editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Malaysia semakin menyerlah sebagai destinasi utama dalam peta pendidikan tinggi antarabangsa apabila kualiti sistem pengajiannya terus mendapat pengiktirafan badan akreditasi global.
Kedudukan strategik negara di Asia Tenggara serta komitmen terhadap jaminan kualiti menjadikan Malaysia berpotensi besar untuk muncul sebagai “Global Gateway” atau pintu gerbang pendidikan tinggi dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, Malaysia kini menjadi tumpuan pelajar antarabangsa yang ingin memulakan pengajian tinggi mereka sebelum melanjutkan ke peringkat lebih tinggi di negara-negara seperti Australia, New Zealand dan United Kingdom.
“Pelajar antarabangsa yang memperoleh ijazah pertama di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan tidak berdepan sebarang kesukaran untuk menyambung pengajian mereka di luar negara.
“Ini kerana kelayakan akademik yang diperoleh di Malaysia telah diiktiraf secara global,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri EU-ASEAN Policy Dialogue on Higher Education yang berlangsung di ibu negara.
Tambah beliau, pengiktirafan itu adalah bukti keyakinan komuniti antarabangsa terhadap sistem jaminan kualiti pendidikan tinggi Malaysia yang diselaraskan dan dipantau oleh MQA secara berterusan.
Usaha memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa juga sejajar dengan aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, yang berhasrat menjadikan negara sebagai destinasi pilihan utama pelajar dari seluruh dunia.

Pendekatan ini didorong oleh sistem pendidikan tinggi Malaysia yang semakin berdaya saing, progresif dan berkualiti tinggi.
“Keunggulan ini tidak hanya memberi manfaat kepada pelajar asing, tetapi turut membuka peluang lebih luas kepada graduan tempatan untuk menembusi pasaran kerja global,” katanya.
Sijil-sijil akademik yang dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda hinggalah ke doktor falsafah (PhD) terus mendapat kepercayaan majikan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pengeluar tenaga kerja berkelayakan global.
Mohammad Shatar berkata, pengiktirafan itu adalah hasil daripada hubungan erat dan kerjasama berterusan antara MQA dan pelbagai badan akreditasi luar negara yang berperanan memastikan standard pendidikan tinggi Malaysia sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Oleh itu, semua IPT di negara ini perlu lebih agresif dalam mempromosikan program pengajian masing-masing di peringkat antarabangsa.
“Penyertaan dalam pameran pendidikan, persidangan dan forum global merupakan platform terbaik untuk meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti institusi Malaysia di mata dunia,” katanya lagi.
Dengan sokongan dasar kerajaan dan penglibatan aktif institusi pendidikan, Malaysia kini berada di landasan yang kukuh untuk menjadi pintu gerbang utama kepada pendidikan tinggi global membuka ruang dan peluang kepada pelajar dan graduan untuk berkembang dalam dunia yang semakin tanpa sempadan.

