editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Usaha melestarikan kembali irama dangdut dalam industri muzik tanah air terus digiatkan dengan penganjuran pertandingan Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025, yang bukan sahaja membuka ruang kepada pencarian bakat baharu, tetapi turut menawarkan peluang eksklusif untuk menjadi artis rakaman profesional.
Pertandingan yang dijangka mendapat sambutan hangat itu dianjurkan oleh Fajar Baiduri Empire, bersempena dengan penganjuran Konsert Inul Daratista Live In Malaysia yang bakal berlangsung pada 6 Disember ini di Setia Spice Arena, Pulau Pinang.
Menurut Pengarah Urusannya, Khairul Isma, idea penganjuran pertandingan ini tercetus hasil maklum balas positif daripada peminat yang teruja dengan pengumuman konsert penyanyi dangdut tersohor Indonesia, Inul Daratista.

“Menerusi pelbagai reaksi peminat, ada yang menyuarakan cadangan agar kami turut mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan sebagai pelapis kepada irama dangdut di negara ini.
“Ini menunjukkan bahawa masih wujud minat dan permintaan terhadap genre ini, walaupun ia kurang mendapat perhatian dalam kalangan pendatang baharu industri muzik tempatan,” katanya.
Tambahnya, kekurangan penyanyi baharu yang berani meneroka genre dangdut wajar ditangani segera, memandangkan irama berkenaan masih mempunyai kelompok peminat tersendiri yang setia.

Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025 bakal membuka ruang kepada semua lapisan masyarakat yang berbakat untuk menyertai pertandingan ini.
Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 serta peluang keemasan untuk menjadi artis rakaman di bawah naungan syarikat penganjur.
Naib juara pula bakal menerima RM1,000 manakala lima finalis lain akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700 setiap seorang.
Pertandingan ini akan berlangsung di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang dan penyertaan dibuka sehingga 8 November 2025.
Orang ramai yang berminat digalakkan untuk mendaftar awal bagi memastikan tempat mereka terjamin.

“Kami menyeru kepada semua yang berbakat, terutama anak muda, agar berani tampil ke hadapan dan mencuba nasib.
“Inilah masa terbaik untuk menyerlahkan bakat dan menyambung legasi irama dangdut yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kegembiraan terhadap sambutan yang diterima bagi Konsert Inul Daratista Live In Malaysia, yang turut menampilkan dua lagi bintang terkenal, Amelina dan Baby Shima, sekali gus menjanjikan sebuah persembahan penuh bertenaga dan nostalgia buat peminat.

“Selepas hampir dua dekad tidak beraksi di pentas Malaysia, kehadiran Inul sememangnya dinantikan ramai.
Konsert ini bukan sahaja peluang untuk mengubat kerinduan peminat, tetapi juga satu manifestasi bahawa dangdut masih mempunyai roh dan denyutnya yang tersendiri dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk terus menyokong usaha murni ini dalam menyemarakkan semula genre dangdut di pentas arus perdana muzik Malaysia.
Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan Millenial Dangdut Karaoke Idol 2025, orang ramai boleh mengunjungi laman media sosial rasmi Suara Space bagi mendapatkan butiran penyertaan, syarat pertandingan serta perkembangan semasa konsert.


https://shorturl.fm/GSjKf