33.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 9, 2025

Empat Live In KL: Konsert penuh emosi & nostalgia satukan dua generasi seni

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tanggal yang akan terpahat dalam sejarah industri muzik Malaysia apabila empat figura seni tersohor Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bersatu dalam satu pentas berprestij menerusi Empat Live In Kuala Lumpur 2025, yang berlangsung penuh gemilang di Mega Star Arena.

Dihadiri lebih 4,500 penonton, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa. Ia adalah konsert keluarga pertama seumpamanya di Malaysia, yang mempersembahkan bukan sahaja kehebatan vokal tetapi juga ikatan kasih sayang dan harmoni antara empat nama besar dari dua generasi seni.

Diiringi oleh produksi muzik berkelas tinggi, konsert ini menyentuh jiwa penonton dengan persembahan penuh emosi, kekuatan vokal memukau dan perjalanan lagu-lagu yang menyulam nostalgia serta semangat kekeluargaan.

Penganjuran konsert ini adalah hasil usaha gabungan antara Anuar Zain Network selaku penganjur utama bersama Altus ProHouse selaku pengurus konsert dan penganjur bersama.

Tugas pengarah muzik pula digalas dengan cemerlang oleh Lee Sze Wan, manakala Jennifer Thompson bertindak sebagai pengarah konsert, menyempurnakan pementasan yang disifatkan sebagai luar biasa.

Lebih 21 lagu dipersembahkan dalam susunan segar dan dramatik, termasuk beberapa medley lagu-lagu ikonik seperti “Madah Berhelah”, “Keabadian Cinta”, “Ku Bersuara”, “Hamba Cinta”, dan “Aura”. Kemunculan lagu baharu seperti “Beribu Tanda Tanya”, nyanyian Syamel yang dikatakan dirakam khas di Manchester, turut mencuri perhatian lagu yang mewakili perasaan mereka yang sering tenggelam dalam lautan fikiran dan ‘overthinking’.

Antara momen paling menyentuh ialah apabila Ziana Zain menyanyikan “Dingin”, lagu yang diperkenalkan menerusi undian kejutan oleh Ernie Zakri.

Kesyahduan bertambah apabila Ziana dan Anuar berpadu suara menerusi “Menadah Gerimis”, sebuah persembahan yang mendapat tepukan gemuruh daripada peminat.

 Lagu “Hidup Dalam Mati” turut mendapat tempat istimewa dalam hati para hadirin apabila Ziana menyampaikannya dengan penuh penghayatan.

Gandingan Ernie Zakri dan Anuar Zain menerusi lagu “Sesucinya Cintamu” dan “Jangan Marah” memperlihatkan keunikan dua generasi vokal yang bersatu dengan harmoni.

Sementara itu, lagu “Gundah”, hasil ciptaan Anuar dan disampaikan oleh Ernie, memperkukuh lagi nilai kolaboratif konsert ini satu perayaan bakat dan jiwa seni yang tulen.

Setiap persembahan diperkukuh dengan iringan kumpulan pemuzik profesional termasuk pemain gitar ternama Wan Gigi dan Marcus Leong, serta barisan penyanyi latar seperti Jad Lobo, Baby Akmal dan Widy, memberikan lapisan bunyi yang menyeluruh dan berkualiti tinggi.

Kehadiran seksyen gesekan khas yang terdiri daripada pemuzik orkestra berbakat seperti Brian Larson dan Ham Kay Lyn turut mengangkat mutu persembahan ke tahap antarabangsa.

Empat Live bukan sekadar konsert, tetapi lambang cinta terhadap muzik, keluarga dan peminat.

Malam itu bukan sahaja menyatukan peminat dari pelbagai generasi dan latar belakang, tetapi juga merakamkan detik-detik keemasan dalam dunia hiburan tanah air.

Ia adalah bukti bahawa muzik mampu menyatukan hati, merentasi sempadan usia dan zaman.

Peminat yang hadir tidak sekadar menyaksikan konsert, tetapi turut menjadi sebahagian daripada sejarah berada di tengah-tengah ribuan jiwa yang berdiri, bernyanyi dan beremosi bersama irama yang menjadi runut kehidupan ramai.

Dengan kejayaan ini, Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bakal menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran konsert tempatan membuktikan bahawa dengan pengurusan yang mantap, visi yang jelas dan semangat kekeluargaan, sebuah persembahan boleh melangkaui hiburan semata-mata dan menjadi kenangan yang akan terus hidup dalam jiwa peminat.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular