editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia berhubung dakwaan penipuan pelaburan hartanah melalui skim Pulangan Sewa Terjamin atau Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa telah memperdaya puluhan pelabur tempatan dengan kerugian mencecah lebih RM43 juta.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada sekumpulan pelabur yang terbabit dalam skim GRR yang ditawarkan oleh sebuah syarikat pemaju.
Skim itu didakwa menjanjikan pulangan sewa tetap kepada pembeli unit hartanah sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang yang stabil dan menguntungkan.
“Seramai 69 individu telah membeli unit hartanah daripada syarikat terbabit dengan jumlah keseluruhan nilai pembelian mencecah RM43,740,208.66.
“Namun, dakwa mereka, janji pulangan sewa terjamin tidak ditunaikan dan mereka mendakwa telah dimanipulasi untuk menyertai skim pelaburan tersebut tanpa perlindungan undang-undang yang jelas,” katanya.
Beliau berkata, konsep GRR mula diperkenalkan sekitar tahun 2000 dan menawarkan pelabur peluang memperoleh pendapatan pasif daripada sewaan unit hartanah, dengan jaminan pulangan antara 8 peratus hingga 12 peratus setahun.
Tambahan pula, pelabur dijanjikan syarikat akan membeli semula unit yang dibeli mengikut harga pasaran, serta tidak perlu terlibat dalam urusan penyelenggaraan atau pengurusan unit.
“Hasil siasatan awal bersama panel peguam mereka mendapati skim GRR ini tidak dikawalselia oleh mana-mana agensi penguatkuasaan secara formal.
“Ketiadaan pemantauan ini menjadikan ia berisiko tinggi dan mudah disalahgunakan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Lebih membimbangkan, berdasarkan maklumat daripada pelabur yang terbabit, terma berkaitan GRR tidak dimasukkan dalam perjanjian jual beli atau dokumen rasmi yang ditandatangani oleh pembeli unit.
Apabila isu ini dibangkitkan kepada syarikat, mereka hanya menerima maklum balas umum tanpa sebarang penjelasan bertulis atau pengesahan rasmi.
“Ekoran kegagalan mendapatkan penjelasan sewajarnya daripada syarikat pemaju, mangsa telah mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada September lalu, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.
“Oleh itu, langkah selanjutnya diambil dengan menyerahkan aduan rasmi kepada Bank Negara Malaysia agar siasatan dapat dilakukan dari sudut bidang kuasa yang berkenaan,” katanya.
Hishamuddin berkata, tindakan ini bukan bertujuan menyulitkan tugas mana-mana agensi kerajaan, tetapi semata-mata untuk menegakkan hak pelabur seperti yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia, serta mendapatkan perlindungan sewajarnya sebagai pengguna dan pelabur.
Menurutnya, situasi ini mencerminkan bagaimana sesetengah individu dan syarikat memanipulasi kelemahan sistem pemantauan pelaburan untuk meraih keuntungan tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada pelabur yang akhirnya terjerat dengan beban hutang dan kerugian kewangan yang besar.
Kenyataan itu turut merujuk laporan terdahulu oleh The Edge Malaysia (Isu 765, Julai 24 – Ogos 2, 2009) yang menyentuh kes-kes serupa melibatkan skim GRR, di mana syarikat-syarikat yang menawarkan skim ini sering kali hanyalah “syarikat kosong” atau shell company.
Dalam kes-kes sebegini, apabila pelabur cuba menuntut hak mereka, syarikat terbabit akan mengambil jalan mudah dengan melarikan diri atau menjalankan voluntary winding up, sekaligus melepaskan diri daripada sebarang tanggungjawab undang-undang.
Sehubungan itu, MHO menyeru semua agensi penguatkuasaan yang berkaitan termasuk SSM, Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan dan pihak berkuasa tempatan agar bertindak tegas terhadap skim pelaburan GRR tidak sah dan menguatkuasakan perundangan sedia ada dengan lebih efektif.
MHO menegaskan keadilan untuk pelabur mesti ditegakkan, dan kerajaan perlu memperkenalkan langkah pencegahan yang lebih menyeluruh agar rakyat Malaysia tidak terus menjadi mangsa kepada skim pelaburan hartanah yang mencurigakan ini.
Pelabur-pelabur yang terbabit menaruh harapan tinggi agar penyiasatan menyeluruh akan dijalankan dan tindakan sewajarnya dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, demi memastikan nasib pelabur sedia ada terbela dan masyarakat umum tidak lagi terpedaya dengan janji manis skim seumpama ini.


https://shorturl.fm/ZFthv