33.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 9, 2025

Perkukuh kerjasama keselamatan serantau, Fortitude Security Consultancy jalin kerjasama dengan PPIM

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkukuhkan kerjasama serantau dalam bidang keselamatan, Fortitude Security Consultancy secara rasmi telah memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PPIM.

Kerjasama strategik ini membuka lembaran baharu bagi hubungan antara Malaysia dan Singapura, khususnya dalam sektor keselamatan yang semakin penting dan mencabar masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Fortitude Security Consultancy, Muhammad Azhad Muhammad Shariff, berkata MoU ini adalah satu langkah awal yang signifikan dalam menyatukan kepakaran dan sumber dari kedua-dua negara.

Objektif utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan mutu dan tahap keselamatan melalui pendekatan yang lebih sistematik, teknologi canggih serta berpaksikan nilai patuh syariah.

Menurut beliau, kerjasama ini bukan sekadar perkongsian maklumat, tetapi turut merangkumi latihan, pembangunan profesional dan pertukaran kepakaran antara Malaysia dan Singapura.

Salah satu inisiatif utama adalah menyediakan kursus keselamatan profesional yang bakal melengkapkan peserta dengan kemahiran serta kelayakan diiktiraf, sekali gus membuka peluang kerjaya dalam bidang keselamatan kepada lebih ramai individu di kedua-dua negara.

“Setiap peserta yang lulus kursus ini akan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran keselamatan bertaraf tinggi, membolehkan mereka menjamin keselamatan dengan lebih efektif di pelbagai sektor,” katanya.

Fortitude turut memperkenalkan pendekatan keselamatan moden melalui penggunaan teknologi seperti pemantauan jarak jauh (remote monitoring), kamera litar tertutup (CCTV), sistem pengesanan pencerobohan (intrusion system) serta penggunaan drone bagi mengurangkan kebergantungan kepada pengawasan manusia secara fizikal.

Teknologi ini membolehkan sebarang pencerobohan dikesan secara automatik dan terus dilaporkan kepada pihak berkuasa, menjadikan sistem keselamatan lebih pantas, cekap dan efektif.

Dalam pada itu, Muhammad Azhad turut menekankan kerjasama ini bukan bersifat komersial semata-mata, sebaliknya berlandaskan niat untuk berkongsi ilmu dan perkhidmatan, demi manfaat bersama antara Malaysia dan Singapura.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap PPIM sebagai rakan strategik kerana berkongsi nilai dan prinsip pengurusan yang serupa, termasuk penekanan terhadap pematuhan syariah dan pengurusan berlandaskan etika Islam.

Fortitude Security Consultancy juga giat memperluaskan jaringan kerjasama serantau. Baru-baru ini, syarikat itu telah menandatangani lima lagi MoU bersama organisasi di Jakarta, Indonesia dan dijadualkan akan menandatangani enam lagi MoU bersama organisasi di Phnom Penh.

Inisiatif ini bertujuan membentuk landasan kukuh ke arah perjanjian lebih formal seperti Memorandum of Agreement (MoA) pada masa akan datang.

Dengan termeterainya MoU ini, kedua-dua pihak berhasrat memulakan fasa baharu kolaborasi dalam pelbagai bidang berkaitan keselamatan, termasuk pembangunan teknologi, latihan sumber manusia, serta pertukaran kepakaran secara lebih komprehensif.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa tokoh penting termasuk Dato’ Nadzim Johan yang menyambut baik inisiatif ini dan melihatnya sebagai permulaan positif dalam memperkukuh hubungan dua hala antara kedua negara melalui pendekatan keselamatan holistik dan berpandangan jauh.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular