33.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 9, 2025

COBRA Rugby 10s 2025: Kejohanan ragbi antarabangsa terunggul kembali gamatkan Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur sekali lagi bakal menjadi tumpuan dunia ragbi apabila edisi ke-52 COBRA Rugby 10s 2025 kembali berlangsung dengan penuh semangat dan aksi luar biasa.

Dihoskan oleh kelab ragbi tersohor negara, COBRA Rugby Club, kejohanan berprestij ini menjanjikan dua hari yang sarat dengan kehebatan, ketangkasan dan semangat kesukanan bertaraf dunia.

Edisi tahun ini menghimpunkan 12 pasukan lelaki terbaik dari seluruh dunia, menjadikan pertandingan ini medan pertarungan sengit yang pasti memukau peminat sukan ragbi.

Antara pasukan antarabangsa yang bakal memeriahkan padang ialah POM Harlequins dari Papua New Guinea, NTK Rugby dari Afrika Selatan, dan Koko Samoa dari Samoa yang terkenal dengan kepantasan mereka.

Turut serta ialah Pakuranga Rugby Club dan Hautapu SSC dari New Zealand, serta Penguin Rugby dari United Kingdom yang membawa reputasi tinggi dalam dunia ragbi.

Malaysia turut mempertaruhkan enam pasukan terbaik tanah air iaitu COBRA Rugby Club, KL Tigers, SSTMI Tsunami, MPSJ Knight, Royal Town Warriors dan KRAS Rugby yang akan mempertahankan maruah negara di laman sendiri dengan semangat juang yang luar biasa.

Format kejohanan kali ini mengekalkan sistem yang pantas dan kompetitif.

Dua kumpulan berisi enam pasukan akan berentap dalam lima perlawanan kumpulan masing-masing, di mana dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir CUP.

Pasukan di tempat ketiga dan keempat akan beraksi dalam saingan Plate, manakala tempat kelima dan keenam akan bersaing merebut Bowl.

Setiap perlawanan menjanjikan debaran tanpa henti tiada laluan mudah dan tiada ruang untuk kesilapan sehingga wisel penamat.

Lebih menarik, kejohanan wanita turut kembali selepas menerima sambutan memberangsangkan pada edisi terdahulu.

Lima pasukan wanita terbaik Malaysia akan berentap dalam format liga penuh pada Hari Pertama, di mana empat pasukan teratas bakal mara ke peringkat separuh akhir.

Format ini memastikan setiap perlawanan amat penting kerana satu kesilapan mampu menafikan laluan ke pentas akhir.

Sebagai tambahan istimewa tahun ini, buat julung kalinya, COBRA memperkenalkan pertandingan Veteran, menampilkan lima pasukan yang akan bersaing dalam format liga satu hari.

Walaupun membabitkan pemain berpengalaman, saingan dijangka tetap rancak dan sengit, dengan dua pasukan terbaik bakal berentap untuk merebut gelaran Juara Veteran COBRA 10s.

Selama lebih lima dekad, COBRA Rugby 10s telah menjadi simbol kecemerlangan dan semangat kesukanan yang merentasi sempadan.

Edisi ke-52 ini dijangka terus mengekalkan reputasinya sebagai antara kejohanan ragbi 10 sebelah paling berprestij di dunia, menyatukan komuniti ragbi antarabangsa dalam suasana penuh kemeriahan dan perpaduan.

Penganjur turut menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada barisan penaja dan rakan kerjasama yang memainkan peranan penting dalam menjayakan edisi kali ini.

Antara penaja utama ialah IJM Corporation Berhad, WCE Holdings Berhad, dan Sideline Restaurant & Bar, manakala penaja baharu seperti Microleap (penaja utama pasukan COBRA), Total Energies, serta Kementerian Belia dan Sukan turut tampil memberikan sokongan padu.

COBRA turut menghargai sokongan rakan strategik seperti Malaysia Airlines Berhad, yang memainkan peranan penting dalam membawa pasukan antarabangsa ke Malaysia, serta Aliran Tenaga selaku rakan teknikal dan Skyblue Media sebagai rakan media rasmi yang menaja pengiklanan luar (OOH) di sepanjang Lebuhraya Persekutuan.

Menurut Dato’ Lee Chun Fai, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, sokongan syarikat terhadap kejohanan ini adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang mereka terhadap pembangunan sukan dan komuniti.

“Di IJM, kami percaya dalam pelaburan terhadap komuniti melalui inisiatif yang memupuk semangat berpasukan, disiplin dan ketahanan nilai-nilai yang turut menjadi teras organisasi kami.

“Sokongan berterusan terhadap COBRA 10s mencerminkan komitmen kami dalam membangunkan sukan bukan arus perdana serta memupuk budaya ragbi yang sihat di Malaysia,” katanya.

Dengan sokongan padu penaja, semangat luar biasa pemain serta sorakan gemuruh peminat, COBRA Rugby 10s 2025 dijangka menjadi satu lagi kejayaan gemilang dalam sejarah sukan ragbi Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular