editormaxinfo@gmail.com
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Negeri Perak 2025, yang berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 2,000 peserta dari seluruh negeri.
Acara yang berlangsung di Gerbang Suria Sport City, UPSI itu bukan sahaja memupuk kesedaran awam terhadap kepentingan kesihatan mental, malah turut menggabungkan elemen riadah dan gaya hidup sihat melalui penganjuran Milenia Bubble Run: Mental Health X Malaysia Day, yang mencatat pencapaian tersendiri apabila diiktiraf sebagai lari berbuih terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin, yang menzahirkan penghargaan terhadap usaha UPSI dan Pejabat Kesihatan Daerah Muallim dalam menjayakan program kesihatan mental yang bersifat inklusif dan menyeluruh.

“Isu kesihatan mental hari ini perlu diberi perhatian serius. Ia bukan lagi perkara yang boleh dipandang ringan, sebaliknya menuntut kerjasama bersepadu daripada pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti tempatan,” katanya dalam ucapan perasmian.
Salina turut menyifatkan sambutan ini sebagai bertepatan dengan aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), yang mengutamakan kesejahteraan holistik rakyat, merangkumi aspek fizikal, mental dan sosial.
Larian sejauh lima kilometer itu dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI dan disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, warga universiti serta komuniti sekitar Tanjong Malim.

Kejayaan acara ini menjadi bukti bahawa pendekatan kreatif dan santai mampu menarik penyertaan ramai serta menyampaikan mesej kesedaran dengan lebih berkesan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan UPSI, Dr. Farah Salwani Che Ku Razak berkata, penganjuran program ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa pendidikan kesihatan mental di peringkat akar umbi.
“Pusat Kesihatan Universiti UPSI sentiasa menekankan kepentingan keseimbangan antara kesihatan fizikal dan mental.
“Melalui aktiviti seperti larian komuniti ini, kita bukan sahaja memberi kesedaran, tetapi juga memerangi stigma yang masih membelenggu isu kesihatan mental,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara Pusat Kesihatan Universiti UPSI, Pejabat Kesihatan Daerah Muallim dan MPP UPSI akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai program kesedaran dan intervensi komuniti secara berterusan sepanjang tahun.
Selain daripada acara utama Milenia Bubble Run, pelbagai pengisian turut diadakan sempena sambutan berkenaan termasuk ceramah kesihatan mental, pameran interaktif, pemeriksaan kesihatan percuma serta aktiviti berasaskan komuniti yang berfokus kepada kesejahteraan minda dan gaya hidup sihat.
Program ini juga bersempena Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat UPSI, menjadikan acara ini lebih menyeluruh dalam menyatukan elemen kesihatan fizikal, mental dan sosial dalam kalangan warga kampus dan masyarakat sekeliling.

Penganjuran program berskala besar seperti ini membuktikan bahawa pendekatan inklusif yang melibatkan komuniti, pelajar dan agensi kesihatan mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sikap terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.

