25.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 21, 2026
Home Blog Page 50

ASTAF perkenal SOP khas tangani salah laku dalam STL: Piala Juara-Juara 2025

editormaxinfo@gmail.com

SEREMBAN – Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) mengambil langkah tegas dalam memastikan integriti sukan sepak takraw terus terpelihara apabila memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas bagi menangani kes salah laku pemain serta pegawai pasukan.

Langkah bersejarah ini akan mula dikuatkuasakan secara rasmi sempena kejohanan Liga Sepak Takraw: Piala Juara-Juara (STL-CC) 2025 yang berlangsung di Arena Karisma, Seremban, Negeri Sembilan bermula 3 hingga 7 September ini.

SOP berkenaan diwujudkan susulan beberapa insiden tidak beretika yang berlaku sepanjang siri Grand Prix STL 2025, khususnya di Kuala Lumpur dan Johor Bahru, termasuk tindakan menceroboh gelanggang, membaling botol air, memaki pengadil serta menendang papan iklan.

ASTAF menilai kes-kes ini sebagai perbuatan mencemari maruah sukan dan perlu ditangani segera, lebih-lebih lagi apabila STL-CC 2025 turut disertai pasukan luar negara seperti Ratchaburi dari Thailand, Singapore MGPC, India Fighters, Korea KSTA dan Japan Sepak Takraw.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, SOP ini memberi penekanan terhadap penguatkuasaan tindakan serta-merta terhadap pemain dan pegawai yang melakukan salah laku, termasuk pemberian kad kuning atau merah secara automatik.

“Mereka yang dikenakan kad akan digantung daripada perlawanan seterusnya sehingga laporan rasmi pengadil diterima dan dibawa ke perhatian Wakil Teknikal atau Pengarah Kejohanan.

“Kes akan dibicarakan oleh jawatankuasa tatatertib yang dilantik penganjur sebelum sebarang tindakan selanjutnya dikenakan,” katanya.

Menurut beliau, SOP ini melengkapkan dan memperjelas Fasal 16.4.1, 16.4.2 serta 17.2 Undang-Undang Permainan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Tambahnya lagi, penguatkuasaan ini turut memberi ruang kepada pengadil untuk menjalankan tugas dengan lebih jelas serta melindungi mereka daripada sebarang kecaman tidak berasas.

“Sudah tiba masanya SOP ini dikuatkuasakan dan pada masa yang sama, tanggungjawab serta bidang kuasa pengadil juga perlu dikemaskinikan.

“Kita tidak mahu lagi melihat situasi di mana seorang jurulatih yang telah dikenakan kad merah masih dibenarkan bersama pasukan pada perlawanan berikutnya tanpa sebarang tindakan tatatertib,” katanya.

Abdul Halim berkata, ASTAF sentiasa memantau perkembangan STL 2025 yang dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan sebuah stesen televisyen tempatan, melibatkan beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Ipoh dan Seremban sejak Mei lalu.

Namun, beliau tidak menafikan terdapat kelemahan dalam aspek pengadilan yang kadang kala mencetuskan reaksi negatif daripada pemain, pegawai pasukan mahupun penonton.

“Saya tidak menyalahkan sepenuhnya para pengadil kerana bukan mudah mengawal emosi dan situasi dalam gelanggang yang penuh tekanan. Namun, tindakan agresif tidak sepatutnya menjadi budaya dalam sukan ini,” katanya lagi.

Bagi memastikan kelancaran penguatkuasaan SOP semasa STL-CC 2025 di Seremban, ASTAF telah menghantar pasukan pengadil dan pegawai teknikal berkaliber, termasuk 10 pengadil Malaysia yang diiktiraf ISTAF serta lima lagi dari India, Indonesia, Singapura, Thailand dan Korea Selatan.

Turut membantu ialah 10 pegawai teknikal antarabangsa (ITO) bagi memantau dan menyelaras perjalanan pertandingan.

Sebagai satu lagi inisiatif penambahbaikan, ASTAF turut memperkenalkan borang laporan analisis pengadil perlawanan yang akan digunakan secara rasmi bermula kejohanan kali ini.

Borang ini bertujuan menilai dan meningkatkan mutu pengadilan serta kecekapan tugas mereka dari semasa ke semasa.

Langkah progresif ASTAF ini dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk memelihara maruah sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa, sekali gus memastikan STL-CC 2025 berlangsung dalam suasana yang lebih profesional, adil dan berdisiplin.

IZIPIZI lancar koleksi ‘Chapters’ musim luruh/sejuk 2025 di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama kaca mata ikonik dari Paris, IZIPIZI, terus mencuri tumpuan penggemar fesyen tempatan dengan pelancaran koleksi terbarunya bagi musim Luruh/Sejuk 2025 yang dinamakan Chapters Collection.

Pelancaran eksklusif ini berlangsung di kios IZIPIZI yang terletak di Pavilion Kuala Lumpur, sekali gus menandakan babak baharu dalam kehadiran jenama ini di Malaysia sejak diperkenalkan awal tahun ini.

Dengan reputasi global sebagai jenama kaca mata yang menggabungkan elemen bergaya dan santai, IZIPIZI meneruskan misinya untuk menghasilkan rekaan yang bukan sahaja menarik dari segi estetik, tetapi juga praktikal dalam kehidupan seharian.

Koleksi terbaru ini memperkukuh lagi komitmen jenama dari Perancis itu dalam menawarkan gaya hidup kontemporari yang meraikan keanggunan Paris dan detik-detik harian yang bermakna.

Bertemakan “Where stories begin”, Chapters Collection mengambil inspirasi daripada dunia buku, sudut bacaan yang nyaman, dan keindahan tenggelam dalam kisah yang mempesona.

Suasana kedai buku klasik, kafe yang tenang, serta ruang peribadi di rumah menjadi latar bagi koleksi ini, menyeru pemakainya untuk berhenti sejenak, merenung, dan meneroka dunia dengan penuh keyakinan dan gaya tersendiri.

Koleksi ini merangkumi empat kategori utama: Reading, Sun, Junior Sun, dan Kids, menjadikannya sesuai untuk pelbagai lapisan usia dan keperluan.

Kaca mata bacaan ditawarkan dengan pelbagai pilihan diopter dari +1 hingga +3, manakala variasi kaca mata hitam menampilkan kanta berkualiti tinggi yang direka khas bagi mengurangkan silau dan memberikan perlindungan maksimum terhadap sinaran UV.

Reka bentuk untuk kanak-kanak pula menyerlah dengan ciri-ciri keselesaan, ketahanan dan sentuhan gaya yang menyeronokkan.

Menjadi tumpuan utama dalam koleksi ini ialah kemunculan sebuah siluet baharu yang berani dan bersifat uniseks satu rekaan penuh pernyataan yang menyatukan elemen gaya ikonik dan fungsi luar biasa untuk pemakai yang mahukan kelainan.

Menambahkan lagi keistimewaan koleksi ini ialah pemilihan palet warna yang penuh makna, dengan lima tona unik yang masing-masing membawa naratif tersendiri: Old Leather yang mengimbau nostalgia, Sweet Honey yang bersinar hangat, Moonlight Grey yang anggun dan minimalis, Light Marble yang klasik dan abadi, serta Carmine Red yang berani dan penuh karakter.

Koleksi Chapters kini boleh didapati secara eksklusif di kios IZIPIZI di Pavilion Kuala Lumpur, yang dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Ia juga boleh didapati di SEIBU TRX, menerusi ANTE Shop.

Dengan pelancaran koleksi ini, IZIPIZI sekali lagi membuktikan keupayaannya untuk mentransformasikan kaca mata daripada sekadar aksesori fungsi kepada simbol gaya hidup moden yang meraikan keunikan setiap individu.

Trading Castle, VKids & Nutrilavish ungguli POSBA 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malam Anugerah Perniagaan Pinnacle of Success Business Award (POSBA) 2025 menjadi pentas gemilang yang menghimpunkan usahawan cemerlang dari pelbagai sektor, menyaksikan detik bersejarah apabila pelbagai tokoh perniagaan dan syarikat tempatan diberi penghormatan atas pencapaian luar biasa mereka dalam landskap ekonomi negara.

Antara penerima anugerah yang mencuri tumpuan ialah Trading Castle PLT, sebuah pusat pembelajaran pelaburan yang semakin dikenali ramai.

Diterajui oleh Pengarah Urusannya; Kingston Neo, bersama Ketua Pegawai Kewangan; Brian Hiu dan Ketua Pegawai Operasi; Hanshon Yeoh, mereka berkongsi rasa syukur atas pencapaian yang diperoleh.

“Kami sangat berbangga menerima anugerah ini. Sepanjang tiga hingga empat tahun kami beroperasi, banyak usaha telah dicurahkan dan anugerah ini menjadi bukti bahawa kerja keras kami tidak sia-sia,” kata Kingston.

Mereka mendedahkan ini adalah antara 6 hingga 7 anugerah yang diraih pada tahun ini sahaja, termasuk pengiktirafan sebagai Pinnacle Business of The Year.

Brian berkata, apa yang menjadikan anugerah ini begitu istimewa bagi pasukan mereka adalah kerana ia menghimpunkan komuniti pelbagai bangsa dalam satu acara yang inklusif, mencerminkan semangat perpaduan negara.

“Kami berbesar hati menerima anugerah ini daripada tokoh penting seperti wakil Kementerian Sumber Manusia. Ia menambahkan lagi nilai simbolik kepada pencapaian ini,” katanya.

Berkongsi perancangan masa depan, Hanshon berkata, syarikat akan terus menumpukan kepada kejayaan pelajar mereka.

“Sebagai pusat pembelajaran pelaburan kewangan, kami ingin memperluaskan lagi rekod kejayaan dan memainkan peranan besar dalam pembangunan industri pelaburan di Malaysia,” katanya.

Dalam kategori lain, Datuk Dr. Denise Lim, Pengarah Urusan dan pengasas kepada VKids Trend Sdn Bhd, turut diraikan apabila dinobatkan sebagai Icon Woman Industry of the Year.

Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian yang amat bermakna, terutama apabila ia menjadi anugerah ke-16 syarikat beliau setakat ini.

“Program pendidikan kami, VSchool Trend Learning Programme, menyediakan pendekatan pembelajaran secara dalam talian dan fizikal untuk kanak-kanak.

“Kami merancang untuk memperluaskan fungsi program ini dan menerokai bidang produk digital bagi membantu pelajar belajar dengan lebih efektif,” katanya penuh semangat.

Dr. Denise juga sempat merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan VKids Trend atas sokongan padu yang memungkinkan kejayaan mereka.

Turut diraikan adalah Dr. Kalaiselvi a/p Krishnan, pengasas kepada jenama Nutrilavish di bawah syarikat Grow Bright Sdn Bhd.

Jenama ini memfokuskan kepada kesihatan dan kesejahteraan wanita, dengan produk suplemen seperti protein shake, fiber drink, dan sokongan hormon wanita.

Beliau menerima dua pengiktirafan penting termasuk Women Entrepreneur of the Year 2025 dan Brand of the Year 2025 yang disifatkannya sebagai satu pencapaian luar biasa bagi dirinya dan pasukan.

“Saya amat berbesar hati dan teruja menerima anugerah ini. Ia bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap jenama Nutrilavish, tetapi juga bukti bahawa wanita India di Malaysia juga mampu bersaing dan berjaya dalam dunia keusahawanan,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan wanita, khususnya dari komuniti India, agar berani mengambil peluang yang tersedia dalam era digital masa kini.

Bagi perancangan masa hadapan, Nutrilavish merancang untuk berkembang dengan membuka lebih banyak cawangan pusat kesihatan, termasuk kemudahan seperti sauna inframerah, mesin rawatan RF dan EMS.

Dalam tempoh lima tahun, mereka menyasarkan untuk menubuhkan sehingga 100 cawangan di seluruh negara, serta memperluaskan pengeluaran produk melalui pelan pembuatan tersendiri.

Setakat ini, syarikat telah berpangkalan di Rawang dan akan melangkah masuk ke rangkaian farmasi pada bulan hadapan satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan syarikat.

POSBA 2025 bukan sahaja menjadi platform pengiktirafan, malah turut memberi inspirasi kepada usahawan untuk terus melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan.

Penganjuran ini jelas membuktikan bahawa kejayaan tidak mengenal latar belakang, asalkan ia digerakkan dengan semangat, inovasi dan dedikasi.

POSBA 2025: Malam mengangkat legasi, ikon dan harapan baharu dunia keusahawanan negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Malam gemilang yang penuh prestij menyinari dunia keusahawanan tanah air menerusi penganjuran Pinnacle of Success Business Award (POSBA) 2025 yang berlangsung di The Majestic Hotel Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dikenali sebagai “Oscar” dunia perniagaan Malaysia, majlis berprestij ini dianjurkan bersama oleh WargaBiz, platform media perniagaan utama negara dan MySayang Malaysia, dengan sokongan strategik daripada SME Corporation Malaysia.

Lebih 800 tetamu kehormat yang terdiri daripada pembuat dasar, tokoh industri, serta pemimpin berwawasan hadir meraikan pencapaian luar biasa para usahawan tempatan.

Majlis ini turut diserikan dengan keberangkatan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, serta kehadiran Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Dato’ Nainy.

Dalam ucapan perasmiannya, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah berkata, anugerah ini bukan sekadar meraikan pencapaian, sebaliknya menghargai semangat keusahawanan Malaysia yang dibina atas asas visi, keberanian dan keyakinan terhadap masa depan yang lebih baik.

Katanya, kejayaan sebenar tidak hanya diukur pada kekayaan atau pengiktirafan, tetapi pada impak terhadap kehidupan masyarakat serta legasi yang ditinggalkan.

Sementara itu, Pengerusi POSBA 2025, Tengku Loreta Tengku Dato’ Setia Ramli Alhaj turut menyentuh tentang nilai-nilai kemanusiaan yang menjadi teras kepada setiap kisah kejayaan.

Beliau menyifatkan penerima anugerah sebagai pembina negara, pencetus harapan dan ikon teladan yang mencerminkan yang terbaik dari Malaysia.

Antara tokoh terkemuka yang menerima Pinnacle Industry Icon Award termasuk Nicholas Lim Pinn Yang (CEO Foodie Media Sdn Bhd), Datuk Zang Toi (pereka fesyen bertaraf antarabangsa), dan Datuk Burhanuddin Md Radzi (pengasas Les’ Copaque Production Sdn Bhd) yang berjaya membawa budaya Malaysia ke pentas global menerusi animasi Upin & Ipin.

Turut menerima pengiktirafan ialah legenda skuasy negara Datuk Nicol David, Dato’ Hajah Aspalela Ramly (Zar Lynx Sdn Bhd), Tan Sri Rozali Ismail (Puncak Niaga Holdings Bhd), Dr Jest Wong (Harper Elite Sdn Bhd), serta Dato’ Sani Salleh (Sani United Berhad & Sani Group).

Sinar keunggulan turut menyerlah dalam kalangan wanita apabila anugerah Pinnacle Industry Woman Icon of the Year disampaikan kepada Datuk Dr Denise Lim (VKids Trend Sdn Bhd).

Datin Wira Prof Dr Janet Lo dan Dr Kalaiselvi Krishnan pula dinobatkan sebagai Pinnacle Distinguished Woman Entrepreneur of the Year, manakala Mardiana Made (DS Rich Manufacturing Sdn Bhd) dipilih sebagai Pinnacle Young & Dynamic Woman Entrepreneur of the Year, melambangkan gelombang baharu kepimpinan wanita dalam perniagaan Malaysia.

POSBA 2025 turut mengiktiraf sumbangan tokoh berwibawa menerusi Pinnacle Distinguished Personality of the Year yang dianugerahkan kepada Dato’ Sri Nazeri Omar dari RF3 World Sdn Bhd atas sumbangannya dalam industri kecantikan dan kesihatan.

Dari sudut korporat, pelbagai syarikat menerima anugerah berdasarkan pencapaian mereka dalam membina legasi, keupayaan berkembang dan jenama yang dipercayai rakyat Malaysia.

Antara penerima Pinnacle Legacy Business of the Year termasuk Les’ Copaque Production, ST Rosyam Mart, Kedai Emas Kamarulhadi dan Zar Lynx.

Anugerah Pinnacle Established Business of the Year pula diberikan kepada syarikat seperti Mega Jati Academy, Beauboss Sdn Bhd dan Kaiye Industries, yang menampilkan keunggulan dalam sektor masing-masing.

Untuk kategori permulaan, Pinnacle Startup of the Year dianugerahkan kepada PRC Group Sdn Bhd, Finn Beauty dan Maxvard Dynamic Sdn Bhd syarikat yang mewakili barisan pelapis masa depan keusahawanan Malaysia.

Dalam aspek penjenamaan, anugerah Pinnacle Champion Brand of the Year mengiktiraf jenama yang mencerminkan kepercayaan pengguna seperti Co-opbank Pertama, Nutrilavish, Dentist Malaya dan Beautyspells.

Sementara itu, Maaya Beauty muncul sebagai Pinnacle Rising Brand of the Year manakala Do’zee, Serai Group dan Upin & Ipin diangkat sebagai Pinnacle Master Brand of the Year, mencerminkan status ikon budaya tempatan dengan pengaruh antarabangsa.

POSBA bukan sahaja menjadi medan pengiktirafan, malah platform untuk mengangkat suara usahawan, membina reputasi serta mengukur kejayaan mengikut piawaian global.

Di sebalik anugerah ini berdiri dua organisasi utama WargaBiz yang sejak 2017 telah menjadi rujukan utama dalam liputan dunia keusahawanan negara, serta MySayang Malaysia, sebuah badan yang menekankan kemajuan mampan dan seimbang antara ekonomi dan penjagaan alam sekitar.

POSBA 2025 bukan sekadar meraikan pencapaian, tetapi menjadi refleksi kepada masa depan Malaysia yang dibentuk oleh semangat inovasi, daya tahan dan komitmen terhadap kesejahteraan bersama.

Ia menandakan bahawa Malaysia bukan sahaja sebuah negara penuh peluang, tetapi juga sumber inspirasi kepada dunia.

Menara Kuala Lumpur perkenal ‘Glass Box (Merdeka)’, tarikan baharu berkonsepkan pelancongan eksperiensial

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon pelancongan utama negara dengan pelancaran ‘Glass Box (Merdeka)’, sebuah tarikan baharu yang bukan sahaja menonjolkan keindahan panorama kota metropolitan dari ketinggian 300 meter, malah menawarkan pengalaman mendalam yang menggamit perasaan dan deria pelawat.

Tarikan yang terletak di Sky Terrace ini menampilkan rekaan kotak kaca sepenuhnya yang terbuka ke langit luas, menjadikannya lebih daripada sekadar tempat pemerhatian biasa.

Dengan pemandangan mengagumkan Menara 118 bangunan kedua tertinggi di dunia sebagai latar belakang utama, ‘Glass Box (Merdeka)’ menggabungkan kehebatan seni bina moden dengan semangat nasionalisme dan sejarah kemerdekaan negara.

Reka bentuk struktur ini dibina menggunakan tiga lapisan kaca berlamina dan dikuatkan dengan bingkai keluli berwarna emas merah jambu “Molten Sun” yang menyerlah ketika matahari terbit dan terbenam.

Diperbuat mengikut piawaian keselamatan antarabangsa, kotak kaca ini mampu menampung sehingga enam orang pada satu-satu masa, menjadikannya tempat yang bukan sahaja selamat malah sempurna untuk diabadikan dalam foto dan rakaman media sosial.

Nama “Merdeka” yang dipilih untuk tarikan ini membawa dua makna penting ia memberi penghormatan kepada Menara 118 yang berdiri megah sebagai simbol kemajuan Malaysia dan ia juga dilancarkan sempena bulan kemerdekaan negara, menjadikan pelancarannya satu peristiwa yang penuh simbolik dan signifikan.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman berkata, pelancaran ‘Glass Box (Merdeka)’ adalah manifestasi sebenar pelancongan berasaskan pengalaman yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelawat masa kini.

“Pelancongan hari ini bukan lagi tentang sekadar melawat destinasi. Ia tentang mengalami, merasai dan membawa pulang kenangan bermakna.

“‘Glass Box (Merdeka)’ memberi peluang kepada pelawat untuk merasai debaran berada di langit terbuka, menikmati seni reka bentuk yang menawan dan berdiri teguh menyaksikan perkembangan landskap Malaysia dari sudut pandang yang unik. Ia adalah kenangan, emosi dan cerita yang akan dibawa pulang,” katanya.

Pelancaran ini turut meletakkan Menara Kuala Lumpur setaraf dengan tarikan langit antarabangsa seperti Skydeck Ledge di Chicago dan Dubai Frame di Emiriah Arab Bersatu.

Namun, keistimewaan ‘Glass Box (Merdeka)’ terletak pada sentuhannya yang unik satu pengalaman yang berakar dalam identiti Malaysia, diinspirasikan oleh semangat kebangsaan dan evolusi seni bina tempatan.

Dengan rekaan yang menitikberatkan unsur interaktif, ‘Glass Box (Merdeka)’ direka khusus untuk generasi pelancong masa kini yang gemar merakam, berkongsi dan bercerita.

Ia bukan sekadar tempat untuk melihat pemandangan, tetapi menjadi sebahagian daripada naratif bandar raya tempat di mana pelawat menjadi sebahagian daripada ceritanya.

Dari segi simbolisme, struktur ini menyatukan elemen warisan dan kemodenan.

Pancaran warna emas merah jambu bukan sahaja menyerlah dari jauh, malah menggambarkan hubungan erat antara struktur moden ini dan fasad ikonik Menara Kuala Lumpur yang telah menjadi sebahagian daripada latar langit ibu kota sejak sekian lama.

Dengan pelancaran rasmi ini, Menara Kuala Lumpur sekali lagi membuktikan komitmennya untuk terus berada di barisan hadapan dalam menawarkan pengalaman pelancongan bertaraf dunia satu gabungan kukuh antara budaya, seni bina dan nilai emosi yang membangkitkan rasa bangga terhadap pencapaian negara.

‘Glass Box (Merdeka)’ kini dibuka kepada orang ramai dan tiket boleh didapati terus di lokasi, di Menara Kuala Lumpur.

Kukuhkan jalinan budaya Malaysia – Indonesia, ‘Mini Showcase Mickey Klaxson & Syamel Amzah’ warnai industri hiburan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tidak sekadar menyajikan persembahan muzik, Mini Showcase Mickey Klaxson & Syamel Amzah anjuran 211 Event Empire menjadi simbol jalinan budaya dua negara serumpun iaitu Malaysia dan Indonesia.

Menampilkan barisan artis seperti Mickey Klaxson, John Bear Si Nakal, Ameerais Forteen, Syamel Amzah serta kumpulan The Potai’s Band, showcase yang berlangsung di IDEAS Hotel, Kuala Lumpur itu membuktikan seni muzik mampu menjadi jambatan penghubung antara dua bangsa yang berkongsi warisan dan bahasa.

Lebih bermakna, acara ini turut diserikan dengan kehadiran delegasi khas dari Aceh, termasuk Yang Terhormat Tengku Irsyadi dan Ustaz Fauzan.

Kehadiran mereka bukan sahaja sebagai tetamu kehormat, bahkan menjadi lambang keakraban antara rakyat Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam bidang seni dan hiburan.

Dalam usaha menjadikan acara ini inklusif, penganjur turut menyediakan dua pilihan kepada peminat sama ada menghadiri acara secara fizikal dengan tiket berharga RM100, yang turut merangkumi sesi Meet & Greet, jamuan hi-tea dan barangan eksklusif; atau menonton secara langsung melalui platform penstriman dengan bayaran serendah RM10 (bersamaan IDR40,000).

Menariknya, setiap pembelian tiket juga melayakkan penonton menyertai cabutan bertuah, sebagai penghargaan atas sokongan yang diberikan.

Ketua Pegawai Eksekutif 211 Event Empire, Intan Madura berkata, pemilihan Syamel Amzah dan Mickey Klaxson sebagai teraju utama showcase ini dibuat berdasarkan impak mereka di platform digital.

“Kami melihat potensi besar terhadap kedua-dua artis ini. Mereka sangat aktif di TikTok, dengan tontonan harian melebihi satu juta.

“Populariti mereka tidak hanya terhad di negara masing-masing, malah merentasi sempadan. Kami percaya ini adalah masa yang sesuai untuk memberi mereka pentas yang lebih besar,” katanya.

Intan berkata, fokus utama penganjuran ini adalah untuk mendekatkan peminat dengan artis kesayangan mereka.

Oleh itu, tiket fizikal bagi sesi Meet & Greet dihadkan kepada hanya 100 orang demi mengekalkan eksklusiviti acara.

Malah, sambutan yang diterima amat menggalakkan meskipun angka rasmi belum diumumkan.

Melihat pada kejayaan penganjuran di Kuala Lumpur, penganjur juga merancang untuk membawa showcase ini ke Indonesia, dengan memilih Medan sebagai destinasi seterusnya.

“Hari ini kita raikan di Malaysia dan Insya-Allah selepas ini kita akan ke Indonesia pula.

“Kami mahu adil kepada peminat kedua-dua negara. Perancangan sedang berjalan dan kami sangat teruja dengan potensi yang ada,” katanya lagi.

Sementara itu, Mickey Klaxson, penyanyi muda berbakat besar dari Aceh berkata, showcase ini menjadi momen istimewa kerana ia adalah penampilan sulungnya di Malaysia.

Namanya mula mendapat perhatian ramai apabila vokalnya dikatakan menyerupai suara legenda rock tanah air, Allahyarham Saleem dari kumpulan Iklim.

Bagi Mickey, gaya nyanyiannya lahir secara semula jadi dan tidak pernah berniat untuk meniru suara sesiapa.

“Saya nyanyi ikhlas dari hati. Saya bawa lagu ikut perasaan dan jiwa. Jika ada yang rasa tersentuh, itu datang dengan sendiri dan bukan saya buat-buat,” katanya.

Mickey turut berkongsi minatnya terhadap dunia nyanyian bermula sejak kecil, ketika menjadi muazin di sebuah pesantren.

Dari situ, dia mengasah teknik vokal melalui qasidah sebelum beralih kepada genre popular.

Walaupun pernah berdepan cabaran apabila beberapa lagunya diciplak, Mickey tidak putus asa dan memilih untuk terus berkarya.

“Banyak juga lagu saya yang dicuri, tapi saya anggap semua itu sebagai ujian. Saya tak akan berhenti, kerana minat saya pada muzik sangat mendalam,” katanya.

Dalam pada itu, kehadiran Ameerais Forteen turut mencuri perhatian. Ahli kumpulan Forteen itu tampil dengan identiti solo yang lebih matang dan versatil.

Ameerais mengakui bergerak solo memberi ruang untuk lebih mengekspresikan dirinya sebagai seorang seniman.

“Bila solo, saya boleh tonjolkan sisi yang tak sempat dizahirkan sebelum ini. Tapi saya tetap hormati dan hargai kenangan bersama Forteen.

“Sekarang saya mahu bina hala tuju seni sendiri,” katanya yang turut merancang untuk menghasilkan single baharu.

Bagi Syamel Amzah pula, penglibatannya dalam showcase ini bukan hanya sebagai penyanyi, tetapi juga pencetus idea awal acara.

Syamel menyifatkan kerjasama bersama 211 Event Empire sebagai satu usaha yang harus diteruskan demi membuka ruang kepada artis baharu menonjolkan bakat.

“Idea asal memang daripada saya, tapi semua ini tidak akan menjadi tanpa komitmen pasukan penganjur dan sokongan peminat. Saya berterima kasih kerana diberi kepercayaan,” katanya.

Secara keseluruhannya, Mini Showcase Mickey Klaxson & Syamel Amzah bukan sekadar persembahan hiburan, malah menjadi landasan strategik dalam mengangkat bakat tempatan dan serantau ke peringkat lebih tinggi.

Ia juga membuka ruang kepada kerjasama lebih luas antara dua negara dalam bidang seni persembahan.

Dalam pada itu, Intan Madura menambah, ini hanyalah permulaan.

“Kami percaya pada bakat tempatan dan serantau. Kami mahu lihat artis-artis muda dari Malaysia dan Indonesia berkongsi pentas dan berkembang bersama.

“Insya-Allah selepas ini akan ada lebih banyak projek besar yang akan kami usahakan,” katanya lagi.

‘Saya Anak Malaysia’ diangkat semula, Dr Sam dirai sebagai ikon patriotisme dan dakwah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bagi menghargai jasa dan sumbangan besar ikon seni dan patriotisme tanah air, Dr Sam Rasputin, satu majlis makan malam istimewa bertemakan “Saya Anak Malaysia” telah diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung dengan penuh kesederhanaan namun sarat makna itu inisiatif Presiden Koperasi Industri Rakaman Muzik Malaysia (KOIRAMA) yang juga Presiden Persatuan IRAMA, Ayob Abd Majid.

Dr Sam, insan di sebalik lagu patriotik paling ikonik negara, Saya Anak Malaysia adalah lagu yang kekal relevan dan menyatukan rakyat Malaysia sejak tahun 1986.

Dr Sam atau nama sebenarnya Salim Ibrahim, 72, cukup dikenali sebagai suara dan wajah di sebalik lagu terbabit.

Walaupun lebih tiga dekad telah berlalu, lagu ciptaan Datuk M. Nasir dengan lirik oleh S. Amin Shahab itu terus bergema setiap kali menjelang 31 Ogos, menjadi simbol kebanggaan dan kecintaan terhadap tanah air.

Malah, apa yang menjadikan lagu ini luar biasa adalah keupayaannya menyentuh hati rakyat pelbagai kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain untuk menyanyikannya bersama-sama dengan penuh semangat dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

Bagi Dr. Sam, malam penghargaan berkenaan memberi makna yang sangat mendalam.

“Syukur pada Allah. Saya terharu setiap kali dengar rakyat Malaysia nyanyi lagu ini bersama-sama. Bukan orang Melayu sahaja, masyarakat Cina dan India pun menyanyi lagu ini dengan penuh semangat.

“Lagu ini sudah jadi milik semua,” katanya sambil mengenang momen ketika lagu itu pertama kali dipersembahkan di Auditorium RTM lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, kekuatan lagu itu terletak pada melodinya yang mudah, lirik yang ringkas dan mesejnya yang menyentuh jiwa menjadikan Saya Anak Malaysia sebagai lagu kebangsaan tidak rasmi yang mencerminkan semangat Malaysia Madani yang inklusif dan menyatukan.

Kini, selepas sekian lama bergiat dalam industri hiburan dan pernah membintangi filem-filem popular seperti Mekanik, Matinya Seorang Patriot dan Kembara Seniman Jalanan, Dr Sam memilih untuk memberi tumpuan kepada pengajian agama dan usaha dakwah.

Namun, dia tetap berharap lagu yang pernah mengangkat namanya itu akan terus menjadi pengikat rasa cinta terhadap tanah air dan jambatan perpaduan rakyat pelbagai kaum.

Dr Sam turut meluahkan rasa terharu terhadap usaha murni Ayob, yang juga jirannya, dalam menjayakan majlis ini.

“Saya pun tak sangka. Mula-mula fikir siapa nak datang tapi syukur, ramai juga yang hadir malam ini.

“Saya berterima kasih pada Ayob, dia faham kehidupan saya dalam dunia seni dan dia masih sudi ingat jasa orang lama macam saya,” katanya.

Sementara itu, Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid dalam ucapannya berkata, sudah tiba masanya sumbangan Dr Sam diberikan pengiktirafan yang lebih besar di peringkat nasional.

“Saya pernah cadangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, semasa beliau masih berada di luar kerajaan, agar diwujudkan satu program rasmi untuk menghargai jasa Dr Sam.

“Pengiktirafan seharusnya diberikan ketika seseorang itu masih hidup. Beliau layak menerima anugerah tertinggi termasuk gelaran Datuk,” katanya.

Majlis makan malam itu bukan sahaja memberi penghargaan kepada Dr Sam, malah turut menjadi pentas untuk mengiktiraf jasa barisan seniman tanah air yang telah menyumbang kepada pembangunan negara melalui karya seni, budaya dan perjuangan dakwah.

Turut memeriahkan majlis adalah kehadiran beberapa nama besar industri hiburan termasuk penyanyi rock terkenal Mel (Ex Wings), penyanyi dangdut dan pendakwah Iwan Syahman, serta pelawak dan pelakon, Kodan Raja Lawak.

Sambutan yang diberikan oleh tetamu juga membuktikan bahawa nama Dr Sam masih dekat di hati rakyat, walaupun dia telah lama menyepi daripada aktiviti seni secara aktif.

Sewaktu sesi santai bersama peminat, ada yang sempat bertanyakan tentang lagu-lagu lain ciptaannya termasuk Hutan Batu lagu yang menggambarkan kehidupan kota Kuala Lumpur sebagai “hutan konkrit”.

Walaupun Dr Sam kini tidak lagi aktif menyanyi, karya-karyanya masih hidup dan terus dihargai.

Majlis ‘Saya Anak Malaysia’ bukan sekadar sebuah acara makan malam, tetapi satu manifestasi kasih sayang dan penghargaan rakyat Malaysia terhadap insan seni yang telah mencurahkan bakti kepada negara.

Dalam semangat kemerdekaan, penghargaan seperti ini menjadi pengingat bahawa seni dan budaya juga adalah tiang penting dalam membina jiwa bangsa yang merdeka.

PTTI bawa sinar harapan baharu kepada calon SPM Kudat

editormaxinfo@gmail.com

KUDAT – Dalam usaha menyemarakkan semangat dan keyakinan dalam kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan luar bandar, PTTI Group Sdn. Bhd. telah menganjurkan Program Jelajah Skor A+ SPM di Dewan Hakka, Kudat pada 11 dan 12 Ogos lalu.

Program intensif dua hari ini mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Pendidikan Daerah Kudat, serta Kelab Nuri Bank Rakyat.

Seramai 1,000 orang pelajar tingkatan lima dari sembilan buah sekolah menengah di sekitar Kudat telah menyertai program ini, yang memberi tumpuan kepada penguasaan empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Sejarah.

Sesi pengajaran dikendalikan oleh barisan guru profesional PTTI yang berkongsi teknik menjawab soalan peperiksaan secara berkesan, selain memperkenalkan formula rahsia yang telah membantu ribuan pelajar sebelum ini meraih keputusan cemerlang.

Program ini bukan sekadar kelas tambahan biasa. Ia turut menyuntik elemen motivasi, teknik pengurusan masa, dan pembinaan keyakinan diri aspek penting yang sering menjadi kekangan kepada pelajar di kawasan luar bandar.

Dengan pendekatan yang interaktif dan mesra pelajar, program ini berjaya mencipta suasana pembelajaran yang menyeronokkan namun padat dengan ilmu berguna.

Lebih menarik, program ini turut diserikan dengan slot literasi kewangan kendalian Kelab Nuri Bank Rakyat.

Peserta diberi pendedahan awal tentang asas pengurusan kewangan, termasuk kepentingan menyimpan dan merancang perbelanjaan kemahiran penting dalam kehidupan moden.

Inisiatif ini turut disokong dengan penajaan pembukaan akaun Kelab Nuri serta pemberian modul pembelajaran percuma kepada semua peserta.

Eksekutif Kanan Komunikasi Strategik PTTI, Eizlan Haikal Eusop berkata, program ini lahir daripada kepercayaan bahawa setiap pelajar, tanpa mengira latar belakang, berhak mendapat peluang yang sama untuk cemerlang dalam akademik.

“Kami percaya dengan bimbingan yang betul dan suasana pembelajaran yang positif, pelajar mampu mengubah nasib mereka.

“PTTI bukan sekadar mengajar, kami hadir untuk membina keyakinan dan menyemai aspirasi kejayaan dalam diri setiap peserta,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kudat (Sektor Pembelajaran), Sharif Zainal Abiddin Sharif Shek berkata, pihaknya melahirkan penghargaan terhadap sinergi yang wujud antara agensi kerajaan dan pihak swasta dalam menjayakan program seperti ini.

“Sokongan seperti ini amat kami hargai, terutama dalam konteks pendidikan luar bandar.

“Ia membuktikan bahawa apabila semua pihak berganding bahu, kita mampu mencipta impak yang besar kepada masa depan anak-anak kita,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Deposit Bank Rakyat, Azilla Nasarudin berkata, penglibatan Kelab Nuri adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bank Rakyat untuk melahirkan generasi celik kewangan.

“Kami mahu pelajar bukan hanya pandai di atas kertas, tetapi juga bijak mengurus kewangan.

“Pendidikan kewangan yang diterapkan sejak usia muda akan memberi kesan jangka panjang yang positif,” katanya.

Program Jelajah Skor A+ SPM ini adalah sebahagian daripada misi jangka panjang PTTI untuk membawa akses pendidikan berkualiti tinggi ke seluruh negara.

Dengan reputasi sebagai pusat tuisyen paling banyak melahirkan pelajar semua A dalam keputusan SPM 2024, PTTI terus mengorak langkah membawa pendidikan cemerlang ke seluruh pelusuk tanah air termasuk di daerah yang jauh dari arus pembangunan utama seperti Kudat.

UPSI potensi jadi perintis APEL.M di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menunjukkan potensi besar untuk menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menerajui pelaksanaan program Accreditation of Prior Experiential Learning for Micro-credentials (APEL.M), susulan penganjuran Taklimat APEL.M yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, baru-baru ini.

Taklimat itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, yang memuji kesungguhan UPSI dalam meneroka peluang baharu bagi memperluas akses pendidikan melalui pendekatan pengiktirafan pengalaman terdahulu.

Menurut beliau, UPSI adalah institusi pengajian tinggi awam pertama yang menjemput pihak MQA bagi memberikan taklimat khas mengenai APEL.M, sekali gus menzahirkan komitmen UPSI dalam memperkasakan inovasi akademik.

“UPSI mempunyai kelebihan kerana kepakarannya yang kukuh dalam bidang pendidikan.

“Justeru, universiti ini harus memanfaatkan kekuatan tersebut untuk membangunkan kursus micro-credentials, seterusnya muncul sebagai peneraju utama dalam penawaran APEL.M di peringkat kebangsaan,” katanya.

APEL.M ialah mekanisme penilaian yang membolehkan individu mengumpul micro-credentials daripada kursus-kursus berasingan, yang kemudiannya boleh digabung dan diiktiraf untuk memenuhi keperluan bagi memperoleh kelayakan akademik tertentu.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi fleksibiliti kepada pelajar, tetapi turut membuka peluang pembelajaran kepada golongan yang mempunyai pengalaman luas namun belum memiliki sijil formal.

Bagi merealisasikan hasrat itu, UPSI kini giat dalam usaha menubuhkan Pusat Penilaian APEL (PPA) khusus bagi APEL.M dan mempercepatkan proses pelaksanaannya agar penilaian terhadap calon dapat dijalankan dalam masa terdekat.

Taklimat yang dihadiri oleh lebih 250 warga universiti itu turut memfokuskan kepada aspek teknikal seperti proses pengumpulan micro-credentials, kriteria penilaian serta potensi manfaat jangka panjang kepada peserta program.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, menyifatkan inisiatif ini sebagai langkah strategik dalam mengukuhkan ekosistem pembelajaran sepanjang hayat yang dinamik, inklusif dan responsif terhadap perubahan semasa.

“Melalui pendekatan ini, kita berupaya membina kapasiti sumber manusia yang lebih adaptif, progresif dan berdaya saing.

“Ia turut memberi peluang kedua kepada individu yang memiliki pengalaman kerja tetapi tidak mempunyai kelayakan formal untuk menambah baik tahap pendidikan dan kemahiran mereka,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan APEL.M bakal memberi impak signifikan terhadap pembangunan kerjaya kakitangan UPSI serta menyumbang kepada usaha negara dalam membentuk masyarakat berpengetahuan.

“Inisiatif ini adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap pengalaman terdahulu individu, sekaligus memberi nilai tambah kepada profil profesional mereka.

“Melalui penganugerahan micro-credentials, kita bukan sahaja memperluas peluang pembelajaran tetapi turut memperkukuh kompetensi tenaga kerja,” katanya.

Selain taklimat utama, program turut dimeriahkan dengan promosi APEL.Q dan pameran pelbagai kursus micro-credentials yang ditawarkan oleh UPSI.

Pameran turut disertai oleh Seksyen Kurikulum, Akreditasi dan Penilaian (KAP) serta Seksyen E-Pembelajaran dan Transformasi Akademik (EPTA), PPA, sebagai usaha menyeluruh UPSI untuk mendekatkan komuniti kampus kepada peluang pembelajaran fleksibel yang ditawarkan.

Dengan inisiatif ini, UPSI tidak hanya meletakkan dirinya di hadapan dalam landskap pendidikan tinggi negara, malah memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan yang progresif dan berwawasan.