editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan bersama oleh pelbagai kaum tahun ini menjadi manifestasi jelas semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Malaysian Chinese Association (MCA) di Wisma MCA, di sini, hari ini.
Menurutnya, kehadiran beliau adalah untuk bersama-sama meraikan perayaan terbabit yang disifatkan bukan hanya milik satu kaum, sebaliknya sebagai sambutan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya hadir untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh MCA dan ini bukan sahaja untuk satu kumpulan, tetapi sambutan semua rakyat.
“Saya lihat sambutan ini sangat baik dan menunjukkan perpaduan kita,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.
Perdana Menteri turut menyentuh mengenai simbolik Tahun Kuda yang diraikan tahun ini berdasarkan kalendar lunar masyarakat Cina.
Katanya, kuda melambangkan kekuatan, tenaga dan kepantasan, sekali gus diharap dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara serta memperkukuh pembangunan rakyat Malaysia.

“Tahun Kuda ini, khususnya kuda berapi, melambangkan kekuatan dan tenaga yang hebat. Mudah-mudahan prestasi ekonomi dan pembangunan rakyat Malaysia akan jauh lebih baik tahun ini,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Presiden MCA Tan Koon Swan serta Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Sebagai simbol kemakmuran dan kesejahteraan, Anwar bersama tetamu kehormat turut menggaul Yee Sang, hidangan tradisional yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Amalan itu bukan sahaja mencerminkan budaya masyarakat Cina, malah kini menjadi tradisi yang dikongsi bersama rakyat pelbagai kaum di Malaysia.
Mengikut kalendar lunar, Tahun Kuda dalam kepercayaan masyarakat Cina melambangkan semangat, ketekunan dan kemajuan.
Sambutan yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh muhibah itu sekali lagi memperlihatkan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terus mengangkat nilai perpaduan sebagai asas kekuatan nasional.

