25.3 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Minggu pertama TTMM, Alif Syukri & Ammayan buat post mortem ‘Pecah Teruk’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program terbaharu terbitan Astro, Talk To My Manager (TTMM), membuka tirai siarannya dengan penuh meriah dan menerima sambutan hangat sejak episod pertamanya disiarkan pada 24 Ogos lalu di saluran Astro Ria (104).

Mengisi slot utama pada jam 9 malam, rancangan ini segera mencuri perhatian ramai apabila menampilkan konsep unik yang mengangkat legasi hiburan keluarga dalam industri seni tanah air.

Berbeza daripada program hiburan konvensional, TTMM membawa pendekatan segar yang mempertemukan pasangan ibu atau bapa bersama anak mereka yang sudah mempunyai jenama tersendiri dalam dunia hiburan.

Menariknya, hubungan kekeluargaan ini dibawa masuk ke dalam format realiti yang memperlihatkan dinamika sebenar antara anak sebagai bakat utama dan ibu atau bapa sebagai pengurus satu pendedahan yang jarang sekali diketengahkan dalam sesebuah program televisyen.

Antara barisan peserta yang mengambil bahagian termasuk nama-nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni, antaranya pasangan ibu dan anak seperti Siti Saerah dan Amad, Sharifah Shahirah dan Audrra, Sharifah Zarina dan Athalia, Liza Hanim dan Marsya, serta Ina Naim dan Hadie.

Turut serta ialah pasangan bapa dan anak seperti Ameng dan Ammar, Shuib dan Thalita, serta pengarah terkenal Aziz M. Osman bersama puterinya, Ara Aziz.

Walau barisan peserta yang cukup kuat sudah cukup untuk menjadikan program ini tular, kemunculan istimewa Dato’ Alif Syukri dan anaknya, Ammar Ahyan atau lebih dikenali sebagai Ammayan, turut mencuri perhatian ramai.

Walaupun bukan sebahagian daripada peserta utama, gandingan dua beranak ini diberikan tanggungjawab mengendalikan Post Mortem TTMM yang bersiaran sejurus selepas program utama, tepat jam 11 malam.

Perbezaan karakter antara Alif dan Ammayan menjadi ramuan utama yang menyuntik elemen humor dalam program berkenaan.

Jika Alif dengan gaya selambanya sering kali tersasul dan mencetus kekecohan spontan, Ammayan pula tampil tenang, serius dan berdisiplin mengikut skrip mencipta kontras yang cukup menghiburkan.

Gandingan yang tidak dijangka ini nyata membawa warna baharu dalam dunia pengacaraan hiburan televisyen tempatan.

Gelagat dua beranak itu juga menjadi tular di media sosial, dengan warganet berkongsi momen-momen lucu mereka sepanjang siaran.

Antaranya termasuk babak Ammayan secara tiba-tiba memberi salam kepada Datuk Syafinaz sewaktu sesi penilaian nyanyian, dan aksi tekalnya menegur cara sapaan terhadap Liza Hanim enggan menggunakan gelaran ‘aunty’ dan lebih memilih “puan” mengikut skrip rasmi pengacara.

Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh berkata, pemilihan Alif Syukri dan Ammayan sebagai hos Post Mortem TTMM adalah keputusan yang tepat dan seiring dengan visi program.

Beliau menjelaskan bahawa aura kedua-dua personaliti itu, walaupun berbeza gaya, mempunyai daya tarikan tersendiri yang mampu menambat hati penonton.

“Alif dan Ammayan memiliki kekuatan masing-masing. Alif lebih spontan dan bersahaja, manakala Ammayan pula tampil kekok tetapi jujur dan tenang.

“Gabungan ini berjaya mewujudkan suasana santai yang menghiburkan. Malah, hubungan rapat antara mereka juga mempamerkan nilai kekeluargaan yang kami ingin ketengahkan dalam program ini,” katanya.

Talk To My Manager turut mendapat sentuhan profesional daripada dua juri tetap berpengaruh dalam industri iaitu Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal, dengan sistem pemarkahan 100 peratus dikendalikan sepenuhnya oleh barisan juri.

Program ini boleh ditonton secara langsung di Astro Ria, dan juga melalui penstriman di platform On Demand, Astro GO dan Sooka bagi penonton yang mahu mengikuti perjalanan hiburan keluarga ini di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Dengan gabungan peserta hebat, konsep unik dan gandingan pengacara yang tidak dijangka, Talk To My Manager bukan sahaja mengangkat nilai hiburan, malah mengetengahkan hubungan kekeluargaan dalam konteks seni yang lebih mendalam dan bermakna menjadikannya antara program paling dinanti untuk musim ini.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular