27.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 22, 2026

Zee Avi gegarkan pentas penutup YSDAF 2025 bersama lebih 300 artis di Elmina

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan ikon muzik indie Malaysia, Zee Avi, bakal menjadi kemuncak malam penutup Festival Seni Yayasan Sime Darby (YSDAF) 2025, yang dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos, hari ini di Elmina Lakeside Mall, Shah Alam.

Lebih istimewa, seluruh acara ini dibuka secara percuma kepada orang ramai, menjadikannya antara festival seni terbesar dan paling inklusif tahun ini.

Persembahan penutup oleh Zee Avi, yang turut diiringi kumpulannya The Good Things, dijangka menyajikan gabungan memukau antara elemen folk, jazz dan pop satu persembahan yang pasti memikat hati peminat dari pelbagai lapisan umur.

Artis-artis ternama tempatan seperti Kyoto Protocol dan FUGŌ juga akan turut memeriahkan pentas utama, bersama ratusan lagi penggiat seni dalam satu malam yang dijanjikan penuh magis dan kepelbagaian.

Malam finale YSDAF 2025 ini bukan sekadar konsert ia adalah kemuncak kepada jelajah enam bulan festival seni ini yang telah meliputi seluruh Semenanjung Malaysia.

Dari kampung ke bandar, festival ini berjaya membawa seni ke ruang awam dan mendekatkan masyarakat kepada pelbagai bentuk ekspresi kreatif dan penutupnya kali ini disifatkan sebagai edisi paling epik dalam sejarah penganjurannya.

Berlangsung dari jam 4 petang hingga 11 malam, Elmina Lakeside Mall akan bertukar menjadi sebuah pusat seni terbuka dengan lebih 80 acara percuma melibatkan lebih 300 artis dari pelbagai disiplin seni.

Antara yang menjadi tumpuan termasuk Young KL Singers (YKLS), pemenang kategori “Best Of” dalam BOH Cameronian Arts Awards 2025, yang akan mempersembahkan karya bertajuk Spice, Magic and Mystique persembahan vokal yang mengangkat lagu-lagu rakyat Asia Tenggara.

YKLS turut menawarkan pra-tonton konsert tribut mereka kepada band antarabangsa Coldplay, lengkap dengan sesi nyanyian bersama penonton.

Turut mencuri perhatian ialah gabungan persembahan kontemporari dan eksperimental daripada kumpulan MyDance Alliance menerusi Dancing in Place, serta teater fizikal berjudul Berlumba Seperti Arnab oleh Orang Orang Drum Theatre, yang diinspirasikan dari kisah dongeng klasik dan dipersembahkan dengan gaya segar serta ceria.

Antara karya yang cukup dinanti-nantikan ialah DETOUR the Musical, sebuah produksi teater baharu yang menyatukan pelakon kurang daya pendengaran dan pelakon normal pendengaran dalam satu produksi.

Dengan penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), puisi lisan dan muzik, pementasan ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu pengalaman teater inklusif yang menyentuh hati serta membuka mata terhadap kepelbagaian komuniti seni negara.

Dua karya yang menyentuh emosi, Dollah dan Ceritaku, yang sebelum ini dipersembahkan semasa siri jelajah kampung YSDAF, kini kembali dalam versi penuh untuk pentas akhir ini.

Kedua-dua karya tersebut diarahkan oleh pengarah teater prolifik, Christopher Ling, dan ditulis oleh Arsyad Azrai, menjanjikan persembahan bertenaga dan penuh makna.

Penerbit Eksekutif Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) dan YSDAF, Dato’ Dr. Faridah Merican berkata, festival ini bukan sekadar medan pementasan seni, tetapi satu ruang pertemuan dan perpaduan yang menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, akan ada pelbagai persembahan, daripada seni tradisional hinggalah kontemporari, daripada seni tari hingga teater.

“YSDAF 2025 membawa mesej kuat bahawa seni bukan sekadar untuk dipertontonkan, tetapi merupakan hak milik semua rakyat Malaysia.

“Festival ini adalah jemputan untuk kita berkongsi dan menikmati keindahan kreativiti dalam pelbagai bentuk,” katanya.

Pengunjung yang hadir bersama keluarga turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti di ruang Handyzone, yang menampilkan bengkel kreatif seperti seni membuat terrarium, seni marbling air, cetakan skrin, perhiasan perak dan juga kelas seni latte.

Aktiviti ini sesuai untuk semua peringkat umur dan meskipun slot pra-pendaftaran sudah penuh, pengunjung masih berpeluang menyertainya secara walk-in sepanjang hari.

Elmina Lakeside Mall dan kawasan tasik di sekitarnya juga akan dihiasi dengan pelbagai elemen interaktif seperti persembahan jalanan, instalasi seni LED dan bunga, zon seni digital serta sesi drum circle terbuka.

‘Fun Zone’ pula menjanjikan hiburan santai untuk seisi keluarga dengan popcorn dan gula kapas percuma serta permainan berhadiah bernilai lebih RM2,000.

Pengunjung turut boleh menyewa basikal Swift untuk menjelajah kawasan tasik atau bersantai di pavilion seni rekaan pelajar Malaysian Institute of Art (MIA).

Menepati prinsip akses untuk semua, festival ini turut menyediakan kemudahan mesra OKU termasuk tandas khas, laluan kerusi roda dan sokongan dari pasukan Festival Ambassadors yang terlatih.

Perkhidmatan van shuttle percuma juga disediakan sepanjang hari dari kawasan parkir berhampiran, memudahkan pengunjung menikmati festival dengan selesa.

YSDAF 2025 dibawakan oleh Yayasan Sime Darby (YSD) dengan kerjasama klpac, serta disokong oleh Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad, Sime Darby Property Berhad, dan buat julung kalinya, disokong oleh Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2025.

Format baharu yang menjelajah dari kampung ke bandar tahun ini berjaya membawa seni lebih dekat kepada rakyat dan semua ini dilakukan secara percuma.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular