editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR -Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan TV AlHijrah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang media, dakwah serta pembangunan insaniah.
Kolaborasi ini menumpukan kepada penghasilan kandungan kreatif, promosi program MAIWP, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), dan inisiatif pembangunan ummah yang menyeluruh, sekali gus mewujudkan sinergi baharu antara dua institusi utama di Malaysia.
Salah satu hasil utama daripada kerjasama ini adalah pelancaran Projek Bangkit, sebuah program realiti keusahawanan yang dianjurkan buat julung kalinya oleh MAIWP dengan kerjasama TV AlHijrah.
Projek ini bertujuan menyediakan platform transformasi bagi usahawan MAIWP untuk mempamerkan produk dan idea perniagaan mereka di peringkat nasional.
Melalui pertandingan yang berkonsepkan persaingan sihat, peserta berpeluang memperoleh pelbagai insentif dan sokongan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Projek Bangkit akan disiarkan secara eksklusif di TV AlHijrah selama lapan minggu. Program ini terdiri daripada tujuh episod pertandingan berdurasi 60 minit setiap satu dan satu episod akhir berdurasi 90 minit.
Setiap minggu, tiga peserta akan mempersembahkan produk serta rancangan perniagaan mereka di hadapan panel juri yang terdiri daripada wakil MAIWP, TV AlHijrah dan usahawan selebriti jemputan.
Juara keseluruhan akan menerima geran berjumlah RM50,000 daripada MAIWP dan penajaan promosi pengiklanan bernilai RM1 juta daripada TV AlHijrah.
Selain daripada itu, semua peserta akan menerima pendedahan eksklusif menerusi slot promosi dan temubual khas dalam program Assalamualaikum, liputan di Berita AlHijrah, penerbitan kapsul media sosial di platform seperti TikTok dan Facebook TV AlHijrah, serta penayangan di saluran digital rasmi TV AlHijrah seperti YouTube dan AH Plus.
Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, menyifatkan kerjasama ini sebagai usaha penting dalam memperkukuh agenda pemberdayaan ekonomi ummah.
Katanya, Projek Bangkit bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah medan untuk membina keyakinan serta membuka ruang baharu kepada usahawan supaya dapat berkembang dengan lebih mantap.
“Kami yakin sinergi bersama MAIWP ini akan menjadikan program ini sebagai batu loncatan besar bagi usahawan yang terpilih untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi,” kata Nadzariah.
Beliau turut menekankan MoU ini sejajar dengan misi TV AlHijrah sebagai stesen penyiaran Islam utama negara yang berperanan menyebar nilai dan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

“Kami berbangga dapat menjadi medium rasmi yang mengangkat kisah kejayaan usahawan MAIWP.
“Dengan sokongan produksi serta platform penyiaran TV AlHijrah, Projek Bangkit akan memberi impak besar bukan sahaja kepada peserta, malah kepada masyarakat umum yang menonton,” katanya lagi.
Nadzariah juga menggariskan bahawa media mempunyai peranan penting sebagai agen perubahan sosial.
Projek Bangkit bukan hanya sebuah program hiburan, tetapi sebuah sumber inspirasi yang mampu melahirkan usahawan baharu yang bukan sahaja berdaya saing, malah menjunjung nilai keberkatan dalam perniagaan mereka.
“TV AlHijrah sangat mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai badan kerajaan dan organisasi berkepentingan pada masa hadapan untuk melahirkan lebih banyak program transformasi yang memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.
Kerjasama yang terjalin antara TV AlHijrah dan MAIWP ini menandakan permulaan era baharu kolaborasi strategik yang menggabungkan kepakaran MAIWP dalam pembangunan ummah dengan kekuatan TV AlHijrah sebagai medium penyiaran Islam berautoriti.
Majlis menandatangani MoU turut disaksikan oleh wakil pengurusan tertinggi kedua-dua pihak serta warga kerja, yang menyatakan optimisme tinggi bahawa kerjasama ini akan membuka jalan kepada pelbagai inisiatif bersama yang lebih berimpak pada masa akan datang.

