29.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Plong! gegar arena new wave rock Malaysia dengan single baharu ‘Gadis Shampoo’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan new wave rock tempatan, Plong!, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Gadis Shampoo”, sebuah karya yang ringan, bertenaga dan sarat dengan groove segar yang mudah melekat di ingatan.

Lagu ini mengangkat momen-momen tarikan kecil dalam kehidupan seharian yang sering hadir tanpa disedari, namun meninggalkan kesan mendalam.

Sebagai single kedua mereka di bawah naungan Luncai Emas, “Gadis Shampoo” menjadi kesinambungan kepada perjalanan kreatif Plong! dalam memperkukuh identiti bunyi mereka dalam landskap muzik alternatif Malaysia yang semakin berkembang.

Dengan ritma rancak, bassline yang memikat serta karakter muzik yang sengaja sedikit ‘lari’ daripada kebiasaan arus perdana, lagu ini mencerminkan pendekatan spontan dan jujur yang menjadi nadi kumpulan terbabit.

Plong! diasaskan oleh Yayat Nasir selaku pemain gitar dan Akmal Borhan sebagai pemain bass, dua sahabat yang bertemu ketika menuntut di Malaysian Institute of Art.

Kini, kumpulan ini turut diperkuatkan oleh Fahmi Samsudin sebagai vokalis dan Yasin Nasir di posisi keyboard.

Gabungan empat anak seni ini melahirkan bunyi unik yang memadukan art rock eksperimental, pergerakan disco dinamik, tenaga punk yang ringkas serta ritma reggae tersendiri, disatukan dengan disiplin struktur new wave dan kepekaan budaya tempatan.

Nama Plong! sendiri lahir secara santai, diinspirasikan daripada bunyi “PLONG!” apabila dua kepingan logam berlaga. Maknanya kemudian berkembang selepas mereka menemui lagu “Plong!” nyanyian Didi Kempot, yang membawa maksud tenang atau damai.

Gabungan dua tafsiran ini mencerminkan identiti muzik mereka kedengaran bising dan ganjil pada permukaan, namun sebenarnya dekat dan menenangkan.

“Gadis Shampoo” tercipta secara organik ketika sesi latihan studio.

Bermula daripada idea ringkas di keyboard, lagu ini berkembang melalui proses jamming santai yang dipenuhi gelak tawa.

Tanpa tekanan atau perancangan berlebihan, susunan bass, gitar dan melodi vokal akhirnya membentuk sebuah karya yang hidup, dipacu gitar rangup serta tenaga reggae punk disco yang terasa tulen dan tidak dibuat-buat.

Dari sudut lirik, lagu ini berkisar tentang perasaan tertarik kepada seseorang yang tidak cuba menonjolkan diri, namun tetap meninggalkan kesan mendalam.

Tajuk “Gadis Shampoo” menjadi metafora kepada pesona yang sederhana tetapi sukar dilupakan tentang bau, memori dan detik singkat yang kekal lebih lama dalam ingatan.

Pendekatan lirik ini memperlihatkan sisi penceritaan Plong! yang bersahaja tetapi penuh makna.

Dipilih sebagai single kerana sifatnya yang mudah didekati dan menghiburkan, karya ini menampilkan sisi lebih playful kumpulan terbabit tanpa mengorbankan prinsip mereka yang enggan mengikut arus komersial.

Pengaruh muzik daripada nama-nama besar seperti Talking Heads, Blondie, Steely Dan, Kembara, Sudirman dan P. Ramlee jelas memberi warna kepada eksplorasi bunyi mereka, namun tetap diolah dengan identiti tersendiri.

Plong! tidak mengejar kesempurnaan teknikal semata-mata. Sebaliknya, mereka mahu setiap karya dan persembahan terasa hidup, mentah dan bertenaga.

Menerusi “Gadis Shampoo”, mereka mengajak pendengar untuk tersenyum, mengimbau kenangan lama atau sekadar menikmati alunan muzik yang segar dan mudah diulang dengar.

Selain boleh distrim di semua platform digital utama, video muzik rasmi “Gadis Shampoo” turut dilancarkan di YouTube.

Diterbitkan oleh Krew Filem Sek Kito, sebuah kolektif yang dikenali dengan pendekatan videografi D-I-Y yang mentah dan bersahaja, video berkenaan menjanjikan pengalaman visual yang nostalgik, eksentrik dan penuh karakter selari dengan jiwa unik Plong! dalam mengangkat gelombang baharu muzik new wave rock Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular