27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 30, 2026

PTTI bawa sinar harapan baharu kepada calon SPM Kudat

editormaxinfo@gmail.com

KUDAT – Dalam usaha menyemarakkan semangat dan keyakinan dalam kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan luar bandar, PTTI Group Sdn. Bhd. telah menganjurkan Program Jelajah Skor A+ SPM di Dewan Hakka, Kudat pada 11 dan 12 Ogos lalu.

Program intensif dua hari ini mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Kudat, serta Kelab Nuri Bank Rakyat.

Seramai 1,000 orang pelajar tingkatan lima dari sembilan buah sekolah menengah di sekitar Kudat telah menyertai program ini, yang memberi tumpuan kepada penguasaan empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Sejarah.

Sesi pengajaran dikendalikan oleh barisan guru profesional PTTI yang berkongsi teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan, selain memperkenalkan formula rahsia yang telah membantu ribuan pelajar sebelum ini meraih keputusan cemerlang.

Program ini bukan sekadar kelas tambahan biasa. Ia turut menyuntik elemen motivasi, teknik pengurusan masa, dan pembinaan keyakinan diri aspek penting yang sering menjadi kekangan kepada pelajar di kawasan luar bandar.

Dengan pendekatan yang interaktif dan mesra pelajar, program ini berjaya mencipta suasana pembelajaran yang menyeronokkan namun padat dengan ilmu berguna.

Lebih menarik, program ini turut diserikan dengan slot literasi kewangan kendalian Kelab Nuri Bank Rakyat.

Peserta diberi pendedahan awal tentang asas pengurusan kewangan, termasuk kepentingan menyimpan dan merancang perbelanjaan kemahiran penting dalam kehidupan moden.

Inisiatif ini turut disokong dengan penajaan pembukaan akaun Kelab Nuri serta pemberian modul pembelajaran percuma kepada semua peserta.

Eksekutif Kanan Komunikasi Strategik PTTI, Eizlan Haikal Eusop berkata, program ini lahir daripada kepercayaan bahawa setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat peluang yang sama untuk cemerlang dalam akademik.

“Kami percaya dengan bimbingan yang betul dan suasana pembelajaran yang positif, pelajar mampu mengubah nasib mereka.

“PTTI bukan sekadar mengajar, kami hadir untuk membina keyakinan dan menyemai aspirasi kejayaan dalam diri setiap peserta,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kudat (Sektor Pembelajaran), Sharif Zainal Abiddin Sharif Shek berkata, pihaknya melahirkan penghargaan terhadap sinergi yang wujud antara agensi kerajaan dan pihak swasta dalam menjayakan program seperti ini.

“Sokongan seperti ini amat kami hargai, terutama dalam konteks pendidikan luar bandar.

“Ia membuktikan bahawa apabila semua pihak berganding bahu, kita mampu mencipta impak yang besar kepada masa depan anak-anak kita,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Deposit Bank Rakyat, Azilla Nasarudin berkata, penglibatan Kelab Nuri adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bank Rakyat untuk melahirkan generasi celik kewangan.

“Kami mahu pelajar bukan hanya pandai di atas kertas, tetapi juga bijak mengurus kewangan.

“Pendidikan kewangan yang diterapkan sejak usia muda akan memberi kesan jangka panjang yang positif,” katanya.

Program Jelajah Skor A+ SPM ini adalah sebahagian daripada misi jangka panjang PTTI untuk membawa akses pendidikan berkualiti tinggi ke seluruh negara.

Dengan reputasi sebagai pusat tuisyen paling banyak melahirkan pelajar semua A dalam keputusan SPM 2024, PTTI terus mengorak langkah membawa pendidikan cemerlang ke seluruh pelusuk tanah air termasuk di daerah yang jauh dari arus pembangunan utama seperti Kudat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular