32.9 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
Home Blog Page 21

Iftar Rumah Lauk Putrajaya tampil rusa golek & 150 menu kampung, percuma kepada 200 pelanggan terawal

editormaxinfo@gmail.com

Foto Papadin

PUTRAJAYA – Sempena Ramadan yang penuh keberkatan, Marvelous Mama Sdn Bhd mempersembahkan Iftar Rumah Lauk, sebuah pengalaman bufet Ramadan berkonsepkan masakan kampung dan warisan Malaysia yang berlangsung di Nafoura Hall, LC-01, Shaftsbury Putrajaya.

Mengangkat tema “Dari Dapur Kami ke Meja Anda”, inisiatif ini membawakan hidangan autentik bercita rasa rumah kepada masyarakat khususnya keluarga serta organisasi korporat sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Serdang.

Pada kadar harga di bawah RM100 seorang, Iftar Rumah Lauk menawarkan lebih 150 variasi hidangan kampung setiap hari, sekali gus menjadikannya antara pilihan bufet Ramadan paling berbaloi di Putrajaya tahun ini.

Suasana berbuka puasa di sini turut diperkaya dengan persembahan buskers secara langsung setiap hari, kehadiran selebriti jemputan pada setiap hujung minggu serta kemudahan surau untuk solat Maghrib, Isyak dan Terawih.

Menariknya, sempena pembukaan rasmi, 200 pelanggan terawal ditawarkan juadah berbuka secara percuma sebagai tanda penghargaan kepada komuniti setempat.

Keunikan utama Iftar Rumah Lauk terletak pada sajian Rusa Golek yang ditampilkan setiap hari.

Berbeza daripada kebanyakan bufet Ramadan yang menawarkan kambing golek, pihak penganjur berani memperkenalkan rusa golek sebagai hidangan istimewa.

Diperap dengan rempah ratus tradisional dan dipanggang sehingga sempurna, sajian premium ini menjadi simbol kelainan serta identiti tersendiri Rumah Lauk dalam landskap bufet Ramadan tempatan.

Bagi menambah kemeriahan sepanjang bulan Ramadan, pihak penganjur turut menganjurkan cabutan bertuah pada 17 Mac 2026 dengan hadiah wang tunai, emas dan pelbagai ganjaran menarik lain.

Inisiatif ini dijangka menarik kehadiran pengunjung yang lebih ramai sepanjang musim berbuka puasa.

Dalam perkembangan sama, Marvelous Mama Sdn Bhd turut mengumumkan perancangan pembukaan restoran tetap Rumah Lauk di Kuala Lumpur pada penghujung April ini.

Lebih membanggakan, jenama yang sama dijangka melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa menerusi pembukaan restoran di London dan Jakarta dalam tahun ini, sekali gus memperkukuhkan kedudukan syarikat sebagai jenama makanan warisan Malaysia yang berdaya saing global.

Sebagai pengeluar makanan sejuk beku sedia dimakan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, Marvelous Mama terkenal dengan produk seperti rendang, lemang durian, ketupat palas, daging dendeng, sata ikan dan ayam serta acar ikan talang.

Produk-produk ini kini dieksport ke Dubai dan London, dengan perancangan peluasan pasaran ke beberapa negara lain dalam masa terdekat.

Sata ikan dan ayam keluaran syarikat khususnya mendapat pujian atas keenakan rasa, keseimbangan rempah serta keaslian resipi tradisi yang dikekalkan, manakala lemang durian dan serawa dijangka menjadi hidangan istimewa menjelang Aidilfitri.

Dengan gabungan cita rasa kampung, suasana eksklusif dan harga mampu milik, Iftar Rumah Lauk di Putrajaya bukan sekadar lokasi berbuka puasa, tetapi destinasi gastronomi Ramadan yang mengangkat warisan Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Untuk tempahan korporat dan pertanyaan media, orang ramai boleh menghubungi Mohd Aqil di talian 013-277 7922, manakala tempahan biasa boleh dibuat melalui 013-277 7244.

Fipper X Soloz 2026 koleksi edisi terhad inspirasi esports Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama kasut gaya hidup tempatan, Fipper, sekali lagi mencetus fenomena menerusi pelancaran rasmi Fipper X Soloz 2026, Koleksi Ke-2 yang dinanti-nantikan.

Kolaborasi eksklusif bersama ikon esports Malaysia, Soloz, ini menandakan kesinambungan kejayaan luar biasa yang pernah direkodkan pada tahun 2023.

Pelancaran edisi terbaharu ini bukan sekadar kolaborasi komersial, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan Fipper dalam menyokong perkembangan industri e-games dan esports yang semakin berkembang pesat di Malaysia serta rantau Asia Tenggara.

Sebagai jenama tempatan yang telah 18 tahun kukuh dalam industri, Fipper melihat dunia esports bukan sekadar platform hiburan, tetapi sebagai ekosistem bakat, kreativiti dan komuniti yang membentuk budaya generasi moden hari ini.

Kejayaan koleksi pertama pada 2023 yang habis terjual dalam tempoh singkat di seluruh negara menjadi bukti kukuh terhadap penerimaan pasaran.

Permintaan tinggi daripada peminat yang tidak sempat mendapatkan edisi terdahulu menjadi pemangkin utama kepada penghasilan koleksi kedua pada tahun 2026.

Fenomena itu sekali gus membuktikan sinergi ampuh antara fesyen gaya hidup dan budaya esports, membuka ruang baharu kepada kolaborasi rentas industri yang semakin relevan dalam landskap pasaran tempatan.

Dari Arena Digital ke Street Style

Koleksi Fipper X Soloz 2026 mengangkat konsep lebih berani dengan gabungan keyakinan streetwear, tenaga dunia gaming serta DNA warna-warni ikonik Fipper.

Ia bukan sekadar tentang kasut atau sandal, tetapi simbol identiti diri, keberanian dan mentaliti untuk melangkah ke tahap seterusnya.

Diinspirasikan daripada intensiti permainan kompetitif serta karisma Soloz yang tersendiri, koleksi ini menampilkan kontras warna menyerlah berasaskan estetika RGB gaming, digabungkan dengan keselesaan material premium yang direka untuk pemakaian sepanjang hari.

Edisi kali ini turut menampilkan pilihan warna terhad yang dipilih bersama Soloz, menjadikan setiap rekaan lebih eksklusif dan dekat dengan komuniti peminat.

Direka khas untuk generasi Gen-Z dan milenial muda termasuk gamer, influencer serta trendsetter, koleksi ini meraikan golongan yang berani tampil berbeza dan membentuk gaya tersendiri dalam dunia yang semakin digital.

Dua Gaya, Satu Identiti

Koleksi Ke-2 ini hadir dalam dua siri utama yang memenuhi keperluan gaya hidup berbeza namun berkongsi identiti yang sama.

Siri Slip On direka untuk mereka yang mengutamakan kemudahan dan praktikaliti.

Ringan, mudah disarung dan sesuai untuk pergerakan harian, ia diperkaya dengan aksen warna berinspirasikan dunia gaming tanpa mengorbankan keselesaan.

Tiga pilihan warna diperkenalkan iaitu Rage Burst dengan kombinasi Pink dan Purple, Toxic Rush dalam rona Neon serta Over Drive dalam warna Merah.

Sambutan luar biasa terhadap siri ini menyaksikan salah satu warna telah pun habis terjual sepenuhnya, sekali gus membuktikan kekuatan pengaruh kolaborasi ini dalam kalangan komuniti.

Sementara itu, siri Refitt tampil dengan siluet lebih berstruktur dan refined, sesuai untuk individu yang menghargai gaya kemas, matang dan versatil.

Direka dengan tali lebih tebal dan kemasan lebih solid, ia menawarkan kestabilan dan keselesaan seimbang untuk pemakaian harian mahupun gaya kasual yang lebih polished.

Dua warna diperkenalkan iaitu Volt Signature dalam rona Neon dan Crimson Legacy dalam warna Merah.

Menambahkan elemen eksklusif, setiap pasang dilengkapi dengan tandatangan Soloz pada bahagian strap, menjadikannya bukan sekadar sandal klasik, tetapi simbol kolaborasi gaya dan personaliti yang tersendiri.

Kolaborasi Melangkaui Batasan Industri

Diiktiraf dalam ASEAN Book of Records sebagai jenama dengan jumlah kombinasi warna tertinggi, Fipper terus melangkaui batas inovasi dengan menggabungkan fesyen gaya hidup dan industri esports yang sangat dekat dengan budaya belia Asia Tenggara.

Menurut Fatin Fadila, General Manager Fipper Malaysia, kolaborasi kedua ini melambangkan perkembangan bukan sahaja dari sudut reka bentuk, malah dari aspek keyakinan dan identiti.

“Koleksi ini mencerminkan semangat untuk membuka potensi tahap seterusnya,” katanya.

Soloz pula menyifatkan koleksi terbaharu ini sebagai lebih peribadi dan lebih berkuasa, melambangkan usaha, tenaga serta prinsip untuk kekal setia kepada diri sendiri.

Dengan pelancaran rasmi pada 28 Februari 2026 dan kuantiti terhad di seluruh negara, Fipper X Soloz 2026 dijangka sekali lagi mencipta gelombang baharu dalam industri fesyen tempatan dan komuniti esports.

Kolaborasi ini bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan Fipper sebagai jenama kasut gaya hidup Malaysia yang progresif, malah membuktikan bahawa gabungan fesyen dan dunia gaming mampu mencorakkan trend masa depan yang lebih dinamik dan inklusif.

Bahasa Melayu kini ibarat malam berselimut embun

‘siang bertudung awan: Sejauhmana kemampuan bahasa Melayu dapat berkembang di Nusantara sebagai bahasa ilmu dan bahasa penyatuan pelbagai rumpun bangsa’


Oleh Muhammad Nur Ikhwan Abdul Kassim
editormaxinfo@gmail.com

Tidak dinafikan bahawa bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa di rantau Asia Tenggara. Empat buah negara mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu Malaysia (perkara 152, Perlembagaan Persekutuan), Indonesia (Pasal 36,Undang-Undang Dasar 1945), Singapura (Perlembagaan 1965) dan Brunei Darussalam (Perlembagaan 1959).

Selain itu, bahasa Melayu turut dituturkan di beberapa wilayah lain seperti Thailand Selatan dan Tengah, Filipina Selatan, Vietnam Selatan, Kemboja, Myanmar Selatan serta Sri Lanka.

Statistik menunjukkan bahawa lebih 300 juta penutur menggunakan bahasa Melayu daripada kira-kira 593 juta penduduk Asia Tenggara.

Keadaan ini membuka ruang dan potensi yang besar untuk bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa perhubungan dan bahasa perantara atau lingua franca di rantau ini, sekali gus mengulangi kegemilangan zaman Sriwijaya dan kerajaan Melayu silam.

Kewujudan bahasa Melayu telah dibuktikan sejak abad ke-7 Masihi melalui penemuan batu bersurat Kedudukan Bukit di Palembang pada tahun 683 Masihi yang memperlihatkan penggunaan bahasa Melayu Kuno dalam bentuk tulisan.

Menurut Asmah Hj. Omar, lingua franca merujuk kepada bahasa yang diketahui oleh kebanyakan penutur walaupun hanya pada peringkat asas.

Hakikatnya, bahasa Melayu telah memainkan pelbagai peranan penting sebagai bahasa ilmu dan bahasa penyatu di Nusantara sehingga ke era kontemporari.

Di Malaysia, peranan bahasa Melayu diperkukuh melalui Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan selaras dengan Laporan Razak 1956.

Usaha ini diperkasakan lagi apabila Tun Patinggi Datuk Abdul Rahman Ya’kub, Menteri Pendidikan pada tahun 1969, melaksanakan peralihan sekolah Inggeris kepada sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Pelaksanaan Akta Pendidikan 1996 turut memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan, termasuk institusi pendidikan tinggi awam dan swasta.

Di peringkat antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Bahasa dan Komunikasi telah memperluas pengaruh bahasa Melayu dengan menjalin kerjasama bersama universiti di Uzbekistan sejak tahun 2017 serta “The Malaysian Language and Culture Centre” ditubuhkan pada tahun 2019.

Di Indonesia, bahasa Melayu yang dikenali sebagai Bahasa Indonesia diangkat sebagai bahasa nasional serta berfungsi sebagai bahasa penyatu masyarakat majmuk kerana dianggarkan terdapat lebih 500 kumpulan etnik dan puluhan ribuan pulau.

Bahasa Indonesia menjadi tunjang kepada pembentukan jati diri nasional yang ampuh selaras dengan ikrar yang terkandung dalam Sumpah Pemuda, iaitu “Menjunjung Bahasa Persatuan, Bahasa Indonesia”.

Hal ini dapat dilihat apabila masyarakat pelbagai etnik, termasuk keturunan Cina, bertutur dalam bahasa nasional dengan fasih tanpa perbezaan yang ketara dengan penutur natif.

Pasal 36, Undang-Undang Dasar 1945 turut menegaskan penggunaan bahasa nasional menjadi tanggungjawab semua penjawat awam dalam segala urusan rasmi baik di peringkat lokal mahupun dunia.

Brunei Darussalam pula menitikberatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara Brunei 1959 Bab 82(i).

Walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai puak seperti Puak Brunei, Kedayan dan Bisaya yang mempunyai dialek tersendiri, bahasa Melayu digunakan sebagai medium komunikasi bersama.

Ideologi Melayu Islam Beraja (MIB) menjadi tunjang kepada perkembangan bahasa Melayu di negara tersebut. Penggunaan tulisan Jawi bersama Rumi diwajibkan melalui Surat Edaran Jabatan Perdana Menteri No. 21/1988 pada papan tanda, dokumen rasmi, perniagaan dan sebagai subjek pendidikan agama, sekali gus memartabatkan bahasa dan budaya Melayu serta memperkukuh pengajian Islam.

Di Singapura, bahasa Melayu kekal sebagai bahasa kebangsaan walaupun negara tersebut telah berpisah daripada Malaysia sejak 9 Ogos 1965.

Bahasa Melayu masih digunakan dalam majlis rasmi, lagu kebangsaan “Majulah Singapura”, arahan kawad ketenteraan dan pada mata wang.

Peranan Singapura dalam perkembangan sastera Melayu juga amat signifikan kerana pernah menjadi pusat penerbitan, percetakan dan intelektual Melayu di Asia Tenggara pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20.

Karya sastera seperti sajak “Kita Tidak Bakal Balik” oleh Masuri S.N. membuktikan lagi peranan bahasa Melayu sebagai medium kesedaran dan kebangkitan masyarakat.

Ke mana kita

Dan segala anak cucu segala

Kita bakal didakwa

Pewaris putus asa

Yang memuliakan semangat papa

Kesimpulannya, cadangan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN telah dikemukakan sejak tahun 1980-an oleh ahli antropologi Filipina, E. Patanne.

Pelbagai pelan tindakan boleh dilaksanakan, antaranya program pertukaran budaya, penyediaan biasiswa pengajian berbahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa serta pengukuhan pertukaran guru dan pelajar bahasa Melayu di Nusantara.

Masa hadapan bahasa Melayu memerlukan perancangan bahasa yang bersifat dwistrategi, iaitu berpusat kepada negara dan berkembang merentas sempadan ke lingkungan negara-negara berkepentingan sepunya, agar hasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa mahawangsa dapat direalisasikan.

Konsert “For You Nourul” ditunda ke 30 Mei 2026 di Zepp KL, janji malam penuh emosi dan nostalgia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Konsert solo sulung penyanyi tanah air, Nourul berjudul “For You Nourul” yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 17 April 2026 kini dijadualkan semula ke 30 Mei 2026.

Penjadualan semula ini dibuat bagi memastikan kualiti persembahan berada pada tahap terbaik serta memberi ruang yang lebih selesa kepada para peminat untuk hadir meraikan malam istimewa tersebut.

Menurut pihak penganjur, ND Entertainment, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Nourul dengan mengambil kira beberapa faktor penting termasuk menghormati dua perayaan besar umat Islam iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Selain itu, tarikh baharu ini dilihat lebih sesuai bagi memberi peluang kepada peminat menyusun semula perancangan kewangan selepas musim perayaan.

Pihak penganjur turut menyatakan bahawa pemilihan 30 Mei 2026 diyakini mampu menjadikan konsert ini sebagai satu hari keraian khas buat Nourul dan para peminat dalam suasana yang lebih meriah dan selesa.

Mereka optimis perubahan tarikh ini akan memberi impak positif terhadap keseluruhan pengalaman konsert yang telah dirancang rapi sejak sekian lama.

Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Ab. Wahab, 49, berkata, penukaran tarikh itu turut memberi kelebihan dari sudut perancangan produksi dan penyusunan barisan artis jemputan.

Katanya, proses perbincangan turut membabitkan penyelarasan semula jadual perjalanan konsert susulan perubahan penganjur daripada pihak terdahulu kepada syarikat miliknya sendiri.

“Langkah itu disifatkan penting bagi memastikan konsert sulung sepanjang lebih tiga dekad penglibatan saya dalam industri muzik tempatan ini benar-benar memenuhi jangkaan peminat,” katanya.

Penyanyi yang dikenali menerusi lagu malar segar “Kerana Terluka” itu tetap optimis konsert “For You Nourul” akan mendapat sambutan hangat dan menjadi antara momen paling bermakna dalam perjalanan seni beliau.

Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya simbol penghargaan kepada peminat yang setia menyokong kerjayanya sejak awal pembabitan dalam industri hiburan tanah air.

Konsert “For You Nourul” akan berlangsung pada 30 Mei 2026, jam 8 malam bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Lokasi berprestij itu dipilih bagi menjanjikan pengalaman audio dan visual yang eksklusif serta lebih dekat dengan penonton.

Walaupun tarikh telah dikemas kini, penjualan tiket masih diteruskan mengikut kategori harga yang telah ditetapkan iaitu RM198 bagi kategori Sehati Sejiwa, RM298 (Cinta Azali), RM328 (Keliru), RM388 (Kerana Terluka) dan RM6,000 untuk VIP Box. Tiket boleh dibeli menerusi platform rasmi ticketing dalam talian.

KPK perkukuh tadbir urus, lonjak sektor agrikomoditi dan bela pekebun kecil

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Kementerian Perladangan dan Komoditi terus komited untuk memperkukuh tadbir urus, mempercepat transformasi teknologi serta meningkatkan kesejahteraan pekebun kecil.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad, berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kementerian atas komitmen berterusan dalam memacu sektor agrikomoditi negara yang kekal sebagai penyumbang signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta kesejahteraan rakyat.

“Saya juga mengalu-alukan pelantikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) yang baharu, Shafie Taib dan menyatakan keyakinan terhadap keupayaan beliau menyuntik dinamika baharu dalam pengurusan strategik Kementerian,” katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan dan Majlis Berbuka Puasa Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Serbaguna kementerian itu pada Jumaat.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekeluargaan itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Huang Tiong Sii, barisan pengurusan tertinggi kementerian, ketua-ketua agensi serta warga kerja KPK.

Mengulas amanah kepimpinan yang digalas, Noraini berkata, budaya tadbir urus yang baik tidak boleh sekadar menjadi slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan dan keputusan di semua peringkat organisasi.

Beliau dan Timbalan Menteri komited membina hubungan kerja berteraskan kepercayaan, keterbukaan dan saling menghormati, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang progresif serta inklusif selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Sepanjang dua bulan menerajui kementerian, beliau telah mengadakan beberapa siri lawatan kerja ke agensi di bawah KPK dan menyertai program turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan sektor agrikomoditi.

Katanya, hasil pemerhatian itu memperlihatkan tahap profesionalisme tinggi dalam kalangan warga kementerian, penyelidik dan pengurusan agensi, khususnya dalam memperkenalkan inovasi teknologi seperti mekanisasi moden, automasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan ladang serta pembangunan klon baka baharu berdaya tahan.

“Menghadapi tahun 2026 yang dijangka mencabar, ingin saya ingatkan bahawa sektor agrikomoditi tidak boleh lagi diurus secara konvensional.

“Ketidaktentuan geopolitik, perubahan iklim, turun naik harga komoditi dunia serta kemunculan peraturan perdagangan antarabangsa yang lebih ketat berhubung elemen kelestarian menuntut pendekatan lebih radikal dan berfokus.

“Perlunya meningkatkan kecekapan pengeluaran hulu melalui peningkatan hasil sehektar bagi komoditi utama seperti sawit, getah, koko dan lada,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, pengukuhan rantaian nilai hiliran perlu dipertingkat melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk bernilai tambah tinggi yang mampu menembusi pasaran global.

“Aspek kelestarian turut diberi perhatian serius dengan penegasan bahawa Malaysia akan terus mempertahankan pensijilan dan amalan mampan di peringkat antarabangsa, tanpa tunduk kepada diskriminasi perdagangan.

“Setiap dasar dan inisiatif kementerian perlu disertakan dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan boleh diukur secara objektif, agar setiap perbelanjaan dana awam memberi impak sebenar kepada rakyat dan industri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Noraini berkata, nadi sebenar sektor agrikomoditi adalah pekebun kecil. Peningkatan nilai eksport tidak bermakna sekiranya manfaatnya tidak dirasai golongan itu di peringkat akar umbi.

Justeru, peningkatan pendapatan dan taraf hidup pekebun kecil kekal menjadi agenda utama kementerian.

“Pelaksanaan program bantuan subsidi seperti BUDI MADANI adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan jaringan keselamatan kepada komuniti pekebun kecil agar tidak terjejas oleh ketidaktentuan harga dan cabaran ekonomi global.

“Penyampaian bantuan mesti dilaksanakan secara pantas, telus dan tanpa kerenah birokrasi,” katanya.

Menyentuh isu kebergantungan terhadap buruh asing, Noraini melihat pendigitalan, mekanisasi dan penggunaan teknologi pintar sebagai penyelesaian jangka panjang.

Integrasi dron, sensor berasaskan AI dan jentera moden diyakini mampu menarik minat generasi muda serta mentransformasikan persepsi bahawa sektor perladangan bukan lagi bidang 3D (Dirty, Dangerous, Difficult), sebaliknya industri berteknologi tinggi yang menawarkan peluang kerjaya bernilai tambah.

“Budaya bekerja secara silo dihentikan serta digantikan dengan sinergi kukuh antara bahagian, agensi dan majlis di bawah kementerian.

“Perkongsian data, kepakaran dan pembentukan pasukan rentas fungsi dilihat sebagai langkah strategik untuk menyelesaikan isu rentas komoditi dengan lebih cekap dan pantas.

“Dalam usaha mencapai sasaran prestasi, kepentingan kesejahteraan mental, fizikal dan emosi warga kerja sebagai aset terpenting kementerian.

“Persekitaran kerja kondusif, komunikasi dua hala yang berkesan serta keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan disifatkan sebagai asas kepada organisasi mampan dan berprestasi tinggi,” katanya.

Pada kesempatan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan Menteri Perladangan dan Komoditi, Johari Abdul Ghani, serta mantan Timbalan Menteri, Chan Foong Hin, atas sumbangan dan legasi kepimpinan yang telah mengukuhkan kedudukan kementerian dalam pembangunan sektor agrikomoditi negara.

Majlis turut diserikan dengan inisiatif Program Ihya Ramadan peringkat kementerian yang dianjurkan Surau Muhammadi dengan kerjasama pelbagai pihak.

Bagi menyokong kelancaran program itu, Noraini menyumbangkan RM10,000 sebagai tanda komitmen dan sokongan terhadap aktiviti kerohanian serta kebajikan warga kementerian sepanjang Ramadan.

Fourkay Gold santuni 39 anak yatim, perkukuh komitmen CSR di bulan Ramadan

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Fourkay Gold terus memperkasa komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menganjurkan program menyantuni anak-anak yatim sempena Ramadan dan persiapan Aidilfitri tidak lama lagi.

Sebagai syarikat peneraju industri pembelian emas gadaian (surat pajak gadai) di Malaysia dan yang pertama dalam sektor ini memiliki Sijil Kepatuhan Syariah, inisiatif itu mencerminkan falsafah teras syarikat bahawa kejayaan perniagaan perlu berjalan seiring dengan tanggungjawab sosial yang berterusan serta memberi impak tinggi kepada komuniti.

Program berkenaan telah memberi manfaat secara langsung kepada 39 orang anak yatim dan asnaf sekitar Semenyih.

Mereka menerima sumbangan pakaian Aidilfitri termasuk Baju Melayu dan Baju Kurung, pemberian Duit Raya serta diraikan dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Le Méridien Putrajaya.

Majlis berlangsung dalam suasana penuh penghormatan dan kegembiraan sebagai simbol sokongan moral dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan dalam menyambut Syawal yang bakal tiba.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Yang Dipertua Yayasan Anak Yatim dan Kebajikan Murid Islam Semenyih; Dato Mohd Alias Mat Saman, yang menzahirkan penghargaan atas keprihatinan pihak korporat dalam membantu kebajikan anak-anak yatim di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Fourkay Gold, Mohamad Sanusi Mohd Isa, berkata sebagai syarikat pertama dalam industri pembelian emas gadaian yang memiliki Sijil Kepatuhan Syariah, pihaknya memikul tanggungjawab lebih besar untuk memastikan setiap kejayaan perniagaan turut memberi nilai kepada masyarakat.

Menurut beliau, CSR bukan sekadar inisiatif bermusim, sebaliknya menjadi sebahagian daripada falsafah korporat syarikat yang menekankan bahawa perniagaan yang berkat ialah perniagaan yang memberi manfaat.

“Pendekatan berteraskan syariah yang diamalkan bukan sahaja diterjemahkan melalui struktur transaksi dan operasi, malah dalam budaya organisasi yang mengutamakan nilai ihsan, empati dan kesejahteraan komuniti.

“Fourkay Gold adalah syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan pembelian surat pajak emas secara patuh syariah, telus dan pantas, dengan fokus membantu individu mendapatkan kecairan tunai melalui kaedah yang adil, selamat dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya diukur melalui keuntungan semata-mata, tetapi juga melalui impak positif yang diberikan kepada masyarakat.

“Sebagai perintis dalam memperkenalkan pensijilan kepatuhan syariah dalam sektor pembelian emas gadaian, Fourkay Gold menetapkan piawaian baharu industri dari segi ketelusan harga dan penilaian emas, struktur transaksi yang adil dan sah, tadbir urus korporat beretika serta operasi patuh syariah yang disahkan.

“Pendekatan ini secara tidak langsung memperkukuh keyakinan pelanggan terhadap integriti dan profesionalisme Syarikat,” katanya lagi.

Sehingga kini, Fourkay Gold telah membantu lebih daripada 30,000 pelanggan di seluruh Malaysia mendapatkan solusi kecairan tunai secara selamat, profesional dan bertanggungjawab.

Beroperasi di IOI Conezion Commercial, Putrajaya, syarikat itu terus komited memperkukuh jenama sebagai rakan kewangan yang dipercayai masyarakat serta entiti korporat yang aktif menyumbang kepada pembangunan sosial negara.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Mohamad Sanusi berkata pihaknya berhasrat meneruskan dan memperluaskan lagi inisiatif CSR bagi memberi impak lebih besar kepada komuniti setempat.

Pada masa sama, Fourkay Gold akan terus memperkukuh perkhidmatan dalam industri emas dengan misi menjadi rakan kewangan patuh syariah yang diyakini oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelanggan dan komuniti atas sokongan berterusan yang diberikan, sambil menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat semua pihak mampu membantu membina masyarakat yang lebih prihatin dan berdaya saing.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan pembelian emas gadaian patuh syariah serta inisiatif terkini Fourkay Gold, orang ramai boleh melayari laman web rasmi syarikat di www.fourkaygold.com atau hubungi talian +6018-280 5567.

Alyah, Baby Shima sokong inisiatif ESG Hotel Tenera, Ttekankan mesej elak pembaziran Ramadan

editormaxinfo@gmail.com

BANGI – Bersempena Ramadan tahun ini, Hotel Tenera & Suites tampil dengan pendekatan lebih progresif apabila melaksanakan konsep Environmental, Social and Governance (ESG) dalam penganjuran bufet Ramadan mereka.

Langkah ini bukan sahaja memperkukuh komitmen hotel terhadap kelestarian alam sekitar, malah menegaskan tanggungjawab sosial dalam mendidik masyarakat agar lebih berhemah ketika menikmati juadah berbuka puasa.

Mengangkat tema Serantau Desa, Cita Rasa Mendunia, bufet Ramadan kali ini mengetengahkan kepelbagaian hidangan tradisional dari Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Dalam masa yang sama, pihak hotel menekankan prinsip sifar pembaziran sepanjang bulan mulia ini dengan pelaksanaan kawalan penyediaan makanan secara berperingkat, pengurusan sisa makanan yang lebih sistematik serta penggunaan bahan mesra alam.

Tetamu turut digalakkan mengambil makanan secara sederhana bagi mengelakkan lebihan yang akhirnya terbuang.

Pengurus Besar Hotel Tenera & Suites, Fadzly Hamzah berkata, Ramadan bukan sekadar bulan untuk menikmati pelbagai juadah, sebaliknya medan mendidik jiwa tentang kesederhanaan, kesyukuran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Pelaksanaan ESG dalam bufet Ramadan dilihat selari dengan nilai murni bulan Ramadan yang menuntut keseimbangan dan keprihatinan.

“Penyediaan makanan secara terkawal mampu mengurangkan lebihan yang tidak habis dimakan, sekali gus mengelakkan pembaziran yang sering berlaku sepanjang Ramadan.

“Pengurangan sisa makanan dan penggunaan bahan mesra alam membantu mengurangkan pelepasan karbon serta bebanan di tapak pelupusan sampah.

“Inisiatif ini juga memberi nilai tambah kepada pelanggan yang kini semakin peka terhadap isu kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat,” katanya pada sidang media pelancaran buffet Ramadan Hotel Tenera & Suites, baru-baru ini.

Usaha murni itu turut mendapat sokongan selebriti popular tanah air seperti Datin Alyah dan Baby Shima yang hadir memeriahkan bufet Ramadan hotel berkenaan.

Kehadiran mereka bukan sekadar memeriahkan acara, malah membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengelakkan pembaziran makanan.

Baby Shima menyifatkan inisiatif ESG yang dilaksanakan sebagai langkah yang sangat baik dan wajar dicontohi, khususnya dalam bulan Ramadan yang menuntut umat Islam lebih berdisiplin dan sederhana.

“Ramai yang cenderung mengambil makanan melebihi kemampuan untuk dihabiskan, justeru tindakan hotel mengawal penyediaan serta mendidik pelanggan adalah sesuatu yang patut dipuji.

“Kemeriahan berbuka puasa tidak seharusnya mengorbankan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Datin Alyah menyifatkan pelaksanaan ESG sebagai satu langkah progresif dalam industri hospitaliti.

Beliau percaya kesedaran terhadap kelestarian alam perlu bermula daripada semua pihak termasuk pengusaha hotel dan restoran.

“Pendekatan yang diambil Hotel Tenera bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab ketika menikmati juadah berbuka,” katanya.

Dari segi sajian, konsep Serantau Desa, Cita Rasa Mendunia membawa tetamu ‘mengembara rasa’ ke tiga negara serumpun menerusi hidangan autentik yang kaya dengan rempah dan teknik masakan tradisional.

Antara menu istimewa yang ditawarkan termasuk Dhalca Lutut Kambing, Gulai Kawah Raja Berangkat, Lidah Bakar, Sup Gear Box, Gulai Padang Urat Kering, Pecel Sayur, Nasi Khao Mok Kambing Panggang, Pulut Mangga, Tom Yam Merah, Som Tam, Ayam Pop dan Rendang Riau.

Dalam pada itu, Ketua Cef Hotel Tenera, Chef Sahisal Azrul berkata, masakan Malaysia, Thailand dan Indonesia berkongsi akar budaya yang hampir sama namun mempunyai identiti rasa tersendiri.

Malaysia terkenal dengan kuah berempah dan kepelbagaian rempah ratus, Thailand pula menitikberatkan keseimbangan rasa pedas, masam dan manis, manakala Indonesia kaya dengan masakan berempah pekat dan berani.

Gabungan ini menjadikan bufet Ramadan kali ini lebih istimewa dan beridentiti, sambil mengekalkan kualiti bahan mentah serta keaslian rasa.

Pendekatan ESG yang diterapkan dalam bufet Ramadan Hotel Tenera membuktikan bahawa kemeriahan berbuka puasa boleh diraikan secara bertanggungjawab tanpa mengabaikan aspek kelestarian alam.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi pengalaman gastronomi yang memuaskan, malah menyampaikan mesej penting tentang kesederhanaan dan keprihatinan terhadap bumi yang dikongsi bersama.

ReVeluv Malaysia bakal diserikan ‘JOY SPLASH’ – JOY Red Velvet pilih Kuala Lumpur untuk jelajah Asia 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Gelombang keterujaan K-pop kembali melanda ibu negara apabila JOY daripada Red Velvet mengumumkan kehadirannya ke Malaysia menerusi 2026 JOY ASIA TOUR “JOY SPLASH”.

Dianjurkan oleh Zues Event Sdn. Bhd., konsert solo ini dijadualkan berlangsung pada 25 April 2026, jam 8 malam di ZEPP Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur menjadi antara destinasi penting dalam rangka jelajah Asia itu, sekali gus membuktikan kedudukan Malaysia sebagai pasaran signifikan dalam kalangan artis K-pop antarabangsa.

‘JOY SPLASH’ membuka lembaran baharu dalam evolusi muzik solo JOY, menampilkan sisi artistik yang lebih matang, segar dan dekat dengan peminat.

Dikenali dengan tona vokal yang lembut serta ekspresi pentas yang penuh karisma, JOY dijangka mempersembahkan deretan lagu kegemaran peminat di samping beberapa segmen khas yang dirancang eksklusif untuk ReVeluv Malaysia.

Produksi pentas yang stylish, tata cahaya dinamik dan elemen visual kreatif bakal melengkapkan pengalaman konsert yang imersif, menjadikan setiap detik di dalam dewan seakan satu perjalanan emosi yang mengujakan.

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, acara ini turut menjanjikan interaksi istimewa antara artis dan peminat.

Pihak penganjur menyediakan pelbagai fan benefits eksklusif, sekali gus memberi peluang kepada ReVeluv untuk merasai pengalaman yang lebih dekat dan bermakna bersama JOY.

Perincian lanjut mengenai kelebihan itu akan diumumkan melalui platform rasmi penganjur dalam masa terdekat.

Tiket konsert akan mula dijual pada 7 Mac 2026, bermula jam 12 tengah hari menerusi laman sesawang rasmi etix.my.

Harga tiket ditawarkan pada kadar RM698, RM598, RM498 dan RM398, tidak termasuk 8 peratus SST.

Setiap pembelian dihadkan kepada maksimum empat tiket bagi setiap transaksi menggunakan satu alamat e-mel, dengan caj tempahan RM4 bagi setiap tiket dan caj pemprosesan RM10 untuk setiap transaksi.

Dengan reputasi JOY sebagai antara figura paling berpengaruh dalam generasi K-pop masa kini serta sokongan padu peminat tempatan, 2026 JOY ASIA TOUR “JOY SPLASH” di Kuala Lumpur dijangka menjadi antara konsert paling dinanti-nantikan tahun ini.

ReVeluv Malaysia kini hanya menanti detik untuk bersama-sama menyanyikan lagu kegemaran dan mencipta memori indah dalam sebuah malam yang bakal dipenuhi cahaya, muzik dan kegembiraan.

Marshall lancar Emberton III edisi terhad Tahun Baharu Cina 2026 di Against Lab, hanya 50 unit untuk Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Marshall Amplification terus memperkukuh kedudukannya dalam dunia audio premium dengan melancarkan Emberton III Lunar New Year Edition 2026, sebuah pembesar suara edisi terhad yang diperkenalkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Bersempena Tahun Kuda, pelancaran eksklusif ini berlangsung di Against Lab dan menandakan satu lagi kolaborasi kreatif berprofil tinggi antara jenama audio ikonik itu dengan artis China terkenal, FCCK.

Edisi khas ini menjadi nadi kepada kempen global Marshall bertemakan “Live Unbridled”, yang diinspirasikan daripada frasa Cina “脱缰野马” (tuō jiāng yě mǎ), membawa maksud kuda liar yang terlepas daripada kekangannya.

Simbolisme ini mencerminkan tenaga yang tidak terbatas, kebebasan tanpa halangan serta keberanian untuk melangkaui kebiasaan.

Menerusi falsafah itu, Marshall mengajak komuniti kreatif dan pencinta muzik untuk meraikan setiap detik kehidupan dengan semangat yang lebih bebas dan autentik.

Emberton III Lunar New Year Edition 2026 tampil dengan sentuhan seni eksklusif hasil karya FCCK, seorang artis yang cukup dikenali dalam dunia muzik dan vinil di China.

Beliau terkenal dengan ilustrasi album untuk band tempatan serta reka bentuk kulit piring hitam yang berani dan eksperimental.

Pendekatan visual FCCK yang menggabungkan ilustrasi dinamik, corak grafik dan tipografi unik menjadikan pembesar suara ini bukan sekadar peranti audio, malah sebuah karya seni kontemporari yang berdiri megah sebagai simbol ekspresi diri.

Reka bentuknya yang menonjol menjadikan setiap unit seolah-olah kanvas seni, seiring dengan identiti bunyi ikonik Marshall yang bertenaga dan jelas.

Lebih eksklusif, hanya 50 unit Emberton III Lunar New Year Edition 2026 ditawarkan di pasaran Malaysia, menjadikannya koleksi wajib bagi peminat audio premium dan penggemar edisi terhad sempena Tahun Baharu Cina.

Dengan reputasi Marshall dalam menghasilkan bunyi berkualiti tinggi dalam reka bentuk mudah alih, model ini sesuai digunakan ketika kunjungan rumah, perayaan bersama keluarga, mahupun sesi santai spontan sepanjang musim perayaan.

Pembesar suara edisi terhad ini akan mula dijual pada 7 Februari 2026 secara eksklusif di Against Lab, sama ada di kedai fizikal Against Lab Pudu atau menerusi platform dalam talian rasmi mereka di againstlab.com, sementara stok masih ada.

Pelancaran ini turut dimeriahkan dengan penganjuran bengkel penyesuaian couplet eksklusif oleh Against Lab sebagai penghormatan kepada tradisi Tahun Baharu Cina menampal couplet peribadi pada bingkai pintu, simbol membawa tuah dan menyampaikan harapan baik untuk tahun baharu.

Berbeza daripada pelancaran runcit Marshall sebelum ini yang lazimnya melibatkan rangkaian kedai di seluruh negara, edisi terhad ini memilih pendekatan yang lebih terarah dan berfokus.

Pemilihan Against Lab sebagai rakan runcit eksklusif bukanlah satu kebetulan, sebaliknya berakar pada nilai seni, kreativiti dan ekspresi budaya yang dikongsi bersama.

Against Lab sememangnya dikenali sebagai ruang yang menyokong suara bebas, eksperimen kreatif serta budaya komuniti, sejajar dengan semangat berani dan tanpa kekangan yang dibawa melalui kempen “Live Unbridled”.

Kerjasama runcit eksklusif ini bukan sekadar pelancaran produk, malah satu pengalaman yang menggabungkan seni, muzik dan budaya dalam satu ruang yang autentik.

Dengan gabungan reka bentuk artistik, nilai koleksi terhad serta reputasi audio premium Marshall, Emberton III Lunar New Year Edition 2026 dijangka menjadi antara produk paling dicari sempena Tahun Baharu Cina 2026 di Malaysia.