editormaxinfo@gmail.com
HULU SELANGOR – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) meneruskan komitmen membela nasib golongan kurang berkemampuan menerusi pelaksanaan Program Ziarah Sinar Kasih Ramadan 1447H/2026M dengan menyantuni empat keluarga miskin tegar di daerah Hulu Selangor, semalam.
Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif tahunan yayasan yang menyasarkan seramai 400 keluarga terpilih untuk menerima sumbangan sempena Ramadan tahun 2026.
Empat keluarga yang disantuni pada sesi ziarah kali ini terdiri daripada Mohd Fitri Abdullah, Kamarulhisham Kamarudin, Ismail Mokhtar dan Mohamad Zul Hashimi Ramzan.
Kesemua mereka adalah penerima yang telah dikenal pasti oleh lembaga YBK dan berdaftar di bawah sistem e-Kasih sebagai golongan miskin tegar.
Hadir menyampaikan sumbangan ialah Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom bersama Pengerusi Program Sinar Kasih Ramadan merangkap Pengerusi Asrama Kasih YBK, Datin Dr Hartini Osman.

Turut hadir ialah wakil Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Selangor), wakil penyumbang dan penaja, media, karyawan serta sukarelawan yayasan.
Setiap keluarga menerima sumbangan tunai sebanyak RM600 yang disumbangkan oleh Pengasas YBK, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bagi menampung perbelanjaan berbuka puasa dan bersahur sepanjang bulan Ramadan.
Selain bantuan tunai, mereka turut menerima ‘Kotak Rezeki’ bernilai RM150 yang mengandungi barangan keperluan asas sumbangan ICU Selangor serta tajaan daripada rakan strategik korporat.
Antara syarikat dan institusi yang turut menghulurkan sumbangan termasuk Dewina Food Industries Sdn Bhd menerusi produk jenama Brahim’s, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd, Dutch Lady Milk Industries Berhad, Ajinomoto (Malaysia) Berhad, Universiti Sains Islam Malaysia melalui Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI), serta Coca-Cola Malaysia.

Mohd Fitri Abdullah yang menetap di Kampung Orang Asli, Ulu Melaka, Serendah, menanggung tujuh isi rumah dan menyara keluarga dengan mengumpul serta menjual besi buruk.
Pendapatannya sekitar RM600 hingga RM700 sebulan dan tidak menentu, sekali gus menyukarkan beliau menampung keperluan asas harian keluarga.
Sementara itu, Kamarulhisham Kamarudin dari Taman Tasik Teratai, Serendah, mempunyai enam orang anak termasuk seorang yang sedang melanjutkan pengajian di The Automotive College (TOC) Petaling Jaya di bawah tajaan zakat.

Beliau bekerja sebagai pemandu van membawa penumpang ke Genting Highlands dengan pendapatan asas sekitar RM750 sebulan bergantung kepada jumlah perjalanan.
Dengan kadar sewa rumah RM550 sebulan, keluarga ini turut menerima bantuan zakat bagi bayaran sewa dan bakul makanan bulanan.
Di Kampung Sentosa, Batang Kali pula, Ismail Mokhtar menyara tujuh ahli keluarga melalui kerja-kerja kampung dengan pendapatan tidak tetap.
Beliau menerima bantuan RM500 daripada zakat serta RM700 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan.

Lebih mencabar, Mohamad Zul Hashimi Ramzan di Kampung Ulu Rening, Batang Kali, menanggung tujuh anak termasuk seorang anak berusia 11 tahun yang menghidap penyakit jantung dan memerlukan pemantauan kesihatan berterusan.
Beliau bekerja mengambil upah memotong rumput dengan pendapatan tidak menentu dan terpaksa meminjam wang daripada majikan setiap bulan bagi menampung keperluan keluarga.
Dengan kadar sewa rumah RM400 sebulan, keluarga ini turut dibantu zakat dari segi bayaran sewa dan bekalan barangan dapur.
Menurut Zainal Abidin, bantuan RM600 yang disalurkan adalah hasil kutipan daripada orang ramai dan secara purata bersamaan sekitar RM20 sehari sepanjang Ramadan.

Beliau mengakui jumlah terbabit masih belum mencukupi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, namun diharap dapat membantu meringankan beban keluarga untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur.
“Program ini dilaksanakan setiap kali Ramadan kerana YBK melihat keperluan membantu dari sudut penyediaan makanan harian, bukan sekadar persiapan pakaian raya.
“Saya berharap agar pada masa akan datang jumlah bantuan dapat ditingkatkan supaya lebih selari dengan harga semasa, sekali gus memberi kelegaan yang lebih bermakna kepada penerima.
“YBK juga merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang individu dan organisasi yang telah menjayakan Program Sinar Kasih Ramadan tahun ini.
“Penyerahan sumbangan akan diteruskan secara berperingkat dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada minggu kedua Ramadan, tertakluk kepada sebarang perubahan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada Program Sinar Kasih Ramadan 2026 masih berpeluang berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun 1005 0540 0000 3480 (MBSB Bank Berhad) atas nama Yayasan Basmi Kemiskinan melalui cek, deposit tunai atau perbankan dalam talian.
Resit pengecualian cukai turut disediakan bagi penyumbang yang memerlukan.
Melalui inisiatif berterusan ini, YBK berharap lebih banyak pihak tampil berganding bahu dalam usaha membasmi kemiskinan dan memastikan setiap keluarga kurang berkemampuan dapat menjalani ibadah Ramadan dengan lebih tenang dan bermakna.

