27.5 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
Home Blog Page 22

Huawei lancar HUAWEI Band 11 & MatePad 11.5 Standard Edition di Malaysia, harga bermula RM189

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Huawei terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran peranti pintar tempatan dengan pelancaran dua produk terbaharu, iaitu HUAWEI Band 11 dan HUAWEI MatePad 11.5 Standard Edition di Malaysia.

Kedua-dua peranti ini direka bagi meningkatkan gaya hidup moden, produktiviti harian serta pengalaman kesejahteraan pengguna, selari dengan keperluan rutin masa kini yang semakin dinamik.

Pelancaran ini memperlihatkan komitmen berterusan Huawei dalam menggabungkan teknologi, kesihatan dan kreativiti dalam satu ekosistem pintar yang menyokong kehidupan seharian rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi menjelang musim perayaan.

HUAWEI Band 11: Rakan Gaya Hidup dan Kesihatan Harian

Meneruskan kejayaan model terdahulu, HUAWEI Band 11 tampil dengan rekaan lebih nipis dan ringan serta paparan lebih besar dan cerah untuk memastikan maklumat mudah dilihat walaupun di bawah cahaya matahari.

Peranti ini menawarkan pemantauan kesihatan komprehensif termasuk penjejakan tidur lanjutan, analisis HRV, pemantauan emosi, penjejakan kitaran pintar serta amaran kesihatan proaktif.

Direka untuk disesuaikan dengan gaya hidup moden, HUAWEI Band 11 memudahkan pengguna menyemak notifikasi ketika beratur membeli juadah raya, memantau kadar denyutan jantung semasa berjoging, atau menerima peringatan untuk meregangkan badan ketika bekerja dari rumah.

Pilihan muka jam yang pelbagai seperti Activity Rings untuk kecergasan, Gallery untuk paparan foto peribadi serta rekaan bertemakan haiwan peliharaan menambah elemen peribadi dan menyeronokkan.

Lebih menarik, fungsi pembayaran E-wallet QR turut disertakan, membolehkan pembayaran Touch ‘n Go dilakukan terus dari pergelangan tangan dengan selamat dan pantas, sesuai untuk urusan membeli-belah saat akhir atau menikmati juadah bersama keluarga dan rakan.

Ditawarkan pada harga bermula RM189, pra-tempahan HUAWEI Band 11 kini dibuka di semua HUAWEI Experience Store, laman web rasmi Huawei, serta platform e-dagang utama termasuk Shopee, Lazada dan TikTok Shop rasmi Huawei.

Pelanggan turut menikmati jaminan APAC satu tahun bernilai sehingga RM129 serta tawaran langganan Health+ dan Watch Face selama sebulan pada harga promosi RM1.09.

HUAWEI MatePad 11.5 Standard Edition: Tablet Serba Boleh untuk Kerja dan Kreativiti

Dalam masa yang sama, HUAWEI MatePad 11.5 Standard Edition menyertai keluarga MatePad sebagai peranti serba lengkap untuk kerja, pembelajaran dan ekspresi kreatif.

Dilengkapi paparan 11.5 inci HUAWEI FullView Display dengan resolusi 2.5K HD, tablet ini menawarkan visual yang terang dan jelas, sesuai untuk panggilan video, penstriman kandungan, lakaran kreatif atau pencatatan nota dalam kelas dalam talian.

Peranti ini hadir dengan WPS Office 3.0 bertaraf PC, sokongan HUAWEI M-Pencil Generasi Ketiga, aplikasi HUAWEI Notes dan GoPaint, fungsi multi-window, sistem audio empat pembesar suara dengan Histen 9.0 serta bateri berkapasiti 10,100mAh yang menyokong pengecasan pantas 40W HUAWEI SuperCharge. Gabungan ciri ini memastikan pengguna kekal produktif dan terhibur sepanjang hari.

Dengan harga RM1,299, HUAWEI MatePad 11.5 Standard Edition kini boleh didapati di semua saluran rasmi Huawei.

Pelanggan juga berpeluang menikmati hadiah percuma bernilai sehingga RM1,305 termasuk HUAWEI M-Pencil Generasi Ketiga, tetikus Bluetooth Huawei, HUAWEI FreeBuds SE 3, WPS Office 3.0 serta jaminan APAC satu tahun.

Andai Itu Takdirnya 2 cetus sensasi, Aleya bangkit ‘sound tegak’ Aizril

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Fenomena drama Melayu kembali memuncak menerusi kesinambungan karya sentuhan emas novelis terkenal, Siti Rosmizah apabila Andai Itu Takdirnya 2 kini hangat ditayangkan menerusi slot MegaDrama di Astro Ria.

Disiarkan setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam di saluran 104 (RIA) serta platform Sooka, musim kedua ini berjaya mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan penonton setia sejak episod-episod terawal lagi.

Diterbitkan oleh SR ONE Sdn. Bhd., drama ini kembali mengangkat konflik rumah tangga yang sarat dengan emosi, pengkhianatan dan dilema moral, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai antara drama bersiri Melayu paling mendapat perhatian sejak musim pertama yang ditayangkan pada 2023.

Memasuki 10 episod awal, penonton diuji dengan sikap ‘red flag’ Aizril yang masih gagal melepaskan diri daripada konflik bersama wanita ketiga.

Watak Aizril yang dibawakan oleh Shukri Yahya terus menimbulkan kemarahan ramai apabila terperangkap dalam dilema antara rumah tangga dan perniagaan yang semakin meruncing.

Demi menyelamatkan syarikatnya daripada muflis, Aizril tergamak mendesak isterinya, Aleya, agar mengizinkan dia berpoligami dengan Azreen.

Aleya yang kini hidup dengan kecacatan pada tangan sekali lagi diuji dengan pengkhianatan suami.

Watak yang dilakonkan Hannah Delisha itu tidak lagi digambarkan sebagai wanita lemah seperti musim terdahulu.

Sebaliknya, Aleya tampil lebih tegas dan berani mempertahankan maruah serta prinsip dirinya, sekali gus membuatkan ramai penonton berpuas hati melihat perkembangan karakter berkenaan.

Konflik semakin memuncak apabila Azreen, yang dimainkan Nadia Brian, memanipulasi keadaan demi memastikan hasratnya untuk berkahwin dengan Aizril tercapai.

Antara babak yang mencetuskan kemarahan penonton adalah adegan Aizril menyimbah sup panas ke wajah Aleya selepas mempercayai dakwaan kononnya isterinya cuba mencederakan Azreen.

Babak dramatik itu menjadi tular dan terus mengundang pelbagai reaksi di media sosial.

Di sebalik episod-episod penuh tekanan ini, Aleya digambarkan sebagai wanita yang semakin matang dalam menghadapi ujian hidup.

Walaupun perasaan hancur dan kecewa tetap membelenggu, Aleya memilih untuk tidak lagi menzahirkan kelemahannya di hadapan anak-anak.

Dia berusaha memperlihatkan kekuatan demi memberi contoh bahawa seorang ibu harus tetap tabah walau diuji berkali-kali.

Namun di sisi sahabat baik dan ibunya, Aleya tetap manusia biasa yang memerlukan ruang untuk meluahkan kesedihan.

Hannah berkata, perkembangan karakter ini dibentuk hasil perbincangan bersama pengarah, Feroz Kadir, bagi memastikan Aleya tampil lebih berprinsip dan tidak terus dibayangi imej wanita yang hanya berserah kepada takdir.

Pendekatan itu dilihat berjaya memberikan dimensi baharu kepada jalan cerita dan mengukuhkan lagi kekuatan emosi musim kedua ini.

Berbeza dengan Aleya, Aizril kekal sebagai lelaki yang panas baran dan celaru dalam membuat keputusan, terutama apabila membabitkan wanita.

Pergolakan antara tanggungjawab sebagai suami dan tekanan perniagaan menjadikan dirinya terus terperangkap dalam pilihan yang salah, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada dia akan sekali lagi mensia-siakan peluang yang diberikan oleh isterinya.

Sepanjang 40 episod yang dirancang, pelbagai konflik dan persoalan bakal terungkai satu demi satu.

Penonton pastinya tertanya-tanya sama ada Aizril benar-benar akan berjaya mengahwini Azreen dan menjalani kehidupan berpoligami, atau akhirnya menyedari kesilapan yang hampir memusnahkan keluarganya sendiri.

Selain gandingan utama yang menjadi tunjang kekuatan drama ini, Andai Itu Takdirnya 2 turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Fahrin Ahmad, Puteri Sarah Liyana, Laila Nasir, Aida Khalida dan Idzham Ismail yang menambah warna kepada keseluruhan penceritaan.

Dewa 19, Padi Reborn cipta sejarah konsert 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Buat pertama kali dalam sejarah penganjuran konsert di Malaysia, dua kumpulan legenda Indonesia bakal disatukan di atas satu pentas menerusi konsert berjudul Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil.

Penganjuran berskala besar ini dijangka mencetus fenomena luar biasa dalam kalangan peminat muzik serantau, khususnya Baladewa dan Sobat Padi yang sekian lama menantikan detik bersejarah ini.

Selepas kali terakhir menggegarkan Kuala Lumpur pada 29 September 2023 menerusi konsert A Night At The Orchestra – Chapter 5, kumpulan legenda Dewa 19 kembali menyemarakkan pentas Malaysia dengan konsep yang sarat emosi dan nostalgia.

Tiga tahun penantian itu disifatkan sebagai tempoh yang penuh rasa rindu, seakan menggambarkan judul-judul lagu ikonik mereka seperti Kangen, Angin dan Sedang Ingin Bercinta yang sentiasa mekar dalam jiwa peminat.

Konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya menjadi simbol hubungan erat antara Dewa 19 dan peminat mereka di Malaysia.

Menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, Malaysia sentiasa mempunyai kedudukan istimewa di hati anggota Dewa 19 sejak awal kejayaan mereka menembusi pasaran tempatan dan membina kelompok peminat setia yang dikenali sebagai Baladewa.

“Pemilihan judul Cintaku Tertinggal di Malaysia lahir daripada rasa penghargaan dan keterikatan emosi yang mendalam terhadap peminat di negara ini.

“Konsert ini bakal menyaksikan penampilan barisan pemuzik utama Dewa 19 termasuk Ahmad Dhani selaku pengasas, Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha, sekali gus menjanjikan persembahan yang mantap dan berkarisma,” katanya.

Lebih istimewa, konsert ini turut menampilkan tiga vokalis utama Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello, bersama Tyo Nugros di posisi dram.

Kombinasi ini diyakini bakal menghidupkan semula rangkaian lagu-lagu malar segar seperti Roman Picisan, Separuh Nafas, Pangeran Cinta dan Laskar Cinta dalam susunan persembahan yang penuh jiwa.

Dalam usaha mencipta sejarah baharu, Icon Entertainment mengambil langkah berani dengan menyatukan Dewa 19 bersama Padi Reborn sebagai band jemputan istimewa.

Ini adalah kali pertama dua kumpulan gergasi Indonesia itu berkongsi satu pentas di Malaysia, sekali gus menjadikan konsert ini sebagai momen yang amat signifikan dalam landskap industri muzik serantau.

Padi Reborn yang cukup sinonim dengan lagu-lagu popular seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban dijangka melengkapkan malam penuh romantika itu.

Pertemuan Baladewa dan Sobat Padi di bawah satu bumbung bukan sahaja menyatukan dua kelompok peminat, malah membuktikan bahawa muzik dan cinta mampu merentasi sempadan serta menyatukan jiwa.

Konsep persembahan yang diketengahkan tidak bersifat extravaganza berlebihan, sebaliknya memberi fokus kepada kekuatan karya dan emosi yang dibawa oleh kedua-dua kumpulan.

Pada malam 6 Jun 2026 nanti, Axiata Arena Bukit Jalil bakal dipenuhi aura kasmaran dan kenangan indah menerusi rangkaian lagu cinta yang telah menjadi runut bunyi kehidupan ramai peminat sejak lebih dua dekad lalu.

Menariknya, penganjur turut menetapkan tema pakaian yang unik dan autentik buat peminat iaitu T-Shirt Band Original.

Tema ini dilihat sebagai simbol kesetiaan dan identiti sebenar peminat terhadap idola masing-masing, sekali gus mewujudkan suasana solidariti dan kebersamaan yang lebih intim di dalam arena.

Tiket konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia akan mula dijual pada Jumaat, 27 Februari 2026, jam 11 pagi menerusi laman rasmi Ticket2U.

Harga tiket ditawarkan mengikut beberapa kategori menarik iaitu RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta) dan RM488 (Sedang Ingin Bercinta).

Dengan sambutan yang dijangka luar biasa, peminat disaran mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Penganjuran konsert ini diyakini bakal mencatat satu lagi sejarah gemilang dalam industri hiburan tanah air, sekali gus menjadikan Axiata Arena Bukit Jalil bergema dengan sorakan dan nyanyian ribuan peminat.

Pertembungan dua nama besar, Dewa 19 dan Padi Reborn, bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan cinta, persahabatan dan muzik yang akan terpahat sebagai momen epik dalam kalendar hiburan Malaysia tahun 2026.

Fazura, Fatima cipta memori Syawal menerusi ‘Raya Pum Pang Lagi’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kemeriahan Aidilfitri tahun ini hadir dengan sentuhan lebih peribadi apabila pelakon, penyanyi dan usahawan terkenal, Fazura kembali dengan versi baharu lagu raya popularnya berjudul Raya Pum Pang Lagi.

Lebih istimewa, karya terbaharu ini menampilkan kolaborasi bersama insan paling bermakna dalam hidupnya, anak tersayang Fatima.

Jika sebelum ini Raya Pum Pang menceriakan suasana Syawal dengan melodi ceria dan lirik menghiburkan, versi kali ini membawa dimensi emosi yang lebih mendalam.

Kolaborasi ibu dan anak ini bukan sekadar menghidupkan semula lagu yang pernah menjadi siulan, malah mencipta kenangan baharu yang sarat dengan nilai kasih sayang dan kebersamaan keluarga.

Menurut Fazura, idea menghasilkan Raya Pum Pang Lagi tercetus secara spontan di rumah apabila Fatima sering menyanyikan lagu itu dengan penuh semangat.

“Momen kecil yang pada awalnya sekadar nyanyian santai akhirnya berkembang menjadi sebuah projek rakaman rasmi yang kini bakal mewarnai sambutan Aidilfitri peminat.

“Keunikan lagu ini terletak pada kisah di sebalik pembikinannya. Ia bukan dihasilkan atas perancangan komersial semata-mata, sebaliknya lahir daripada rasa hati seorang ibu yang ingin merakam detik indah bersama anak.

“Kejujuran emosi inilah yang membezakan Raya Pum Pang Lagi daripada lagu-lagu raya lain, menjadikannya lebih dekat dengan pengalaman sebenar sebuah keluarga menyambut Syawal,” katanya.

Penampilan Fazura dan Fatima di pentas Jakel Fashion Show 2026 sebelum ini turut mencuri perhatian ramai, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kolaborasi istimewa antara mereka.

Namun bagi Fazura, lagu ini lebih daripada sekadar gimik atau strategi, sebaliknya simbol kasih sayang dan memori yang ingin dikongsi bersama pendengar.

Detik paling bermakna pastinya ketika sesi rakaman di studio, apabila Fatima berdiri di hadapan mikrofon sebagai sebahagian daripada karya rasmi buat pertama kali.

Bagi Fazura, pengalaman itu adalah satu kenangan yang akan disimpan sepanjang hayat, menggambarkan ikatan erat antara ibu dan anak yang diterjemahkan melalui muzik.

Melalui Raya Pum Pang Lagi, Fazura berharap lagu ini dapat menjadi latar kepada memori-memori baharu di setiap rumah sepanjang Aidilfitri.

Mesej yang dibawa cukup jelas bahawa makna sebenar Raya bukan terletak pada kemewahan atau kesempurnaan luaran, tetapi pada insan-insan yang berkongsi detik kebahagiaan bersama.

Lagu ini boleh distrim di semua platform penstriman digital bermula 20 Februari 2026, sekali gus menambah warna dan kemeriahan sambutan Syawal tahun ini.

‘Warna Warni Hari Raya’ Ushera angkat manifesto perpaduan, semarakkan Aidilfitri 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lirik, Ushera kembali menyemarakkan industri muzik tempatan dengan single raya terbaharu berjudul Warna Warni Hari Raya, sekali gus menandakan kemunculan semula beliau dalam produksi lagu Aidilfitri selepas kali terakhir tampil pada tahun 2021.

Sebelum ini, Ushera pernah mencuri perhatian menerusi lagu raya Suka Ria Raya pada 2017 dan kemudiannya Kembali pada 2021 yang membawa nuansa Ghazal Melayu tradisional.

Tahun ini, beliau tampil dengan pendekatan lebih segar menerusi Warna Warni Hari Raya, sebuah karya yang diangkat sebagai manifesto perpaduan dan keberagaman masyarakat Malaysia dalam meraikan Aidilfitri tanpa batas.

Lagu itu menerima sentuhan kreatif Ushera sendiri sebagai penulis lirik, manakala penerbitan dan komposisinya digalas oleh Ganesh Bala yang berjaya menterjemahkan aspirasi karya itu menepati suasana bulan Syawal.

Mengangkat tema kemeriahan, persahabatan dan kepelbagaian budaya, lagu ini menonjolkan gambaran sambutan raya di kampung, berbusana baharu serta keindahan tradisi yang diraikan bersama.

Menurut Ushera, lirik yang dihasilkan bersifat bersahaja dan mudah diingati agar dekat di hati pendengar pelbagai generasi, namun tetap mengekalkan sentuhan melodi malar segar yang mampu menyentuh emosi.

“Karya ini bukan bertujuan bersaing, sebaliknya mahu menjadi sebahagian daripada kebangkitan semula lagu raya yang kini semakin pelbagai genre dan diterima baik oleh Masyarakat,” katanya.

Manifesto keberagaman yang menjadi tunjang Warna Warni Hari Raya turut diterjemahkan menerusi pembabitan tenaga kerja pelbagai bangsa dalam pembikinan muzik video.

Penggambaran yang berlangsung pada 2 Januari lalu diarahkan oleh Arnaud Blondel sebagai Pengarah Video dan Fotografi, menampilkan visual penuh warna yang menggambarkan suasana Aidilfitri yang inklusif dan harmoni.

Bagi melengkapkan konsep visual, Ushera turut berkolaborasi dengan pereka busana terkenal, Syomir Izwa Gupta, yang menyerlahkan identiti moden berbalut retro sinonim dengan imejnya selama ini.

Kolaborasi itu menjadikan keseluruhan persembahan visual dan muzik terasa lebih hidup serta autentik.

Muzik video rasmi Warna Warni Hari Raya mula ditayangkan di YouTube pada 16 Februari jam 8.30 malam, manakala lagu ini turut boleh distrim di platform digital seperti Spotify dan Apple Music bermula tarikh yang sama.

Sebagai rekod, Ushera sebelum ini pernah melancarkan album Semalam Di Malaya pada 2016 yang memuatkan lagu seperti Bunga Raya, Dunia Asmara, Jikalau Abang Merindu, Polynesia Mambo dan Chuchi Kain Chuchi Mata, semuanya dipersembahkan dalam gaya asli yang menjadi identiti tersendiri beliau.

RaRa 2026 Astro meriahkan Ramadan Terengganu, 3,000 hadir di Masjid Seberang Takir

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro terus menyemarakkan sambutan Ramadan menerusi penganjuran ‘Assalamualaikum RaRa 2026’ yang kali ini dibawakan khas ke Pantai Timur.

Program yang berlangsung meriah di Masjid Seberang Takir pada 7 Februari lalu berjaya menghimpunkan kira-kira 3,000 pengunjung dalam kalangan masyarakat setempat, selebriti, personaliti radio serta rakan media.

Mengangkat tema ‘Bila Bersama Lagi Jadi’, penganjuran tahun ini menekankan nilai kebersamaan dan semangat ukhwah dalam kalangan umat Islam melalui pelbagai pengisian bermanfaat.

Perkarangan masjid dipenuhi pengunjung yang hadir bagi mengimarahkan program sambil mengeratkan silaturahim sempena kedatangan Ramadan.

Antara yang menjadi tumpuan ialah barisan duta RaRa Astro iaitu Zizan Razak, Sharifah Shahirah, ALPHA dan Auddra yang bukan sahaja memeriahkan acara, malah memperkenalkan pelbagai kandungan baharu Astro yang bakal disiarkan sepanjang Ramadan menerusi platform televisyen, digital dan radio.

Program dimulakan dengan aktiviti ‘Bekwoh RASA bersama Borak SeeNI’ yang menyaksikan Sharifah Shahirah dan Auddra turun padang bersama komuniti setempat bergotong-royong menyediakan juadah sebelum diagihkan kepada pengunjung oleh Zizan Razak dan ALPHA.

Suasana muafakat dan kerjasama jelas terpancar menerusi aktiviti rewang yang sinonim dengan budaya masyarakat Pantai Timur.

Pengunjung turut berpeluang mengikuti sesi rakaman khas MeleTOP x Tazkirah Malam Jumaat yang menampilkan pendakwah selebriti seperti Amin Idris dan Fakrul UNIC, bersama pengacara MeleTOP Namie serta Ustaz Syed Mohd Norhisyam dan Ustaz Nabil Ahmad.

Pengisian ilmiah itu menjadi antara tarikan utama sebagai persiapan rohani menjelang Ramadan, dan bakal disiarkan menerusi saluran Astro Ria serta Astro Oasis pada tarikh yang telah dijadualkan.

Selain majlis ilmu, suasana turut dihangatkan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan UNIC, ALPHA dan Mawi, di samping kemunculan istimewa watak animasi popular Omar & Hana serta Didi & Friends yang mencuit hati kanak-kanak.

Aktiviti pentas bersama penyampai radio ZAYAN dan GEGAR menambahkan lagi kemeriahan program yang bersifat kekeluargaan ini.

Di sekitar perkarangan masjid, pelbagai aktiviti komuniti seperti pertandingan tulisan khat, mewarna dan memanah turut dianjurkan, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung pelbagai peringkat usia untuk terbabit secara aktif.

Yayasan PEKEMA peruntuk lebih RM700,000 bantu anak asnaf dan tahfiz sambut Syawal 2026

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Yayasan PEKEMA memperuntukkan lebih RM700,000 menerusi pelaksanaan Program Shopping Raya 2026 bagi membantu anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Inisiatif tahunan yang menjadi antara program teras yayasan itu dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara, membabitkan beberapa zon termasuk Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Usaha ini mencerminkan kesungguhan Yayasan PEKEMA dalam memastikan bantuan yang disalurkan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh golongan sasar, tanpa mengira lokasi geografi.

Majlis pelancaran bagi Zon Tengah telah berlangsung dengan jayanya di Mydin Mall USJ, menyaksikan penyertaan lebih 500 anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz.

Menerusi program berkenaan, setiap penerima menerima baucar membeli-belah bernilai RM200 yang membolehkan mereka memilih sendiri kelengkapan Hari Raya seperti pakaian, kasut dan barangan keperluan lain.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi bantuan berbentuk material, malah membuka ruang kepada mereka merasai pengalaman membeli-belah secara lebih bermakna serta meningkatkan keyakinan diri menjelang Syawal.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata program berkenaan bukan sekadar satu bentuk sumbangan kewangan, sebaliknya simbol solidariti dan kasih sayang terhadap masyarakat yang memerlukan.

“Kami mahu menghadirkan kegembiraan dan harapan buat anak-anak ini agar mereka turut merasai kemeriahan Syawal seperti insan lain.

“Kebajikan adalah tanggungjawab bersama dan PEKEMA komited untuk terus memainkan peranan ini secara konsisten saban tahun,” katanya.

Antara institusi yang menerima manfaat daripada Program Shopping Raya 2026 termasuk Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Madrasah Quran Darussalam Banin, Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur serta anak-anak asnaf dari Kampung Pendamar, Klang dan sekitar Selayang, Damansara serta Shah Alam.

Program ini turut mendapat kerjasama strategik daripada pihak Mydin, dengan kehadiran barisan kepimpinan PEKEMA dalam sesi penyampaian sumbangan secara simbolik.

Kerjasama ini memperlihatkan sinergi antara sektor swasta dan badan kebajikan dalam memperkukuh jaringan bantuan kepada golongan memerlukan.

Melalui pelaksanaan yang konsisten setiap tahun, Yayasan PEKEMA beriltizam untuk terus memperluaskan capaian bantuan agar lebih ramai golongan asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara dapat menikmati manfaat yang disediakan, khususnya menjelang musim perayaan.

Yayasan PEKEMA turut berharap agar usaha murni ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama menyumbang serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam masyarakat, demi memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada menikmati kemeriahan Aidilfitri.

Bufet Ramadan Pullman Kuching 2026 ‘Where Hope Rises’ perkukuh komuniti dan kebersamaan

editormaxinfo@gmail.com

KUCHING – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Pullman Kuching memperkenalkan “Where Hope Rises”, sebuah payung inisiatif Kepelbagaian, Kesaksamaan dan Keterangkuman (Diversity, Equity and Inclusion – DEI) yang menghimpunkan seluruh usaha komuniti hotel ini di bawah satu komitmen jangka panjang yang lebih tersusun dan bermakna.

Inisiatif itu bukan sekadar kempen bermusim, sebaliknya menjadi rangka kerja berterusan yang mencerminkan kepercayaan bahawa hospitaliti pada asasnya adalah tentang manusia.

Melalui pendekatan ini, Pullman Kuching menzahirkan komitmen untuk mewujudkan ruang yang menyemai rasa hormat, keprihatinan dan kebersamaan, selari dengan pembangunan pesat bandar raya Kuching sebagai destinasi pelancongan utama Sarawak.

“Where Hope Rises” juga berperanan sebagai panduan strategik dalam melaksanakan penglibatan komuniti secara lebih menyeluruh tanpa mengetepikan keikhlasan serta sensitiviti budaya tempatan.

Pengurus Besar Pullman Kuching, Sunardi Song berkata, inisiatif itu lahir daripada hasrat untuk memperkukuh makna sebenar keterangkuman dalam industri hospitaliti.

“Where Hope Rises” adalah komitmen jelas hotel untuk memastikan setiap individu berasa dialu-alukan, dihormati dan saling terhubung, bukan sahaja ketika musim perayaan, malah sepanjang tahun.

“Ramadan adalah waktu paling tepat untuk memperkenalkan inisiatif ini kerana bulan itu mengingatkan masyarakat tentang nilai kemurahan hati, keprihatinan dan kebersamaan sebagai sebuah komuniti,” katanya.

Sempena Ramadan tahun ini, komitmen itu diterjemahkan melalui program “Kongsi Kasih Bersama Pullman Kuching” yang memfokuskan kepada perkongsian momen bersama komuniti setempat.

Program berkenaan dimulakan dengan majlis istimewa bertajuk “Senja di Puncak Harapan”, yang menghimpunkan 60 kanak-kanak dan guru dari PERYATIM Kuching, wakil daripada Penan Women Project, rakan media dan pempengaruh serta warga kerja hotel.

Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana elemen keterangkuman diterapkan secara semula jadi dalam setiap pengalaman hospitaliti yang ditawarkan.

Berlatarbelakangkan panorama senja yang memukau dari puncak bukit Kuching, majlis berkenaan membuka ruang untuk interaksi santai, menikmati juadah bersama serta mengukuhkan jalinan silaturahim dalam suasana penuh makna.

Tetamu turut disajikan dengan persembahan khas sambil menikmati hidangan terpilih daripada bufet Ramadan yang bakal ditawarkan sepanjang bulan mulia ini.

Dalam majlis yang sama, pihak hotel mengumumkan sumbangan sebanyak RM10 daripada setiap jualan bufet Ramadan kepada golongan yang memerlukan sebagai sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat.

Selain itu, beg anyaman tangan hasil karya komuniti Penan Women Project turut ditampilkan, sekali gus membuka peluang kepada tetamu untuk menyokong usaha pemerkasaan wanita Penan melalui pembelian produk berkenaan.

Sepanjang Ramadan, orang ramai dijemput untuk berbuka puasa di Culina Pan-Asian Restaurant menerusi pengalaman “Culina Bazaar Nights”, iaitu bufet Ramadan Pullman Kuching yang mengetengahkan cita rasa Asia serta hidangan kegemaran Sarawak.

Berinspirasikan suasana bazar makanan terbuka, bufet ini menampilkan pelbagai pilihan termasuk Signature Kambing Golek, seleksi hidangan bakar serta pencuci mulut tradisional seperti ABC, cendol dan lemang.

Harga yang ditawarkan adalah RM238+ bagi dewasa, RM190+ bagi warga emas dan RM119+ bagi kanak-kanak.

Culina Bazaar Nights berlangsung dari 19 Februari hingga 20 Mac 2026 bermula jam 6.30 petang setiap hari.

Konsep yang diketengahkan menekankan bahawa juadah perayaan bukan sekadar tentang makanan, tetapi tentang momen yang dikongsi bersama insan tersayang dalam suasana penuh kehangatan.

Sambutan Ramadan Pullman Kuching turut selari dengan aspirasi Visit Malaysia 2026 yang menekankan pengalaman pelancongan berasaskan budaya, komuniti dan keaslian.

Sebagai mercu tanda hospitaliti di puncak bukit Kuching, hotel ini terus memainkan peranan sebagai lokasi pertemuan warga tempatan dan pelawat, menawarkan pengalaman Sarawak yang autentik melalui nilai kebersamaan, kerjasama tempatan dan layanan yang penuh makna.

Orang ramai yang ingin merasai pengalaman bufet Ramadan ini serta bersama-sama menyokong inisiatif “Where Hope Rises” boleh membuat tempahan awal dengan menghubungi 016-879 6105 atau 082-222 888, atau melayari laman sesawang rasmi Pullman Kuching. Tempahan awal adalah digalakkan dan tertakluk kepada kekosongan.

UPSI raikan 42 pesara dalam Majlis Jasamu Dikenang, semai legasi jiwa UPSI

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menzahirkan penghargaan kepada 42 pesara universiti menerusi penganjuran Majlis Jasamu Dikenang sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan dan khidmat bakti mereka sepanjang tempoh perkhidmatan bersama institusi berkenaan.

Daripada jumlah itu, tujuh adalah pesara yang telah meninggal dunia, manakala majlis berkenaan disertai oleh 34 pesara serta waris yang hadir bagi menerima penghormatan daripada pihak universiti.

Majlis penuh bermakna itu berlangsung di Dewan Muallim, Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah dalam suasana hiba namun sarat dengan rasa bangga.

Naib Canselor UPSI, Md Amin Md Taff, berkata penganjuran majlis bertepatan dengan Aspirasi UPSI iaitu “Jiwa UPSI: Bakti Disemai, Legasi Dijiwai”.

“Majlis berkenaan bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya melambangkan rasa hormat, terima kasih dan kasih sayang seluruh warga universiti terhadap insan-insan yang telah mencurahkan bakti tanpa mengenal lelah.

“pesara yang diraikan telah menghayati Jiwa UPSI dalam setiap amanah yang dipikul, dengan menzahirkan nilai kasih kepada universiti, wibawa dalam perkhidmatan serta pengorbanan yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Katanya lagi, mereka bukan sekadar bekas kakitangan, malah arkitek kepada kejayaan universiti sama ada berkhidmat di bilik kuliah, pejabat pentadbiran, makmal, bengkel mahupun di sebalik tabir operasi universiti.

“Sumbangan tuan-tuan dan puan-puan telah menyemai nilai, disiplin serta budaya kerja yang kini menjadi DNA kepada Jiwa UPSI,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan reputasi dan pencapaian UPSI pada hari ini adalah hasil kesinambungan bakti serta legasi yang ditinggalkan oleh pesara.

Justeru, mereka akan sentiasa menjadi sebahagian daripada keluarga besar UPSI sepanjang hayat berteraskan semangat Jiwa UPSI.

Tambah beliau, pihak universiti komited untuk terus memelihara hubungan silaturahim dengan pesara melalui jemputan rasmi ke majlis ilmu dan aktiviti kebersamaan, selain memberi ruang kepada mereka menyumbang kepakaran serta pengalaman menerusi Skim Khidmat Budiman.

Majlis anjuran Bahagian Sumber Manusia UPSI itu turut menyaksikan sesi penyampaian Kad Budi Bitara kepada para pesara dan waris sebagai simbol penghargaan serta keprihatinan berterusan universiti terhadap kebajikan warga yang telah menamatkan perkhidmatan.

Sementara itu, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman, berkata majlis itu menghimpunkan warga universiti dalam suasana penuh emosi dan penghormatan bagi menyantuni 42 pesara yang telah berkhidmat dengan dedikasi dan kesetiaan.

Menurutnya, pesara UPSI adalah nadi yang menggerakkan jentera kecemerlangan universiti selama ini, dan komitmen serta kesetiaan yang ditunjukkan wajar dijadikan teladan serta inspirasi kepada warga kerja yang masih meneruskan perkhidmatan.

“Walaupun selepas ini tuan-tuan dan puan-puan tidak lagi berada di pejabat secara fizikal, sumbangan yang dicurahkan telah menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan Ibu Kandung Suluh Budiman,” katanya.

Majlis Jasamu Dikenang ini sekali lagi membuktikan komitmen UPSI dalam menghargai legasi warganya, selari dengan aspirasi memperkukuh budaya kecemerlangan dan nilai kemanusiaan dalam institusi pendidikan tinggi negara.