editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dunia nasyid tanah air kembali bergema dengan kehadiran semula ikon suara emas, Nazrey Johani, yang tampil bersama kumpulan legenda The Zikr menerusi single terbaharu berjudul “Mengemis Kasih”.
Istimewanya, karya ini turut menampilkan kolaborasi istimewa bersama Yabang, bekas vokalis kumpulan rock terkenal, Khalifah.
Kemunculan “Mengemis Kasih” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi simbol kebangkitan nasyid era 90-an dalam wajah baharu yang lebih segar, moden dan sarat penghayatan.
Lagu ini juga mencatatkan satu detik bersejarah apabila Nazrey Johani kembali bersatu dengan rakan-rakan lamanya dalam The Zikr, selepas sekian lama menyepi daripada radar industri muzik tanah air.

Lebih menarik, “Mengemis Kasih” adalah hasil ciptaan Nazrey sendiri bersama tokoh motivasi dan penulis terkenal, Ustaz Pahrol Mohd Juoi.
Lagu yang dahulu pernah mencuri hati ramai ini kini diberi nafas baru, dengan susunan muzik yang lebih moden namun masih mengekalkan roh ketuhanan yang menjadi teras dalam karya-karya The Zikr.
“Saya bersyukur dapat kembali bersama The Zikr. Lagu ini kami segarkan dengan susunan baharu, tapi tetap sarat dengan nilai spiritual dan penghayatan.
“Penampilan Yabang pula menambah warna dan emosi yang lebih mendalam dalam lagu ini,” katanya.
Kehadiran semula Nazrey bersama barisan anggota asal seperti Syamsul Masri, Meor Ahmad Sahid, Afezan Ponijan, Amin Nordin, Hafiedz Samsuri, Syawal Paino, Suhaimy Raslan, dan Rosdi Zahari, serta kemasukan semula Amran Ibrahim (bekas anggota Raihan) menjadikan The Zikr hari ini sebagai simbol penyatuan, nostalgia dan kesinambungan dalam dunia dakwah melalui muzik.
Menurut Syamsul Masri, lagu-lagu The Zikr kekal relevan dan terus diminati sehingga kini, bukan sahaja di Malaysia malah di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
“Lagu Antara Dua Cinta sangat popular di Indonesia. Walaupun Nazrey sudah lama tidak bersama Raihan, kita berjaya kumpulkan semula anggota The Zikr pada 2023 dan menghasilkan beberapa single baharu sejak itu,” katanya.

Antara karya yang diterbitkan dalam tempoh terbabit ialah Antara Dua Cinta (2024), Dunia Baru Islam (2024), dan Kembali (Mei 2025).
Mengemis Kasih, yang dilancarkan pada 26 September 2025 melalui YouTube rasmi Rusa Islamic, adalah kesinambungan kepada usaha memperkenalkan semula muzik nasyid klasik kepada generasi baharu.
Lebih bermakna, “Mengemis Kasih” turut menampilkan Ustaz Amran, anggota asal The Zikr yang juga pernah bersama Raihan.
Kehadiran beliau dalam muzik video rasmi lagu ini menambahkan elemen nostalgia serta memperkukuh naratif sejarah perjalanan dakwah muzik yang bermula dari The Zikr, berkembang ke Raihan dan kini kembali menyatu dalam bentuk yang lebih dewasa dan matang.

Nazrey Johani sendiri tidak asing dalam dunia nasyid. Dari zaman kegemilangan Nada Murni, ke era gemilang Raihan, dan kini bersama The Zikr, beliau kekal sebagai suara rujukan utama dalam genre ini.
Setelah mengharungi pelbagai cabaran kesihatan, termasuk masalah jantung, Nazrey kini kembali dalam keadaan lebih sihat dan bertenaga.
“Nazrey bukan sekadar penyanyi. Beliau adalah simbol, suara, dan semangat dalam perjuangan nasyid moden,” kata Mas Ayie Mas Omar, wakil pengurusan Nazrey Johani dan The Zikr.
Sebagai pelengkap kepada kemunculan semula ini, konsert eksklusif “Mengemis Kasih” turut dirancang untuk diadakan pada Januari 2026.
Konsert ini dijangka menjadi pentas istimewa penuh nostalgia dan penghargaan buat peminat setia yang membesar bersama lagu-lagu dakwah era 90-an.
“Konsert ini akan mengimbau kembali kenangan lama, dengan barisan artis jemputan istimewa yang akan diumumkan kelak,” kataMas Ayie lagi.


https://shorturl.fm/anBxC