editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – MyGig Malaysia tampil dengan hala tuju jelas selepas mesyuarat agung pertamanya, dengan menggariskan lima fokus utama membabitkan dasar perlindungan pekerja gig, standardisasi tambang e-hailing, penubuhan cawangan negeri dan desakan ke atas penguatkuasaan lebih ketat terhadap pengendali platform digital di negara ini.
Pengerusi MyGig Malaysia, Dato’ Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, mereka juga turut mewujudkan pembentukan lima biro teras bertujuan memperkasakan struktur pentadbiran dan hala tuju organisasi.
Biro-biro itu ialah Biro Dasar dan Penyelidikan, Biro Tadbir Urus dan Perundangan, Biro Latihan dan Pembangunan, Biro Kebajikan dan Perlindungan serta Biro Komunikasi dan Libat Urus Industri.
Melalui sesi libat urus bersama pemain industri, termasuk pengendali platform digital dan pekerja gig sendiri, pelbagai isu kritikal telah dibangkitkan untuk tindakan segera.
Antara isu paling mendesak adalah ketiadaan perlindungan sosial bagi majoriti pekerja gig, termasuk tiada pendaftaran Perakuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tiada insurans dan tidak dilindungi skim keselamatan sosial seperti EPP atau PSB.
“Isu ini bukan kecil. Banyak pekerja gig termasuk pemandu e-hailing menjalankan pekerjaan tanpa sebarang perlindungan.
“Bila berlaku kemalangan, gangguan seksual atau rompakan tiada siapa yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, terdapat kes dilaporkan di mana pengendali aplikasi gagal bekerjasama kerana berpangkalan di luar negara, menyebabkan proses siasatan dan perlindungan mangsa menjadi rumit.
Tambahnya lagi, kerajaan perlu lebih tegas terhadap pemilik platform (HMO) yang beroperasi tanpa mematuhi piawaian keselamatan dan pengurusan data.
“Keselamatan rakyat Malaysia tidak boleh dikompromi hanya kerana kelemahan pematuhan oleh syarikat luar,” katanya.
Satu lagi isu besar yang dibincangkan adalah mengenai subsidi BUDI MADANI yang menurut MyGig Malaysia masih kabur pelaksanaannya.
Dalam konteks pekerja gig, mereka sepatutnya layak menerima 600 liter bagi penggunaan bahan api untuk bekerja, dan tambahan 300 liter yang diagihkan kepada rakyat secara umum.
Namun, ramai pekerja gig hanya menerima jumlah kecil tanpa penjelasan yang telus.
“Jumlah 300 liter itu sepatutnya diberikan kepada semua rakyat. Tetapi untuk pekerja gig, mereka perlukan tambahan 600 liter kerana ia membabitkan kos operasi harian.
“Sepatutnya jumlah keseluruhan yang diterima ialah 900 liter hingga 1,000 liter untuk benar-benar memberi impak,” tegasnya.
Dalam usaha meningkatkan keberkesanan advokasi dan pemantauan isu pekerja gig di seluruh negara, MyGig Malaysia juga merancang untuk menubuhkan cawangan di setiap negeri.

Ini bagi memastikan perbezaan cabaran antara negeri, contohnya antara Kuala Lumpur, Sabah dan Pahang, dapat ditangani secara lebih berkesan di peringkat tempatan.
MyGig Malaysia turut mendesak kerajaan meneliti isu standardisasi tambang dalam industri e-hailing, yang kini dikatakan tidak seragam dan membebankan pemandu serta pengguna.
Langkah mewujudkan garis panduan harga tambang yang adil dijangka dapat meningkatkan kepercayaan dalam sektor pengangkutan digital.
Dalam aspek perlindungan sosial pula, MyGig Malaysia mengesyorkan agar caruman PERKESO dijadikan mandatori kepada semua pekerja gig termasuk dalam sektor kreatif dan perfileman.
Terdapat kes yang dilaporkan di mana pekerja seni mengalami kemalangan namun tidak layak menerima pampasan kerana tiada caruman dibuat.
MyGig Malaysia turut membangkitkan isu ketidakadilan dalam penguatkuasaan ke atas pengamal rawatan alternatif seperti tukang refleksologi dari luar negara.
Menurut mereka, pengamal dari Thailand, Myanmar dan negara lain dibenarkan beroperasi walaupun tidak memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), sedangkan pengamal tempatan diwajibkan memilikinya atau dikenakan tindakan.
Perbezaan ini menimbulkan persoalan tentang keadilan dan ketelusan penguatkuasaan.
“Kementerian perlu menyelaraskan peraturan ini. Rakyat Malaysia tidak sepatutnya didiskriminasi di tanah air sendiri sedangkan pengamal luar diberi kelonggaran atas alasan memiliki lesen dari agensi pelancongan,” katanya.
Dengan pelbagai cabaran yang dihadapi lebih 1 juta pekerja gig di Malaysia hari ini, MyGig Malaysia menggesa kerajaan agar mengambil tindakan lebih serius dan menyeluruh.
Cadangan dan resolusi hasil perbincangan dalam mesyuarat ini akan disusun secara rasmi dan dikemukakan kepada pihak kerajaan dalam masa terdekat.


https://shorturl.fm/bGx3R