31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

UTV buka era baharu penstriman digital, angkat karya tempatan ke arus perdana

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia penstriman digital tanah air menerima suntikan baharu dengan pelancaran UTV, sebuah platform Over-The-Top (OTT) yang memberi nafas segar kepada industri hiburan tempatan.

UTV bukan sekadar platform tontonan, sebaliknya turut bertindak sebagai medan pencungkil bakat dan pemangkin karya kreatif anak tempatan.

Dilancarkan oleh Usanita Sdn Bhd, UTV membawa tagline “Stream For You”, sebagai manifestasi komitmennya untuk menawarkan kandungan yang memenuhi cita rasa pelbagai lapisan penonton, sambil menyediakan ruang buat penerbit, penulis skrip dan kreator berkongsi hasil kerja mereka.

Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan, atau lebih mesra dikenali sebagai Datuk Nana, menyifatkan UTV sebagai wadah yang lahir daripada keperluan sebenar industri satu platform yang merapatkan jurang antara bakat dan peluang.

“Ramai kreator tempatan memiliki potensi besar. Malangnya, tiada ruang untuk mereka tampil.

“Dengan UTV, kami mahu menjadi jambatan itu tempat di mana idea yang tersimpan selama ini dapat diterjemahkan menjadi tontonan berkualiti,” katanya.

Berbeza daripada platform langganan biasa, UTV mengambil pendekatan ‘Pay Per Content’, iaitu pengguna hanya membayar untuk kandungan yang mereka ingin tonton.

Model ini membolehkan penonton menikmati kebebasan memilih tanpa komitmen langganan bulanan, sekaligus memberi nilai tersendiri kepada setiap karya yang ditayangkan.

Antara keistimewaan utama UTV ialah kesediaannya menerima pitching terbuka daripada semua peringkat tanpa mengira latar belakang atau saiz syarikat produksi.

Mesejnya jelas jika anda ada idea, UTV sedia mendengar dan menilai.

“Kami tahu ada skrip yang disimpan bertahun-tahun, sinopsis yang sudah lengkap namun belum ada laluan untuk direalisasikan.

“Di UTV, kami membuka pintu. Hantar kepada kami jika ada potensi, kami bukan sahaja akan mempertimbangkannya, malah turut membimbing dari segi pembangunan kandungan,” katanya.

Usaha ini sejajar dengan hasrat UTV untuk memartabatkan hasil seni tempatan sebagai produk yang mampu bersaing bukan sahaja dalam negara, bahkan di peringkat antarabangsa.

Penggiat seni yang berminat boleh menghantar karya mereka melalui e-mel support@utv.com.my atau mesej di laman sosial Instagram @utv.official dan TikTok @utvoriginal.

UTV tampil dengan lima segmen utama yang merangkumi pelbagai bentuk kandungan menarik iaitu:

-UTV Original: Telefilem dan drama eksklusif berkualiti tinggi, antaranya Saling Tak Terlihat, Langit Tanpa Bintang, Diari Air Mata, Poskad Cinta Dari Auckland, Anak Mak, Aku Cinta Dia dan Hantu Cinta Kamu.

-UTV Music: Menyajikan persembahan muzik istimewa seperti Showcase Janji oleh Dayang Nurfaizah dan A Night With Aina Abdul 3.0.

-UTV Podcast: Platform wacana dan perbincangan terkini melalui rancangan seperti Hitam Putih, Ruang Usanita dan Next Gen Ummah.

-UTV Talkshow: Bual bicara santai yang memberi inspirasi seperti Unwrapped: Kisah Disebalik Spotlight dan Cook With Sheila Rusly.

-UTV Smart: Kandungan berbentuk pendidikan dan motivasi seperti Bootcamp Usanita dan Online Business Game 101 with Zoey Rahman.

Dengan pelancaran ini, UTV dilihat bukan sahaja membawa angin baharu dalam landskap hiburan digital, tetapi turut memperkukuh ekosistem seni dan budaya negara.

Ia memberi isyarat jelas bahawa Malaysia bersedia melangkah ke hadapan dengan karya tempatan yang tidak hanya menghibur, tetapi juga mendidik dan membina jati diri bangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular