editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sebuah pentas muzik baharu bakal memeriahkan kalendar hiburan tempatan apabila Panggung Purnama menghimpunkan tiga figura seni dari Malaysia dan Indonesia untuk sebuah malam yang dijangka menjadi antara detik paling diingati peminat muzik.
Bakal berlangsung pada 28 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur, konsert ini diterajui oleh penyanyi dan komposer prolifik Indonesia, Pamungkas, yang turut memilih acara ini sebagai platform eksklusif untuk mempersembahkan single terbaharunya yang berjudul “Sambung” buat kali pertama di hadapan peminat.
“Judulnya Sambung, single terbaru saya yang akan dilancarkan pada 12 September ini.
“Saya akan menyanyikannya secara langsung buat kali pertama di Panggung Purnama,” kata Pamungkas menerusi satu sesi temu bual maya yang diadakan di Bijou Cafe, Ara Damansara, baru-baru ini.

Acara ini dianjurkan oleh UdaraLaskhar, yang buat pertama kalinya menganjurkan Panggung Purnama dengan menampilkan barisan pemuzik yang bukan sahaja memiliki reputasi tinggi, tetapi juga mempunyai pengikut setia dari pelbagai latar umur.
Selain Pamungkas, Bilal Indrajaya, pemuzik yang dikenali dengan gaya nyanyian penuh emosi dan lirikal yang puitis, turut dijadualkan membuat persembahan.
Wakil dari Malaysia pula tidak lain tidak bukan kumpulan Fugo, yang turut menyifatkan konsert ini sebagai momen istimewa dan “reunion manis” kerana dapat kembali sepentas bersama dua sahabat seni dari seberang.

Ketiga-tiga nama ini membawa kekuatan tersendiri di mana Pamungkas dengan gaya muzik alternatif-pop yang sarat emosi, Bilal Indrajaya dengan sentuhan balada dan puisi moden, manakala Fugo membawa identiti tempatan dengan pendekatan segar dalam muzik kontemporari.
Panggung Purnama bukan sekadar persembahan biasa, malah turut membuka ruang untuk kolaborasi dan kejutan di atas pentas.
Ketika ditanya kemungkinan Pamungkas menggantikan Noh Salleh untuk lagu Yang Tercinta, penyanyi itu tidak menolak kemungkinan itu, meskipun dengan nada berseloroh menyatakan perlu mendapatkan keizinan Noh terlebih dahulu.
Penganjur menyasarkan Panggung Purnama sebagai salah satu konsert penting dalam landskap hiburan tempatan, meskipun bulan September dipenuhi dengan pelbagai acara lain.
Menurut wakil UdaraLaskhar, John Labu, keyakinan terhadap kekuatan barisan pemuzik yang ditampilkan menjadi sandaran utama kejayaan konsert ini.

“Walaupun September mempunyai lambakan konsert, kami percaya Panggung Purnama akan sukses kerana produk yang dipersembahkan. Pamungkas, Bilal Indrajaya dan Fugo mempunyai peminat dan kekuatan tersendiri,” katanya.
Bagi memastikan lebih ramai peminat dapat menikmati konsert ini, penganjur turut menawarkan promosi istimewa “Beli Dua Tiket, Dapat Diskaun 13 peratus” dengan menggunakan kod MDKDUO, bermula 27 Ogos hingga 1 September 2025.
Tiket-tiket boleh didapati melalui laman web www.ilassotickets.com, dengan pilihan harga yang disediakan mengikut kategori iaitu Bintang (RM179), Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399).
Dengan pengisian muzik yang segar, artis berkaliber dan kejutan istimewa, Panggung Purnama dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan tahun ini satu malam yang menjanjikan bukan sekadar hiburan, tetapi pengalaman yang akan terus hidup dalam memori peminat.

