editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Cadangan kenaikan caj perkhidmatan penyelenggaraan di Pangsapuri PKNS Jalan Kuching daripada RM15 kepada RM60 sebulan telah mencetuskan kebimbangan dan bantahan dalam kalangan penduduk.
Kenaikan empat kali ganda ini dikatakan sudah berkuat kuasa sejak Mac 2025, sekaligus menimbulkan persoalan berkenaan kewajaran kadar baharu itu, terutamanya memandangkan usia pangsapuri yang telah mencecah lebih 50 tahun.
Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Awam PKNS Jalan Kuching, Datuk Gulam Mustakim berkata, beliau dan penduduk di kawasan itu telah mengemukakan bantahan rasmi terhadap langkah ini.
Menurut mereka, kadar kenaikan sebanyak 300 peratus adalah tidak munasabah dan tidak mengambil kira perbezaan jenis unit yang merangkumi satu, dua dan tiga bilik.
“Penduduk mempersoalkan asas pengiraan caj baharu serta kemampuan kewangan komuniti yang rata-ratanya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Dalam maklum balas rasmi bertarikh 6 Februari 2025, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjelaskan bahawa kadar sedia ada sebanyak RM15 yang telah digunakan sejak 1975 tidak lagi mencukupi untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan kawasan pangsapuri terbabit.
Kos berkenaan membabitkan pembersihan kawasan awam, pembaikan, serta bil utiliti seperti air dan elektrik.
Menurut PKNS, peningkatan kos termasuk kenaikan harga barang, tarif elektrik, gaji minimum pekerja, dan keperluan undang-undang di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757), telah mendorong keperluan mendesak untuk menyemak semula kadar sumbangan penyelenggaraan dan caruman kumpulan wang penjelas (sinking fund).
“Di bawah cadangan baharu, kadar bil penyelenggaraan dicadangkan kepada RM55 sebulan, manakala caruman sinking fund ditetapkan sebanyak RM5, menjadikan jumlah keseluruhan RM60.
“PKNS juga menegaskan pihak penduduk masih mempunyai ruang untuk menyemak atau meminda kadar ini setelah Perbadanan Pengurusan (Management Corporation) ditubuhkan kelak.
“Ini selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 58(c) Akta 757, yang membolehkan pemilik bersama memutuskan sama ada untuk mengesahkan atau mengubah jumlah caj yang dikenakan melalui mesyuarat rasmi,” katanya.
Gulam berkata, dalam pertemuan bersama persatuan penduduk pada 20 November dan 3 Disember 2024, PKNS memaklumkan proses ke arah penubuhan Perbadanan Pengurusan dijangka akan dilaksanakan dalam tahun 2025, dan pihak persatuan diminta untuk mencadangkan tarikh yang sesuai bagi tujuan itu.
“Selain isu kenaikan caj penyelenggaraan, PKNS turut memberi maklum balas berhubung kegagalan syarikat guaman yang dilantik untuk menyelesaikan isu hak milik strata yang tertangguh hampir lima tahun.
“Bagi menyelesaikan perkara ini, PKNS melalui Bahagian Pentadbiran Hartanah telah bersetuju untuk mengadakan Program One Stop Centre (OSC) di kawasan pangsapuri Jalan Kuching.
“Program ini, yang sepatutnya berlangsung pada 8 Februari 2025, telah ditangguhkan atas permintaan persatuan penduduk kerana ketegangan yang timbul akibat isu kenaikan caj,” katanya.

PKNS turut menjelaskan persediaan lengkap telah pun dibuat bagi menjayakan program OSC termasuk penyelesaian berhubung bayaran yang telah dibuat oleh pemilik kepada syarikat guaman terdahulu.
Malah, program serupa juga telah dijadualkan berlangsung di kawasan-kawasan pembangunan berstrata lain di bawah pengurusan PKNS sehingga hujung tahun 2025.
“Dalam usaha menyelesaikan isu ini secara menyeluruh, kami memohon agar diadakan Sesi Taklimat Hartanah Strata dan Harta Pusaka, yang akan memberi pencerahan kepada penduduk mengenai proses pemilikan strata dan urusan pusaka.
“Sesi taklimat ini dicadangkan tanpa sebarang caj dan bertujuan membantu pemilik yang masih belum memperoleh geran strata atau sedang berhadapan dengan isu pewarisan harta,” katanya.
Katanya, sesi juga menyatakan kesediaan untuk menyediakan kelengkapan teknikal seperti sistem PA dan projektor, sementara persatuan penduduk hanya diminta menyediakan kemudahan asas seperti dewan, kerusi dan meja.

