editormaxinfo@gmail.com
KOTA BHARU – Kelantan bakal menjadi tumpuan pencinta warisan dan penggemar makanan tradisional apabila Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 (FCRW2025) dianjurkan selama tiga hari bermula 5 hingga 7 September ini, bertempat di Pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan ini bakal berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 malam setiap hari, menampilkan pelbagai acara budaya, gastronomi dan warisan yang dirangka khusus untuk mengangkat khazanah budaya negeri-negeri Pantai Timur.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, Sultanah Kelantan.
Turut dijangka hadir ialah Ustaz Dato’Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan; Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia; Datuk Kamaruddin Md Nor, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan; serta Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC.
FCRW2025 membawa misi besar untuk memartabat, melestarikan dan mempromosikan makanan warisan negara, khususnya yang telah diiktiraf di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].
Sehingga kini, sebanyak 213 jenis makanan telah menerima pengiktirafan Warisan Kebangsaan termasuklah Nasi Kerabu, Kuih Cek Mek Molek, Jala Emas, Kuih Lompat Tikam dan Budu, antara lain.
Pemilihan negeri Kelantan sebagai lokasi festival adalah bertepatan dengan kekayaan budayanya bukan sahaja dari aspek makanan warisan tetapi juga seni persembahan tradisional seperti Mak Yong, Wayang Kulit, Menora, serta hasil kraftangan seperti Batik, Songket, Wau Bulan dan Gasing, yang telah diiktiraf di peringkat dunia.
Dengan tema “Jom Bekwoh”, festival ini menghidupkan kembali suasana kenduri-kendara tradisional yang semakin dilupakan.
Lebih daripada 60 gerai makanan warisan dari seluruh Kelantan akan menyertai festival ini, dengan penglibatan aktif daripada Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Kelantan dan Malaysian Craft Council.
Makanan yang dipersembahkan termasuk lauk-pauk tradisional, nasi dagang, nasi tumpang, nasi ulam, laksam, kuih-muih warisan serta minuman tradisional dan hasil tani tempatan.
Tidak hanya terhad kepada sajian makanan, pelbagai persembahan seni budaya turut akan memeriahkan festival, antaranya Mak Yong, Dikir Barat, Zapin Salor, Wayang Kulit, Menora, Tarian Asyik, Tarian Singa serta persembahan pergendangan pelbagai kaum, menjadikannya satu persembahan silang budaya yang meriah dan menghiburkan.
Aktiviti utama yang dinanti-nantikan ialah “Jom Bekwoh”, acara memasak beramai-ramai yang bakal menyaksikan komuniti pelbagai daerah di Kelantan bergabung tenaga menyajikan masakan tradisi seperti gulai kawah, kerabu beko, gulai daun kilek dan ikan bekok.
Selain itu, pelbagai pertandingan turut dianjurkan termasuk pertandingan memasak tradisional antara hotel-hotel tempatan, pertandingan belah kukur nyior, perah santan, gubahan pulut kuning dan sireh junjung, serta pertandingan fotografi dan video promosi makanan warisan.

Turut mencuri tumpuan ialah acara unik “fun walk hungga semutar” iaitu larian santai dengan peserta mengenakan semutar, simbolik kepada warisan budaya negeri Cik Siti Wan Kembang.
Sebagai tambahan istimewa, makanan warisan yang hampir pupus seperti Itik Solor, Nasi 100, Apam Bakar dan Ros Lidah juga akan diketengahkan, membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghargai sajian bersejarah yang jarang ditemui.
Bersempena dengan festival ini, turut diadakan sesi perkongsian khas bertajuk “Kota Bharu as a Creative City of Gastronomy”, selari dengan usaha Kerajaan Negeri Kelantan mengangkat Kota Bharu sebagai bandar kedua di Malaysia selepas Kuching untuk meraih pengiktirafan UNESCO dalam kategori gastronomi.
Penganjuran FCRW2025 sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI serta dasar DAKEN (Dasar Kebudayaan Negara), yang menekankan kepentingan budaya sebagai aset ekonomi dan diplomasi.
MOTAC komited melalui sokongan seperti Geran Sektor Kebudayaan (GSSK) dan Geran Sektor Pelancongan (GSSP) untuk memperkukuh usaha ini.
Lebih daripada sekadar festival, FCRW2025 adalah platform menyatukan komuniti, memperkasa ekonomi setempat dan memupuk rasa bangga terhadap identiti budaya tempatan.
Ia mencerminkan semangat bersama dalam memelihara warisan dan mengekalkan kelestariannya demi generasi akan datang.


https://shorturl.fm/39AEL
https://shorturl.fm/OUUrg