27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
Home Blog Page 49

Festival muzik elektronik bertaraf dunia catat sejarah di Malaysia, HardTech & Transmission meriahkan Sepang

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Malaysia mencatat satu lagi detik bersejarah dalam industri hiburan apabila dua festival muzik elektronik antarabangsa, HardTech (Hardmission & Techmission) dan Transmission: The Awakening, berjaya dianjurkan buat kali pertama di negara ini pada 18 dan 19 Oktober 2025 di Helipad, Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Acara dua malam yang dinanti-nantikan ini telah menyatukan semangat sukan permotoran dengan keghairahan muzik elektronik dalam suasana penuh tenaga dan emosi, sempena Grand Prix PETRONAS Malaysia 2025.

Penganjuran festival ini oleh Hi Five Entertainment bukan sahaja menjadi pelengkap kepada pesta sukan permotoran hujung minggu itu, malah mencipta tanda aras baharu dalam sejarah penganjuran festival muzik EDM (Electronic Dance Music) di Malaysia.

Ribuan peminat dari dalam dan luar negara membanjiri tapak acara bagi menyaksikan persembahan memukau daripada barisan artis antarabangsa ternama termasuk Markus Schulz, Aly & Fila, Sub Zero Project, Ben Nicky, Warface, MANDY dan Driftmoon.

Malam pertama menyaksikan kemunculan HardTech, yang terkenal dengan gabungan muzik hardstyle dan techno berintensiti tinggi, seni visual futuristik serta pencahayaan dramatik yang mengubah ruang konsert menjadi dimensi baru yang menggugah pancaindera.

Sebagai penampilan sulung mereka di Malaysia, Hardmission & Techmission benar-benar menunaikan janji menyampaikan pengalaman audio visual yang luar biasa, dipenuhi rentak agresif dan adrenalin yang mengalir deras sepanjang malam.

Manakala malam kedua mempersembahkan Transmission: The Awakening, festival muzik trance terkemuka dari Eropah yang tidak asing lagi di pentas global.

Persembahan penuh sinematik dengan alunan melodi yang menyentuh jiwa, diiringi pertunjukan laser yang menakjubkan, menjadikan malam itu satu pengalaman spiritual buat pencinta muzik trance.

Peminat yang hadir menggambarkan pengalaman itu sebagai “perjalanan ke dunia lain” satu malam yang menyatukan ribuan manusia daripada pelbagai bangsa dan latar belakang dalam satu denyut irama yang sama.

Lebih membanggakan, kejayaan acara ini turut disandarkan kepada pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) baharu yang digariskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khusus untuk acara muzik EDM.

Lima SOP utama telah dilaksanakan dengan jayanya, merangkumi penyediaan titik hidrasi, pasukan perubatan di lokasi, mesej kesedaran anti-dadah, kerjasama hospital berhampiran dan kehadiran unit pengesan dadah K9.

Penganjuran ini turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai pihak berkuasa termasuk IPD KLIA, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Majlis Perbandaran Sepang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PUSPAL, yang telah memastikan aspek keselamatan, kelulusan, dan pengurusan acara berjalan lancar mengikut piawaian antarabangsa.

Menurut Sean Pereira, Pengarah Urusan Hi Five Entertainment, penganjuran ini membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah kepada festival muzik antarabangsa bertaraf dunia dengan pengurusan yang cemerlang dan suasana yang selamat.

“Kami berbangga kerana berjaya menganjurkan bukan sekadar sebuah festival muzik yang menakjubkan, tetapi juga satu pengalaman yang selamat dan tersusun.

Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan kerjasama yang betul, festival EDM boleh dianjurkan secara bertanggungjawab dan memenuhi standard global,” katanya.

Lebih daripada sekadar hiburan, festival ini menjadi platform yang menyatukan komuniti muzik tarian tempatan dengan gelombang global.

Setiap detik sepanjang dua malam itu daripada dentuman bass ke alunan melodi trance mencipta momen yang sukar dilupakan.

Pengunjung menyifatkannya sebagai “pengalaman sekali seumur hidup” yang menyentuh hati, menggegarkan jiwa dan menyatukan semangat.

HardTech dan Transmission bukan sekadar festival ia adalah satu pergerakan, satu perayaan budaya dan satu detik bersejarah yang meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama festival muzik antarabangsa di rantau Asia Tenggara.

Sos Cili Pedas IBU cipta fenomena di Brunei, bukti produk IKS Malaysia mampu tembusi pasaran global

editormaxinfo@gmail.com

BANDAR SERI BEGAWAN – Produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia terus menunjukkan taring di persada antarabangsa apabila Sos Cili Pedas IBU, jenama yang diasaskan oleh penyanyi tersohor dan usahawan berjaya, Dato’ Khadijah Ibrahim, berjaya menembusi pasaran Brunei dalam tempoh masa yang singkat.

Hanya empat bulan selepas dilancarkan ke pasaran eksport, produk berasaskan resepi warisan itu kini sudah pun berada di lebih 70 rangkaian pasar raya utama di seluruh Brunei Darussalam.

Kejayaan ini sekali gus menjadi satu pencapaian membanggakan, bukan sahaja buat Dato’ Khadijah, tetapi juga bagi sektor IKS Malaysia secara keseluruhan, yang semakin dikenali atas kualiti dan keaslian produknya.

Dari Dapur Lagenda ke Setiap Rumah

Dato’ Khadijah Ibrahim, figura seni yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air, tampil sebagai wajah di sebalik jenama IBU simbol kasih sayang, warisan masakan tradisional dan cita rasa autentik Malaysia.

Bagi beliau, penghasilan Sos Cili Pedas IBU bukan sekadar perniagaan, tetapi sebuah misi untuk membawa rasa rumah Malaysia ke meja makan pengguna luar negara.

“Saya percaya setiap hidangan yang dimasak dengan penuh kasih sayang akan membawa kebahagiaan. Itulah jiwa di sebalik setiap produk IBU.

“Kami ingin berkongsi rasa kasih dan keaslian masakan rumah Malaysia dengan masyarakat Brunei,” kata Khadijah, yang turut dikenali dengan panggilan mesra ‘Ibu’.

Dirumus daripada bahan semula jadi yang terpilih tanpa bahan pengawet tiruan, Sos Cili Pedas IBU menampilkan keseimbangan sempurna antara pedas, masam dan manis menjadikannya pelengkap rasa ideal untuk hidangan seharian.

Penerimaan Hangat di Pasaran Brunei

Respon positif daripada pengguna Brunei terhadap Sos Cili Pedas IBU amat memberangsangkan.

Produk ini mendapat tempat di hati pelanggan bukan sahaja kerana rasa autentiknya, malah kerana kualiti dan pembungkusan yang menepati standard antarabangsa.

Antara pasar raya yang sudah memasarkan produk ini termasuk Jaya Hypermart, Fayze Mart dan beberapa lagi rangkaian utama.

Sebagai langkah memperkukuh jenama di pasaran Brunei, IBU turut menganjurkan siri promosi jelajah di dua lokasi strategik Jaya Hypermart, Rimba Point dan Fayze Mart, Tutong di samping majlis pelancaran rasmi di Restoran Chilis, Jangsak.

Acara-acara ini menampilkan sesi merasa produk, demonstrasi memasak secara langsung serta aktiviti interaktif bersama pelanggan, sekali gus merapatkan lagi hubungan antara jenama dan pengguna.

Lebih Banyak Produk Bakal Diperkenalkan

Melihat kepada sambutan menggalakkan, jenama IBU tidak hanya berhenti pada Sos Cili Pedas semata-mata.

Enam lagi produk baharu bakal memasuki pasaran Brunei dalam masa terdekat, termasuk Sos Tiram, Kicap, Sos Nasi Ayam, Sos Bawang Putih, Sos Cili Padi dan Sos Cili Lemon.

Kesemua produk ini turut mengekalkan komitmen terhadap rasa autentik dan bahan berkualiti tinggi yang menjadi tunjang utama jenama IBU.

Kejayaan IKS Malaysia di Peringkat Serantau

Kisah kejayaan IBU bukan sekadar pencapaian individu, tetapi juga manifestasi potensi besar yang dimiliki oleh sektor IKS Malaysia.

Dengan strategi penjenamaan yang kukuh, pematuhan kepada standard antarabangsa dan sentuhan personaliti tersohor, produk tempatan kini dilihat mampu bersaing dengan jenama global.

“Kami amat menghargai sambutan hangat daripada masyarakat Brunei. Penerimaan ini membuktikan bahawa produk buatan Malaysia mampu bersaing dan berjaya di pasaran antarabangsa,” katanya.

Cinta FATTMIRA disambut meriah, telefilem lakonan mereka raih lebih 20 juta tontonan

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Cinta pasangan selebriti tanah air, Fattah Amin dan Amira Othman, diraikan dalam satu majlis eksklusif yang penuh dengan suasana romantik menerusi acara Hi-Tea “The Garden of Love FATTMIRA” anjuran Usanita Sdn Bhd.

Acara terbabit bukan sahaja menjadi simbolik meraikan pasangan pengantin baharu ini, malah turut menyaksikan pelancaran rasmi lagu runut bunyi (OST) “Always Will”, nyanyian Amira Othman dan ciptaan komposer tersohor, Ajai.

Lagu ini adalah OST kepada telefilem popular “Poskad Cinta Dari Auckland” yang kini mencatat lebih 20.1 juta tontonan menerusi aplikasi penstriman Usanita TV (UTV) dan platform media sosial lain.

Majlis yang dikendalikan oleh pasangan pengacara terkenal, Awal Ashaari dan Yasmin Hani, turut diserikan dengan kehadiran peminat dan pemenang bertuah dari cabaran di TikTok, portal Gempak, serta radio ERA.

Kehadiran mereka menjadikan suasana lebih eksklusif dengan interaksi mesra antara selebriti dan peminat.

Dengan dekorasi bertemakan taman romantik, majlis membawa tetamu menyelusuri perjalanan cinta dua figura terkenal yang kini menjadi ikon pasangan ideal dalam dunia hiburan Malaysia.

Antara segmen yang paling mencuri perhatian ialah “FATTMIRA Love Story”, di mana Fattah dan Amira berkongsi detik awal kehidupan mereka sebagai suami isteri.

Dalam suasana penuh kehangatan, Amira mendedahkan sisi lembut Fattah sebagai seorang suami yang matang dan penyayang.

“Fattah ini jenis suami yang tak suka panjangkan hal. Kalau saya merajuk, dia cepat-cepat selesaikan. Saya anggap suami saya ni tenang orangnya.

“Saya tak mampu nak balas setiap kebaikan itu tapi saya yakin Allah Maha Mengetahui. Moga Allah memberikan yang baik-baik buat suami saya,” kata Amira penuh rasa syukur.

Fattah pula secara bersahaja menzahirkan doa agar hubungan mereka kekal hingga ke syurga.

“Saya selalu cakap, isteri syurga, isteri syurga. Jadi, itulah saya cakap pada Mira semoga jodoh sampai syurga,” katanya ringkas namun bermakna.

Sementara itu, Pengasas Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan atau lebih dikenali sebagai Datuk Nana berkata, pelancaran lagu “Always Will” adalah titik permulaan kepada penghasilan kandungan hiburan berkualiti menerusi Usanita Entertainment, cabang kreatif baharu di bawah platform digital UTV.

“Hari ini kita bukan sahaja meraikan cinta Fattah dan Amira yang juga wajah rasmi Usanita Group, tetapi kita juga memperkenalkan lagu pertama Usanita Entertainment.

“Lagu ini menjadi runut bunyi kepada telefilem ‘Poskad Cinta Dari Auckland’ yang telah meraih lebih 20.1 juta tontonan sejak tayangannya pada 28 Ogos lalu.

“Ini membuktikan bahawa kandungan tempatan masih mendapat sambutan luar biasa,” kata Datuk Nana.

Komposer lagu, Ajai, turut berkongsi bahawa proses penciptaan lagu “Always Will” diinspirasikan sepenuhnya daripada jalan cerita dan suasana penggambaran telefilem tersebut.

“Saya cipta lagu ini berdasarkan sinopsis dan visual cerita. Saya sesuaikan julat vokal dengan suara Amira kerana saya tahu keunikan dan kekuatan vokalnya,” katanya.

Majlis penuh makna itu turut dimeriahkan dengan kehadiran dan persembahan istimewa daripada rakan artis seperti Sophia Albarakbah dan Nadeera Zaini, yang menyampaikan lagu terbaharu berjudul Peluk, menambahkan lagi aura romantis dan glamor pada acara eksklusif itu.

Telefilem Poskad Cinta Dari Auckland, arahan Izuan Mokhtar, membariskan pelakon hebat seperti Fattah Amin, Amira Othman, Irfan Haris, Bell Ngasri, Umie Aida dan pengarah sendiri, Izuan Mokhtar.

Ia mengisahkan sekeping poskad yang tersalah alamat sehingga mempertemukan dua jiwa dalam kisah cinta penuh emosi dan pengembaraan di bumi New Zealand.

Telefilem ini boleh ditonton secara eksklusif menerusi aplikasi Usanita TV (UTV), sebuah platform penstriman digital tempatan yang mengetengahkan kandungan berunsur kekeluargaan, cinta dan nilai-nilai masyarakat.

Cabaran Kecergasan 21 Hari Huawei: Menangi HUAWEI WATCH GT 6 baharu dan tingkatkan gaya hidup aktif anda

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Huawei Malaysia kini mengajak rakyat Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam dunia kecergasan menerusi Cabaran Kecergasan 21 Hari (21-Day Fitness Challenge), bersempena pelancaran siri jam tangan pintar terbaharu, HUAWEI WATCH GT 6.

Bermula dari 17 Oktober hingga 7 November 2025, cabaran ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia menerusi dua platform utama iaitu aplikasi Strava dan Huawei Health.

Menampilkan ganjaran menarik termasuk peluang memenangi HUAWEI WATCH GT 6 baharu, cabaran ini direka untuk menyemarakkan semangat kecergasan dalam kalangan masyarakat dari pelbagai latar belakang.

Akses Mudah dan Syarat Penyertaan Fleksibel

Peserta hanya perlu memilih salah satu daripada dua cabaran utama berikut:

  • Cabaran Strava: Lengkapkan 210 minit senaman dalam tempoh 21 hari.
  • Cabaran Huawei Health: Lakukan aktiviti berjalan kaki, berlari atau berbasikal sejauh 21 kilometer dalam tempoh 21 hari.

Setiap peserta yang berjaya menamatkan cabaran akan menerima baucar diskaun 10 peratus untuk produk boleh pakai (wearable) Huawei terpilih, termasuk siri terbaru HUAWEI WATCH GT 6.

Lebih menarik, semua peserta yang menamatkan cabaran juga layak menyertai peraduan khas di platform TikTok atau Instagram, dengan peluang memenangi sebuah HUAWEI WATCH GT 6 baharu secara percuma.

Cara Sertai dan Menang:

  1. Lengkapkan salah satu cabaran di aplikasi Strava atau Huawei Health untuk menerima baucar diskaun.
  2. Kongsi tangkap layar pencapaian anda di TikTok atau Instagram dengan menyertakan tanda pagar #GoFurtherwithHUAWEIMY dan #HUAWEIWatchGT6Series, serta tag akaun rasmi @huaweimobilemy.
  3. Penyertaan dengan jumlah interaksi (engagement) tertinggi akan diumumkan sebagai pemenang utama.

Inovasi HUAWEI WATCH GT 6: Teknologi Pintar untuk Kehidupan Aktif

Siri HUAWEI WATCH GT 6 baharu direka khusus untuk mereka yang mengutamakan prestasi dan gaya hidup aktif.

Dilengkapi dengan Sistem Kedudukan Sunflower yang revolusioner, jam ini menawarkan ketepatan lokasi yang luar biasa bagi pemantauan laluan dan prestasi yang lebih tepat.

Selain itu, teknologi Huawei TruSense membolehkan analisis kesihatan yang mendalam serta pemantauan kardiovaskular secara berterusan, memastikan kesihatan fizikal dan mental sentiasa dipantau dengan teliti siang dan malam.

Menawarkan jangka hayat bateri sehingga 21 hari, jam pintar ini juga tampil dengan rekaan premium dan moden yang sesuai untuk mereka yang sentiasa bergerak dan aktif.

Ia adalah padanan sempurna untuk warga Malaysia yang mementingkan keseimbangan antara gaya hidup sihat dan teknologi pintar.

Sertai Cabaran Kecergasan 21 Hari Huawei hari ini dan rebut peluang untuk memenangi HUAWEI WATCH GT 6.

Jadikan gaya hidup aktif anda lebih bermakna dengan teknologi pintar yang menyokong setiap langkah anda.

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi Huawei Malaysia atau ikuti @huaweimobilemy di media sosial.

CIMB, PETRONAS tawar pulangan tunai hingga RM2,000 setahun untuk pengguna kad debit dan kredit

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha berterusan untuk membantu rakyat Malaysia menangani kos sara hidup yang semakin mencabar, CIMB Bank Berhad (CIMB) menerusi kerjasama strategik bersama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) melancarkan Kad Debit CIMB PETRONAS Visa, yang menawarkan pulangan tunai (cashback) sehingga RM2,000 setahun bagi transaksi berkaitan petrol dan perbelanjaan kenderaan.

Kerjasama ini turut menambah baik barisan produk kad petrol CIMB sedia ada, melengkapi Kad Kredit CIMB PETRONAS Visa yang telah lama berada di pasaran.

Dengan memiliki kedua-dua kad debit dan kredit pelanggan berpeluang menikmati penjimatan berganda yang memberi manfaat besar dalam pengurusan kewangan harian.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Malaysia, Gurdip Singh Sidhu, berkata pelancaran kad ini adalah sebahagian daripada usaha CIMB untuk memperluaskan impak positif melalui inisiatif sosial “Kita Bagi Jadi”, yang memfokuskan kepada membina ketahanan kewangan masyarakat.

“Kad Debit CIMB PETRONAS Visa direka khas untuk membantu pelanggan menjimatkan perbelanjaan petrol dan kos berkaitan kenderaan.

“Kami ingin memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan oleh pelanggan membawa nilai yang lebih besar.

“Kolaborasi bersama PETRONAS ini membolehkan kami memperkenalkan pakej yang bermakna demi manfaat masyarakat dan pelanggan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PETRONAS Dagangan Berhad, Azureen Azita Abdullah, menyifatkan pelancaran kad baharu ini sebagai langkah memperkukuh komitmen bersama dalam menawarkan kemudahan dan penjimatan kepada pengguna.

“Kad ini dirangka bagi membantu pelanggan mengurus perbelanjaan harian secara lebih efektif, terutama melalui penjimatan bermakna di stesen PETRONAS dan Kedai Mesra.

“Apabila dihubungkan dengan aplikasi Setel, pengguna turut menikmati ganjaran tambahan serta transaksi yang lebih lancar,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Visa Malaysia Previn Pillay berkata, kerjasama antara CIMB, PETRONAS dan Visa ini juga adalah satu peluang penting untuk mendigitalkan transaksi di stesen minyak, yang kebanyakannya masih dilakukan secara tunai.

“Kad CIMB PETRONAS Visa Debit dan Kredit bukan sahaja menawarkan ganjaran, malah membolehkan pengguna membuat bayaran dengan mudah, selamat dan pantas, disokong oleh rangkaian global Visa. Ini sejajar dengan matlamat bersama untuk mempertingkat mobiliti pintar di Malaysia,” katanya.

Ciri dan Kelebihan Kad Debit CIMB PETRONAS Visa

Kad ini menawarkan pulangan tunai 10 peratus untuk pelbagai transaksi berkaitan kenderaan, termasuk:

  • Pembelian di stesen PETRONAS, termasuk Cafe Mesra dan tambah nilai Setel.
  • Caj di stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) terpilih.
  • Pembayaran insurans dan takaful kenderaan bersama Berjaya Sompo dan Takaful IKHLAS.
  • Perkhidmatan car wash dalam kedai yang menerima bayaran debit.

Had tahunan ganjaran pulangan tunai:

  • Transaksi PETRONAS: RM360 setahun (maksimum RM30 sebulan)
  • Insurans motor: RM50 setahun
  • Car wash: RM120 setahun (maksimum RM10 sebulan)

Untuk melayakkan diri, pemohon perlu mengekalkan purata baki bulanan minimum sebanyak RM1,000 dalam akaun Simpanan, Semasa atau Pelaburan-i CIMB.

Kad ini kini boleh dimohon di semua cawangan CIMB di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, termasuk terma dan syarat penuh serta proses permohonan, pelanggan boleh melayari www.cimb.com.my/pvd.

“Mengemis Kasih”: Nazrey Johani kembali bersama The Zikr, gema nasyid 90-an bangkit Ssmula

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia nasyid tanah air kembali bergema dengan kehadiran semula ikon suara emas, Nazrey Johani, yang tampil bersama kumpulan legenda The Zikr menerusi single terbaharu berjudul “Mengemis Kasih”.

Istimewanya, karya ini turut menampilkan kolaborasi istimewa bersama Yabang, bekas vokalis kumpulan rock terkenal, Khalifah.

Kemunculan “Mengemis Kasih” bukan sekadar sebuah lagu, tetapi simbol kebangkitan nasyid era 90-an dalam wajah baharu yang lebih segar, moden dan sarat penghayatan.

Lagu ini juga mencatatkan satu detik bersejarah apabila Nazrey Johani kembali bersatu dengan rakan-rakan lamanya dalam The Zikr, selepas sekian lama menyepi daripada radar industri muzik tanah air.

Lebih menarik, “Mengemis Kasih” adalah hasil ciptaan Nazrey sendiri bersama tokoh motivasi dan penulis terkenal, Ustaz Pahrol Mohd Juoi.

Lagu yang dahulu pernah mencuri hati ramai ini kini diberi nafas baru, dengan susunan muzik yang lebih moden namun masih mengekalkan roh ketuhanan yang menjadi teras dalam karya-karya The Zikr.

“Saya bersyukur dapat kembali bersama The Zikr. Lagu ini kami segarkan dengan susunan baharu, tapi tetap sarat dengan nilai spiritual dan penghayatan.

“Penampilan Yabang pula menambah warna dan emosi yang lebih mendalam dalam lagu ini,” katanya.

Kehadiran semula Nazrey bersama barisan anggota asal seperti Syamsul Masri, Meor Ahmad Sahid, Afezan Ponijan, Amin Nordin, Hafiedz Samsuri, Syawal Paino, Suhaimy Raslan, dan Rosdi Zahari, serta kemasukan semula Amran Ibrahim (bekas anggota Raihan) menjadikan The Zikr hari ini sebagai simbol penyatuan, nostalgia dan kesinambungan dalam dunia dakwah melalui muzik.

Menurut Syamsul Masri, lagu-lagu The Zikr kekal relevan dan terus diminati sehingga kini, bukan sahaja di Malaysia malah di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.

“Lagu Antara Dua Cinta sangat popular di Indonesia. Walaupun Nazrey sudah lama tidak bersama Raihan, kita berjaya kumpulkan semula anggota The Zikr pada 2023 dan menghasilkan beberapa single baharu sejak itu,” katanya.

Antara karya yang diterbitkan dalam tempoh terbabit ialah Antara Dua Cinta (2024), Dunia Baru Islam (2024), dan Kembali (Mei 2025).

Mengemis Kasih, yang dilancarkan pada 26 September 2025 melalui YouTube rasmi Rusa Islamic, adalah kesinambungan kepada usaha memperkenalkan semula muzik nasyid klasik kepada generasi baharu.

Lebih bermakna, “Mengemis Kasih” turut menampilkan Ustaz Amran, anggota asal The Zikr yang juga pernah bersama Raihan.

Kehadiran beliau dalam muzik video rasmi lagu ini menambahkan elemen nostalgia serta memperkukuh naratif sejarah perjalanan dakwah muzik yang bermula dari The Zikr, berkembang ke Raihan dan kini kembali menyatu dalam bentuk yang lebih dewasa dan matang.

Nazrey Johani sendiri tidak asing dalam dunia nasyid. Dari zaman kegemilangan Nada Murni, ke era gemilang Raihan, dan kini bersama The Zikr, beliau kekal sebagai suara rujukan utama dalam genre ini.

Setelah mengharungi pelbagai cabaran kesihatan, termasuk masalah jantung, Nazrey kini kembali dalam keadaan lebih sihat dan bertenaga.

“Nazrey bukan sekadar penyanyi. Beliau adalah simbol, suara, dan semangat dalam perjuangan nasyid moden,” kata Mas Ayie Mas Omar, wakil pengurusan Nazrey Johani dan The Zikr.

Sebagai pelengkap kepada kemunculan semula ini, konsert eksklusif “Mengemis Kasih” turut dirancang untuk diadakan pada Januari 2026.

Konsert ini dijangka menjadi pentas istimewa penuh nostalgia dan penghargaan buat peminat setia yang membesar bersama lagu-lagu dakwah era 90-an.

“Konsert ini akan mengimbau kembali kenangan lama, dengan barisan artis jemputan istimewa yang akan diumumkan kelak,” kataMas Ayie lagi.

MAIWP, TV AlHijrah meterai MoU, lancer Projek Bangkit sebagai platform transformasi usahawan Islam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR -Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan TV AlHijrah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam bidang media, dakwah serta pembangunan insaniah.

Kolaborasi ini menumpukan kepada penghasilan kandungan kreatif, promosi program MAIWP, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), dan inisiatif pembangunan ummah yang menyeluruh, sekali gus mewujudkan sinergi baharu antara dua institusi utama di Malaysia.

Salah satu hasil utama daripada kerjasama ini adalah pelancaran Projek Bangkit, sebuah program realiti keusahawanan yang dianjurkan buat julung kalinya oleh MAIWP dengan kerjasama TV AlHijrah.

Projek ini bertujuan menyediakan platform transformasi bagi usahawan MAIWP untuk mempamerkan produk dan idea perniagaan mereka di peringkat nasional.

Melalui pertandingan yang berkonsepkan persaingan sihat, peserta berpeluang memperoleh pelbagai insentif dan sokongan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Projek Bangkit akan disiarkan secara eksklusif di TV AlHijrah selama lapan minggu. Program ini terdiri daripada tujuh episod pertandingan berdurasi 60 minit setiap satu dan satu episod akhir berdurasi 90 minit.

Setiap minggu, tiga peserta akan mempersembahkan produk serta rancangan perniagaan mereka di hadapan panel juri yang terdiri daripada wakil MAIWP, TV AlHijrah dan usahawan selebriti jemputan.

Juara keseluruhan akan menerima geran berjumlah RM50,000 daripada MAIWP dan penajaan promosi pengiklanan bernilai RM1 juta daripada TV AlHijrah.

Selain daripada itu, semua peserta akan menerima pendedahan eksklusif menerusi slot promosi dan temubual khas dalam program Assalamualaikum, liputan di Berita AlHijrah, penerbitan kapsul media sosial di platform seperti TikTok dan Facebook TV AlHijrah, serta penayangan di saluran digital rasmi TV AlHijrah seperti YouTube dan AH Plus.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, menyifatkan kerjasama ini sebagai usaha penting dalam memperkukuh agenda pemberdayaan ekonomi ummah.

Katanya, Projek Bangkit bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah medan untuk membina keyakinan serta membuka ruang baharu kepada usahawan supaya dapat berkembang dengan lebih mantap.

“Kami yakin sinergi bersama MAIWP ini akan menjadikan program ini sebagai batu loncatan besar bagi usahawan yang terpilih untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi,” kata Nadzariah.

Beliau turut menekankan MoU ini sejajar dengan misi TV AlHijrah sebagai stesen penyiaran Islam utama negara yang berperanan menyebar nilai dan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.

“Kami berbangga dapat menjadi medium rasmi yang mengangkat kisah kejayaan usahawan MAIWP.

“Dengan sokongan produksi serta platform penyiaran TV AlHijrah, Projek Bangkit akan memberi impak besar bukan sahaja kepada peserta, malah kepada masyarakat umum yang menonton,” katanya lagi.

Nadzariah juga menggariskan bahawa media mempunyai peranan penting sebagai agen perubahan sosial.

Projek Bangkit bukan hanya sebuah program hiburan, tetapi sebuah sumber inspirasi yang mampu melahirkan usahawan baharu yang bukan sahaja berdaya saing, malah menjunjung nilai keberkatan dalam perniagaan mereka.

“TV AlHijrah sangat mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai badan kerajaan dan organisasi berkepentingan pada masa hadapan untuk melahirkan lebih banyak program transformasi yang memberi manfaat besar kepada masyarakat,” katanya.

Kerjasama yang terjalin antara TV AlHijrah dan MAIWP ini menandakan permulaan era baharu kolaborasi strategik yang menggabungkan kepakaran MAIWP dalam pembangunan ummah dengan kekuatan TV AlHijrah sebagai medium penyiaran Islam berautoriti.

Majlis menandatangani MoU turut disaksikan oleh wakil pengurusan tertinggi kedua-dua pihak serta warga kerja, yang menyatakan optimisme tinggi bahawa kerjasama ini akan membuka jalan kepada pelbagai inisiatif bersama yang lebih berimpak pada masa akan datang.

Isu tarik kereta: Mangsa tuntut keadilan, bank akhirnya akur setuju serah semula kenderaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik kenderaan mendakwa haknya untuk menyelesaikan pembayaran penuh kenderaan dinafikan oleh pihak bank, meskipun dia telah menyatakan hasrat untuk melangsaikan baki pinjaman sepenuhnya.

Insiden yang berlaku di cawangan sebuah bank di Kampung Atap, Kuala Lumpur itu telah mendapat perhatian Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN) yang diwakili oleh Dato’ Dr Kalaivanar.

Menurut Dr Kalaivanar, mangsa Uthayakumaran a/l Ramalu dan isteri, Krishnan Kumary a/p Perumal hadir hari ini bagi menuntut semula van jenis Toyota Hiace miliknya yang telah ditunda pada 26 September 2025.

“Mangsa mengalami masalah dalam perniagaan sehingga menyebabkan tunggakan bayaran selama dua bulan dan 21 hari.

“Akibat daripada itu, kenderaannya telah ditunda dan disimpan di stor oleh pihak bank.

“Namun begitu, apabila dia hadir ke bank pada 14 Oktober 2025, iaitu selepas 18 hari dari tarikh penundaan, dengan niat untuk membuat penyelesaian penuh (full settlement) sebanyak RM25,000, dia dimaklumkan bahawa haknya sebagai pemunya sewa beli telah dinafikan.

“Kenderaan berkenaan, yang dianggarkan masih mempunyai nilai pasaran sekitar RM70,000, dilaporkan masih berada dalam milikan rasmi Uthayakumaran melalui perjanjian sewa beli yang sah.

“Namun, pihak bank memaklumkan dia tidak lagi boleh menuntut kenderaan terbabit kerana urusan pelepasan telah memasuki fasa pelelongan, yang disifatkan sebagai tindakan yang tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, pihaknya melihat perkara ini sebagai satu bentuk ‘pembulian sistemik’ terhadap masyarakat marhaen yang menandatangani perjanjian sewa beli dengan niat baik, tetapi akhirnya dinafikan hak untuk mendapatkan semula aset walaupun mahu melangsaikan hutang secara penuh.

Selepas hampir satu jam sesi rundingan bersama pegawai bank, hasil positif berjaya dicapai.

Pihak pengurusan bank akhirnya bersetuju memberi kebenaran kepada Uthayakumaran untuk mendapatkan semula kenderaannya dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pengurus bank yang terbabit mengesahkan bahawa kes ini dianggap sebagai “kes khas” dan pengurusan atasan telah memberikan kelulusan agar penyelesaian dapat dibuat secara baik.

Uthayakumaran dijadualkan menerima kembali kenderaannya pada hari Selasa, 21 Oktober 2025, memandangkan hari Isnin adalah cuti umum.

Sementara itu, Uthayakumaran berkata, pihak bank memberikan jaminan secara lisan dengan menyatakan: “I will honor my word.”

Hari Kesihatan Mental Perak 2025 meriah di UPSI, Milenia Bubble Run tarik ribuan peserta

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah kepada sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Hari Pencegahan Bunuh Diri Peringkat Negeri Perak 2025, yang berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 2,000 peserta dari seluruh negeri.

Acara yang berlangsung di Gerbang Suria Sport City, UPSI itu bukan sahaja memupuk kesedaran awam terhadap kepentingan kesihatan mental, malah turut menggabungkan elemen riadah dan gaya hidup sihat melalui penganjuran Milenia Bubble Run: Mental Health X Malaysia Day, yang mencatat pencapaian tersendiri apabila diiktiraf sebagai lari berbuih terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin, yang menzahirkan penghargaan terhadap usaha UPSI dan Pejabat Kesihatan Daerah Muallim dalam menjayakan program kesihatan mental yang bersifat inklusif dan menyeluruh.

“Isu kesihatan mental hari ini perlu diberi perhatian serius. Ia bukan lagi perkara yang boleh dipandang ringan, sebaliknya menuntut kerjasama bersepadu daripada pelbagai pihak, termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti tempatan,” katanya dalam ucapan perasmian.

Salina turut menyifatkan sambutan ini sebagai bertepatan dengan aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), yang mengutamakan kesejahteraan holistik rakyat, merangkumi aspek fizikal, mental dan sosial.

Larian sejauh lima kilometer itu dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI dan disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, warga universiti serta komuniti sekitar Tanjong Malim.

Kejayaan acara ini menjadi bukti bahawa pendekatan kreatif dan santai mampu menarik penyertaan ramai serta menyampaikan mesej kesedaran dengan lebih berkesan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan UPSI, Dr. Farah Salwani Che Ku Razak berkata, penganjuran program ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasa pendidikan kesihatan mental di peringkat akar umbi.

“Pusat Kesihatan Universiti UPSI sentiasa menekankan kepentingan keseimbangan antara kesihatan fizikal dan mental.

“Melalui aktiviti seperti larian komuniti ini, kita bukan sahaja memberi kesedaran, tetapi juga memerangi stigma yang masih membelenggu isu kesihatan mental,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara Pusat Kesihatan Universiti UPSI, Pejabat Kesihatan Daerah Muallim dan MPP UPSI akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai program kesedaran dan intervensi komuniti secara berterusan sepanjang tahun.

Selain daripada acara utama Milenia Bubble Run, pelbagai pengisian turut diadakan sempena sambutan berkenaan termasuk ceramah kesihatan mental, pameran interaktif, pemeriksaan kesihatan percuma serta aktiviti berasaskan komuniti yang berfokus kepada kesejahteraan minda dan gaya hidup sihat.

Program ini juga bersempena Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat UPSI, menjadikan acara ini lebih menyeluruh dalam menyatukan elemen kesihatan fizikal, mental dan sosial dalam kalangan warga kampus dan masyarakat sekeliling.

Penganjuran program berskala besar seperti ini membuktikan bahawa pendekatan inklusif yang melibatkan komuniti, pelajar dan agensi kesihatan mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sikap terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.