26.9 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
Home Blog Page 62

PTTI bawa sinar harapan baharu kepada calon SPM Kudat

editormaxinfo@gmail.com

KUDAT – Dalam usaha menyemarakkan semangat dan keyakinan dalam kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan luar bandar, PTTI Group Sdn. Bhd. telah menganjurkan Program Jelajah Skor A+ SPM di Dewan Hakka, Kudat pada 11 dan 12 Ogos lalu.

Program intensif dua hari ini mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Kudat, serta Kelab Nuri Bank Rakyat.

Seramai 1,000 orang pelajar tingkatan lima dari sembilan buah sekolah menengah di sekitar Kudat telah menyertai program ini, yang memberi tumpuan kepada penguasaan empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Sejarah.

Sesi pengajaran dikendalikan oleh barisan guru profesional PTTI yang berkongsi teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan, selain memperkenalkan formula rahsia yang telah membantu ribuan pelajar sebelum ini meraih keputusan cemerlang.

Program ini bukan sekadar kelas tambahan biasa. Ia turut menyuntik elemen motivasi, teknik pengurusan masa, dan pembinaan keyakinan diri aspek penting yang sering menjadi kekangan kepada pelajar di kawasan luar bandar.

Dengan pendekatan yang interaktif dan mesra pelajar, program ini berjaya mencipta suasana pembelajaran yang menyeronokkan namun padat dengan ilmu berguna.

Lebih menarik, program ini turut diserikan dengan slot literasi kewangan kendalian Kelab Nuri Bank Rakyat.

Peserta diberi pendedahan awal tentang asas pengurusan kewangan, termasuk kepentingan menyimpan dan merancang perbelanjaan kemahiran penting dalam kehidupan moden.

Inisiatif ini turut disokong dengan penajaan pembukaan akaun Kelab Nuri serta pemberian modul pembelajaran percuma kepada semua peserta.

Eksekutif Kanan Komunikasi Strategik PTTI, Eizlan Haikal Eusop berkata, program ini lahir daripada kepercayaan bahawa setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat peluang yang sama untuk cemerlang dalam akademik.

“Kami percaya dengan bimbingan yang betul dan suasana pembelajaran yang positif, pelajar mampu mengubah nasib mereka.

“PTTI bukan sekadar mengajar, kami hadir untuk membina keyakinan dan menyemai aspirasi kejayaan dalam diri setiap peserta,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kudat (Sektor Pembelajaran), Sharif Zainal Abiddin Sharif Shek berkata, pihaknya melahirkan penghargaan terhadap sinergi yang wujud antara agensi kerajaan dan pihak swasta dalam menjayakan program seperti ini.

“Sokongan seperti ini amat kami hargai, terutama dalam konteks pendidikan luar bandar.

“Ia membuktikan bahawa apabila semua pihak berganding bahu, kita mampu mencipta impak yang besar kepada masa depan anak-anak kita,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Deposit Bank Rakyat, Azilla Nasarudin berkata, penglibatan Kelab Nuri adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bank Rakyat untuk melahirkan generasi celik kewangan.

“Kami mahu pelajar bukan hanya pandai di atas kertas, tetapi juga bijak mengurus kewangan.

“Pendidikan kewangan yang diterapkan sejak usia muda akan memberi kesan jangka panjang yang positif,” katanya.

Program Jelajah Skor A+ SPM ini adalah sebahagian daripada misi jangka panjang PTTI untuk membawa akses pendidikan berkualiti tinggi ke seluruh negara.

Dengan reputasi sebagai pusat tuisyen paling banyak melahirkan pelajar semua A dalam keputusan SPM 2024, PTTI terus mengorak langkah membawa pendidikan cemerlang ke seluruh pelusuk tanah air termasuk di daerah yang jauh dari arus pembangunan utama seperti Kudat.

UPSI potensi jadi perintis APEL.M di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan potensi besar untuk menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menerajui pelaksanaan program Accreditation of Prior Experiential Learning for Micro-credentials (APEL.M), susulan penganjuran Taklimat APEL.M yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, baru-baru ini.

Taklimat itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, yang memuji kesungguhan UPSI dalam meneroka peluang baharu bagi memperluas akses pendidikan melalui pendekatan pengiktirafan pengalaman terdahulu.

Menurut beliau, UPSI adalah institusi pengajian tinggi awam pertama yang menjemput pihak MQA bagi memberikan taklimat khas mengenai APEL.M, sekali gus menzahirkan komitmen UPSI dalam memperkasakan inovasi akademik.

“UPSI mempunyai kelebihan kerana kepakarannya yang kukuh dalam bidang pendidikan.

“Justeru, universiti ini harus memanfaatkan kekuatan tersebut untuk membangunkan kursus micro-credentials, seterusnya muncul sebagai peneraju utama dalam penawaran APEL.M di peringkat kebangsaan,” katanya.

APEL.M ialah mekanisme penilaian yang membolehkan individu mengumpul micro-credentials daripada kursus-kursus berasingan, yang kemudiannya boleh digabung dan diiktiraf untuk memenuhi keperluan bagi memperoleh kelayakan akademik tertentu.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi fleksibiliti kepada pelajar, tetapi turut membuka peluang pembelajaran kepada golongan yang mempunyai pengalaman luas namun belum memiliki sijil formal.

Bagi merealisasikan hasrat itu, UPSI kini giat dalam usaha menubuhkan Pusat Penilaian APEL (PPA) khusus bagi APEL.M dan mempercepatkan proses pelaksanaannya agar penilaian terhadap calon dapat dijalankan dalam masa terdekat.

Taklimat yang dihadiri oleh lebih 250 warga universiti itu turut memfokuskan kepada aspek teknikal seperti proses pengumpulan micro-credentials, kriteria penilaian serta potensi manfaat jangka panjang kepada peserta program.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah strategik dalam mengukuhkan ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang dinamik, inklusif dan responsif terhadap perubahan semasa.

“Melalui pendekatan ini, kita berupaya membina kapasiti sumber manusia yang lebih adaptif, progresif dan berdaya saing.

“Ia turut memberi peluang kedua kepada individu yang memiliki pengalaman kerja tetapi tidak mempunyai kelayakan formal untuk menambah baik tahap pendidikan dan kemahiran mereka,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan APEL.M bakal memberi impak signifikan terhadap pembangunan kerjaya kakitangan UPSI serta menyumbang kepada usaha negara dalam membentuk masyarakat berpengetahuan.

“Inisiatif ini adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap pengalaman terdahulu individu, sekaligus memberi nilai tambah kepada profil profesional mereka.

“Melalui penganugerahan micro-credentials, kita bukan sahaja memperluas peluang pembelajaran tetapi turut memperkukuh kompetensi tenaga kerja,” katanya.

Selain taklimat utama, program turut dimeriahkan dengan promosi APEL.Q dan pameran pelbagai kursus micro-credentials yang ditawarkan oleh UPSI.

Pameran turut disertai oleh Seksyen Kurikulum, Akreditasi dan Penilaian (KAP) serta Seksyen E-Pembelajaran dan Transformasi Akademik (EPTA), PPA, sebagai usaha menyeluruh UPSI untuk mendekatkan komuniti kampus kepada peluang pembelajaran fleksibel yang ditawarkan.

Dengan inisiatif ini, UPSI tidak hanya meletakkan dirinya di hadapan dalam landskap pendidikan tinggi negara, malah memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang progresif dan berwawasan.

Tinta Merdeka di Pavilion Bukit Jalil: Memartabatkan seni dan budaya Malaysia Menyambut Kemerdekaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pavilion Bukit Jalil telah menghidupkan semangat patriotik dengan kempen merdeka bertemakan Together. We Celebrate, sebuah pameran seni, fesyen dan budaya yang menggabungkan warisan tradisi serta kreativiti kontemporari.

Bermula dari 27 Ogos hingga 16 September 2025, pusat membeli-belah ini menampilkan Tinta Merdeka, sebuah instalasi seni dan fesyen yang dihasilkan oleh pelajar Universiti UCSI dengan sokongan daripada Truley Bateq, Chery dan KB Colour Image.

Centre Court Pavilion Bukit Jalil berubah menjadi ruang pameran budaya yang menghubungkan keindahan warisan Malaysia dengan ekspresi seni moden.

Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik seperti pameran 16 karya seni fesyen batik yang menampilkan tafsiran kreatif bagi 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan Malaysia dalam bentuk rekaan avant-garde yang berukuran antara 6 hingga 10 kaki tinggi.

Selain itu, terdapat juga paparan 16 standee ikonik setinggi 5 hingga 6 kaki yang meraikan perpaduan dalam kepelbagaian melalui motif negeri dan persekutuan yang diinspirasikan secara moden.

Antara tarikan utama lain ialah pemasangan kereta Batik ArtWrap dari Chery yang dipersembahkan buat pertama kali di Pavilion Bukit Jalil, menggabungkan elemen tradisi batik dengan rekaan automotif masa kini.

Pengunjung juga boleh menyertai bengkel batik secara langsung dan demonstrasi oleh pengrajin tempatan yang memberi peluang untuk merasai sendiri kehalusan seni batik.

Tambahan lagi, kios kreativiti tanpa sisa oleh KB Colour bersama kolaborasi AniKertas dan Posterlite mempamerkan bagaimana kelestarian dan budaya boleh berjalan seiring.

Bagi menambah keceriaan sambutan, pelbagai permainan interaktif seperti Tic! Tic! Bomb!!!, Smack Deck dan Nab in the Dark disediakan, di samping sesi perkongsian seni oleh artis DuDu dan aktiviti bertema Merdeka yang menyeronokkan untuk kanak-kanak.

Sebagai hadiah kepada pengunjung, Pavilion Bukit Jalil turut menyediakan barangan batik eksklusif hasil kerja tangan Truley Bateq yang boleh ditebus dengan pembelian bermula RM250 sehingga RM450, menawarkan barangan seperti buku nota batik, beg kanvas batik bergaya dan pouch zip batik premium.

Ketua Pegawai Eksekutif Runcit Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd, Dato’ Joyce Yap berkata, Tinta Merdeka adalah satu cara bermakna untuk mengumpulkan keluarga dan masyarakat di Pavilion Bukit Jalil dengan mengangkat warisan Malaysia melalui ekspresi kreatif yang segar.

Menurutnya, inisiatif ini mengukuhkan peranan Pavilion sebagai sebuah pusat beli-belah yang menyatukan pengalaman membeli-belah, budaya dan semangat komuniti.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Universiti UCSI dan pengasasnya Dato’ Peter Ng berkata, pihaknya bangga terhadap kerjasama ini yang membolehkan pelajar melahirkan interpretasi baru terhadap warisan Malaysia menerusi seni dan fesyen yang berani dan kontemporari.

Kerjasama ini dianggap sebagai satu sambutan perpaduan dalam kepelbagaian negara serta mengangkat nilai kreativiti dan kolaborasi yang mendalam.

Selain daripada fokus kepada seni dan budaya, kempen Together. We Celebrate juga menampilkan aktiviti kesihatan dan kecergasan menerusi kerjasama dengan Anytime Fitness, Li-Ning, Anta dan LAC.

Aktiviti ini dirancang untuk memberi inspirasi dan memastikan masyarakat terus aktif sepanjang musim kemerdekaan.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai tawaran Merdeka yang disediakan oleh Pavilion Bukit Jalil, dari makanan dan minuman yang lazat, fesyen terkini, keperluan rumah serta barangan gaya hidup, memastikan setiap pengunjung dapat merasakan kemeriahan dan keunikan sambutan Merdeka.

“Mandul Bukan Pilihan” tamat dengan episod penuh emosi, penonton menangis seantero negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh minggu mencuri perhatian penonton dengan jalan cerita yang sarat emosi, drama bersiri Mandul Bukan Pilihan akhirnya melabuhkan tirainya malam Khamis lalu, menerusi episod terakhir yang menyentuh hati dan meninggalkan kesan mendalam kepada jutaan penonton di seluruh negara.

Kisah cinta Aldi dan Billa, yang sejak awal mengundang simpati dan empati penonton, berakhir dengan penuh tragis apabila kebahagiaan yang mereka kecapi hanya seketika sebelum direntap takdir.

Pemergian Billa di hujung episod nyata mengejutkan penonton, lantas mencetuskan luahan emosi di media sosial yang menggambarkan betapa kuatnya kesan yang ditinggalkan drama ini.

Penonton menyifatkan drama ini sebagai “roller coaster emosi” yang bukan sahaja menyentuh isu realiti masyarakat, tetapi turut berjaya menembusi ruang hati penonton melalui penyampaian penceritaan yang kemas serta lakonan yang mengesankan.

Kehebatan gandingan Hun Haqeem dan Mira Filzah sebagai teraju utama menerima pujian meluas kerana berjaya membawakan watak dengan begitu jujur dan penuh perasaan.

Rata-rata warganet meluahkan rasa hiba dan terharu, malah ada yang mengakui tidak mampu menahan air mata ketika menyaksikan babak terakhir antara Aldi dan Billa. Beberapa komen di media sosial mencuri perhatian, antaranya:

“Saya tidak ingat bila kali terakhir saya menonton drama Melayu. Mandul Bukan Pilihan merupakan drama pertama setelah sekian lama. Bagi balik air mata. Tak baik bagi orang nangis.” – Servant Of Allah

“Kualiti drama Mandul Bukan Pilihan ni memang luar biasa. Dari pelakon, produksi sampai OST – semuanya another level. Lepas ni, drama lain pun kena set standard tinggi macam ni kalau nak compete.” – Yayayayayaa

“Drama Malaysia pertama yang buat aku nangis setiap episod. Last episode air mata aku jatuh sejatuhnya.” – Bilaa

“Terima kasih untuk semua pelakon, pengarah, penulis, kru produksi dan semua staf Mandul Bukan Pilihan. Ini kali pertama saya layan drama Melayu yang betul-betul buat saya nangis dari awal sampai habis. Plot, lakonan, emosi, muzik, sampai ke mesej semuanya terbaik!” – EL

Pelakon utamanya, Mira Filzah turut meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi menerusi satu hantaran di laman media sosialnya.

Mira menyifatkan pengalaman menjayakan drama ini sebagai sesuatu yang sangat bermakna dan membanggakan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan atas kerja keras, dedikasi dan semangat anda.

“Setiap seorang daripada anda membawa sesuatu yang unik dan satu keistimewaan untuk berkongsi perjalanan ini dengan kumpulan yang komited dan memberi inspirasi,” katanya.

Mira turut menitipkan penghargaan buat mereka yang sedang melalui perjuangan mendapatkan zuriat, menerusi satu video khas yang dimuat naik di Instagram.

Mesej itu disambut dengan penuh emosi oleh pengikutnya, khususnya mereka yang tersentuh dengan tema utama drama itu.

Mandul Bukan Pilihan bukan sekadar sebuah drama, tetapi telah menjadi fenomena yang membuka mata masyarakat terhadap realiti pasangan yang berdepan cabaran dalam soal zuriat.

Ia mengangkat naratif yang jarang diketengahkan dalam drama tempatan, menjadikannya relevan dan dekat di hati penonton.

Dengan tamatnya siri ini, slot MegaDrama di Astro Ria akan diteruskan dengan drama baharu berjudul Rumah Tanpa Luka, yang akan mula bersiaran pada 1 September, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam.

Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 tampil meriah di Kota Bharu: “Jom Bekwoh!”

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – Kelantan bakal menjadi tumpuan pencinta warisan dan penggemar makanan tradisional apabila Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 (FCRW2025) dianjurkan selama tiga hari bermula 5 hingga 7 September ini, bertempat di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan ini bakal berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 malam setiap hari, menampilkan pelbagai acara budaya, gastronomi dan warisan yang dirangka khusus untuk mengangkat khazanah budaya negeri-negeri Pantai Timur.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Sultanah Kelantan.

Turut dijangka hadir ialah Ustaz Dato’Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan; Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia; Datuk Kamaruddin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan; serta Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC.

FCRW2025 membawa misi besar untuk memartabat, melestarikan dan mempromosikan makanan warisan negara, khususnya yang telah diiktiraf di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

Sehingga kini, sebanyak 213 jenis makanan telah menerima pengiktirafan Warisan Kebangsaan termasuklah Nasi Kerabu, Kuih Cek Mek Molek, Jala Emas, Kuih Lompat Tikam dan Budu, antara lain.

Pemilihan negeri Kelantan sebagai lokasi festival adalah bertepatan dengan kekayaan budayanya bukan sahaja dari aspek makanan warisan tetapi juga seni persembahan tradisional seperti Mak Yong, Wayang Kulit, Menora, serta hasil kraftangan seperti Batik, Songket, Wau Bulan dan Gasing, yang telah diiktiraf di peringkat dunia.

Dengan tema “Jom Bekwoh”, festival ini menghidupkan kembali suasana kenduri-kendara tradisional yang semakin dilupakan.

Lebih daripada 60 gerai makanan warisan dari seluruh Kelantan akan menyertai festival ini, dengan penglibatan aktif daripada Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Kelantan dan Malaysian Craft Council.

Makanan yang dipersembahkan termasuk lauk-pauk tradisional, nasi dagang, nasi tumpang, nasi ulam, laksam, kuih-muih warisan serta minuman tradisional dan hasil tani tempatan.

Tidak hanya terhad kepada sajian makanan, pelbagai persembahan seni budaya turut akan memeriahkan festival, antaranya Mak Yong, Dikir Barat, Zapin Salor, Wayang Kulit, Menora, Tarian Asyik, Tarian Singa serta persembahan pergendangan pelbagai kaum, menjadikannya satu persembahan silang budaya yang meriah dan menghiburkan.

Aktiviti utama yang dinanti-nantikan ialah “Jom Bekwoh”, acara memasak beramai-ramai yang bakal menyaksikan komuniti pelbagai daerah di Kelantan bergabung tenaga menyajikan masakan tradisi seperti gulai kawah, kerabu beko, gulai daun kilek dan ikan bekok.

Selain itu, pelbagai pertandingan turut dianjurkan termasuk pertandingan memasak tradisional antara hotel-hotel tempatan, pertandingan belah kukur nyior, perah santan, gubahan pulut kuning dan sireh junjung, serta pertandingan fotografi dan video promosi makanan warisan.

Turut mencuri tumpuan ialah acara unik “fun walk hungga semutar” iaitu larian santai dengan peserta mengenakan semutar, simbolik kepada warisan budaya negeri Cik Siti Wan Kembang.

Sebagai tambahan istimewa, makanan warisan yang hampir pupus seperti Itik Solor, Nasi 100, Apam Bakar dan Ros Lidah juga akan diketengahkan, membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghargai sajian bersejarah yang jarang ditemui.

Bersempena dengan festival ini, turut diadakan sesi perkongsian khas bertajuk “Kota Bharu as a Creative City of Gastronomy”, selari dengan usaha Kerajaan Negeri Kelantan mengangkat Kota Bharu sebagai bandar kedua di Malaysia selepas Kuching untuk meraih pengiktirafan UNESCO dalam kategori gastronomi.

Penganjuran FCRW2025 sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI serta dasar DAKEN (Dasar Kebudayaan Negara), yang menekankan kepentingan budaya sebagai aset ekonomi dan diplomasi.

MOTAC komited melalui sokongan seperti Geran Sektor Kebudayaan (GSSK) dan Geran Sektor Pelancongan (GSSP) untuk memperkukuh usaha ini.

Lebih daripada sekadar festival, FCRW2025 adalah platform menyatukan komuniti, memperkasa ekonomi setempat dan memupuk rasa bangga terhadap identiti budaya tempatan.

Ia mencerminkan semangat bersama dalam memelihara warisan dan mengekalkan kelestariannya demi generasi akan datang.

Panggung Purnama satukan Pamungkas, Bilal Indrajaya dan Fugo di Zepp KL 28 September ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah pentas muzik baharu bakal memeriahkan kalendar hiburan tempatan apabila Panggung Purnama menghimpunkan tiga figura seni dari Malaysia dan Indonesia untuk sebuah malam yang dijangka menjadi antara detik paling diingati peminat muzik.

Bakal berlangsung pada 28 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur, konsert ini diterajui oleh penyanyi dan komposer prolifik Indonesia, Pamungkas, yang turut memilih acara ini sebagai platform eksklusif untuk mempersembahkan single terbaharunya yang berjudul “Sambung” buat kali pertama di hadapan peminat.

“Judulnya Sambung, single terbaru saya yang akan dilancarkan pada 12 September ini.

“Saya akan menyanyikannya secara langsung buat kali pertama di Panggung Purnama,” kata Pamungkas menerusi satu sesi temu bual maya yang diadakan di Bijou Cafe, Ara Damansara, baru-baru ini.

Acara ini dianjurkan oleh UdaraLaskhar, yang buat pertama kalinya menganjurkan Panggung Purnama dengan menampilkan barisan pemuzik yang bukan sahaja memiliki reputasi tinggi, tetapi juga mempunyai pengikut setia dari pelbagai latar umur.

Selain Pamungkas, Bilal Indrajaya, pemuzik yang dikenali dengan gaya nyanyian penuh emosi dan lirikal yang puitis, turut dijadualkan membuat persembahan.

Wakil dari Malaysia pula tidak lain tidak bukan kumpulan Fugo, yang turut menyifatkan konsert ini sebagai momen istimewa dan “reunion manis” kerana dapat kembali sepentas bersama dua sahabat seni dari seberang.

Ketiga-tiga nama ini membawa kekuatan tersendiri di mana Pamungkas dengan gaya muzik alternatif-pop yang sarat emosi, Bilal Indrajaya dengan sentuhan balada dan puisi moden, manakala Fugo membawa identiti tempatan dengan pendekatan segar dalam muzik kontemporari.

Panggung Purnama bukan sekadar persembahan biasa, malah turut membuka ruang untuk kolaborasi dan kejutan di atas pentas.

Ketika ditanya kemungkinan Pamungkas menggantikan Noh Salleh untuk lagu Yang Tercinta, penyanyi itu tidak menolak kemungkinan itu, meskipun dengan nada berseloroh menyatakan perlu mendapatkan keizinan Noh terlebih dahulu.

Penganjur menyasarkan Panggung Purnama sebagai salah satu konsert penting dalam landskap hiburan tempatan, meskipun bulan September dipenuhi dengan pelbagai acara lain.

Menurut wakil UdaraLaskhar, John Labu, keyakinan terhadap kekuatan barisan pemuzik yang ditampilkan menjadi sandaran utama kejayaan konsert ini.

“Walaupun September mempunyai lambakan konsert, kami percaya Panggung Purnama akan sukses kerana produk yang dipersembahkan. Pamungkas, Bilal Indrajaya dan Fugo mempunyai peminat dan kekuatan tersendiri,” katanya.

Bagi memastikan lebih ramai peminat dapat menikmati konsert ini, penganjur turut menawarkan promosi istimewa “Beli Dua Tiket, Dapat Diskaun 13 peratus” dengan menggunakan kod MDKDUO, bermula 27 Ogos hingga 1 September 2025.

Tiket-tiket boleh didapati melalui laman web www.ilassotickets.com, dengan pilihan harga yang disediakan mengikut kategori iaitu Bintang (RM179), Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399).

Dengan pengisian muzik yang segar, artis berkaliber dan kejutan istimewa, Panggung Purnama dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan tahun ini satu malam yang menjanjikan bukan sekadar hiburan, tetapi pengalaman yang akan terus hidup dalam memori peminat.

UTV buka era baharu penstriman digital, angkat karya tempatan ke arus perdana

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia penstriman digital tanah air menerima suntikan baharu dengan pelancaran UTV, sebuah platform Over-The-Top (OTT) yang memberi nafas segar kepada industri hiburan tempatan.

UTV bukan sekadar platform tontonan, sebaliknya turut bertindak sebagai medan pencungkil bakat dan pemangkin karya kreatif anak tempatan.

Dilancarkan oleh Usanita Sdn Bhd, UTV membawa tagline “Stream For You”, sebagai manifestasi komitmennya untuk menawarkan kandungan yang memenuhi cita rasa pelbagai lapisan penonton, sambil menyediakan ruang buat penerbit, penulis skrip dan kreator berkongsi hasil kerja mereka.

Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan, atau lebih mesra dikenali sebagai Datuk Nana, menyifatkan UTV sebagai wadah yang lahir daripada keperluan sebenar industri satu platform yang merapatkan jurang antara bakat dan peluang.

“Ramai kreator tempatan memiliki potensi besar. Malangnya, tiada ruang untuk mereka tampil.

“Dengan UTV, kami mahu menjadi jambatan itu tempat di mana idea yang tersimpan selama ini dapat diterjemahkan menjadi tontonan berkualiti,” katanya.

Berbeza daripada platform langganan biasa, UTV mengambil pendekatan ‘Pay Per Content’, iaitu pengguna hanya membayar untuk kandungan yang mereka ingin tonton.

Model ini membolehkan penonton menikmati kebebasan memilih tanpa komitmen langganan bulanan, sekaligus memberi nilai tersendiri kepada setiap karya yang ditayangkan.

Antara keistimewaan utama UTV ialah kesediaannya menerima pitching terbuka daripada semua peringkat tanpa mengira latar belakang atau saiz syarikat produksi.

Mesejnya jelas jika anda ada idea, UTV sedia mendengar dan menilai.

“Kami tahu ada skrip yang disimpan bertahun-tahun, sinopsis yang sudah lengkap namun belum ada laluan untuk direalisasikan.

“Di UTV, kami membuka pintu. Hantar kepada kami jika ada potensi, kami bukan sahaja akan mempertimbangkannya, malah turut membimbing dari segi pembangunan kandungan,” katanya.

Usaha ini sejajar dengan hasrat UTV untuk memartabatkan hasil seni tempatan sebagai produk yang mampu bersaing bukan sahaja dalam negara, bahkan di peringkat antarabangsa.

Penggiat seni yang berminat boleh menghantar karya mereka melalui e-mel support@utv.com.my atau mesej di laman sosial Instagram @utv.official dan TikTok @utvoriginal.

UTV tampil dengan lima segmen utama yang merangkumi pelbagai bentuk kandungan menarik iaitu:

-UTV Original: Telefilem dan drama eksklusif berkualiti tinggi, antaranya Saling Tak Terlihat, Langit Tanpa Bintang, Diari Air Mata, Poskad Cinta Dari Auckland, Anak Mak, Aku Cinta Dia dan Hantu Cinta Kamu.

-UTV Music: Menyajikan persembahan muzik istimewa seperti Showcase Janji oleh Dayang Nurfaizah dan A Night With Aina Abdul 3.0.

-UTV Podcast: Platform wacana dan perbincangan terkini melalui rancangan seperti Hitam Putih, Ruang Usanita dan Next Gen Ummah.

-UTV Talkshow: Bual bicara santai yang memberi inspirasi seperti Unwrapped: Kisah Disebalik Spotlight dan Cook With Sheila Rusly.

-UTV Smart: Kandungan berbentuk pendidikan dan motivasi seperti Bootcamp Usanita dan Online Business Game 101 with Zoey Rahman.

Dengan pelancaran ini, UTV dilihat bukan sahaja membawa angin baharu dalam landskap hiburan digital, tetapi turut memperkukuh ekosistem seni dan budaya negara.

Ia memberi isyarat jelas bahawa Malaysia bersedia melangkah ke hadapan dengan karya tempatan yang tidak hanya menghibur, tetapi juga mendidik dan membina jati diri bangsa.

Minggu pertama TTMM, Alif Syukri & Ammayan buat post mortem ‘Pecah Teruk’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program terbaharu terbitan Astro, Talk To My Manager (TTMM), membuka tirai siarannya dengan penuh meriah dan menerima sambutan hangat sejak episod pertamanya disiarkan pada 24 Ogos lalu di saluran Astro Ria (104).

Mengisi slot utama pada jam 9 malam, rancangan ini segera mencuri perhatian ramai apabila menampilkan konsep unik yang mengangkat legasi hiburan keluarga dalam industri seni tanah air.

Berbeza daripada program hiburan konvensional, TTMM membawa pendekatan segar yang mempertemukan pasangan ibu atau bapa bersama anak mereka yang sudah mempunyai jenama tersendiri dalam dunia hiburan.

Menariknya, hubungan kekeluargaan ini dibawa masuk ke dalam format realiti yang memperlihatkan dinamika sebenar antara anak sebagai bakat utama dan ibu atau bapa sebagai pengurus satu pendedahan yang jarang sekali diketengahkan dalam sesebuah program televisyen.

Antara barisan peserta yang mengambil bahagian termasuk nama-nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni, antaranya pasangan ibu dan anak seperti Siti Saerah dan Amad, Sharifah Shahirah dan Audrra, Sharifah Zarina dan Athalia, Liza Hanim dan Marsya, serta Ina Naim dan Hadie.

Turut serta ialah pasangan bapa dan anak seperti Ameng dan Ammar, Shuib dan Thalita, serta pengarah terkenal Aziz M. Osman bersama puterinya, Ara Aziz.

Walau barisan peserta yang cukup kuat sudah cukup untuk menjadikan program ini tular, kemunculan istimewa Dato’ Alif Syukri dan anaknya, Ammar Ahyan atau lebih dikenali sebagai Ammayan, turut mencuri perhatian ramai.

Walaupun bukan sebahagian daripada peserta utama, gandingan dua beranak ini diberikan tanggungjawab mengendalikan Post Mortem TTMM yang bersiaran sejurus selepas program utama, tepat jam 11 malam.

Perbezaan karakter antara Alif dan Ammayan menjadi ramuan utama yang menyuntik elemen humor dalam program berkenaan.

Jika Alif dengan gaya selambanya sering kali tersasul dan mencetus kekecohan spontan, Ammayan pula tampil tenang, serius dan berdisiplin mengikut skrip mencipta kontras yang cukup menghiburkan.

Gandingan yang tidak dijangka ini nyata membawa warna baharu dalam dunia pengacaraan hiburan televisyen tempatan.

Gelagat dua beranak itu juga menjadi tular di media sosial, dengan warganet berkongsi momen-momen lucu mereka sepanjang siaran.

Antaranya termasuk babak Ammayan secara tiba-tiba memberi salam kepada Datuk Syafinaz sewaktu sesi penilaian nyanyian, dan aksi tekalnya menegur cara sapaan terhadap Liza Hanim enggan menggunakan gelaran ‘aunty’ dan lebih memilih “puan” mengikut skrip rasmi pengacara.

Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh berkata, pemilihan Alif Syukri dan Ammayan sebagai hos Post Mortem TTMM adalah keputusan yang tepat dan seiring dengan visi program.

Beliau menjelaskan bahawa aura kedua-dua personaliti itu, walaupun berbeza gaya, mempunyai daya tarikan tersendiri yang mampu menambat hati penonton.

“Alif dan Ammayan memiliki kekuatan masing-masing. Alif lebih spontan dan bersahaja, manakala Ammayan pula tampil kekok tetapi jujur dan tenang.

“Gabungan ini berjaya mewujudkan suasana santai yang menghiburkan. Malah, hubungan rapat antara mereka juga mempamerkan nilai kekeluargaan yang kami ingin ketengahkan dalam program ini,” katanya.

Talk To My Manager turut mendapat sentuhan profesional daripada dua juri tetap berpengaruh dalam industri iaitu Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal, dengan sistem pemarkahan 100 peratus dikendalikan sepenuhnya oleh barisan juri.

Program ini boleh ditonton secara langsung di Astro Ria, dan juga melalui penstriman di platform On Demand, Astro GO dan Sooka bagi penonton yang mahu mengikuti perjalanan hiburan keluarga ini di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Dengan gabungan peserta hebat, konsep unik dan gandingan pengacara yang tidak dijangka, Talk To My Manager bukan sahaja mengangkat nilai hiburan, malah mengetengahkan hubungan kekeluargaan dalam konteks seni yang lebih mendalam dan bermakna menjadikannya antara program paling dinanti untuk musim ini.

“Paint the Town Red”: AirAsia Hausboom Festival 2025 kembali dengan aksi lebih besar dan berani

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Suasana hiburan tempatan dijangka kembali menggelegak apabila AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink diumumkan akan berlangsung pada 11 dan 12 Oktober ini di MAEPS, Serdang.

Membawakan tema “Paint the Town Red”, festival dua hari ini bukan sekadar pesta muzik biasa, tetapi gabungan unik antara hiburan, fesyen dan gastronomi menjadikannya antara acara gaya hidup paling komprehensif dan berpengaruh di Malaysia tahun ini.

Dengan kolaborasi strategik bersama AirAsia dan Hotlink, Hausboom sekali lagi membuktikan kesungguhan mereka dalam membina jenama tempatan bertaraf antarabangsa.

Tema merah bukan dipilih sewenang-wenangnya ia melambangkan semangat, tenaga dan keberanian, mencerminkan aspirasi festival ini untuk mewarnai bandar dengan budaya pop dan daya kreatif generasi kini.

Hausboom Festival tahun ini bakal menampilkan lebih 30 artis dan kumpulan dari Malaysia dan Indonesia termasuk legenda muzik tempatan seperti Dato’ M. Nasir, Ella, dan Dato’ Jamal Abdillah, di samping nama-nama popular seperti K-Clique, Noh Salleh, Bunkface, dan Dolla.

Dari seberang pula, peminat bakal disajikan persembahan daripada Samsons, Kunto Aji, Feby Putri dan Bernadya, menjanjikan barisan persembahan yang merentas generasi dan genre muzik.

Namun, tarikan utama festival ini tidak terhenti pada pentas muzik semata-mata.

Festival kali ini turut membawa elemen baharu yang menjangkaui jangkaan termasuk Hausboom KL Foodie Fest, sebuah pesta makanan yang bakal menghimpunkan lebih 100 vendor makanan unik hasil kerjasama bersama pengaruh media sosial terkenal, Pin Yang dari KL Foodie.

Kawasan ini dibuka secara percuma kepada semua pengunjung, tanpa had umur, dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Menambahkan lagi keunikan pengalaman, Hausboom Lokal Fest 2025 bakal menampilkan lebih 80 jenama streetwear & lifestyle, termasuk jenama lokal dan antarabangsa seperti SVG, SOVO, dan Kyrex.

Dari koleksi rekaan terkini, aksesori eksklusif hingga barangan terpakai terpilih, pengunjung boleh menikmati pengalaman membeli-belah yang mencerminkan trend semasa.

Penganjuran edisi kali ini turut menandakan skala hadiah yang lebih besar, apabila setiap pemegang tiket berpeluang memenangi sebuah Perodua Ativa baharu menerusi cabutan bertuah yang akan diumumkan secara langsung sepanjang acara.

Hadiah ini adalah yang terbesar dalam sejarah festival, memberikan motivasi tambahan buat pengunjung untuk menjadi sebahagian daripada festival tahun ini.

Hotlink, sebagai rakan telco rasmi festival, mempersembahkan nilai tambah kepada pengguna dengan memperkenalkan tin Hausboom edisi khas yang mengandungi kod QR.

Setiap imbasan menawarkan ganjaran eksklusif termasuk tiket percuma ke festival, tambah nilai prabayar, internet percuma, telefon pintar dan baucar makanan.

Aktiviti Menang Ahad oleh Hotlink dijangka terus mendapat sambutan hangat sepanjang tempoh promosi.

Kerjasama bersama AirAsia pula membawa nafas antarabangsa kepada festival ini. Menerusi kempen Scan & Win, pengguna berpeluang membawa pulang hadiah seperti tiket penerbangan percuma selama setahun, baucar pelancongan, wang tunai sehingga RM50,000 dan pelbagai ganjaran lain.

Label edisi terhad dengan kod QR boleh didapati di seluruh negara melalui rangkaian jualan seperti 7-Eleven, Shell Select, dan AEON BiG.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Amanda Woo berkata, penyertaan dalam festival ini mencerminkan komitmen AirAsia terhadap pembangunan seni dan budaya.

“Kami percaya muzik, sama seperti perjalanan, berupaya menyatukan manusia merentasi sempadan.

“Kerjasama dengan Hausboom adalah lanjutan semula jadi kepada semangat berkenaan,” katanya.

Hausboom Festival turut mendapat sokongan jenama lain termasuk 7-Eleven sebagai rakan rasmi kedai serbaneka, serta Astro Gempak selaku rakan media digital, menjadikan acara ini satu usaha kolaboratif pelbagai pihak dalam mengangkat ekosistem hiburan tempatan.

Tiket ke AirAsia Hausboom Festival 2025 kini telah mula dijual dengan harga bermula RM119 (General Admission), RM299 (Rockzone), dan RM1,200 (VVIP).

Pas VVIP termasuk akses eksklusif ke pentas, makanan dan minuman tanpa had, kemudahan ekspres dan tandas khas.

Dengan gabungan muzik, makanan, fesyen, hadiah menarik dan pengalaman interaktif, AirAsia Hausboom Festival 2025 dikuasakan oleh Hotlink bukan sekadar festival ia adalah perayaan gaya hidup moden yang menandakan pencapaian luar biasa dalam landskap hiburan Malaysia.

Tiket boleh dibeli secara atas talian menerusi laman https://sayalive.io/hausboomfestival2025.