28.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 9, 2025

Johan teroka dunia automotif hijau, lancar kedai motosikal elektrik GGR x Johan di Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia keusahawanan tempatan menyaksikan satu lagi perkembangan menarik apabila selebriti terkenal tanah air, Johan, melangkah ke industri automotif hijau dengan pembukaan rasmi pusat pameran motosikal elektrik (EV) GGR x Johan di Melawati Square, Kuala Lumpur.

Johan, atau nama sebenarnya Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz, 41, bukanlah asing dalam dunia perniagaan.

Beliau sebelum ini mengukir kejayaan menerusi restoran popular “Itik Ke Ayam?” yang dikendalikan di bawah syarikat miliknya, Hanania Group Sdn. Bhd.

Kini, Johan melebarkan sayap perniagaannya ke arah teknologi mobiliti masa depan menerusi kerjasama strategik dengan syarikat pengeluar motosikal elektrik tempatan, GGR Motor.

Majlis pelancaran pusat pameran itu turut diserikan dengan acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara GGR Legacy (M) Sdn. Bhd. dan Hanania Group Sdn. Bhd., sekali gus menandakan permulaan rasmi kolaborasi perniagaan mereka yang dikenali sebagai GGR x Johan.

Acara bersejarah itu turut dirasmikan oleh bekas Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, yang kini rakan penyampai Johan di Hot FM.

Kehadiran beliau menyerikan lagi pelancaran yang turut disaksikan oleh tetamu kehormat termasuk YAM Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail; Rakan Strategik, Profesor Dr Nizar Abd Jalil; serta Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi.

Dalam ucapannya, Johan menzahirkan rasa syukur dan keterujaannya kerana diberi peluang menerokai industri automotif yang dilihat semakin berkembang pesat, seiring dengan usaha kerajaan mempergiatkan penggunaan kenderaan rendah karbon.

“Pembukaan pusat pameran ini mencerminkan komitmen kami untuk terus berkembang serta menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di seluruh negara.

“Saya amat yakin bahawa motosikal elektrik akan menjadi pilihan utama pengguna pada masa akan datang,” katanya,

Perasmian GGR x Johan bukan sekadar pelancaran pusat jualan, malah turut menjadi simbolik kepada peralihan Malaysia ke arah mobiliti mapan dan ekonomi hijau yang lebih lestari.

Inisiatif ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam majlis yang sama, turut diumumkan kerjasama antara GGR Akademi dan syarikat Ram Corporation Ltd dari Thailand, serta GGR Zhejiang Huaqu International (VARCHEA) dari China, bagi memperluaskan pasaran eksport motosikal elektrik ke luar negara.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq atau lebih dikenali sebagai Dekmat, hubungan erat beliau bersama Johan sejak 2017 menjadi antara faktor utama kejayaan kolaborasi ini.

“Johan tidak pernah berhenti menyokong saya walaupun saya pernah jatuh. Hari ini, saya sangat terharu kerana impian kita akhirnya menjadi kenyataan.

“ Kita bukan sahaja rakan perniagaan, tapi juga sahabat yang saling memberi semangat,” katanya.

Motosikal elektrik keluaran GGR Motor tampil dengan reka bentuk moden, praktikal dan mesra pengguna.

Ia dilengkapi tiga mod kelajuan bermula dari 35 km/j sehingga 70 km/j menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian di bandar mahupun perjalanan jarak sederhana.

Dengan masa pengecasan penuh sekitar enam jam, motosikal ini direka dengan komponen minimum seperti bateri dan controller, tanpa memerlukan servis enjin berkala seperti motosikal konvensional.

Ini menjadikan kos penyelenggaraan jauh lebih rendah dan menjimatkan dalam jangka masa panjang.

Pelanggan turut ditawarkan pelbagai pilihan penyesuaian termasuk lampu tambahan, rim sukan, serta aksesori lain.

Waranti sehingga 50,000 kilometer turut disediakan, memberi keyakinan kepada pengguna mengenai ketahanan produk ini.

Setakat ini, terdapat enam pilihan warna menarik ditawarkan iaitu merah, putih, kuning, oren, biru cair dan merah jambu, dengan warna tambahan seperti biru gelap dan hijau bakal diperkenalkan dalam masa terdekat.

Motosikal elektrik GGR x Johan ditawarkan pada harga asal RM3,999 seunit.

Namun, menerusi skim rebat kerajaan sebanyak RM2,400, pembeli yang layak hanya perlu membayar sekitar RM1,569 sahaja satu penjimatan besar bagi rakyat berpendapatan tahunan bawah RM100,000.

Permohonan rebat boleh dibuat sehingga Disember 2025, dengan proses kelulusan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.

Semua motosikal akan didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan layak mendapat perlindungan insurans, tanpa dikenakan cukai jalan untuk kenderaan dua roda elektrik.

Anggaran kos keseluruhan untuk pendaftaran, insurans dan nombor plat hanyalah sekitar RM2,054 menjadikannya antara alternatif pengangkutan paling berbaloi di pasaran.

Dengan pembukaan GGR x Johan, Johan kini menjadi selebriti kedua selepas Farid Kamil yang menceburi industri motosikal elektrik tempatan bersama GGR Motor.

Langkah ini menunjukkan komitmen golongan selebriti dalam menyokong inisiatif hijau serta memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk bersama-sama mengurangkan jejak karbon.

Pembukaan pusat pameran di lokasi strategik ini dijangka menjadi pemangkin kepada perkembangan industri EV tempatan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang teknikal dan automotif.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular