26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
Home Blog Page 24

FINAS perluas bengkel vokal dan lakonan OKU drama radio, Teo Nie Ching sokong industri kreatif inklusif

editormaxinfo@gmail.com

Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Usaha memperkasa bakat golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam industri kreatif negara terus diperkukuh menerusi penganjuran Bengkel Kreatif OKU Vokal dan Lakonan Asas (Drama Radio) yang julung kali diadakan hasil kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia.

Majlis penutupan dan penyampaian sijil bengkel berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, bersempena sambutan Hari Radio Sedunia.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Februari itu diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan penyertaan seramai 30 peserta OKU daripada pelbagai kategori termasuk fizikal, pendengaran, pembelajaran dan mental.

Bengkel berkenaan adalah cetusan idea Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, Azmi Jaffri, yang melihat potensi besar dalam kalangan golongan OKU untuk diketengahkan dalam bidang seni suara dan lakonan.

Menurut Azmi, kebanyakan individu OKU memiliki bakat tersendiri namun sering berdepan keterbatasan akses dan peluang untuk menonjolkan kebolehan mereka dalam industri arus perdana seperti televisyen dan radio.

“Pendekatan bengkel ini memberi fokus khusus kepada teknik vokal dan lakonan asas bagi drama radio, satu cabang seni yang semakin jarang diberi perhatian walhal ia adalah medium hiburan dan penyampaian maklumat yang berkesan melalui ekspresi suara.

“Peserta didedahkan kepada teknik pernafasan, kawalan tonasi serta sebutan yang jelas, tanpa bergantung kepada pergerakan fizikal atau ekspresi wajah seperti dalam lakonan visual,” katanya.

Sementara itu, Teo dalam ucapannya menyifatkan penganjuran bengkel ini sebagai satu langkah kritikal ke arah menjadikan industri kreatif negara lebih inklusif dan progresif.

Katanya, program berkenaan bukanlah yang terakhir, malah pihak FINAS akan mengenal pasti lokasi sesuai meliputi zon utara, selatan, timur serta Sabah dan Sarawak bagi memperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara.

“Ini satu langkah penting untuk memastikan industri kreatif kita benar-benar inklusif. Kita mahu lebih ramai bakat OKU diberi ruang dan peluang untuk menyerlah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Bahagian Latihan FINAS memainkan peranan penting dalam merealisasikan program ini, khususnya dalam menyusun modul latihan dan menyediakan tenaga pengajar berpengalaman.

Antara barisan tenaga pengajar yang terlibat ialah Fauziah Nawi selaku penasihat bengkel, Siti Hajar Ismail, mantan guru vokal Akademi Fantasia, serta Adam Shahz, pemenang Pelakon Baharu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 menerusi filem Juvana 2.

Selain memperkukuh asas lakonan suara untuk drama radio, ilmu yang dipelajari turut membuka ruang kepada peserta untuk menceburi bidang rakaman suara latar (voice over), iklan komersial dan animasi.

Secara tidak langsung, inisiatif ini berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada peserta yang berjaya mengasah bakat dan kemahiran mereka.

Penganjuran bengkel ini juga dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, khususnya teras Ihsan yang menekankan nilai empati dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan sokongan.

Harapan turut disuarakan agar stesen televisyen dan radio, sama ada milik kerajaan mahupun swasta, dapat menyokong usaha ini dengan membuka lebih banyak ruang penyertaan kepada bakat OKU dalam produksi masing-masing.

Dengan sambutan yang menggalakkan serta komitmen berterusan daripada FINAS dan rakan strategik, Bengkel KreatifOKU Vokal dan Lakonan Asas (Drama Radio) dijangka menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu dan memperkukuh ekosistem industri kreatif yang lebih inklusif di Malaysia.

Maldives lancar Tech4Nature di SAMPA, lindungi jerung paus dan perkasa pemuliharaan marin

editormaxinfo@gmail.com

MALÉ – Usaha pemuliharaan marin di Maldives melangkah ke fasa baharu apabila International Union for Conservation of Nature (IUCN), Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar Republik Maldives serta Huawei melancarkan projek Tech4Nature bagi memodenkan pengurusan South Ari Marine Protected Area (SAMPA).

Inisiatif ini memanfaatkan teknologi pemantauan lapangan dan komunikasi masa nyata untuk melindungi populasi jerung paus yang ikonik, di samping menyeimbangkan tekanan sosioekonomi di destinasi pelancongan bertaraf dunia itu.

Sebagai kawasan perlindungan marin terbesar di Maldives dan antara tapak pengumpulan signifikan jerung paus spesies Rhincodon typus sepanjang tahun di peringkat global, SAMPA menjadi tumpuan ribuan pelancong setiap tahun.

Namun, keluasan kawasan serta pelbagai titik capaian menimbulkan cabaran logistik terhadap pendekatan pemantauan konvensional.

Projek Tech4Nature hadir bagi merapatkan jurang tersebut dengan membekalkan renjer peralatan pemerhatian dan pelaporan digital yang lebih sistematik dan bersepadu.

Melalui pengukuhan pengumpulan serta komunikasi data di lapangan, renjer kini mampu melaksanakan rondaan dengan lebih cekap, menjejaki interaksi antara spesies dan pelancongan serta membangunkan kerangka pengurusan berasaskan data.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan dan kebolehukuran usaha pemuliharaan, malah menyokong aspirasi SAMPA untuk disenaraikan dalam Senarai Hijau IUCN, satu penanda aras global bagi kawasan perlindungan yang diurus secara berkesan dan saksama.

Projek di Maldives ini adalah sebahagian daripada kerjasama global Tech4Nature yang dilancarkan pada 2020 dan dipimpin bersama oleh IUCN dan Huawei di bawah program rangkuman digital TECH4ALL.

Selaras dengan Standard Kawasan Perlindungan dan Pemuliharaan Senarai Hijau IUCN, inisiatif ini memperlihatkan bagaimana teknologi digital boleh memacu pemuliharaan alam semula jadi yang lebih efektif.

Pelancarannya dimuktamadkan dalam upacara penutup Forum Kawasan Perlindungan dan Pemuliharaan Maldives 2026.

Sebagai projek Tech4Nature pertama di Maldives, inisiatif di SAMPA menumpukan kepada usaha memperkukuh keseimbangan antara sektor pelancongan dan pemuliharaan biodiversiti.

Penambahbaikan pengurusan pelawat, peningkatan tahap pematuhan serta sokongan terhadap proses membuat keputusan berasaskan sains menjadi teras utama pelaksanaannya.

Sepanjang tempoh projek, pasukan renjer SAMPA akan dilengkapi peralatan pemantauan dan komunikasi bagi mempertingkat rondaan serta penguatkuasaan di tapak.

Langkah ini membolehkan tindakan segera terhadap sebarang aktiviti tidak selamat atau pelanggaran peraturan, sekali gus meningkatkan keselamatan pengunjung dan mengurangkan risiko interaksi berbahaya dengan jerung paus.

Pemantauan yang dipertingkat juga dijangka menggalakkan amalan pelancongan yang lebih lestari dan sejajar dengan matlamat pengurusan kawasan perlindungan terbabit.

Pengarah Serantau IUCN untuk Asia dan Pengarah Hab untuk Oceania, Dr Dindo Campilan, berkata pemuliharaan berkesan bermula dengan memperlengkap renjer dengan peralatan asas bagi pemantauan berterusan di lapangan.

“Pendekatan ini meletakkan asas kukuh untuk tadbir urus ekosistem yang lebih baik, sekali gus memastikan biodiversiti unik SAMPA dan mata pencarian komuniti tempatan terus terpelihara.

“Seiring pelaksanaan teknologi di lapangan, projek ini turut merangkumi latihan kepada renjer mengikut Standard Senarai Hijau IUCN,” katanya.

Beliau berkata, penilaian asas tapak akan dijalankan bagi mengenal pasti kekuatan, jurang serta tindakan keutamaan dalam usaha mempertingkat pengurusan kawasan perlindungan terbabit secara berstruktur dan berimpak tinggi.

Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Maldives, Thoriq Ibrahim, berkata Kerajaan terus memberi komitmen untuk memperkukuh mekanisme institusi dan tadbir urus dalam pengurusan kawasan perlindungan.

Beliau menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam mencapai matlamat pemuliharaan dengan visi dan tanggungjawab bersama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Sri Lanka, Zhang Jinze, berkata kejayaan projek-projek Tech4Nature sejak 2020 membuktikan penyelesaian teknologi inovatif mampu membantu memahami dan mengurangkan ancaman terhadap biodiversiti serta ekosistem, termasuk ekosistem marin.

Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan rakan kongsi dan komuniti tempatan dalam memastikan kelestarian penyelesaian yang dilaksanakan.

Sehingga kini, Tech4Nature telah menyokong 11 projek andalan dan satelit di pelbagai negara, menyediakan penyelesaian digital tersuai bagi cabaran pemuliharaan seperti pemantauan terumbu karang, perlindungan hidupan liar dan pemulihan ekosistem.

Pelaksanaan di SAMPA menandakan satu lagi langkah strategik dalam memperluas penggunaan teknologi digital untuk melindungi khazanah alam semula jadi dunia, khususnya spesies ikonik seperti jerung paus yang menjadi simbol kekayaan biodiversiti Maldives. -Agensi

Bella Astillah lancar “Ya Raya”, lagu raya 2026 penuh ceria bersama Fipper

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, kembali menyemarakkan suasana Aidilfitri tahun ini menerusi pelancaran single Raya terbaharu berjudul “Ya Raya”, sebuah karya yang menggabungkan elemen moden dan tradisional dalam satu susunan muzik segar namun masih mengekalkan jiwa lagu Raya yang dekat di hati masyarakat Malaysia.

Lagu “Ya Raya” yang ditulis oleh Rudeen, dikompos oleh Rudeen bersama Exactesy serta diterbitkan oleh Exactesy, hadir dengan suntikan keceriaan, kesyukuran dan semangat kebersamaan.

Ia dilihat berpotensi menjadi antara lagu Raya 2026 yang bakal menghiasi carta penstriman digital dan dimainkan berulang kali sepanjang musim perayaan.

Dengan melodi yang mudah melekat dan korus yang catchy, “Ya Raya” membawa pendengar meraikan momen-momen kecil yang bermakna bersama keluarga dan sahabat handai.

Bella berkata, keterikatannya dengan lagu ini terjalin seawal kali pertama beliau mendengar demo yang diperdengarkan kepadanya.

“Lagu ini mempunyai aura positif yang benar-benar menggambarkan suasana Aidilfitri yang sering saya lalui saban tahun.

““Ya Raya” adalah lagu yang ringan, penuh rasa syukur dan sesuai untuk meraikan kebersamaan, sama ada menyambut Hari Raya di kampung mahupun di bandar.

“Elemen ceria yang diselitkan dalam susunan muziknya juga mampu membuatkan sesiapa sahaja tersenyum sebaik mendengarnya,” katanya.

Walaupun kedengaran bertenaga dan penuh keceriaan, proses rakaman lagu ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Bella berkata, dia berdepan cabaran untuk mengekalkan tenaga vokal yang konsisten tanpa kedengaran dibuat-buat, lebih-lebih lagi ketika itu beliau berada dalam keadaan kurang sihat.

Namun begitu, beliau mengakui bahagian korus adalah antara momen paling menyeronokkan sepanjang sesi rakaman kerana melodinya yang mudah diingati sehingga seluruh pasukan di studio turut menyanyikannya bersama.

Keistimewaan “Ya Raya” turut terletak pada keseimbangan antara bunyi klasik lagu Raya dan sentuhan kontemporari yang lebih segar.

Lagu ini tidak hanya tertumpu kepada kemeriahan besar perayaan, sebaliknya memberi penekanan kepada nilai menghargai detik-detik kecil bersama insan tersayang.

Pendekatan ini menjadikan “Ya Raya” bukan sekadar lagu bermusim, tetapi karya yang relevan didengar saban tahun.

Menariknya, pelancaran single ini turut diserikan dengan kolaborasi bersama jenama gaya hidup tempatan, Fipper. Kerjasama ini memperluaskan mesej lagu daripada sekadar muzik kepada simbol gaya hidup sempena musim perayaan.

Bagi Bella, Aidilfitri bukan hanya berkisar tentang muzik atau fesyen semata-mata, tetapi merangkumi keseluruhan pengalaman daripada perjalanan pulang ke kampung sehinggalah momen berkunjung ke rumah sanak saudara.

“Kolaborasi bersama Fipper dilihat sebagai manifestasi keselesaan dan gaya santai yang sinonim dengan suasana Raya rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, pihak Fipper menyifatkan pemilihan Bella Astillah sebagai wajah kolaborasi ini selari dengan nilai jenama itu yang meraikan keaslian, keselesaan dan gaya hidup masyarakat tempatan.

“Bella dilihat sebagai figura positif dan autentik yang dekat dengan pelbagai lapisan umur, sekali gus menjadikan kempen ini lebih relevan dan menyentuh emosi pengguna,” katanya.

Melalui projek ini, Fipper turut memperlihatkan evolusinya daripada sekadar jenama selipar kepada jenama gaya hidup yang hadir dalam perjalanan harian serta momen istimewa pelanggan.

Sementara itu, pihak Universal Music Malaysia berkata, pemilihan lagu “Ya Raya” dibuat secara teliti oleh pasukan A&R yang menilai beberapa demo berdasarkan kekuatan melodi, lirik serta potensi komersialnya.

“Bella Astillah dipilih berdasarkan imej, kekuatan vokal dan hubungannya yang kukuh bersama peminat.

“Kolaborasi bersama Fipper pula disifatkan sebagai pendekatan organik, dengan penekanan untuk menghasilkan lagu Raya yang tulen, mudah diingati dan dekat di hati pendengar tanpa penjenamaan yang terlalu menonjol,” katanya.

Bella berharap agar “Ya Raya” mampu menjadi lagu yang menemani detik-detik bermakna setiap kali Aidilfitri menjelma.

Beliau menyeru agar orang ramai menghargai masa bersama insan tersayang, memaafkan dan mensyukuri setiap peluang yang hadir.

Harapannya agar lagu ini bukan sahaja menjadi siulan pada tahun ini, malah terus dimainkan pada tahun-tahun mendatang sebagai simbol kegembiraan dan kenangan indah Aidilfitri.

Single “Ya Raya” boleh didengarkan di semua platform penstriman digital bermula 13 Februari 2026, sekali gus menandakan kemunculan antara lagu Raya baharu yang dijangka menjadi pilihan utama rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Wany Hasrita lancar ‘Lembayung Tari’, single Pop Etnik penuh misteri dan magis

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Wany Hasrita kembali memeriahkan industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Lembayung Tari, sebuah karya Pop Etnik yang sarat dengan nuansa magis dan keindahan puitis.

Tampil dengan pendekatan berbeza, lagu ini menggabungkan elemen tradisional dan moden dalam satu susunan muzik yang lembut, emosional serta memikat jiwa.

Mengangkat suasana senja sebagai metafora utama, Lembayung Tari membawa pendengar menyelami detik peralihan cahaya yang melambangkan ketenangan, keindahan dan penyembuhan emosi.

Dalam balutan irama yang mengalir tenang, karya ini seolah-olah mengajak pendengar berhenti seketika daripada kesibukan hidup untuk menikmati kehalusan seni dan getar rasa yang tidak terucap dengan kata-kata.

Single ini adalah hasil ciptaan dua nama besar dalam industri muzik, Hael Husaini dan Iqie Hugh.

Gabungan kreatif mereka menghasilkan sebuah karya yang segar dan unik, sekali gus memberikan kelainan kepada penggemar muzik yang mendambakan sesuatu di luar kebiasaan arus perdana.

Susunan muzik oleh Iqie Hugh pula menekankan elemen etnik kontemporari dengan sentuhan misteri yang memperkukuh identiti lagu ini sebagai sebuah karya yang berjiwa seni tinggi.

Secara keseluruhannya, Lembayung Tari bukan sekadar lagu, tetapi sebuah pengalaman audio yang puitis dan penuh emosi.

Melalui metafora tarian dan lembayung cahaya, lagu ini menggambarkan bagaimana seni mampu menjadi bahasa perasaan serta penawar jiwa tanpa perlu diluahkan secara langsung.

Menurut Wany, lagu ini amat dekat di hatinya kerana ia memberi ruang kepada pendengar untuk menenangkan fikiran dan menikmati keindahan rasa melalui muzik serta seni gerak.

Lembayung Tari sebagai sebuah karya yang membolehkan pendengar “berhenti seketika” dan menyelami makna yang tersirat di sebalik setiap alunan melodi,” katanya.

Lembayung Tari diterbitkan oleh Wany Hasrita Entertainment dengan kerjasama Maison Management dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

Single ini telah dilancarkan secara rasmi pada 6 Februari 2026 dan kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.

BERSATU Lembah Pantai tegas mahu perubahan, anggap gesaan Presiden berehat demi kelangsungan PRU-16

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – BERSATU Bahagian Lembah Pantai tampil menyatakan pendirian tidak menyokong serta membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh BERSATU Bahagian Batu bertarikh 11 Februari 2026, sambil menegaskan suara perubahan dalam parti adalah tuntutan akar umbi demi kelangsungan dan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Ketua Bahagian BERSATU Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, gesaan agar Presiden parti berehat dan memberi laluan bukanlah gerakan individu atau konspirasi terancang, sebaliknya mencerminkan suara kolektif sebahagian besar Ketua-Ketua Bahagian di seluruh negara.

“Tuntutan perubahan itu digerakkan berdasarkan realiti politik semasa dan keperluan strategik untuk memastikan parti berada dalam kedudukan terbaik menghadapi PRU-16.

“Langkah berkenaan perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh parti, bukan sebagai tindakan derhaka atau pengkhianatan terhadap kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas dakwaan yang cuba mengaitkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dengan gerakan berkenaan, beliau berkata tuduhan itu tidak berasas dan tidak adil.

“BERSATU Lembah Pantai menolak sebarang cubaan menjadikan Hamzah sebagai kambing hitam dalam polemik dalaman parti.

“Prinsip keadilan harus ditegakkan tanpa menghukum mana-mana pihak tanpa bukti,” katanya.

Dalam masa sama, gesaan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin berehat disifatkan sebagai langkah berhemah bagi memberi ruang kepada beliau memberi tumpuan kepada kes mahkamah yang dijadualkan berlangsung pada bulan Mac.

Pendirian itu dibuat dengan penuh hormat demi menjaga imej serta kestabilan parti dalam tempoh mencabar.

Kenyataan berkenaan turut menyentuh isu budaya politik dalaman yang didakwa merosakkan institusi Presiden.

BERSATU Lembah Pantai berpandangan terdapat kelompok tertentu yang terlalu taksub mempertahankan kedudukan sehingga menyerang kepimpinan lain dalam parti, termasuk mengaitkan isu kekalahan pilihan raya negeri tertentu secara tidak seimbang.

Mereka menegaskan, jika soal akauntabiliti ingin dibincangkan, ia perlu dilakukan secara adil dan menyeluruh.

Menyentuh kedudukan di Wilayah Persekutuan, BERSATU Lembah Pantai menolak tanggapan bahawa semua kepimpinan negeri itu menyokong satu pihak tertentu.

Kenyataan itu turut menyifatkan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Radzi Jidin sebagai individu yang cuba memainkan peranan pendamai, namun usaha terbabit didakwa tidak mendapat sokongan sewajarnya.

Dalam perkembangan sama, kenyataan itu mengingatkan perpecahan dalaman berpotensi memberi kesan besar terhadap kedudukan parti dalam Perikatan Nasional (PN).

BERSATU Lembah Pantai berpandangan bahawa sekiranya PAS menarik diri akibat konflik dalaman, peluang untuk memenangi PRU-16 akan terjejas.

Malah, walaupun PN memenangi sejumlah besar kerusi, sokongan parti-parti lain tetap diperlukan bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, mereka menyeru agar kerjasama strategik diperkukuh dengan parti-parti yang mempunyai kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sedia ada, berbanding membuka ruang kepada pertindihan tuntutan kerusi yang boleh merumitkan rundingan politik.

Muhamad Muqharabbin berkata, BERSATU bukan milik individu, sebaliknya milik ahli dan perjuangan bersama.

Beliau memberi amaran sebarang tindakan terhadap kepimpinan tertentu tanpa asas kukuh boleh memberi implikasi besar kepada hubungan dalam gabungan parti.

“Saya tidak menginginkan perpecahan, namun tidak akan berdiam diri apabila suara perubahan yang disifatkan sebagai jujur dilabel sebagai sabotaj,” katanya.

Astro lancar Inspirasi SeeNI Award, platform pengiktirafan Nasional buat PMKS Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Astro terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju industri hiburan dan platform media arus perdana negara menerusi penganjuran Inspirasi SeeNI Award, sebuah inisiatif pengiktirafan khas yang memberi tumpuan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Malaysia.

Penganjuran anugerah ini direalisasikan menerusi kerjasama strategik bersama RichWorks Consulting Group, selaras dengan komitmen berterusan Astro dalam memperkasakan usahawan tempatan.

Inisiatif ini lahir daripada rancangan khas Borak SeeNI yang sebelum ini menjadi wadah penceritaan inspirasi, perkongsian pengalaman serta perspektif baharu dalam kalangan usahawan baharu dan yang sedang berkembang.

Melalui platform terbabit, tercetus idea untuk mewujudkan Inspirasi SeeNI Award sebagai simbol pengiktirafan terhadap jenama tempatan yang berjaya membina perniagaan berdaya saing.

Penganjuran anugerah ini membawa jenama Astro ke satu tahap lebih tinggi dalam memperkukuh kredibiliti pengiktirafan bertaraf nasional.

Sebagai jenama media arus perdana yang dipercayai dan berpengaruh di Malaysia, penglibatan Astro dilihat mampu memperluaskan jangkauan inspirasi ke seluruh negara, sekali gus mengangkat kisah kejayaan usahawan tempatan ke pentas yang lebih besar.

Naib Presiden, Pembangunan Pengiklanan SME, Astro, Datin Norashikin Habibur Rahman berkata, penglibatan Astro dalam penganjuran anugerah ini merupakan satu penghargaan dan tanggungjawab strategik dalam menyokong agenda pemerkasaan PMKS serta pembangunan ekonomi negara.

“Kolaborasi bersama RichWorks diyakini mampu memperluaskan penyampaian naratif kejayaan usahawan menerusi penceritaan yang autentik dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

“Kerjasama ini berpotensi menonjolkan Astro sebagai peneraju usaha memartabatkan dan meningkatkan keupayaan PMKS di Malaysia.

“Dengan kekuatan platform penyiaran dan ekosistem media yang komprehensif, Astro bukan sahaja memperkukuh jenama usahawan tempatan di peringkat nasional, malah membuka ruang kepada pengiktirafan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Inspirasi SeeNI Award turut berkait rapat dengan program Titan’s Inner Circle Meeting (ICM), sebuah platform kepimpinan eksklusif anjuran RichWorks Consulting Group Sdn. Bhd. yang dianjurkan sebanyak tiga kali setahun.

Program ini menghimpunkan usahawan berprestasi tinggi di bawah ekosistem Titan dan Titan Circle Plus++ (TCP++), sekali gus menjadi medan perkongsian strategi pertumbuhan dan pengukuhan perniagaan berskala besar.

Anugerah yang dipertandingkan merangkumi beberapa kategori utama berdasarkan prestasi kewangan tahun 2025.

Antaranya termasuk Gladiator Award bagi ahli Titan dengan jualan tahunan antara RM10 juta hingga RM25 juta.

Gladiator Rising Star Award pula mengiktiraf ahli dengan julat jualan sama yang mencatatkan pertumbuhan minimum tiga peratus dalam tempoh penyertaan antara tiga bulan hingga setahun.

Gladiator Growth Award diberikan kepada ahli yang mencapai pertumbuhan sekurang-kurangnya tiga peratus dengan tempoh penyertaan program melebihi setahun, manakala Gladiator Prime Growth Award dianugerahkan kepada perniagaan dengan jualan antara RM50 juta hingga RM100 juta serta pertumbuhan konsisten.

Stalion Award pula menjadi pengiktirafan tertinggi kepada ahli Titan yang mencatat jualan antara RM100 juta hingga RM1 bilion, mewakili perniagaan berskala besar dengan impak ekonomi signifikan.

Turut diperkenalkan ialah Astro Inspirasi SeeNI Award, iaitu anugerah khas kepada usahawan yang memanfaatkan ekosistem penyiaran Astro sebagai platform pengiktirafan kejayaan dan penjenamaan perniagaan mereka.

Bagi edisi 2026, majlis ini melibatkan 161 buah perniagaan dengan 198 penerima anugerah merangkumi pelbagai kategori pencapaian di peringkat nasional.

Pengiktirafan ini bukan sahaja meraikan kejayaan kewangan, malah menjadi simbol daya tahan, inovasi dan keupayaan PMKS dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Melalui Inspirasi SeeNI Award, Astro dan RichWorks terus komited membina ekosistem yang menyokong kebangkitan usahawan tempatan, sekali gus menjadikan platform media sebagai pemangkin transformasi dan pertumbuhan perniagaan Malaysia.

Baizura Kahar ‘comeback’ selepas 18 tahun, Keluarga Iskandar 3 jadi titik mula baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Siri komedi kekeluargaan popular, Keluarga Iskandar 3, kembali mencuri perhatian penonton apabila tiga episod pertamanya mula bersiaran pada 6, 7 dan 8 Februari lalu, setiap Jumaat hingga Ahad jam 9 malam di Astro Ria.

Musim terbaharu ini bukan sahaja menghidangkan kesinambungan kisah keluarga Iskandar yang penuh warna-warni, malah turut menyaksikan kemunculan istimewa pelakon Baizura Kahar yang membuat ‘comeback’ selepas hampir dua dekad meninggalkan dunia lakonan.

Sejak ditayangkan, perbualan mengenai Keluarga Iskandar 3 hangat diperkatakan di media sosial termasuk Threads, Instagram dan Facebook.

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah kemunculan Baizura yang memegang watak Dr. Sofea, isteri kepada Alan.

Kehadirannya dalam siri ini disambut penuh keterujaan oleh peminat yang sekian lama menantikan kepulangannya ke layar kaca.

Keluarga Iskandar 3 terus menampilkan barisan pelakon utama yang menjadi tunjang kekuatan siri ini sejak diperkenalkan pada tahun 2012.

Antaranya termasuk Kismah Johari sebagai Khatijah Ali atau Mak Jah, Hilal Azman sebagai Aziz Iskandar (Abang Long), Sobri Anuar sebagai Azman Iskandar (Abang Ngah), Susan Lankester sebagai Kamariah Abdullah (Kak Ngah), Azhar Sulaiman sebagai Kamal (Abang Teh), Anita Baharom sebagai Azura Iskandar (Kak Teh) serta Zain Hamid sebagai Azlan Iskandar (Ayah Chik).

Kehadiran watak baharu seperti Dr. Sofea dilihat berjaya menyuntik dinamika segar dalam jalan cerita musim ketiga ini.

Bagi peminat setia, kemunculan Baizura dalam Keluarga Iskandar 3 ibarat pengubat rindu.

Kali terakhir beliau muncul di layar perak adalah menerusi filem Sepi sekitar tahun 2008. Selepas itu, beliau mengambil keputusan untuk berehat panjang daripada dunia seni.

Menurut Baizura, keputusan meninggalkan bidang lakonan sebelum ini dibuat atas faktor keutamaan hidup.

“Ketika di awal pembabitan, saya berlakon bagi menampung perbelanjaan pengajian di universiti. Namun selepas menamatkan pengajian, saya memilih untuk memberi fokus kepada kerjaya dan kehidupan peribadi.

“Walaupun begitu, minat terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan menerima tawaran daripada KL Motion Pictures Sdn. Bhd. untuk membintangi Keluarga Iskandar 3, Baizura menyifatkannya sebagai ketentuan yang telah tersusun indah.

Mengambil inspirasi daripada dialog popular siri ini, “Allah dah set from the top”, beliau percaya tawaran itu hadir pada waktu yang tepat dalam hidupnya.

Kini apabila anak-anaknya semakin membesar, beliau merasakan inilah masa paling sesuai untuk kembali aktif, namun dengan syarat projek yang diterima benar-benar bersesuaian.

Bagi Baizura, pemilihan naskhah yang tepat amat penting, lebih-lebih lagi selepas berehat hampir 17 hingga 18 tahun daripada industri hiburan.

Sebagai seorang penulis yang sudah biasa bekerjasama dengan KL Motion Pictures dan pengarah serta penulis skrip Keluarga Iskandar, Wan Hazliza Wan Zainuddin, Baizura mengakui beliau berasa selesa berada di set penggambaran.

Keserasian sedia ada serta pemahaman terhadap gaya penulisan dan komedi yang diketengahkan menjadikan proses comeback lebih lancar dan meyakinkan.

“Penerbitan musim ketiga yang merangkumi 24 episod ini tidak terlalu berat dari segi penceritaan, sekali gus menjadikan batu loncatan terbaik untuk saya kembali menapak dalam industri seni.

“Pengalaman itu membuka ruang dan keyakinan baharu untuk terus menerima tawaran pada masa akan datang” katanya.

Dengan pembabitan sulung dalam Keluarga Iskandar 3, Baizura turut menyatakan kesediaannya untuk kembali aktif berlakon sekiranya diberikan peluang dalam projek yang benar-benar “bercakap” kepadanya dan sesuai dengan prinsip serta fasa kehidupannya kini.

Keluarga Iskandar 3 boleh ditonton setiap Jumaat hingga Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria, serta distrim menerusi Astro GO dan sooka.

Kehadiran Baizura Kahar pastinya menjadi antara tarikan utama musim ini, sekali gus menambah kemeriahan dan kekuatan jenama drama komedi keluarga yang telah bertapak lebih sedekad dalam industri hiburan tanah air.

HUAWEI Mate X7 “Unfolding Light” tampil dengan kamera flagship dalam rekaan foldable ultra nipis

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Huawei sekali lagi mencuri perhatian industri teknologi dengan pelancaran HUAWEI Mate X7, sebuah telefon pintar lipat premium yang menggabungkan prestasi pengimejan bertaraf flagship dalam rekaan ultra-nipis dan elegan.

Menerusi konsep “Unfolding Light”, peranti terbaharu ini bukan sekadar evolusi dalam kategori foldable, malah menetapkan penanda aras baharu dalam fotografi mudah alih.

Selama ini, peranti foldable sering berdepan cabaran untuk menyeimbangkan reka bentuk yang nipis dan mudah alih dengan sistem kamera berprestasi tinggi.

HUAWEI Mate X7 hadir memecahkan kompromi tersebut dengan menawarkan pengalaman kamera setanding telefon flagship konvensional, tanpa menjejaskan profilnya yang ramping dan sofistikated.

Ia direka khusus untuk pengguna yang mahukan kebebasan kreatif dalam satu peranti yang fleksibel dan berkuasa.

Menjelang musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina, saat-saat bermakna dipenuhi warna, cahaya dan emosi daripada tanglung merah yang bercahaya, makan malam perjumpaan keluarga hinggalah persembahan meriah dan suasana malam yang gemerlapan.

HUAWEI Mate X7 dibangunkan untuk merakam setiap detik ini dengan ketepatan warna, prestasi cahaya rendah yang luar biasa serta kedalaman sinematik yang memukau.

Di teras sistem pengimejan ini ialah teknologi True-to-Colour Camera yang dikuasakan oleh susunan spektral 4×4 inovatif.

Seni bina sensor canggih ini meningkatkan ketepatan warna sehingga 43 peratus, membolehkan peranti menangkap maklumat cahaya dan warna dengan lebih tepat.

Hasilnya, tona merah kekal pekat, kilauan emas tampak semula jadi dan setiap rona perayaan dirakam tanpa lebihan saturasi atau herotan warna, walaupun dalam keadaan pencahayaan mencabar.

Melengkapkan sistem ini ialah Ultra Lighting HDR Camera yang direka untuk mengawal keseimbangan cahaya dan bayang dengan lebih halus.

Dilengkapi sensor 1/1.28 inci RYYB Ultra Aperture, lensa quadruple-sliced serta kaca ultra nipis setebal 0.4mm, sistem ini memaksimumkan kemasukan cahaya sambil mengekalkan ketajaman imej.

Tambahan pula, apertur fizikal boleh laras 10 tahap membolehkan pengguna menyesuaikan tangkapan mengikut persekitaran, sama ada di bawah cahaya matahari terik, dalam suasana malap atau ketika peralihan senja ke malam.

Setiap gambar yang dihasilkan menampilkan julat dinamik luas dan kedalaman sinematik yang lebih dramatik.

HUAWEI Mate X7 turut memperkenalkan Kamera Telefoto Makro 50MP yang menawarkan fleksibiliti merakam dari pelbagai jarak.

Dengan konfigurasi lensa pepenjuru 4+1 serta sistem periskop telefoto makro canggih, ia menyokong zum optikal 3.5× sambil mengurangkan saiz modul kamera sehingga 44 peratus.

Kejayaan kejuruteraan ini memastikan peranti kekal ultra-nipis walaupun dilengkapi keupayaan zum berprestasi tinggi.

Sama ada merakam panorama bandar, potret candid dari jauh atau perincian makro yang halus, hasilnya kekal jelas dalam resolusi tinggi.

Bagi pencipta kandungan video, HUAWEI Mate X7 menetapkan aras baharu menerusi teknologi Ultra HDR Video yang menawarkan julat dinamik sehingga 17.5 EV dalam resolusi 4K.

Melalui gabungan pendedahan berbilang masa nyata dan analisis adegan pintar, setiap rakaman mengekalkan tekstur terperinci, sorotan seimbang serta warna yang kaya walaupun dalam situasi kontras tinggi seperti bunga api, persembahan pentas atau suasana malam bandar.

Setiap bingkai diproses dengan ketepatan piksel untuk memastikan hasil video tampak hidup dan mendalam.

Semua inovasi ini disepadukan dalam reka bentuk lipat ultra nipis yang menjadi identiti Huawei, membuktikan bahawa kecanggihan teknologi dan estetika premium mampu wujud tanpa kompromi.

HUAWEI Mate X7 bukan sekadar memperkenalkan ciri kamera baharu, malah mentakrif semula potensi telefon pintar foldable, sekali gus membuka lembaran baharu dalam dunia fotografi mudah alih dan kebebasan kreatif.

Saloma Kuala Lumpur perkenal konsep Ramadan 2026 “Di Bawah Langit Yang Sama”, sajian pelbagai budaya & harga bermula RM98

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Saloma Kuala Lumpur memperkenalkan konsep istimewa Ramadan 2026 bertemakan “Di Bawah Langit Yang Sama”, sebuah falsafah yang menekankan nilai kebersamaan, kemanusiaan dan kesyukuran selari dengan roh sebenar bulan Ramadan.

Konsep ini diangkat sebagai refleksi bahawa Ramadan merupakan waktu yang menyatukan manusia tanpa mengira latar belakang, budaya dan perbezaan.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Sri Dr. Riza Dato’ Che Umar berkata, tema itu bukan sekadar idea kreatif, sebaliknya satu penghayatan mendalam terhadap makna Ramadan itu sendiri.

“Walau siapa pun dan dari latar mana sekalipun, semua insan bernaung di bawah langit yang sama, berkongsi waktu berbuka, rezeki dan nikmat Ramadan bersama-sama.

“Seiring dengan tema itu, Saloma Kuala Lumpur memperkenalkan pendekatan lebih inklusif dengan membuka ruang berbuka puasa di kawasan luar restoran,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini diwujudkan bagi memberi pengalaman berbuka yang lebih santai dan dekat dengan suasana Ramadan sebenar, bukan hanya berfokus kepada hidangan semata-mata, tetapi turut menyediakan ruang untuk berkumpul, berehat dan menghayati momen penuh bermakna bersama keluarga serta rakan.

Bagi melengkapkan pengalaman itu, ruang khas untuk solat dan tarawih turut disediakan agar tetamu dapat menunaikan ibadah dengan tenang dan khusyuk tanpa perlu meninggalkan lokasi berbuka.

Dr. Riza berkata, Ramadan bukan sekadar tentang apa yang terhidang di atas meja, tetapi tentang memberi ruang kepada hati untuk kembali tenang dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Konsep Ramadan 2026 di Saloma Kuala Lumpur juga mengetengahkan kepelbagaian citarasa sebagai simbol keharmonian masyarakat Malaysia.

Dalam satu ruang yang sama, tetamu berpeluang menikmati sajian Melayu, Cina, India, Arab dan Jepun, mencerminkan keterbukaan serta kekayaan budaya negara.

Bagi pihak pengurusan, makanan adalah bahasa penyatuan yang mampu merapatkan jurang perbezaan dan menyatukan masyarakat di bawah satu langit.

Pengalaman berbuka puasa di Saloma Kuala Lumpur tahun ini turut dimeriahkan dengan konsep live cooking dan live stall yang menghidupkan kembali suasana tradisi Ramadan yang autentik.

Antara tarikan utama termasuk live stall kambing bakar, sajian panggang segar serta pelbagai hidangan panas yang disediakan secara langsung.

Konsep ini membolehkan tetamu menikmati makanan dalam keadaan segar sambil merasai kehangatan suasana berbuka secara bersama.

Selain itu, beberapa menu istimewa turut diketengahkan sebagai tarikan utama Ramadan 2026, antaranya Nasi Kambing Kebuli, Udang Lemak Daun Chekur, Ais “Teller” Pak Belalang, Mee Udang Tergolek serta Bubur Lambuk Rusuk Kiri.

Gabungan hidangan tradisional dan kontemporari ini disusun bagi memberikan pengalaman gastronomi yang lengkap dan memuaskan.

Di Saloma Kuala Lumpur, hospitaliti bukan sekadar layanan, tetapi berteraskan nilai penerimaan dan empati.

Ramadan dijadikan medan untuk menyemai kesederhanaan dan perkongsian rezeki, menjadikan setiap tetamu merasa dihargai dari meja makan hingga ke ruang ibadah.

Di bawah langit yang sama, tetamu duduk bersama, berbuka bersama dan beribadah bersama dalam suasana penuh makna.

Menerusi pakej “30 Ramadan @ Saloma Kuala Lumpur 2026”, tetamu boleh menikmati pengalaman berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan dengan harga bermula RM98 hingga RM168.

Pakej ini menawarkan hidangan tradisional dan kontemporari Malaysia yang disusun rapi dalam suasana berinspirasikan warisan ikonik Saloma.

Tetamu bebas memilih tarikh pilihan untuk menikmati pengalaman berbuka puasa yang direka khas bagi keluarga, rakan mahupun rakan sekerja.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau membuat tempahan boleh melayari laman web rasmi Saloma Kuala Lumpur di https://events.salomagroup.com/product/30-ramadhan-saloma/ atau mengikuti Facebook Saloma Kuala Lumpur serta Instagram @salomakualalumpur.

Tempahan Ramadan juga boleh dibuat dengan menghubungi talian 1700 828 576.

Dengan konsep “Di Bawah Langit Yang Sama”, Saloma Kuala Lumpur terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi berbuka puasa di Kuala Lumpur yang menyatukan budaya, rasa dan nilai Ramadan dalam satu pengalaman yang bermakna.