan telah menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan Ibu Kandung Suluh Budiman,” katanya.
Majlis Jasamu Dikenang ini sekali lagi membuktikan komitmen UPSI dalam menghargai legasi warganya, selari dengan aspirasi memperkukuh budaya kecemerlangan dan nilai kemanusiaan dalam institusi pendidikan tinggi negara.

