34 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 13, 2026
Home Blog Page 63

PTTI perluas akses pendidikan berkualiti ke Beluran, 500 calon SPM sertai program jelajah Skor A+

editormaxinfo@gmail.com

BELURAN – Usaha memperluas akses kepada pendidikan berkualiti diteruskan oleh PTTI Group Sdn. Bhd., apabila pusat tuisyen yang mencatat rekod tertinggi pelajar memperoleh gred A dalam SPM 2024 itu menganjurkan Program Jelajah Skor A+ SPM di daerah Beluran, Sabah.

Program ini diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Beluran dengan kerjasama rapat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Beluran dan Kelab Nuri Bank Rakyat.

Menarik perhatian seramai 500 calon SPM dari lima sekolah menengah sekitar daerah terbabit, program ini membuktikan komitmen PTTI dalam memastikan peluang kecemerlangan akademik dapat dicapai oleh semua murid termasuk mereka yang berada jauh dari pusat bandar.

Peserta terdiri daripada pelajar SMK Beluran II, SMK Balaban Jaya, SMK Pamol, SMK Simpangan dan SMK Terusan Sugut.

Melalui pendekatan pembelajaran berfokuskan keputusan, pelajar telah didedahkan kepada strategi menjawab soalan secara efektif dan teknik pemahaman pantas dalam subjek Matematik dan Sejarah dua kertas penting dalam peperiksaan SPM.

Sesi ini dikendalikan oleh barisan tenaga pengajar PTTI yang berpengalaman dan dikenali menerusi kaedah pembelajaran interaktif serta pendekatan mesra pelajar.

Menariknya, program ini turut diselitkan dengan elemen pendidikan kewangan, hasil kolaborasi bersama Kelab Nuri Bank Rakyat, yang membuka ruang kepada peserta untuk memahami asas pengurusan wang dan kepentingan menabung sejak usia muda selari dengan inisiatif literasi kewangan yang digalakkan oleh Bank Negara Malaysia.

Sebagai nilai tambah kepada peserta, PTTI menaja pembukaan akaun Kelab Nuri Bank Rakyat untuk semua murid yang hadir, selain menyediakan modul pembelajaran percuma yang boleh digunakan sebagai bahan ulang kaji menjelang peperiksaan sebenar.

Timbalan Naib Presiden Komunikasi Strategik PTTI Group Sdn. Bhd., Dr. Muhammad Faizul berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membolehkan murid luar bandar menikmati pendekatan pembelajaran yang telah terbukti berjaya di peringkat nasional.

“Kami di PTTI yakin bahawa setiap pelajar mempunyai potensi untuk cemerlang, asalkan diberikan pendekatan pembelajaran yang tepat.

“Formula rahsia Skor A+ ini telah membantu ribuan pelajar mencapai keputusan cemerlang, dan kami mahu manfaat ini dirasai oleh pelajar-pelajar di Beluran,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Beluran, Dr. Nancy, turut menyambut baik penganjuran program ini yang menurut beliau, memberikan impak besar bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi juga dari sudut pembangunan kendiri pelajar.

“Program ini bukan sekadar persiapan akademik semata-mata. Ia juga menyediakan pelajar dengan kemahiran kewangan asas yang berguna dalam kehidupan mereka selepas tamat sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Deposit Bank Rakyat, Azilla Nasarudin berkata, pelaburan dalam pendidikan dan celik kewangan adalah langkah penting dalam melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Kami percaya kedua-dua elemen ini pendidikan akademik dan literasi kewangan perlu digabungkan sejak awal.

“Pembukaan akaun Kelab Nuri kepada pelajar ini adalah satu langkah awal ke arah membentuk sikap menabung dan bijak mengurus kewangan,” katanya.

Dengan misi menjadikan pendidikan berkualiti sebagai satu realiti yang boleh dicapai oleh semua, PTTI sekali lagi membuktikan bahawa lokasi bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan.

Kejayaan Program Jelajah Skor A+ di Beluran menjadi bukti nyata bahawa apabila sokongan, pendekatan dan peluang disediakan, pelajar luar bandar mampu bersaing setaraf dengan rakan-rakan mereka di bandar.

AUKEY perluas ekosistem MagFusion dengan pelancaran 15 produk pengecasan tanpa wayar Qi2.2 terbaharu

editormaxinfo@gmail.com

BANGKOK – AUKEY, jenama global yang terkenal dengan penyelesaian pengecasan tanpa wayar premium, mengumumkan peluasan ekosistem MagFusion menerusi pelancaran 15 produk baharu berasaskan piawaian terkini Qi2.2.

Pengumuman itu dibuat bersempena Persidangan Rakan Kongsi Asia Tenggara yang berlangsung di Bangkok.

Koleksi terbaharu ini merangkumi 12 pengecas tanpa wayar dan tiga bank kuasa tanpa wayar, yang direka untuk menyokong pelbagai keperluan dan gaya hidup pengguna moden.

Dengan penambahan ini, portfolio produk Qi2.2 AUKEY kini berjumlah 16 model, termasuk MagFusion 2X yang dilancarkan bulan lalu.

Perkembangan ini secara langsung mengukuhkan lagi kedudukan AUKEY sebagai peneraju dalam segmen pengecasan tanpa wayar berprestasi tinggi.

Sebagai pelopor inovasi dalam teknologi pengecasan, AUKEY terus menampilkan produk yang bukan sahaja dilengkapi teknologi terkini, malah tampil dengan reka bentuk yang moden dan elegan.

Selaras dengan kemunculan piawaian Qi2.2, syarikat ini tampil selangkah di hadapan dengan menawarkan pelbagai penyelesaian pengecasan daripada satu peranti sehinggalah ke empat peranti secara serentak dalam pelbagai bentuk, termasuk pengecas meja, pengecas lipat untuk perjalanan serta bank kuasa tanpa wayar yang mudah alih.

Naib Presiden AUKEY, David Wu berkata, pendekatan berpusatkan pengguna adalah teras dalam pembangunan produknya.

“Kami sentiasa meletakkan keperluan pengguna sebagai keutamaan dalam pembangunan penyelesaian pengecasan tanpa wayar.

“Dengan sokongan padu daripada rakan kongsi kami, AUKEY komited untuk terus memperkenalkan produk inovatif dan berkualiti tinggi ke pasaran global,” katanya.

Antara produk utama yang menjadi tumpuan dalam pelancaran kali ini termasuk:

-MagFusion 1X, pengecas meja dengan sudut laras 35 darjah, ditawarkan dalam tiga pilihan warna moden: putih fros, kelabu gelap dan emas gurun.

-MagFusion 2X, pengecas dwi-telefon Qi2.2 pertama di dunia dengan reka bentuk gabungan “tapak dan pendirian”, sesuai untuk kegunaan profesional yang menyeimbangkan urusan kerja dan peribadi.

-MagFusion 3X Pro, menyokong pengecasan serentak untuk tiga telefon pintar dan dilengkapi teknologi penyejukan aktif Omnia-Frez yang mampu mengurangkan suhu sehingga 20°C.

-MagFusion Titan, sebuah stesen pengecasan 4-dalam-1 yang berprestasi tinggi untuk kegunaan seisi keluarga.

Rangkaian produk turut merangkumi siri pengecas lipat MagFusion L Series dan C Series yang direka khusus untuk pengembara, manakala model MagFusion Z, pemenang anugerah Red Dot dan iF Design, kini ditambah baik dengan sokongan Qi2.2.

AUKEY turut memperkenalkan bank kuasa tanpa wayar berkapasiti tinggi seperti MagFusion Reel 5000 dan MagFusion Reel 10000 yang menampilkan reka bentuk nipis, kabel boleh tarik serta pengecasan pantas 25W.

Promosi Jualan 9.9: Diskaun Sehingga 50 peratus dan Hadiah Eksklusif

Sempena sambutan jualan 9.9, AUKEY menawarkan diskaun sehingga 50 peratus untuk pelbagai produk Qi2 di semua platform jualan rasminya.

Menariknya, kempen peraduan hadiah eksklusif turut dijalankan di Shopee dengan hadiah bernilai sehingga RM10,000, termasuk konsol permainan Nintendo Switch 2 sebagai hadiah utama.

Promosi ini boleh dinikmati di:

-Shopee AUKEY Official Store

-Laman Web Rasmi AUKEY Malaysia

-Lazada AUKEY Official Store

Instagram AUKEY Malaysia

Facebook AUKEY Malaysia Official

Menara Rezeki, CIDB Holdings meterai MoU dan JVA bersama JC Logistics, kerjasama bantu lonjak standard pembinaan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh daya saing industri pembinaan negara terus digiatkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Usahasama (JVA) antara CIDB Holdings Sdn. Bhd., Menara Rezeki Sdn. Bhd. (MRSB) dan JC Logistics Sdn. Bhd. 

Majlis pemeteraian bersejarah itu yang berlangsung dengan penuh simbolik mencerminkan komitmen ketiga-tiga entiti dalam membina ekosistem pembinaan yang lebih mampan, berdaya saing dan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Pengarah Urusan Menara Rezeki, Dato’ Saiful Nizam berkata, kerjasama ini adalah manifestasi kepada kepercayaan bersama yang terjalin melalui perbincangan panjang sejak lawatan kerja beliau ke China International Import Exhibition (CIIE) pada 2024.

Di sana, beliau menyaksikan sendiri potensi teknologi bahan binaan dari China yang menawarkan inovasi tinggi, kualiti bertaraf antarabangsa serta kos yang lebih kompetitif.

Menurutnya, teknologi berkenaan mampu memendekkan tempoh pembinaan, mengurangkan pembaziran bahan, meningkatkan keselamatan di tapak bina serta menjimatkan kos penyelenggaraan jangka panjang.

Justeru, menjadi satu keperluan yang harus dimanfaatkan industri pembinaan Malaysia bagi meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.

“Setibanya di tanah air, saya telah berkongsi idea berkenaan dengan Pengerusi Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Dr. Azman Yusoff, yang juga Ahli Lembaga Pengarah CIDB Malaysia.

“Cadangan itu kemudiannya dibawa kepada Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal, yang menyambut baik dan membawa inisiatif ini ke peringkat pelaksanaan menerusi kerjasama bersama CIDB Holdings,” katanya.

Menara Rezeki Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan yang ditubuhkan pada 2002, kini berkembang pesat daripada syarikat reka bentuk dalaman kepada sebuah konsortium G7 yang merangkumi pelbagai sektor seperti pembinaan, pembangunan hartanah, hospitaliti, pertanian, perubatan, teknologi, tenaga boleh baharu serta rawatan air dan biojisim.

Perkembangan ini membuktikan keupayaan syarikat dalam meneroka potensi baharu selari dengan keperluan pasaran dan transformasi digital.

Sementara itu, Saiful Nizam berkata, kerjasama strategik bersama JC Logistics pula menambah nilai signifikan terhadap keseluruhan inisiatif ini, khususnya sebagai penghubung kepada pengeluar bahan binaan dari China dan sebagai rakan strategik yang menjamin kelancaran rantaian bekalan.

“Pemeteraian JVA ini bukan sekadar dokumen perundangan, sebaliknya mencerminkan keyakinan bersama dalam menjayakan transformasi sektor pembinaan negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal, dalam ucapannya berkata, inisiatif ini menjadi cerminan kepada komitmen serius dalam memperkukuh amalan kualiti dalam industri pembinaan.

Beliau turut menekankan peranan penting CIDB Holdings dalam pelaksanaan Akta 520 (Pindaan 2011), khususnya dalam memastikan hanya bahan binaan yang memenuhi standard dibenarkan digunakan di tapak binaan.

“Sebagai pelaksana teknikal, CIDB Holdings Sdn. Bhd. (CIDBH) berfungsi sebagai badan pengujian, pensijilan produk dan verifikasi bahan binaan sama ada dari dalam atau luar negara.

“Menerusi makmal yang diiktiraf ISO/IEC 17025 dan sistem pensijilan berdasarkan ISO/IEC 17065, CIDBH memastikan tahap keselamatan, kualiti dan integriti bahan binaan sentiasa terjamin,” katanya.

Lebih menarik, CIDBH kini sedang melaksanakan transformasi digital menerusi pelaksanaan platform ASSURE, satu sistem digital komprehensif yang merangkumi permohonan, pengujian, pensijilan dan pemantauan bahan binaan secara dalam talian.

“Sehingga kini, lebih 362 pemain industri telah menggunakan platform terbabit, yang bukan sahaja mempercepatkan proses tanpa keperluan interaksi fizikal, malah menjimatkan masa dan kos serta menyokong ketelusan pelaksanaan piawaian industri.

“CIDB dan CIDBH akan terus komited sebagai rakan teknikal yang telus dan proaktif, bagi menyokong pembangunan industri pembinaan negara ke arah yang lebih mampan, pintar dan bertanggungjawab,” katanya.

Kerjasama strategik ini membolehkan Menara Rezeki memanfaatkan platform ASSURE secara optimum dalam proses pengimportan bahan binaan yang lebih tersusun, menjimatkan kos, mengurangkan risiko kelewatan dan seterusnya meningkatkan mutu keseluruhan projek pembinaan.

Ini secara langsung dapat melonjakkan reputasi pemain tempatan di mata pelabur dan pengguna serta memacu Malaysia ke arah industri pembinaan yang lebih progresif dan profesional.

Dalam masa sama, keseluruhan inisiatif ini turut selari dengan aspirasi nasional seperti Dasar Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) yang menekankan adaptasi teknologi seperti AI, 5G dan IoT sebagai enjin pertumbuhan baharu negara.

Menutup ucapan, Saiful Nizam berkata, pihaknya berharap MoU dan JVA ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak projek kolaboratif berimpak tinggi pada masa akan datang.

Beliau berkata, Malaysia perlu memanfaatkan teknologi pembinaan terkini untuk berdiri setaraf dengan negara-negara maju dalam sektor ini, dengan kolaborasi seperti ini menjadi kunci utama kepada perubahan struktur industri pembinaan negara.

SocialCeleb buka peluang bakat baharu serlah potensi dalam industri hiburan

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Dunia hiburan tanah air bakal menyaksikan gelombang baharu apabila platform pencarian bakat tempatan, SocialCeleb, dilancarkan dengan misi memperkasakan bakat baharu melalui pendekatan teknologi, latihan dan bimbingan profesional secara menyeluruh.

Dibangunkan oleh syarikat telekomunikasi tempatan, Lifetelco, SocialCeleb diperkenalkan sebagai satu inisiatif yang bersifat inklusif dengan objektif utama menyediakan akses sebenar kepada individu berbakat dari seluruh pelosok negara tanpa mengira latar belakang atau lokasi untuk melangkah masuk ke dalam dunia seni dengan lebih yakin dan bersedia.

Platform ini menawarkan pendekatan menyeluruh yang merangkumi bengkel eksklusif, sesi persembahan langsung serta peluang uji bakat untuk pelbagai produksi filem, drama bersiri dan kandungan penstriman (OTT).

Sebanyak 100 peserta terbaik daripada keseluruhan penyertaan bakal dipilih untuk menyertai produksi sebenar, sekali gus memberi mereka peluang menimba pengalaman profesional awal yang mampu membuka laluan kerjaya dalam industri hiburan.

Pengarah Rangkaian Lifetelco, Saraleana Nattaya Azmi berkata, SocialCeleb adalah manifestasi usaha berterusan untuk menyediakan ruang yang adil dan setara kepada semua rakyat Malaysia yang memiliki bakat seni tetapi sering terpinggir akibat kekangan seperti jarak, kewangan dan kekurangan rangkaian industri.

“Melalui SocialCeleb, kami bukan sekadar memperkenalkan platform digital.

“Kami menyediakan akses sebenar kepada industri, bimbingan yang tepat, dan kerangka latihan yang mantap. Ini adalah pelaburan dalam potensi rakyat Malaysia satu pelaburan jangka panjang demi masa depan industri hiburan yang lebih lestari dan terbuka,” katanya.

Antara keistimewaan penyertaan termasuk yuran serendah RM110 yang merangkumi kad SIM Lifetelco dengan 110GB data untuk dua bulan, perlindungan insurans kemalangan diri sehingga RM50,000, akses kepada saluran OTT, serta peluang menyertai uji bakat rasmi.

Menariknya, platform ini turut mendapat sokongan daripada nama-nama besar dalam industri hiburan tanah air.

Antara yang terbabit sebagai Star Mentors termasuk pelakon, pengarah dan penerbit berpengaruh seperti Dato’ Afdlin Shauki, Nabil Ahmad, Nabila Huda dan Dato’ Aaron Aziz.

Turut bersama sebagai wajah penyokong utama atau Star Celebs ialah Bella Astillah, Harszan, Satthiya Kandi dan Hubert Lee.

Nabila Huda, yang dikenali sebagai antara figura seni yang lantang menyuarakan isu industri, menyifatkan SocialCeleb sebagai ruang penting yang dinanti-nantikan oleh ramai bakat terpendam.

“Ramai yang ada potensi besar tetapi selama ini tiada akses, tiada jaringan, atau tidak tahu bagaimana untuk mula.

“SocialCeleb bukan sahaja membuka pintu, malah menyediakan laluan yang jelas. Saya di sini bukan sekadar menilai saya mahu membimbing, membantu peserta kenal kekuatan mereka dan membina keyakinan diri,” katanya.

Sementara itu, Aaron Aziz pula menyifatkan penglibatannya sebagai satu tanggungjawab untuk menyumbang kembali kepada industri yang telah membesarkan namanya.

“Kami bukan sekadar mencari pelakon baharu. Apa yang lebih penting ialah membentuk asas kukuh untuk mereka bertahan lama dalam industri ini dari segi bakat, etika kerja dan jati diri sebagai anak seni,” katanya.

Aaron berkata, SocialCeleb bukan sebuah pencarian sensasi semata-mata, tetapi satu proses pembangunan yang sebenar.

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Afdlin Shauki yang menekankan pentingnya menyediakan ekosistem yang tersusun untuk pembangunan bakat secara berterusan.

“Ini bukan pertandingan populariti. SocialCeleb diwujudkan untuk mereka yang benar-benar ingin membina masa depan dalam industri ini.

“Dengan gabungan latihan, bimbingan dan pendedahan kepada dunia sebenar produksi, peserta bukan sahaja mengasah bakat, malah belajar memahami realiti industri hiburan secara menyeluruh,” katanya.

Pendaftaran penyertaan bagi SocialCeleb akan dibuka bermula 9 September 2025 menerusi laman rasmi www.social-celeb.com.

Dengan pendekatan yang inovatif dan sokongan menyeluruh daripada pelbagai pihak industri, SocialCeleb diyakini bakal menjadi antara platform paling berpengaruh dalam melahirkan generasi baharu anak seni Malaysia yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga bersedia menggalas cabaran dunia hiburan moden.

Raja Muda Selangor raikan usahawan OKU cemerlang menerusi SAY LEAD 2025

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Tiga usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) telah dinobatkan sebagai Ikon Usahawan OKU Selangor oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor, dalam satu majlis gilang-gemilang sempena Pusingan Akhir Liga Usahawan OKU Selangor (SAY LEAD) Edisi Keenam yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, baru-baru ini.

Penganjuran SAY LEAD adalah sebahagian daripada inisiatif tahunan Selangor Youth Community (SAY), sebuah organisasi bukan kerajaan yang diasaskan sendiri oleh DYTM Raja Muda Selangor dengan objektif memperkasa golongan usahawan OKU di negeri Selangor.

Bagi edisi kali ini, sebanyak 30 penyertaan diterima sebelum 10 peserta terbaik dipilih untuk membuat pembentangan cadangan perniagaan mereka di hadapan panel juri profesional, diketuai oleh DYTM Raja Muda Selangor.

Majlis penuh inspirasi itu turut diserikan dengan kehadiran Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi, yang menegaskan kerajaan negeri komited untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk komuniti OKU, diberi ruang dan peluang yang adil dalam pembangunan ekonomi negeri.

Menurut beliau, pelbagai potensi luar biasa telah ditampilkan oleh peserta dalam SAY LEAD tahun ini, khususnya dalam bidang makanan, minuman, kraftangan dan perkhidmatan seperti dobi.

Salah seorang peserta, Norhaiza Selamat, menarik perhatian juri dengan produk beg tangan berasaskan kain batik yang bukan sahaja berfungsi, tetapi juga bercirikan keunikan tempatan yang mampu menembusi pasaran lebih luas.

Seorang lagi peserta yang mencuri perhatian ialah Aiman, usahawan muda dalam lingkungan usia 20-an yang menghidap autisme.

Melalui bakat dan ketekunan, beliau berjaya menghasilkan produk kraftangan berasaskan tumbuhan semula jadi yang tampil kreatif dan bernilai estetik tinggi.

Karya beliau menjadi simbol kepada kemampuan dan daya cipta luar biasa dalam kalangan usahawan muda berkeperluan khas.

Edisi kali ini juga menyaksikan penglibatan aktif usahawan wanita, dengan tujuh daripada sepuluh finalis terdiri daripada peserta wanita OKU.

Ini sekaligus memperlihatkan peranan penting yang dimainkan oleh wanita, termasuk golongan istimewa, dalam memacu ekosistem keusahawanan negeri.

SAY LEAD 2025 telah bermula sejak Mei lalu, dengan penglibatan peserta dalam pelbagai modul pembangunan perniagaan termasuk profil keusahawanan, penjenamaan dan pemasaran digital, pengurusan kewangan, serta sesi perkongsian bersama agensi berkaitan.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor dalam mengenal pasti peserta berkelayakan.

Dalam memastikan kelangsungan program, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tampil menyumbang dana sebanyak RM20,000 serta menyediakan bimbingan dan geran perniagaan kepada para pemenang.

Google turut menaja sebahagian pelaksanaan program ini, menandakan kerjasama strategik antara sektor kerajaan dan swasta dalam memperkasa komuniti OKU.

Tiga peserta yang diumumkan sebagai pemenang bagi SAY LEAD Edisi Keenam ini ialah Nur Sabrina Md Salleh, 30, yang merangkul gelaran juara, diikuti oleh Norhaiza Selamat, 45, sebagai naib juara dan Nor Azura Othman, 44, yang menduduki tempat ketiga.

Mereka masing-masing menerima piala dan sijil pengiktirafan, geran perniagaan berjumlah RM5,000, RM4,000 dan RM3,000, serta akses eksklusif ke dalam program lanjutan SAY LEAD+ selama tiga bulan.

Program lanjutan ini memberi bimbingan dalam aspek pasaran digital, eksport produk serta penyertaan dalam reruai promosi secara percuma.

Selain itu, dua peserta turut menerima pengiktirafan khas sebagai Usahawan Harapan atas potensi besar dan nilai inovatif yang ditampilkan sepanjang program.

Peserta SAY LEAD juga bakal menerima sistem POS tajaan Yayasan MBI Selangor dan laman sesawang perniagaan secara percuma yang dibangunkan oleh App Engage, sebagai sokongan awal untuk mengembangkan kehadiran perniagaan mereka secara digital.

Melalui inisiatif ini, Selangor sekali lagi menzahirkan komitmennya untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan.

Dengan gabungan sokongan kerajaan negeri, agensi berkaitan dan sektor swasta, SAY LEAD bukan sekadar platform pengiktirafan, malah merupakan batu loncatan untuk melahirkan usahawan OKU yang berdaya saing, berdikari dan mampu menembusi pasaran global.

Filem Gayong kembali ke pawagam dalam Versi ‘Director’s Cut’ sempena sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 dan Hari Malaysia, filem Gayong bakal ditayangkan semula di pawagam dalam versi khas ‘Director’s Cut’ bermula 28 Ogos hingga 17 September ini.

Tayangan semula ini adalah inisiatif syarikat produksi SOL Pictures Sdn. Bhd. dan pengedar Empire Film Solution, dengan kerjasama rangkaian pawagam TGV Cinemas di seluruh negara.

Langkah ini diambil sebagai usaha menyemarakkan sambutan dua tarikh bersejarah negara menerusi karya sinematik yang membawa mesej semangat perjuangan, jati diri dan perpaduan rakyat Malaysia.

Penerbit Eksekutifnya, Khairul Anuar Latip berkata, tayangan semula filem ini diharap dapat memberi peluang kedua kepada penonton yang sebelum ini tidak berkesempatan menontonnya ketika ia mula ditayangkan pada 5 Mei lalu.

“Ketika tayangan sebelum ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Namun kami sedar masih ramai yang belum sempat menyaksikannya.

“Oleh itu, kami mengambil peluang ini untuk membawanya semula ke layar perak, khusus sempena sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia,” katanya.

Khairul berkata, pemilihan Gayong untuk tayangan semula juga bertepatan dengan tema perjuangan yang diketengahkan dalam filem berkenaan, yang mengisahkan seorang tokoh yang memperjuangkan maruah bangsa, agama dan tanah air daripada cengkaman penjajah.

Filem Gayong arahan Faisal Ishak diangkat daripada kisah benar mengenai Pengasas Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), dan menampilkan barisan pelakon ternama seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip serta pelakon aksi terkenal Indonesia, Yayan Ruhian.

Istimewanya, tayangan semula kali ini membawakan versi ‘Director’s Cut’ yang memuatkan babak-babak tambahan serta pembaharuan daripada sudut pengarahan dan suntingan, selain menyelitkan klip eksklusif daripada Gayong 2, sambungan kepada filem ini yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.

“Versi ini lebih menarik dan istimewa kerana ia bukan sekadar tayangan semula, tetapi versi yang dipertingkatkan.

“Penonton juga berpeluang melihat sedikit ‘sneak peek’ babak daripada Gayong 2, yang pasti akan mengujakan peminat,” katanya.

Tayangan filem ini akan berlangsung di semua cawangan TGV Cinemas seluruh Malaysia dengan harga tiket yang berpatutan, iaitu hanya RM10.

Dalam pada itu, Khairul turut menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk badan kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu tanpa mengira latar belakang politik agar hadir beramai-ramai menyokong filem ini.

Gayong bukan sekadar hiburan, tetapi sarat dengan mesej perpaduan, patriotisme dan pengorbanan.

“Ia sangat sesuai untuk ditonton oleh segenap lapisan masyarakat, terutama dalam memperingati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu dalam mempertahankan tanah air,” katanya lagi.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian atau terus di kaunter pawagam. Bagi pihak yang ingin membuat tempahan berkumpulan, maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi semua platform media sosial rasmi filem ini di @filemgayongrasmi.

Didi & Friends: Storytime perkasa inisiatif inklusif Astro bersama komuniti OKU

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam dunia kandungan digital diteruskan apabila Astro dengan kerjasama Warnakala Studios menganjurkan acara istimewa Didi & Friends: Storytime, yang disasarkan khusus buat kanak-kanak daripada Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Acara yang berlangsung di Brickfields itu menyaksikan kehadiran lebih 200 peserta daripada komuniti orang pekak dan warga OKU penglihatan.

Ia bertujuan membudayakan minat membaca dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan penceritaan yang bersifat interaktif, menyeronokkan serta inklusif selaras dengan komitmen Astro dalam menyediakan kandungan yang selamat dan mesra untuk semua.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri; Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU), Pathmanathan A/L R. Nalasamy; Ketua Pegawai Kandungan Astro, Agnes Rozario; Ketua Pegawai Komersial Warnakala Studios, Ched Yusaiddi; Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Dato’ George Thomas; dan Pengarah Komunikasi & Kelestarian Astro, Foo Su Lynn.

Menerusi pendekatan inklusif ini, Astro sekali lagi membuktikan kesungguhan untuk memperluas akses kandungan kepada komuniti yang pelbagai.

Ia termasuk penerbitan Didi & Friends: Storytime dalam versi buku audio, membolehkan kanak-kanak OKU penglihatan menikmati pengalaman penceritaan yang imersif melalui format mesra pendengaran.

Nancy dalam ucapannya menyifatkan inisiatif itu sebagai contoh terbaik bagaimana media mampu menyumbang kepada pembentukan literasi awal kanak-kanak.

“Siri Didi & Friends: Storytime berjaya menggabungkan elemen penceritaan yang menyeronokkan dengan pendekatan pembelajaran yang menyeluruh.

“Paling penting, acara ini membuktikan bahawa semua kanak-kanak tanpa mengira latar keupayaan boleh bersama-sama belajar, berimaginasi dan membina keyakinan diri,” katanya.

Acara yang penuh warna-warni itu turut menampilkan persembahan maskot kesayangan kanak-kanak, Didi & Friends, di samping sesi bercerita bersama ‘Abang Paan’ dan tayangan awal episod versi audio.

Untuk memastikan keterangkuman sepenuhnya, jurubahasa isyarat daripada MFD hadir menyediakan interpretasi langsung dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) sepanjang program berlangsung.

Menariknya, satu episod istimewa Didi & Friends turut diterbitkan dalam versi BIM bersama lagu khas yang ditayangkan pada majlis berkenaan, membuktikan bahawa kandungan mesra OKU kini bukan lagi sekadar tambahan tetapi keperluan asas yang diraikan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kandungan Astro Agnes Rozario, berkata inisiatif seperti ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Astro untuk memperkasa komuniti dengan kandungan tempatan yang mewakili semua lapisan masyarakat.

“Kami mahu semua kanak-kanak tidak kira latar belakang atau keupayaan berpeluang menikmati kandungan yang membina nilai, keyakinan dan empati.

“Inklusiviti bukan hanya slogan, ia prinsip penting dalam membina masyarakat yang progresif dan penyayang,” katanya.

Keseluruhan siri Didi & Friends: Storytime akan dilancarkan secara eksklusif menerusi aplikasi Syok sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Enam episod pertama akan mula boleh didengari pada 31 Ogos 2025, manakala baki enam episod seterusnya akan dilancarkan pada 16 September 2025.

Lebih menarik, kesemua episod ini dinarasikan oleh 12 personaliti popular Astro termasuk penyampai radio, pengacara dan pelakon seperti Hani Fadzil (Mix), Anas Tahir (Zayan), Sarah Karmila (Sinar), Hawa Rizwana dan ramai lagi menjadikan koleksi buku audio ini bukan sahaja mendidik, malah penuh warna dan jiwa.

Strim episod baharu Didi & Friends: Storytime setiap hari Jumaat, jam 3 petang di Astro Ceria, Astro GO dan sooka serta jangan lupa muat turun aplikasi Syok secara percuma untuk akses penuh kepada kandungan eksklusif ini.

Astro sekali lagi membuktikan bahawa dalam dunia hiburan dan pendidikan, tiada batas untuk mencipta ruang yang lebih inklusif, adil dan menyeronokkan untuk semua.

Kolaborasi High Cultured dan Bunga perkenal koleksi “Superstar”, satukan gaya dan suara anak muda

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Dunia fesyen jalanan dan muzik hip-hop sekali lagi dipertemukan menerusi satu kolaborasi penuh ekspresi apabila jenama streetwear terkenal tanah air, High Cultured, secara rasmi melancarkan koleksi terbaharu mereka bertajuk “Superstar” hasil kerjasama eksklusif bersama penyanyi rap sensasi, Bunga Isme.

Acara pelancaran koleksi itu berlangsung di butik High Cultured di Central i-City, Shah Alam.

Acara ini bukan sahaja meraikan gabungan dua cabang budaya yang semakin dominan dalam kehidupan generasi muda fesyen dan muzik tetapi turut menandakan detik penting dalam perkembangan budaya pop tempatan.

Koleksi “Superstar” lahir daripada kisah peribadi dan perjalanan seni Bunga dalam dunia muzik tanah air.

Item utama koleksi, iaitu “Superstar Baseball Shirt”, direka dengan tampalan angka “19” yang membawa makna signifikan tahun di mana Bunga mula menjejakkan kaki ke pentas, memulakan langkah berani dalam membina nama dalam arena hip-hop tempatan.

Dengan rekaan oversized yang bergaya, sulaman berkualiti tinggi dan keselesaan uniseks, koleksi ini dicipta sebagai satu lambang keyakinan dan keaslian.

Pengarah Kreatif High Cultured, Kazuya Higa berkata, kerjasama ini mewakili lebih daripada sekadar kolaborasi produk fesyen.

“High Cultured sentiasa menjadi lebih daripada sekadar pakaian ia adalah budaya. Bekerjasama dengan Bunga adalah cara kami meraikan generasi yang berani berdiri teguh dan menyuarakan identiti mereka.

“Koleksi Superstar ini adalah simbol kepada semangat itu,” katanya.

Bagi Bunga sendiri, koleksi ini mengangkat nilai sentimental dan semangat perjuangan.

Dia menyatakan keterujaannya kerana dapat meluahkan naratif peribadi melalui medium fesyen.

“Kolaborasi ini sangat istimewa buat saya. Angka ‘19’ itu bukan sekadar nombor ia lambang kepada permulaan saya dalam industri muzik.

“Saya mahu sesiapa yang memakai koleksi ini turut merasa keyakinan dan tenaga yang sama seperti saya ketika berada di atas pentas berani, real dan tak terhentikan,” katanya.

Acara pelancaran itu turut menampilkan persembahan muzik secara langsung, sesi bertemu peminat dan peluang eksklusif untuk menjadi antara yang pertama memiliki koleksi yang bakal mencetuskan fenomena gaya dalam kalangan peminat streetwear tanah air.

Koleksi “Superstar” akan mula dijual secara rasmi di semua butik High Cultured dan platform dalam talian mereka selepas pelancaran.

Dengan permintaan awal yang dijangka tinggi, peminat disarankan untuk mendapatkan koleksi ini seawal mungkin.

Gabungan gaya dan suara dalam kolaborasi ini membuktikan bahawa budaya tempatan kini bukan sahaja berdaya saing tetapi juga mampu mencipta identiti tersendiri.

High Cultured dan Bunga mengangkat maksud sebenar “Superstar” menjadi diri sendiri dengan penuh keyakinan, dalam apa jua ruang yang diterokai.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian koleksi, orang ramai boleh melayari laman web rasmi High Cultured atau mengunjungi butik mereka yang berdekatan.

BMC Family 360° gegar Kajang, Nabila Razali dilantik duta acara

editormaxinfo@gmail.com

KAJANG – Penyanyi dan figura terkenal tanah air, Nabila Razali, diumumkan secara rasmi sebagai Jurucakap Acara BMC Family 360°, sebuah pesta dan karnival keluarga berskala besar yang bakal berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras dari 19 hingga 21 September ini.

Dengan tema “A Step to the Future”, acara ini dianjurkan oleh AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi.

Ia diiktiraf sebagai antara acara komuniti berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) yang terbesar di Malaysia bagi tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AI Global, Prof. Dr. Ng Kheng Lun berkata, BMC Family 360° bukan sekadar karnival biasa, tetapi sebuah platform kolektif untuk mendidik dan memperkukuh nilai kekeluargaan, gaya hidup lestari dan keterlibatan komuniti secara holistik.

“Acara ini menjadi medan untuk seluruh keluarga melangkah ke masa depan dengan lebih berdaya tahan.

“Kami percaya kekuatan sesebuah keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang makmur dan harmoni,” katanya.

Pelantikan Nabila Razali sebagai jurucakap acara disifatkan sebagai langkah strategik untuk menarik minat generasi muda dan keluarga moden.

Personalitinya yang disenangi, ditambah pula dengan peranan beliau sebagai ibu, isteri dan wanita berkerjaya, menjadikan Nabila simbol ideal kepada nilai-nilai yang diangkat melalui acara ini.

Mengulas pembabitannya, Nabila mengakui rasa teruja kerana dapat menyumbang dalam acara yang memberi penekanan kepada masa depan keluarga dan pembangunan mampan.

“Sebagai seorang ibu dan wanita bekerjaya, saya sendiri menyedari betapa pentingnya keseimbangan dalam membina keluarga yang mampan.

“Melalui pendedahan kepada SDG, saya faham bahawa kemampanan bukan sekadar tentang alam sekitar, tetapi turut melibatkan aspek sosial dan ekonomi,” katanya.

Sepanjang acara berlangsung, Nabila dijadualkan menyertai beberapa segmen utama termasuk sesi bertemu peminat, persembahan khas, serta pelbagai aktiviti promosi menjelang acara utama.

Acara BMC Family 360° bakal menampilkan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Antaranya termasuk pameran dan showcase interaktif daripada agensi kerajaan, syarikat swasta dan NGO yang menyokong kesemua 17 prinsip UN SDG.

Turut diadakan ialah pertandingan e-sukan, ruang permainan interaktif, mini zoo, serta pameran inovasi melibatkan bidang teknologi, pendidikan, kesihatan dan gaya hidup lestari.

Tidak ketinggalan, pengunjung juga bakal disajikan dengan pertunjukan budaya dan hiburan istimewa yang merangkumi persembahan pentas daripada artis tempatan termasuk penampilan eksklusif daripada Nabila Razali sendiri.

Penganjur menjangkakan lebih 10,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari penganjuran, dengan tumpuan kepada komuniti dari Kajang, Cheras dan seluruh Lembah Klang.

Dalam pada itu, Prof. Ng turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakan strategik dan penaja utama yang menjayakan acara ini.

Menurut beliau, kejayaan acara ini adalah hasil usaha kolektif dalam mengangkat kesedaran awam terhadap kepentingan membina komuniti mampan melalui langkah kecil yang bermakna.

“Tema tahun ini, ‘Selangkah ke Masa Depan’, membawa maksud yang besar. Langkah pertama mungkin kecil, tetapi ia adalah paling penting dan selalunya yang paling mencabar.

“Namun, dengan sokongan bersama, kita mampu memulakan perubahan untuk masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dengan pengisian yang menyeluruh, pendekatan mesra keluarga dan kehadiran ikon inspirasi seperti Nabila Razali, BMC Family 360° dijangka menjadi acara keluarga yang bukan sahaja menghibur, malah memperkasakan masyarakat ke arah pembangunan mampan dan sejahtera.