27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
Home Blog Page 23

Plong! gegar arena new wave rock Malaysia dengan single baharu ‘Gadis Shampoo’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kumpulan new wave rock tempatan, Plong!, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Gadis Shampoo”, sebuah karya yang ringan, bertenaga dan sarat dengan groove segar yang mudah melekat di ingatan.

Lagu ini mengangkat momen-momen tarikan kecil dalam kehidupan seharian yang sering hadir tanpa disedari, namun meninggalkan kesan mendalam.

Sebagai single kedua mereka di bawah naungan Luncai Emas, “Gadis Shampoo” menjadi kesinambungan kepada perjalanan kreatif Plong! dalam memperkukuh identiti bunyi mereka dalam landskap muzik alternatif Malaysia yang semakin berkembang.

Dengan ritma rancak, bassline yang memikat serta karakter muzik yang sengaja sedikit ‘lari’ daripada kebiasaan arus perdana, lagu ini mencerminkan pendekatan spontan dan jujur yang menjadi nadi kumpulan terbabit.

Plong! diasaskan oleh Yayat Nasir selaku pemain gitar dan Akmal Borhan sebagai pemain bass, dua sahabat yang bertemu ketika menuntut di Malaysian Institute of Art.

Kini, kumpulan ini turut diperkuatkan oleh Fahmi Samsudin sebagai vokalis dan Yasin Nasir di posisi keyboard.

Gabungan empat anak seni ini melahirkan bunyi unik yang memadukan art rock eksperimental, pergerakan disco dinamik, tenaga punk yang ringkas serta ritma reggae tersendiri, disatukan dengan disiplin struktur new wave dan kepekaan budaya tempatan.

Nama Plong! sendiri lahir secara santai, diinspirasikan daripada bunyi “PLONG!” apabila dua kepingan logam berlaga. Maknanya kemudian berkembang selepas mereka menemui lagu “Plong!” nyanyian Didi Kempot, yang membawa maksud tenang atau damai.

Gabungan dua tafsiran ini mencerminkan identiti muzik mereka kedengaran bising dan ganjil pada permukaan, namun sebenarnya dekat dan menenangkan.

“Gadis Shampoo” tercipta secara organik ketika sesi latihan studio.

Bermula daripada idea ringkas di keyboard, lagu ini berkembang melalui proses jamming santai yang dipenuhi gelak tawa.

Tanpa tekanan atau perancangan berlebihan, susunan bass, gitar dan melodi vokal akhirnya membentuk sebuah karya yang hidup, dipacu gitar rangup serta tenaga reggae punk disco yang terasa tulen dan tidak dibuat-buat.

Dari sudut lirik, lagu ini berkisar tentang perasaan tertarik kepada seseorang yang tidak cuba menonjolkan diri, namun tetap meninggalkan kesan mendalam.

Tajuk “Gadis Shampoo” menjadi metafora kepada pesona yang sederhana tetapi sukar dilupakan tentang bau, memori dan detik singkat yang kekal lebih lama dalam ingatan.

Pendekatan lirik ini memperlihatkan sisi penceritaan Plong! yang bersahaja tetapi penuh makna.

Dipilih sebagai single kerana sifatnya yang mudah didekati dan menghiburkan, karya ini menampilkan sisi lebih playful kumpulan terbabit tanpa mengorbankan prinsip mereka yang enggan mengikut arus komersial.

Pengaruh muzik daripada nama-nama besar seperti Talking Heads, Blondie, Steely Dan, Kembara, Sudirman dan P. Ramlee jelas memberi warna kepada eksplorasi bunyi mereka, namun tetap diolah dengan identiti tersendiri.

Plong! tidak mengejar kesempurnaan teknikal semata-mata. Sebaliknya, mereka mahu setiap karya dan persembahan terasa hidup, mentah dan bertenaga.

Menerusi “Gadis Shampoo”, mereka mengajak pendengar untuk tersenyum, mengimbau kenangan lama atau sekadar menikmati alunan muzik yang segar dan mudah diulang dengar.

Selain boleh distrim di semua platform digital utama, video muzik rasmi “Gadis Shampoo” turut dilancarkan di YouTube.

Diterbitkan oleh Krew Filem Sek Kito, sebuah kolektif yang dikenali dengan pendekatan videografi D-I-Y yang mentah dan bersahaja, video berkenaan menjanjikan pengalaman visual yang nostalgik, eksentrik dan penuh karakter selari dengan jiwa unik Plong! dalam mengangkat gelombang baharu muzik new wave rock Malaysia.

Festival Halal Genting Highlands 2026: Chinese New Year bazar paling meriah di Resorts World Genting

editormaxinfo@gmail.com

GENTING HIGHLANDS – Suasana penuh warna-warni dan aroma makanan yang menggoda kini menyelubungi Genting Highlands apabila Chinese New Year Bazar 2026 rasmi berlangsung di Madison Square, Resorts World Genting.

Festival berskala besar ini menghimpunkan peniaga makanan halal dari China Mainland dan tempatan, sekali gus menandakan satu gerakan baharu dalam ekosistem ekonomi halal negara.

Berlangsung dari 13 Februari hingga 3 Mac 2026, festival ini bukan sekadar bazar perayaan sempena Tahun Baharu Cina, tetapi sebuah platform dinamik yang menggabungkan inovasi kulinari, budaya global dan ekonomi kreatif dalam satu pengalaman gaya hidup yang moden dan inklusif.

Sepanjang tempoh penganjuran, pengunjung berpeluang menikmati kepelbagaian pilihan makanan halal tempatan serta antarabangsa dalam suasana perayaan yang meriah.

Acara ini dianjurkan oleh Zada Event Management dengan kerjasama strategik Pasar Eatai dan CP Ventures.

Kolaborasi ini memperkukuh matlamat menjadikan festival sebagai platform pertumbuhan untuk vendor makanan dan minuman, jenama gaya hidup serta pengusaha industri halal yang ingin memperluas jaringan pasaran dan meningkatkan keterlihatan jenama dalam persekitaran pelancongan premium.

Dengan kehadiran pengunjung tempatan dan pelancong antarabangsa yang konsisten sepanjang musim cuti perayaan, Chinese New Year Bazar 2026 membuka ruang strategik kepada usahawan halal untuk memperkenalkan produk mereka ke pasaran global secara langsung.

Setiap vendor bukan sekadar menjalankan perniagaan, malah membina jenama, mencipta pengalaman pelanggan dan menjadi sebahagian daripada pergerakan ekonomi halal yang semakin berkembang pesat.

Festival ini menampilkan pengalaman gaya hidup halal yang menyeluruh, daripada trend street food global dan dessert viral sehinggalah konsep kulinari Muslim antarabangsa yang unik.

Pengunjung turut disajikan dengan hiburan pentas, persembahan budaya, aktiviti kekeluargaan serta dekorasi perayaan yang instagrammable, menjadikan acara ini bukan sekadar destinasi makanan tetapi sebuah pengalaman festival yang lengkap.

Lebih signifikan, festival ini memposisikan halal sebagai satu ekosistem gaya hidup yang melangkaui makanan semata-mata, merangkumi nilai, budaya, komuniti dan pelancongan.

Pendekatan rentas industri bersama rakan strategik membuka peluang kepada model perniagaan baharu serta pembangunan pasaran yang lebih progresif, selari dengan aspirasi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ekonomi halal serantau.

Sepanjang penganjuran dari jam 12 tengah hari hingga 11 malam setiap hari, aliran pengunjung yang tinggi khususnya pada hujung minggu memberi impak langsung kepada pertumbuhan vendor serta pengembangan pasaran usahawan tempatan.

Festival ini secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan industri pelancongan berasaskan pengalaman dan memperkasa ekonomi komuniti.

Chinese New Year Bazar 2026 mencerminkan evolusi industri halal daripada model perdagangan tradisional kepada ekonomi pengalaman yang berdaya saing, inovatif dan bertaraf global.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan festival ini bersama keluarga dan rakan-rakan, sambil menyokong usahawan halal serta meneroka trend makanan dan gaya hidup terkini dalam suasana penuh energi di Genting Highlands.

Perpaduan rakyat Malaysia terserlah pada sambutan Tahun Baharu Cina 2026 – Anwar Ibrahim

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan bersama oleh pelbagai kaum tahun ini menjadi manifestasi jelas semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Malaysian Chinese Association (MCA) di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Menurutnya, kehadiran beliau adalah untuk bersama-sama meraikan perayaan terbabit yang disifatkan bukan hanya milik satu kaum, sebaliknya sebagai sambutan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya hadir untuk sama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkan oleh MCA dan ini bukan sahaja untuk satu kumpulan, tetapi sambutan semua rakyat.

“Saya lihat sambutan ini sangat baik dan menunjukkan perpaduan kita,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai simbolik Tahun Kuda yang diraikan tahun ini berdasarkan kalendar lunar masyarakat Cina.

Katanya, kuda melambangkan kekuatan, tenaga dan kepantasan, sekali gus diharap dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara serta memperkukuh pembangunan rakyat Malaysia.

“Tahun Kuda ini, khususnya kuda berapi, melambangkan kekuatan dan tenaga yang hebat. Mudah-mudahan prestasi ekonomi dan pembangunan rakyat Malaysia akan jauh lebih baik tahun ini,” katanya.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Presiden MCA Tan Koon Swan serta Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Sebagai simbol kemakmuran dan kesejahteraan, Anwar bersama tetamu kehormat turut menggaul Yee Sang, hidangan tradisional yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina.

Amalan itu bukan sahaja mencerminkan budaya masyarakat Cina, malah kini menjadi tradisi yang dikongsi bersama rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Mengikut kalendar lunar, Tahun Kuda dalam kepercayaan masyarakat Cina melambangkan semangat, ketekunan dan kemajuan.

Sambutan yang berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh muhibah itu sekali lagi memperlihatkan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terus mengangkat nilai perpaduan sebagai asas kekuatan nasional.

Ziarah Sinar Kasih Ramadan, YBK salur bantuan tunai dan kotak rezeki kepada 400 keluarga miskin tegar di Hulu Selangor

editormaxinfo@gmail.com

HULU SELANGOR – Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) meneruskan komitmen membela nasib golongan kurang berkemampuan menerusi pelaksanaan Program Ziarah Sinar Kasih Ramadan 1447H/2026M dengan menyantuni empat keluarga miskin tegar di daerah Hulu Selangor, semalam.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif tahunan yayasan yang menyasarkan seramai 400 keluarga terpilih untuk menerima sumbangan sempena Ramadan tahun 2026.

Empat keluarga yang disantuni pada sesi ziarah kali ini terdiri daripada Mohd Fitri Abdullah, Kamarulhisham Kamarudin, Ismail Mokhtar dan Mohamad Zul Hashimi Ramzan.

Kesemua mereka adalah penerima yang telah dikenal pasti oleh lembaga YBK dan berdaftar di bawah sistem e-Kasih sebagai golongan miskin tegar.

Hadir menyampaikan sumbangan ialah Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom bersama Pengerusi Program Sinar Kasih Ramadan merangkap Pengerusi Asrama Kasih YBK, Datin Dr Hartini Osman.

Turut hadir ialah wakil Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU Selangor), wakil penyumbang dan penaja, media, karyawan serta sukarelawan yayasan.

Setiap keluarga menerima sumbangan tunai sebanyak RM600 yang disumbangkan oleh Pengasas YBK, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, bagi menampung perbelanjaan berbuka puasa dan bersahur sepanjang bulan Ramadan.

Selain bantuan tunai, mereka turut menerima ‘Kotak Rezeki’ bernilai RM150 yang mengandungi barangan keperluan asas sumbangan ICU Selangor serta tajaan daripada rakan strategik korporat.

Antara syarikat dan institusi yang turut menghulurkan sumbangan termasuk Dewina Food Industries Sdn Bhd menerusi produk jenama Brahim’s, Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd, Dutch Lady Milk Industries Berhad, Ajinomoto (Malaysia) Berhad, Universiti Sains Islam Malaysia melalui Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI), serta Coca-Cola Malaysia.

Mohd Fitri Abdullah yang menetap di Kampung Orang Asli, Ulu Melaka, Serendah, menanggung tujuh isi rumah dan menyara keluarga dengan mengumpul serta menjual besi buruk.

Pendapatannya sekitar RM600 hingga RM700 sebulan dan tidak menentu, sekali gus menyukarkan beliau menampung keperluan asas harian keluarga.

Sementara itu, Kamarulhisham Kamarudin dari Taman Tasik Teratai, Serendah, mempunyai enam orang anak termasuk seorang yang sedang melanjutkan pengajian di The Automotive College (TOC) Petaling Jaya di bawah tajaan zakat.

Beliau bekerja sebagai pemandu van membawa penumpang ke Genting Highlands dengan pendapatan asas sekitar RM750 sebulan bergantung kepada jumlah perjalanan.

Dengan kadar sewa rumah RM550 sebulan, keluarga ini turut menerima bantuan zakat bagi bayaran sewa dan bakul makanan bulanan.

Di Kampung Sentosa, Batang Kali pula, Ismail Mokhtar menyara tujuh ahli keluarga melalui kerja-kerja kampung dengan pendapatan tidak tetap.

Beliau menerima bantuan RM500 daripada zakat serta RM700 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban perbelanjaan bulanan.

Lebih mencabar, Mohamad Zul Hashimi Ramzan di Kampung Ulu Rening, Batang Kali, menanggung tujuh anak termasuk seorang anak berusia 11 tahun yang menghidap penyakit jantung dan memerlukan pemantauan kesihatan berterusan.

Beliau bekerja mengambil upah memotong rumput dengan pendapatan tidak menentu dan terpaksa meminjam wang daripada majikan setiap bulan bagi menampung keperluan keluarga.

Dengan kadar sewa rumah RM400 sebulan, keluarga ini turut dibantu zakat dari segi bayaran sewa dan bekalan barangan dapur.

Menurut Zainal Abidin, bantuan RM600 yang disalurkan adalah hasil kutipan daripada orang ramai dan secara purata bersamaan sekitar RM20 sehari sepanjang Ramadan.

Beliau mengakui jumlah terbabit masih belum mencukupi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, namun diharap dapat membantu meringankan beban keluarga untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur.

“Program ini dilaksanakan setiap kali Ramadan kerana YBK melihat keperluan membantu dari sudut penyediaan makanan harian, bukan sekadar persiapan pakaian raya.

“Saya berharap agar pada masa akan datang jumlah bantuan dapat ditingkatkan supaya lebih selari dengan harga semasa, sekali gus memberi kelegaan yang lebih bermakna kepada penerima.

“YBK juga merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang individu dan organisasi yang telah menjayakan Program Sinar Kasih Ramadan tahun ini.

“Penyerahan sumbangan akan diteruskan secara berperingkat dan dijangka selesai selewat-lewatnya pada minggu kedua Ramadan, tertakluk kepada sebarang perubahan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada Program Sinar Kasih Ramadan 2026 masih berpeluang berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun 1005 0540 0000 3480 (MBSB Bank Berhad) atas nama Yayasan Basmi Kemiskinan melalui cek, deposit tunai atau perbankan dalam talian.

Resit pengecualian cukai turut disediakan bagi penyumbang yang memerlukan.

Melalui inisiatif berterusan ini, YBK berharap lebih banyak pihak tampil berganding bahu dalam usaha membasmi kemiskinan dan memastikan setiap keluarga kurang berkemampuan dapat menjalani ibadah Ramadan dengan lebih tenang dan bermakna.

IZIPIZI lancar koleksi SS26 Crossroads di Malaysia, perkenal siluet baharu #ROAD untuk gaya hidup aktif

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama kaca mata dari Paris, IZIPIZI, secara rasmi membawa masuk Koleksi Spring/Summer 2026 (SS26) Crossroads ke pasaran Malaysia, memperkenalkan rekaan terkini yang diinspirasikan daripada semangat pengembaraan dan gaya hidup moden yang sentiasa bergerak.

Dikenali dengan bahasa reka bentuk yang ringkas namun menyerlah, IZIPIZI terus mengukuhkan reputasinya dalam menghasilkan kaca mata yang menggabungkan gaya, keselesaan dan fungsi.

Koleksi Crossroads menampilkan interpretasi baharu terhadap konsep “life in motion”, meraikan keindahan perjalanan yang menemukan pelbagai persimpangan, detik spontan dan pertemuan bermakna sepanjang kembara.

Mengangkat naratif bahawa momen paling diingati dalam perjalanan bukan sekadar destinasi, tetapi juga jeda yang tenang dan kisah yang terhimpun di sepanjang jalan, Crossroads direka untuk mereka yang menghargai setiap pengalaman.

Koleksi ini menyuntik elemen santai tetapi sofistikated, sesuai digayakan dalam pelbagai situasi sama ada di kota mahupun ketika bercuti.

Menjadi nadi utama koleksi ini ialah pelancaran siluet baharu #ROAD.

Direka dengan bingkai segi empat bersaiz besar serta garis yang kemas dan berani, #ROAD menawarkan sentuhan moden pada gaya pengembaraan masa kini.

Rekaan ini mudah dipadankan daripada suasana urban ke lokasi percutian yang lebih santai.

Menariknya, bentuk yang sama turut tersedia dalam saiz junior, mencerminkan semangat Crossroads yang meraikan perjalanan merentas generasi.

Dari segi warna, SS26 Crossroads disokong palet pilihan yang diinspirasikan daripada landskap dan mood pengembaraan.

Turquoise Stone menampilkan aura batu separa berharga yang bercahaya, manakala Golden Canyon membangkitkan kehangatan panorama gurun yang disinari mentari.

Black Road pula membawa karakter elegan seakan asfalt yang dipanaskan matahari, dilengkapi corak Wild Hooves yang lebih berani serta rona Green Fields yang lembut dan menenangkan.

Melengkapkan koleksi ialah aksesori Turquoise Blue Pearl Cord berharga RM89.90, rekaan manik ringan yang berfungsi sebagai aksesori praktikal dengan sentuhan gaya musim panas.

Direka untuk seisi keluarga, Crossroads merangkumi kategori Reading (RM229), Sun termasuk M/ROAD (RM299), Junior Sun dan Kids (RM179), sekali gus menjadikannya koleksi kaca mata lengkap untuk semua peringkat usia.

Bagi kategori Reading, pilihan diopter dari +1 hingga +3 disediakan untuk kegunaan harian sama ada ketika bekerja, melancong atau bersantai.

Untuk rangkaian Sun, lensa Kategori 2 dan Kategori 3 termasuk pilihan terpilih berpolarisasi (RM329) ditawarkan bagi memastikan keselesaan visual optimum dalam keadaan cahaya terang, sesuai dengan iklim tropika Malaysia dan aktiviti luar yang panjang di bawah sinaran matahari.

Bersempena gaya hidup rakyat Malaysia yang aktif, termasuk musim perayaan, perjalanan balik kampung dan percutian keluarga, Crossroads direka untuk memenuhi keperluan mobiliti masa kini.

Koleksi ini menyeimbangkan estetika moden dengan kebolehpakaian harian, menjadikannya pilihan ideal untuk digayakan dalam pelbagai suasana.

Koleksi Spring/Summer 2026 Crossroads kini boleh didapati di kiosk IZIPIZI di Pavilion Kuala Lumpur (Aras 5, Lot No. P52) serta di SEIBU The Exchange TRX (Aras 2 dalam ANTE Shop).

Dengan harga bermula RM89.90, koleksi ini merangkumi kategori Reading, Sun, Junior Sun dan Kids termasuk debut eksklusif siluet baharu #ROAD untuk pasaran Malaysia.

Pelancaran SS26 Crossroads sekali lagi membuktikan komitmen IZIPIZI dalam menawarkan kaca mata bergaya yang praktikal, selesa dan relevan dengan keperluan pengguna moden, selari dengan pergerakan dan gaya hidup dinamik masa kini.

Yayasan PEKEMA santuni 1,000 keluarga B40 Selayang menerusi Program Kasih Ramadan 2026

editormaxinfo@gmail.com

SELAYANG – Seramai 1,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) di sekitar Selayang menerima manfaat dan bantuan daripada Yayasan PEKEMA menerusi pelaksanaan Program Kasih Ramadan 2026.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilaksanakan sebagai usaha meringankan beban kewangan keluarga yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup, khususnya menjelang ketibaan Ramadan Al-Mubarak.

Menerusi inisiatif berkenaan, setiap keluarga menerima sumbangan bakul makanan bagi membantu persiapan menyambut bulan penuh keberkatan dengan lebih tenang dan teratur.

Pelaksanaan program bagi Zon 10 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berlangsung di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, dengan penerima terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah yang telah dikenal pasti di sekitar kawasan berkenaan.

Program ini anjuran bersama Yayasan PEKEMA, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer serta Jawatankuasa Penduduk Zon 10 MPS, sekali gus mencerminkan sinergi kukuh antara badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam memperkasakan kebajikan komuniti.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Anfaal Saari, Exco Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri Taman Templer.

Turut hadir ialah barisan kepimpinan Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), wakil agensi kerajaan, rakan strategik serta para penerima manfaat.

Naib Presiden PEKEMA, YM Raja Petra Marudin Raja Nordin, berkata Program Kasih Ramadan bukan sekadar penganjuran bermusim bersempena Ramadan, sebaliknya menjadi platform penting dalam memperkukuh budaya kebajikan dalam kalangan warga industri automotif Bumiputera.

“Ramadan adalah bulan yang sarat dengan keberkatan, keinsafan dan rahmat, justeru ia wajar dimanfaatkan untuk memperbanyakkan amalan kebajikan dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Kami menyedari cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat memberi kesan besar kepada golongan B40, asnaf, warga emas serta keluarga berpendapatan rendah di sekitar Selayang.

“Saya berharap sumbangan yang disalurkan bukan sahaja dapat meringankan beban perbelanjaan harian, malah menjadi simbol sokongan moral kepada penerima bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi cabaran kehidupan,” katanya.

Katanya lagi, sebagai organisasi yang mewakili pemain industri automotif Bumiputera, PEKEMA bukan hanya memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan keusahawanan, malah menitikberatkan aspek kebajikan, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 10 MPS, Ahmad Zahiri Zahid Sofian berkata, kolaborasi strategik antara Yayasan PEKEMA dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Majlis Zon 10 membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kebajikan masyarakat setempat terus diberi keutamaan.

“Kerjasama erat seumpama itu membolehkan bantuan kebajikan disalurkan secara lebih tersusun dan tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya keluarga B40 di kawasan Selayang,” katanya.

Program Kasih Ramadan ini turut mendapat sokongan padu daripada ahli-ahli PEKEMA, sukarelawan serta rakan strategik yang bersama-sama berganding bahu menjayakan misi kebajikan terbabit.

Semangat kerjasama dan solidariti yang dipamerkan jelas mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kesejahteraan komuniti setempat.

Yayasan PEKEMA komited untuk meneruskan pelaksanaan program kebajikan seumpama ini pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasa komuniti, memperkukuh jaringan sokongan sosial dan memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara, khususnya menjelang musim perayaan dan bulan-bulan penting dalam kalendar Islam seperti Ramadan.

Anugerah Tokoh Berpengaruh ASEAN 2026 pacu ekosistem kepimpinan serantau

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Anugerah Tokoh Berpengaruh ASEAN 2026 muncul sebagai pemangkin penting dalam memperkukuh landskap kepimpinan serantau apabila terus mengiktiraf individu dan organisasi yang membawa perubahan nyata kepada ekonomi, industri dan masyarakat.

Platform ini bukan sahaja mengangkat kejayaan tokoh terpilih, malah menjadi ruang strategik untuk mempertemukan pemimpin pelbagai sektor, sekali gus merangsang pertukaran idea, pembinaan jaringan serta kerjasama rentas sempadan dalam kalangan negara ASEAN.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Lim Shiek Ni, berkata anugerah tersebut dirangka untuk menilai kepimpinan secara menyeluruh, meliputi aspek integriti, tanggungjawab sosial dan sumbangan jangka panjang terhadap pembangunan komuniti dan industri.

“Pengiktirafan ini bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi satu standard yang mencerminkan nilai kepimpinan yang mampan di rantau ASEAN,” katanya pada sidang media pelancaran anugerah di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini pada Rabu.

Sidang media itu turut disertai Pengasas dan Presiden Strategik Antarabangsa, Dr. Gavin Voon Shih Chin, selain dihadiri lebih 120 wakil daripada sektor korporat, institusi profesional, dewan perniagaan dan organisasi media.

Pemilihan MATRADE sebagai lokasi pelancaran mencerminkan usaha penganjur menghubungkan agenda kepimpinan dengan pembangunan perdagangan antarabangsa dan pengantarabangsaan perusahaan, selari dengan aspirasi kerjasama ekonomi serantau.

Mengulas lanjut, Dr. Gavin menegaskan bahawa pendidikan dan pembangunan ilmu menjadi asas kepada pengantarabangsaan industri.

Menurut beliau, institusi yang diterajui memberi tumpuan kepada pembangunan platform, penyelidikan dan latihan bagi memperkukuh keupayaan usahawan, di samping menghubungkan sumber serantau dan global untuk menyokong pertumbuhan perusahaan secara mampan.

“Pelaksanaan anugerah ini adalah sebahagian daripada pendekatan strategik untuk memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor perniagaan dan akademia, sekali gus melahirkan generasi pemimpin yang mampu mencorakkan masa depan ASEAN,” katanya.

Selain itu, anugerah ini turut membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat baharu untuk membina jaringan strategik, memahami trend industri dan menyesuaikan strategi perniagaan dengan keperluan pasaran serantau.

Majlis Gala Anugerah Tokoh Berpengaruh ASEAN 2026 dijadual berlangsung di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada 16 Mei depan, dengan penyertaan dibuka kepada tokoh, institusi dan organisasi dari seluruh ASEAN.

Penganjur mengalu-alukan pencalonan individu dan organisasi yang menonjol dalam aspek kepimpinan, kerjasama serantau dan tanggungjawab sosial melalui laman web rasmi www.aseanaward.com atau menghubungi sekretariat di talian +6011-1186 7867.

Dari kilang kecil ke pasaran nasional, Ella Furniture buktikan keunggulan jenama Bumiputera

editormaxinfo@gmail.com

BANGI – Jenama perabot tempatan, Ella Furniture, terus melakar kejayaan apabila membuka cawangan kelimanya di Bangi, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara jenama Bumiputera yang semakin berpengaruh dalam industri perabot negara.

Bermula daripada sebuah kilang kecil, Ella Furniture kini berkembang pesat dan mampu bersaing dengan pemain industri antarabangsa.

Di bawah kepimpinan pengasasnya, Nur Laila Alway, syarikat ini komited menawarkan perabot bergaya moden dengan kualiti bertaraf tinggi pada harga yang realistik untuk seisi keluarga Malaysia.

Menurut Laila, Ella Furniture bukan sekadar menjalankan perniagaan semata-mata, sebaliknya membawa misi memperjuangkan keupayaan dan kualiti produk tempatan.

“Fokus utama jenama ini adalah membina produk, jenama dan pengalaman pelanggan yang premium tetapi masih mampu dimiliki oleh kebanyakan isi rumah.

“Salah satu kelebihan utama yang membezakan Ella Furniture daripada pesaing lain ialah penggunaan fabrik “High Performance” yang direka khusus untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden.

“Fabrik ini dilengkapi ciri mudah dibersihkan, di mana kotoran boleh dilap tanpa meninggalkan kesan kekal,” katanya.

Selain itu, fabrik yang direka oleh mereka lebih bersifat anti calar dan lebih lasak, menjadikannya sesuai untuk kegunaan seisi keluarga termasuk kediaman yang mempunyai anak kecil atau haiwan peliharaan.

Ketahanan jangka panjang tanpa mengorbankan elemen estetika menjadikan koleksi Ella Furniture pilihan utama pelanggan yang mementingkan gabungan fungsi dan gaya.

Bersempena pembukaan cawangan baharu serta kempen Ramadan dan Syawal 2026, Ella Furniture melancarkan kempen “Meriah Bergaya dengan Ella” yang menawarkan diskaun sehingga RM3,000 bagi produk terpilih.

Selain itu, pelanggan turut menikmati baucar diskaun 15 peratus untuk tempahan kabinet dapur termasuk penghantaran percuma sekitar Lembah Klang.

Promosi ini berlangsung dari 15 Februari hingga 10 April 2026 di semua cawangan Ella Furniture.

Kempen berkenaan turut diperkuat dengan sokongan duta jenama, Datuk AC Mizal, yang mengakui keyakinannya terhadap kualiti produk Ella Furniture yang disifatkan setanding dengan jenama global.

“Kejayaan Ella sebagai bukti bahawa jenama tempatan mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi dan membanggakan,” katanya.

Pembukaan cawangan kelima ini dilihat sebagai langkah strategik untuk menyasar kawasan berpotensi tinggi seperti Bandar Serenia, Nilai dan Seremban, yang mempunyai demografi urban serta berpendapatan sederhana tinggi.

Seiring peningkatan permintaan terhadap perabot berkualiti pasca pandemik, Ella Furniture menyasarkan pertumbuhan dua angka pada tahun 2026 dan sedang menilai peluang membuka beberapa lagi cawangan menjelang hujung tahun.

Dengan visi nasional dan komitmen berterusan terhadap inovasi serta kepuasan pelanggan, Ella Furniture terus membuktikan jenama perabot tempatan mampu berkembang kukuh dan berdaya saing dalam pasaran yang semakin mencabar.

Layari ellafurniture.com.my untuk maklumat lanjut.

Arora Beauty Spa buka 5 cawangan serentak di Malaysia, tawar penjagaan kulit bertaraf antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Selepas lebih lima tahun membina reputasi kukuh dalam industri kecantikan tempatan, jenama penjagaan kulit Arora Skincare terus melakar pencapaian baharu menerusi pembukaan serentak lima cawangan Arora Beauty Spa, sekali gus memperkenalkan standard penjagaan kulit bertaraf antarabangsa kepada pelanggan di Malaysia.

Pembukaan rasmi yang berlangsung di ibu pejabat Setia Alam, Selangor itu turut menyaksikan beberapa lagi cawangan mula beroperasi di Ipoh dan Manjung (Perak), Seberang Jaya (Pulau Pinang), Cyberjaya dan Pavilion Bukit Jalil (Kuala Lumpur).

Langkah strategik ini membuktikan peningkatan permintaan terhadap pendekatan penjagaan kulit holistik yang diketengahkan oleh Arora, merangkumi gabungan produk berkualiti dan rawatan profesional.

Diasaskan di bawah syarikat Rosierra Global Sdn Bhd, Arora Skincare diterajui oleh pengasasnya, Shahirra Shahrul Asmawi atau lebih dikenali sebagai Ira Shahrul bersama pasangannya, Rashid Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

Berbekalkan latar belakang pendidikan dalam bidang kejuruteraan awam, Shahirra membangunkan jenama ini dengan fokus terhadap formulasi tepat, bahan aktif berprestasi tinggi dan keberkesanan sebenar yang mampu memberi impak jangka panjang kepada kesihatan kulit.

Menurut Ira, pembukaan Arora Beauty Spa adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang syarikat untuk menyediakan solusi penjagaan kulit yang lebih menyeluruh.

“Jika sebelum ini pelanggan hanya menikmati perubahan luaran melalui penggunaan produk seperti Arora Ampoule Beauty Booster, kini mereka berpeluang memahami kondisi kulit secara lebih mendalam melalui analisis menggunakan mesin penganalisis kulit serta rawatan facial profesional yang disesuaikan mengikut keperluan individu,” katanya.

Ira berkata, konsep Arora Beauty Spa berbeza daripada kebanyakan spa di pasaran yang sering menawarkan pakej berkala sehingga membebankan pelanggan.

“Arora memberi kebebasan kepada pelanggan untuk memilih rawatan berdasarkan kesesuaian kulit dan bajet masing-masing tanpa sebarang tekanan komitmen jangka panjang.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen jenama terhadap keselesaan dan kepuasan pelanggan,” katanya lagi.

Dalam industri kecantikan yang sangat kompetitif dan sentiasa dipenuhi produk baharu, kemampuan Arora bertahan melebihi lima tahun menjadi bukti kekuatan jenama berkenaan.

Arora tidak bergantung kepada duta selebriti sejak awal penubuhannya, sebaliknya dibina atas keyakinan serta testimoni pengguna sebenar yang berpuas hati dengan keberkesanan produk.

Walaupun begitu, pihak pengurusan tidak menolak kemungkinan melantik duta pada masa hadapan, dengan pendekatan berbeza iaitu memilih individu daripada kalangan pengguna setia Arora sendiri.

Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran pelakon terkenal, Izara Aishah, yang menyatakan kekagumannya terhadap standard teknologi dan bahan aktif yang digunakan dalam produk Arora.

Izara mengakui tidak menyangka jenama tempatan mampu menawarkan teknologi rawatan seperti ampoule treatment yang setanding dengan produk luar negara dan menggalakkan orang ramai mencuba sendiri servis spa serta rangkaian produk Arora.

Turut hadir ialah Dr. Wan yang menekankan kepentingan pendekatan ‘trial and error’ dalam pemilihan produk penjagaan kulit kerana setiap individu mempunyai reaksi kulit berbeza.

Beliau memuji inisiatif Arora menyediakan set percubaan bersaiz kecil bagi membolehkan pelanggan mencuba terlebih dahulu tanpa risiko pembaziran.

Seiring dengan perkembangan rangkaian spa, Arora turut merangka strategi untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Ketika ini, jenama terbabit telah menerima pelanggan dari Singapura, Brunei dan beberapa negara serantau lain, sekali gus membuktikan potensi jenama tempatan untuk berkembang ke peringkat global.

Sempena meraikan pembukaan lima cawangan ini, Arora Beauty Spa menawarkan baucer eksklusif bernilai RM175 untuk 100 pelanggan pertama sehingga sehingga 28 Februari ini bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mencuba pengalaman rawatan premium dengan nilai istimewa.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat tempahan melalui laman web rasmi www.aroraskincarehq.com.my atau WhatsApp di talian 017-9937769.