32.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 19, 2026

PTTI perluas akses pendidikan berkualiti ke Beluran, 500 calon SPM sertai program jelajah Skor A+

editormaxinfo@gmail.com

BELURAN – Usaha memperluas akses kepada pendidikan berkualiti diteruskan oleh PTTI Group Sdn. Bhd., apabila pusat tuisyen yang mencatat rekod tertinggi pelajar memperoleh gred A dalam SPM 2024 itu menganjurkan Program Jelajah Skor A+ SPM di daerah Beluran, Sabah.

Program ini diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Beluran dengan kerjasama rapat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Beluran dan Kelab Nuri Bank Rakyat.

Menarik perhatian seramai 500 calon SPM dari lima sekolah menengah sekitar daerah terbabit, program ini membuktikan komitmen PTTI dalam memastikan peluang kecemerlangan akademik dapat dicapai oleh semua murid termasuk mereka yang berada jauh dari pusat bandar.

Peserta terdiri daripada pelajar SMK Beluran II, SMK Balaban Jaya, SMK Pamol, SMK Simpangan dan SMK Terusan Sugut.

Melalui pendekatan pembelajaran berfokuskan keputusan, pelajar telah didedahkan kepada strategi menjawab soalan secara efektif dan teknik pemahaman pantas dalam subjek Matematik dan Sejarah dua kertas penting dalam peperiksaan SPM.

Sesi ini dikendalikan oleh barisan tenaga pengajar PTTI yang berpengalaman dan dikenali menerusi kaedah pembelajaran interaktif serta pendekatan mesra pelajar.

Menariknya, program ini turut diselitkan dengan elemen pendidikan kewangan, hasil kolaborasi bersama Kelab Nuri Bank Rakyat, yang membuka ruang kepada peserta untuk memahami asas pengurusan wang dan kepentingan menabung sejak usia muda selari dengan inisiatif literasi kewangan yang digalakkan oleh Bank Negara Malaysia.

Sebagai nilai tambah kepada peserta, PTTI menaja pembukaan akaun Kelab Nuri Bank Rakyat untuk semua murid yang hadir, selain menyediakan modul pembelajaran percuma yang boleh digunakan sebagai bahan ulang kaji menjelang peperiksaan sebenar.

Timbalan Naib Presiden Komunikasi Strategik PTTI Group Sdn. Bhd., Dr. Muhammad Faizul berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membolehkan murid luar bandar menikmati pendekatan pembelajaran yang telah terbukti berjaya di peringkat nasional.

“Kami di PTTI yakin bahawa setiap pelajar mempunyai potensi untuk cemerlang, asalkan diberikan pendekatan pembelajaran yang tepat.

“Formula rahsia Skor A+ ini telah membantu ribuan pelajar mencapai keputusan cemerlang, dan kami mahu manfaat ini dirasai oleh pelajar-pelajar di Beluran,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Beluran, Dr. Nancy, turut menyambut baik penganjuran program ini yang menurut beliau, memberikan impak besar bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi juga dari sudut pembangunan kendiri pelajar.

“Program ini bukan sekadar persiapan akademik semata-mata. Ia juga menyediakan pelajar dengan kemahiran kewangan asas yang berguna dalam kehidupan mereka selepas tamat sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Deposit Bank Rakyat, Azilla Nasarudin berkata, pelaburan dalam pendidikan dan celik kewangan adalah langkah penting dalam melahirkan generasi muda yang bertanggungjawab serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Kami percaya kedua-dua elemen ini pendidikan akademik dan literasi kewangan perlu digabungkan sejak awal.

“Pembukaan akaun Kelab Nuri kepada pelajar ini adalah satu langkah awal ke arah membentuk sikap menabung dan bijak mengurus kewangan,” katanya.

Dengan misi menjadikan pendidikan berkualiti sebagai satu realiti yang boleh dicapai oleh semua, PTTI sekali lagi membuktikan bahawa lokasi bukanlah penghalang untuk mencapai kecemerlangan.

Kejayaan Program Jelajah Skor A+ di Beluran menjadi bukti nyata bahawa apabila sokongan, pendekatan dan peluang disediakan, pelajar luar bandar mampu bersaing setaraf dengan rakan-rakan mereka di bandar.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular