27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026

Filem Gayong kembali ke pawagam dalam Versi ‘Director’s Cut’ sempena sambutan Kemerdekaan dan Hari Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 dan Hari Malaysia, filem Gayong bakal ditayangkan semula di pawagam dalam versi khas ‘Director’s Cut’ bermula 28 Ogos hingga 17 September ini.

Tayangan semula ini adalah inisiatif syarikat produksi SOL Pictures Sdn. Bhd. dan pengedar Empire Film Solution, dengan kerjasama rangkaian pawagam TGV Cinemas di seluruh negara.

Langkah ini diambil sebagai usaha menyemarakkan sambutan dua tarikh bersejarah negara menerusi karya sinematik yang membawa mesej semangat perjuangan, jati diri dan perpaduan rakyat Malaysia.

Penerbit Eksekutifnya, Khairul Anuar Latip berkata, tayangan semula filem ini diharap dapat memberi peluang kedua kepada penonton yang sebelum ini tidak berkesempatan menontonnya ketika ia mula ditayangkan pada 5 Mei lalu.

“Ketika tayangan sebelum ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Namun kami sedar masih ramai yang belum sempat menyaksikannya.

“Oleh itu, kami mengambil peluang ini untuk membawanya semula ke layar perak, khusus sempena sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia,” katanya.

Khairul berkata, pemilihan Gayong untuk tayangan semula juga bertepatan dengan tema perjuangan yang diketengahkan dalam filem berkenaan, yang mengisahkan seorang tokoh yang memperjuangkan maruah bangsa, agama dan tanah air daripada cengkaman penjajah.

Filem Gayong arahan Faisal Ishak diangkat daripada kisah benar mengenai Pengasas Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), dan menampilkan barisan pelakon ternama seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip serta pelakon aksi terkenal Indonesia, Yayan Ruhian.

Istimewanya, tayangan semula kali ini membawakan versi ‘Director’s Cut’ yang memuatkan babak-babak tambahan serta pembaharuan daripada sudut pengarahan dan suntingan, selain menyelitkan klip eksklusif daripada Gayong 2, sambungan kepada filem ini yang dijangka ditayangkan pada tahun hadapan.

“Versi ini lebih menarik dan istimewa kerana ia bukan sekadar tayangan semula, tetapi versi yang dipertingkatkan.

“Penonton juga berpeluang melihat sedikit ‘sneak peek’ babak daripada Gayong 2, yang pasti akan mengujakan peminat,” katanya.

Tayangan filem ini akan berlangsung di semua cawangan TGV Cinemas seluruh Malaysia dengan harga tiket yang berpatutan, iaitu hanya RM10.

Dalam pada itu, Khairul turut menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk badan kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta individu tanpa mengira latar belakang politik agar hadir beramai-ramai menyokong filem ini.

Gayong bukan sekadar hiburan, tetapi sarat dengan mesej perpaduan, patriotisme dan pengorbanan.

“Ia sangat sesuai untuk ditonton oleh segenap lapisan masyarakat, terutama dalam memperingati perjuangan tokoh-tokoh terdahulu dalam mempertahankan tanah air,” katanya lagi.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian atau terus di kaunter pawagam. Bagi pihak yang ingin membuat tempahan berkumpulan, maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi semua platform media sosial rasmi filem ini di @filemgayongrasmi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular