editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Malaysia mencatat satu lagi detik bersejarah dalam industri hiburan apabila dua festival muzik elektronik antarabangsa, HardTech (Hardmission & Techmission) dan Transmission: The Awakening, berjaya dianjurkan buat kali pertama di negara ini pada 18 dan 19 Oktober 2025 di Helipad, Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Acara dua malam yang dinanti-nantikan ini telah menyatukan semangat sukan permotoran dengan keghairahan muzik elektronik dalam suasana penuh tenaga dan emosi, sempena Grand Prix PETRONAS Malaysia 2025.
Penganjuran festival ini oleh Hi Five Entertainment bukan sahaja menjadi pelengkap kepada pesta sukan permotoran hujung minggu itu, malah mencipta tanda aras baharu dalam sejarah penganjuran festival muzik EDM (Electronic Dance Music) di Malaysia.
Ribuan peminat dari dalam dan luar negara membanjiri tapak acara bagi menyaksikan persembahan memukau daripada barisan artis antarabangsa ternama termasuk Markus Schulz, Aly & Fila, Sub Zero Project, Ben Nicky, Warface, MANDY dan Driftmoon.

Malam pertama menyaksikan kemunculan HardTech, yang terkenal dengan gabungan muzik hardstyle dan techno berintensiti tinggi, seni visual futuristik serta pencahayaan dramatik yang mengubah ruang konsert menjadi dimensi baru yang menggugah pancaindera.
Sebagai penampilan sulung mereka di Malaysia, Hardmission & Techmission benar-benar menunaikan janji menyampaikan pengalaman audio visual yang luar biasa, dipenuhi rentak agresif dan adrenalin yang mengalir deras sepanjang malam.
Manakala malam kedua mempersembahkan Transmission: The Awakening, festival muzik trance terkemuka dari Eropah yang tidak asing lagi di pentas global.
Persembahan penuh sinematik dengan alunan melodi yang menyentuh jiwa, diiringi pertunjukan laser yang menakjubkan, menjadikan malam itu satu pengalaman spiritual buat pencinta muzik trance.

Peminat yang hadir menggambarkan pengalaman itu sebagai “perjalanan ke dunia lain” satu malam yang menyatukan ribuan manusia daripada pelbagai bangsa dan latar belakang dalam satu denyut irama yang sama.
Lebih membanggakan, kejayaan acara ini turut disandarkan kepada pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) baharu yang digariskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khusus untuk acara muzik EDM.
Lima SOP utama telah dilaksanakan dengan jayanya, merangkumi penyediaan titik hidrasi, pasukan perubatan di lokasi, mesej kesedaran anti-dadah, kerjasama hospital berhampiran dan kehadiran unit pengesan dadah K9.
Penganjuran ini turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai pihak berkuasa termasuk IPD KLIA, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Majlis Perbandaran Sepang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PUSPAL, yang telah memastikan aspek keselamatan, kelulusan, dan pengurusan acara berjalan lancar mengikut piawaian antarabangsa.

Menurut Sean Pereira, Pengarah Urusan Hi Five Entertainment, penganjuran ini membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah kepada festival muzik antarabangsa bertaraf dunia dengan pengurusan yang cemerlang dan suasana yang selamat.
“Kami berbangga kerana berjaya menganjurkan bukan sekadar sebuah festival muzik yang menakjubkan, tetapi juga satu pengalaman yang selamat dan tersusun.
Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan kerjasama yang betul, festival EDM boleh dianjurkan secara bertanggungjawab dan memenuhi standard global,” katanya.
Lebih daripada sekadar hiburan, festival ini menjadi platform yang menyatukan komuniti muzik tarian tempatan dengan gelombang global.

Setiap detik sepanjang dua malam itu daripada dentuman bass ke alunan melodi trance mencipta momen yang sukar dilupakan.
Pengunjung menyifatkannya sebagai “pengalaman sekali seumur hidup” yang menyentuh hati, menggegarkan jiwa dan menyatukan semangat.
HardTech dan Transmission bukan sekadar festival ia adalah satu pergerakan, satu perayaan budaya dan satu detik bersejarah yang meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama festival muzik antarabangsa di rantau Asia Tenggara.


https://shorturl.fm/z4cWy