editormaxinfo@gmail.com
AMPANG – Cinta pasangan selebriti tanah air, Fattah Amin dan Amira Othman, diraikan dalam satu majlis eksklusif yang penuh dengan suasana romantik menerusi acara Hi-Tea “The Garden of Love FATTMIRA” anjuran Usanita Sdn Bhd.
Acara terbabit bukan sahaja menjadi simbolik meraikan pasangan pengantin baharu ini, malah turut menyaksikan pelancaran rasmi lagu runut bunyi (OST) “Always Will”, nyanyian Amira Othman dan ciptaan komposer tersohor, Ajai.
Lagu ini adalah OST kepada telefilem popular “Poskad Cinta Dari Auckland” yang kini mencatat lebih 20.1 juta tontonan menerusi aplikasi penstriman Usanita TV (UTV) dan platform media sosial lain.
Majlis yang dikendalikan oleh pasangan pengacara terkenal, Awal Ashaari dan Yasmin Hani, turut diserikan dengan kehadiran peminat dan pemenang bertuah dari cabaran di TikTok, portal Gempak, serta radio ERA.
Kehadiran mereka menjadikan suasana lebih eksklusif dengan interaksi mesra antara selebriti dan peminat.

Dengan dekorasi bertemakan taman romantik, majlis membawa tetamu menyelusuri perjalanan cinta dua figura terkenal yang kini menjadi ikon pasangan ideal dalam dunia hiburan Malaysia.
Antara segmen yang paling mencuri perhatian ialah “FATTMIRA Love Story”, di mana Fattah dan Amira berkongsi detik awal kehidupan mereka sebagai suami isteri.
Dalam suasana penuh kehangatan, Amira mendedahkan sisi lembut Fattah sebagai seorang suami yang matang dan penyayang.
“Fattah ini jenis suami yang tak suka panjangkan hal. Kalau saya merajuk, dia cepat-cepat selesaikan. Saya anggap suami saya ni tenang orangnya.
“Saya tak mampu nak balas setiap kebaikan itu tapi saya yakin Allah Maha Mengetahui. Moga Allah memberikan yang baik-baik buat suami saya,” kata Amira penuh rasa syukur.

Fattah pula secara bersahaja menzahirkan doa agar hubungan mereka kekal hingga ke syurga.
“Saya selalu cakap, isteri syurga, isteri syurga. Jadi, itulah saya cakap pada Mira semoga jodoh sampai syurga,” katanya ringkas namun bermakna.
Sementara itu, Pengasas Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan atau lebih dikenali sebagai Datuk Nana berkata, pelancaran lagu “Always Will” adalah titik permulaan kepada penghasilan kandungan hiburan berkualiti menerusi Usanita Entertainment, cabang kreatif baharu di bawah platform digital UTV.
“Hari ini kita bukan sahaja meraikan cinta Fattah dan Amira yang juga wajah rasmi Usanita Group, tetapi kita juga memperkenalkan lagu pertama Usanita Entertainment.
“Lagu ini menjadi runut bunyi kepada telefilem ‘Poskad Cinta Dari Auckland’ yang telah meraih lebih 20.1 juta tontonan sejak tayangannya pada 28 Ogos lalu.
“Ini membuktikan bahawa kandungan tempatan masih mendapat sambutan luar biasa,” kata Datuk Nana.

Komposer lagu, Ajai, turut berkongsi bahawa proses penciptaan lagu “Always Will” diinspirasikan sepenuhnya daripada jalan cerita dan suasana penggambaran telefilem tersebut.
“Saya cipta lagu ini berdasarkan sinopsis dan visual cerita. Saya sesuaikan julat vokal dengan suara Amira kerana saya tahu keunikan dan kekuatan vokalnya,” katanya.
Majlis penuh makna itu turut dimeriahkan dengan kehadiran dan persembahan istimewa daripada rakan artis seperti Sophia Albarakbah dan Nadeera Zaini, yang menyampaikan lagu terbaharu berjudul Peluk, menambahkan lagi aura romantis dan glamor pada acara eksklusif itu.
Telefilem Poskad Cinta Dari Auckland, arahan Izuan Mokhtar, membariskan pelakon hebat seperti Fattah Amin, Amira Othman, Irfan Haris, Bell Ngasri, Umie Aida dan pengarah sendiri, Izuan Mokhtar.
Ia mengisahkan sekeping poskad yang tersalah alamat sehingga mempertemukan dua jiwa dalam kisah cinta penuh emosi dan pengembaraan di bumi New Zealand.
Telefilem ini boleh ditonton secara eksklusif menerusi aplikasi Usanita TV (UTV), sebuah platform penstriman digital tempatan yang mengetengahkan kandungan berunsur kekeluargaan, cinta dan nilai-nilai masyarakat.


https://shorturl.fm/WWSjn