editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dunia muzik serantau kembali dihangatkan dengan kolaborasi luar biasa antara dua nama besar Nusantara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dari Malaysia dan Lesti Kejora dari Indonesia menerusi single terbaharu berjudul Kumbang Bunga.
Lagu ini bukan sekadar gandingan dua suara hebat, tetapi juga simbol persahabatan dan keharmonian dua negara serumpun yang disatukan melalui bahasa muzik.
Kumbang Bunga, ciptaan Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh, menjadi single pertama daripada album terbaharu Siti Nurhaliza.
Lagu ini menampilkan gabungan unik tiga irama tradisional utama inang, dangdut dan masri yang digarap dalam sentuhan kontemporari moden, menjadikannya karya istimewa yang mampu dinikmati oleh semua peringkat usia.
Pendekatan ini turut bertujuan menarik minat generasi muda untuk terus menghargai keindahan muzik berteraskan warisan budaya Melayu.
Menurut Siti Nurhaliza, beliau tertarik dengan melodi Kumbang Bunga sebaik pertama kali mendengarnya dan mencadangkan agar elemen dangdut genre yang sinonim dengan Lesti dimasukkan bagi memperkukuh identiti lagu terbabit.

“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti akhirnya menjadi kenyataan.
“Kami sudah lama merancang kerjasama ini, dan saya merasakan inilah waktu yang paling tepat memandangkan album baharu saya berkonsepkan tradisional.
“Muzik mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira bahasa, budaya atau sempadan,” ujar Siti penuh makna.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Kumbang Bunga bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia, tetapi turut mendapat sambutan positif daripada peminat di negara lain.
Lesti, yang terkenal dengan vokal lunak dan pesona dangdutnya, turut melahirkan rasa teruja dapat berduet dengan ikon muzik Malaysia itu.
“Saya berterima kasih kepada Siti Nurhaliza kerana memberi kepercayaan untuk berkolaborasi dalam lagu yang sangat indah ini.
“Peminat kami sudah lama menantikan gandingan ini dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan. Muzik adalah bahasa penyatu yang mengajar kita menghargai perbezaan dengan penuh hormat,” katanya.

Dari sudut kreatif, Kumbang Bunga dihasilkan dengan penuh teliti oleh komposer berbakat Firdaus Rahmat bersama Iqie Hugh.
Menariknya, proses penciptaan lagu ini hanya mengambil masa kira-kira dua hari untuk disiapkan sepenuhnya.
“Saya memang menulis lagu ini khas untuk Siti Nurhaliza dan Lesti. Saya mahu menonjolkan keindahan dan keunikan vokal mereka dalam satu karya yang menggabungkan nuansa tradisional serta elemen moden yang segar,” kata Firdaus.

Lagu Kumbang Bunga diterbitkan oleh SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd. dan boleh didapati di semua platform digital sejak 22 Oktober 2025.
Video muzik rasmi turut dilancarkan pada hari yang sama jam 3.00 petang, memperlihatkan keserasian dua bintang besar Nusantara dalam sebuah karya yang bukan sahaja indah dari segi muzik, tetapi juga sarat dengan nilai persahabatan dan penghargaan terhadap budaya serumpun.
Dengan kehadiran Kumbang Bunga, Siti Nurhaliza dan Lesti sekali lagi membuktikan bahawa muzik mempunyai kuasa untuk melangkaui sempadan negara dan menyatukan hati jutaan pendengar di seluruh rantau ini.

