33.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 9, 2025

Isu tarik kereta: Mangsa tuntut keadilan, bank akhirnya akur setuju serah semula kenderaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik kenderaan mendakwa haknya untuk menyelesaikan pembayaran penuh kenderaan dinafikan oleh pihak bank, meskipun dia telah menyatakan hasrat untuk melangsaikan baki pinjaman sepenuhnya.

Insiden yang berlaku di cawangan sebuah bank di Kampung Atap, Kuala Lumpur itu telah mendapat perhatian Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) yang diwakili oleh Dato’ Dr Kalaivanar.

Menurut Dr Kalaivanar, mangsa Uthayakumaran a/l Ramalu dan isteri, Krishnan Kumary a/p Perumal hadir hari ini bagi menuntut semula van jenis Toyota Hiace miliknya yang telah ditunda pada 26 September 2025.

“Mangsa mengalami masalah dalam perniagaan sehingga menyebabkan tunggakan bayaran selama dua bulan dan 21 hari.

“Akibat daripada itu, kenderaannya telah ditunda dan disimpan di stor oleh pihak bank.

“Namun begitu, apabila dia hadir ke bank pada 14 Oktober 2025, iaitu selepas 18 hari dari tarikh penundaan, dengan niat untuk membuat penyelesaian penuh (full settlement) sebanyak RM25,000, dia dimaklumkan bahawa haknya sebagai pemunya sewa beli telah dinafikan.

“Kenderaan berkenaan, yang dianggarkan masih mempunyai nilai pasaran sekitar RM70,000, dilaporkan masih berada dalam milikan rasmi Uthayakumaran melalui perjanjian sewa beli yang sah.

“Namun, pihak bank memaklumkan dia tidak lagi boleh menuntut kenderaan terbabit kerana urusan pelepasan telah memasuki fasa pelelongan, yang disifatkan sebagai tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, pihaknya melihat perkara ini sebagai satu bentuk ‘pembulian sistemik’ terhadap masyarakat marhaen yang menandatangani perjanjian sewa beli dengan niat baik, tetapi akhirnya dinafikan hak untuk mendapatkan semula aset walaupun mahu melangsaikan hutang secara penuh.

Selepas hampir satu jam sesi rundingan bersama pegawai bank, hasil positif berjaya dicapai.

Pihak pengurusan bank akhirnya bersetuju memberi kebenaran kepada Uthayakumaran untuk mendapatkan semula kenderaannya dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pengurus bank yang terbabit mengesahkan bahawa kes ini dianggap sebagai “kes khas” dan pengurusan atasan telah memberikan kelulusan agar penyelesaian dapat dibuat secara baik.

Uthayakumaran dijadualkan menerima kembali kenderaannya pada hari Selasa, 21 Oktober 2025, memandangkan hari Isnin adalah cuti umum.

Sementara itu, Uthayakumaran berkata, pihak bank memberikan jaminan secara lisan dengan menyatakan: “I will honor my word.”

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular