editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Program realiti nyanyian ikonik tanah air, Kilauan Emas, kembali lagi untuk musim terbaharu dengan pembaharuan menyeluruh yang dijangka memberi nafas baharu kepada dunia hiburan tempatan.
Diterbitkan oleh Astro selaku peneraju kandungan dan hiburan negara, Kilauan Emas 2025 bakal bersiaran pada 16 Ogos ini, setiap Sabtu, jam 9 malam di saluran Astro Prima (105).
Berpegang teguh pada komitmen untuk mencungkil dan mengangkat bakat tempatan, Astro memperkenalkan pendekatan yang lebih inklusif tahun ini, termasuk penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun.
Langkah ini memberi peluang lebih luas kepada generasi “otai” untuk menyerlahkan potensi seni mereka di pentas arus perdana.
Pembaharuan format juga mencakupi penyertaan juri awam yang terdiri daripada wartawan serta pelanggan setia Astro, selain pendekatan penceritaan yang lebih menyentuh emosi menjadikan program ini bukan sahaja bersifat kompetitif, malah menyatukan rakyat melalui seni dan muzik.

Sesi uji bakat yang berlangsung pada Mei dan Jun lalu di Miri, Johor dan Shah Alam menyaksikan lebih 500 penyertaan daripada individu pelbagai latar belakang.
Bukan sahaja menonjolkan keupayaan vokal, ramai peserta turut mempamerkan bakat tambahan dalam bidang lakonan dan tarian, memperlihatkan kepelbagaian bakat yang dimiliki oleh golongan berusia 43 tahun ke atas.
Pengurus Saluran Astro Prima, Idlan Zahari berkata, musim 2025 menyaksikan peningkatan ketara dari segi kriteria penyertaan dan format produksi.
Katanya, pihaknya teruja dengan sambutan luar biasa yang diterima daripada masyarakat, sekali gus membuktikan Kilauan Emas bukan sekadar sebuah program hiburan, tetapi juga medan penting untuk menyatukan rakyat melalui minat yang sama terhadap muzik dan seni persembahan.

“Kami juga amat berbesar hati melihat penyertaan daripada individu yang datang daripada keluarga seni.
“Ini membuktikan semangat dan cinta terhadap seni tidak pernah pudar, malah diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.
“Setiap peserta membawa kisah tersendiri dan Kilauan Emas terus menjadi platform untuk mereka membina keyakinan serta mengejar impian,” katanya.
Seramai 12 peserta solo telah dipilih untuk bersaing pada musim ini, terdiri daripada individu berumur antara 43 hingga 65 tahun.
Mereka ialah Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay masing-masing membawa keunikan tersendiri dalam usaha merebut gelaran juara Kilauan Emas 2025.
Mengukuhkan lagi tarikan musim ini ialah barisan personaliti terkenal yang turut terbabit dalam produksi.
Penyanyi dan pelakon popular Elly Mazlein kembali sebagai hos utama, manakala Joey Daud mengendalikan segmen belakang pentas serta Diari Kilauan Emas.
Panel juri menampilkan wajah-wajah tersohor tanah air termasuk Erra Fazira sebagai juri tetap, digandingkan bersama pelawak Roy Azman, serta kemunculan penyanyi bersuara emas Ning Baizura sebagai juri baharu.
Turut diperkenalkan ialah Zarul Husin yang bertindak sebagai hos program Spotlight, yang bersiaran selepas konsert pada jam 11.30 malam.
Segmen Live+ pula akan dikemudikan oleh Keanu Azman dan Sarah Karmila.

Penonton berpeluang mengikuti Kilauan Emas 2025 secara fleksibel melalui platform On Demand menerusi Astro GO, Astro Ultra/Ulti Box, dan aplikasi sooka.
Sepanjang lapan minggu siaran secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam, peserta akan mempersembahkan nyanyian mereka dalam usaha meraih undian dan penilaian juri.
Dalam sistem pemarkahan, sebanyak 70 peratus akan dinilai oleh panel juri profesional, manakala 20 peratus ditentukan oleh juri awam termasuk penonton undangan, dan 10 peratus lagi berdasarkan undian peminat secara dalam talian.
Pemenang utama musim ini akan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 serta trofi sumbangan Astro.
Sebagai tambahan kepada siaran utama konsert mingguan, Astro turut memperkenalkan dua program sampingan untuk menambah keterujaan penonton: Diari Kilauan Emas 2025, bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.30 malam mulai 11 Ogos, menyajikan klip latihan dan persediaan peserta; serta Kapsul Profil Peserta, yang bersiaran setiap Selasa hingga Jumaat jam 3 petang mulai 5 Ogos memfokuskan latar belakang dan kisah inspirasi setiap peserta, termasuk Ezan, Zekrai, Nurul, Nawary, Shah dan Kinar.
Dengan pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan, Kilauan Emas 2025 bukan sahaja tampil sebagai sebuah program hiburan, tetapi juga sebagai satu platform yang memperkasakan golongan otai untuk terus mengejar impian dalam seni suara membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bersinar.
























