TEHRAN – Iran mengumumkan penangguhan majlis persemadian negara untuk pemimpin tertingginya, Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei, yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada petang Rabu di Tehran, berikutan jangkaan kehadiran orang ramai dalam jumlah yang luar biasa besar.
Televisyen kerajaan Iran melaporkan majlis perpisahan rasmi bagi pemimpin yang digelar sebagai “Imam yang syahid” itu ditangguhkan buat sementara waktu, dengan tarikh baharu akan diumumkan kemudian.
Keputusan itu dibuat selepas pihak berkuasa menjangkakan jutaan rakyat akan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh berpengaruh republik Islam itu.
Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan terbunuh pada usia 86 tahun dalam serangan yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat dan Israel pada hujung minggu lalu.
Berita kematian beliau mencetuskan reaksi meluas di dalam dan luar negara, dengan ramai penyokong serta rakyat Iran menyatakan hasrat untuk menghadiri majlis penghormatan terakhir itu.
Sebelum penangguhan diumumkan, pihak berkuasa Iran memaklumkan satu majlis penghormatan negara akan diadakan di Tehran pada petang Rabu sebelum jenazah beliau dibawa ke kota suci Mashhad untuk disemadikan.
Mashhad adalah tempat kelahiran Khamenei dan juga antara pusat keagamaan paling penting di Iran.
Sejak Sabtu lalu, Tehran dilaporkan menjadi sasaran beberapa siri serangan peluru berpandu yang menyasarkan infrastruktur tentera dan kerajaan.
Namun begitu, pihak berkuasa tidak mengaitkan penangguhan majlis persemadian itu dengan faktor keselamatan semasa.
Menurut Mohsen Mahmoudi, ketua Majlis Penyelarasan Pembangunan Islam Tehran yang bertanggungjawab sebagai badan penganjur acara berkenaan, keputusan itu dibuat bagi memastikan semua persiapan dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Beliau berkata, jangkaan kehadiran berjuta-juta orang memerlukan perancangan logistik dan infrastruktur yang lebih rapi bagi menjamin kelancaran serta keselamatan majlis penghormatan negara itu.
Penangguhan itu sekali gus memberi masa tambahan kepada pihak berkuasa untuk menyelaras kemudahan bagi menampung kehadiran besar rakyat Iran yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin tertinggi yang telah lama memimpin negara itu. -Agensi
PETALING JAYA – Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd melancarkan iklan Raya terbaharu berjudul “Bila”, sebuah karya yang mengangkat realiti tekanan sosial yang sering dihadapi anak muda ketika pulang berhari raya.
Iklan Raya itu dihasilkan dengan sokongan penaja rasmi, Milo dan diarahkan oleh pelakon serta pengarah muda berbakat, Nadhir Nasar.
Melalui sentuhan pengarahan beliau, karya ini menampilkan penceritaan yang ringan, dekat dengan realiti kehidupan masyarakat serta sarat dengan emosi kekeluargaan yang mampu menyentuh hati penonton.
“Bila” mengisahkan perjalanan hidup Siti, seorang wanita bekerjaya yang melihat Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga musim yang penuh dengan tekanan.
Pada usia 30 tahun, setiap kali pulang ke kampung halaman, Siti sering diasak dengan soalan yang sama daripada ahli keluarga dan saudara-mara, “Bila nak kahwin?”.
Bagi mengelakkan desakan itu, Siti mengambil keputusan luar biasa dengan mengupah seorang ‘fake boyfriend’ setiap kali pulang beraya.
Namun, Raya kali ini membawa kelainan apabila Alif, pelakon sambilan yang diupah Siti, tanpa sengaja berjaya menawan hati seluruh ahli keluarga.
Situasi itu akhirnya membuatkan Siti mula berdepan dengan hakikat sebenar kehidupannya, termasuk persoalan sama ada kejayaan kerjaya yang dikejar selama ini telah menjauhkan dirinya daripada orang yang paling disayangi.
Melalui gabungan elemen komedi romantik, emosi dan kehangatan kekeluargaan, naskhah ini disampaikan dengan pendekatan yang sederhana namun berkesan.
Ia tidak sekadar menghiburkan, malah turut mengangkat realiti tekanan sosial yang sering dihadapi ketika musim perayaan, di samping mengajak penonton menghargai makna sebenar keluarga, kejujuran serta hubungan yang tulus.
Iklan Raya ini dibintangi oleh barisan pelakon popular tanah air termasuk Yusuf Bahrin, Areef Amran, Erysha Emyra, Ezzanie Jasny, Auni Yusri dan Syad Mutalib, selain penampilan istimewa penyanyi bersuara emas, Liza Hanim.
Menurut Nadhir Nasar, pengalaman bekerjasama dengan rakan-rakan di bawah pengurusan yang sama memberikan satu nilai istimewa sepanjang proses penghasilan iklan berkenaan.
Nadhir turut meluahkan rasa bangga kerana dapat terus berkembang bersama pasukan Laugh Out Loud Entertainment.
“Bekerja bersama rakan-rakan di bawah pengurusan yang sama sentiasa menjadi sesuatu yang istimewa, lebih-lebih lagi apabila kami berkolaborasi dalam projek yang saya arahkan.
“Saya bangga untuk terus melangkah, membesar dan mencipta bersama LOL management,” katanya.
Sementara itu, wakil produksi berkata, iklan “Bila” dihasilkan dengan pendekatan penceritaan yang santai dan jujur kerana isu yang diketengahkan sangat dekat dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini.
Soalan “bila” yang sering dilontarkan kepada individu bujang mungkin kedengaran biasa, namun di sebaliknya tersimpan pelbagai emosi seperti tekanan, kerinduan serta perasaan yang jarang diluahkan secara terbuka.
Justeru, pihak produksi memilih untuk menyampaikan kisah itu dengan cara yang ringan tetapi sarat dengan makna.
Iklan Raya “Bila” dijadualkan untuk ditayangkan secara rasmi di saluran YouTube Laugh Out Loud Entertainment Sdn Bhd pada Sabtu, 7 Mac 2026 jam 8 malam.
Karya ini dijangka menarik perhatian penonton yang meminati kisah komedi romantik dengan sentuhan kekeluargaan yang dekat dengan kehidupan sebenar.
KUALA LUMPUR – IEC Telecom Group secara rasmi memasuki pasaran Malaysia sebagai penjual semula sah Starlink, sekali gus memperkukuh kehadirannya di rantau Asia Tenggara dan menyokong aspirasi negara dalam merapatkan jurang digital.
Pembukaan pejabat baharu IEC Telecom di Malaysia menandakan pengembangan strategik syarikat dalam penyediaan perkhidmatan ketersambungan perusahaan, khususnya bagi organisasi dan komuniti yang berdepan cabaran capaian internet di kawasan luar bandar, pedalaman serta sektor maritim.
Melalui pengenalan teknologi internet satelit Starlink ke pasaran tempatan, IEC Telecom menyasarkan sektor tenaga, logistik, kerajaan dan operasi perusahaan yang memerlukan kesinambungan komunikasi dalam persekitaran dengan infrastruktur terhad.
Langkah ini selari dengan agenda pendigitalan nasional Malaysia.
Sehingga hujung 2025, liputan internet di kawasan berpenduduk meningkat kepada 99.71 peratus berbanding 91.8 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Walaupun pencapaian itu membanggakan, jurang capaian internet masih ketara di luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak yang masing-masing mencatat liputan 5G sebanyak 68.6 peratus dan 63.8 peratus setakat pertengahan 2025.
Keperluan terhadap penyelesaian satelit turut diperkukuh melalui kejayaan projek bukti konsep (PoC) pada 2024 di Kampung Orang Asli Kerling, Hulu Selangor, yang membolehkan 260 penduduk dan 100 pelajar menikmati akses jalur lebar buat pertama kali melalui backhaul satelit.
Perkembangan ini menandakan potensi besar teknologi satelit sebagai pelengkap kepada rangkaian terestrial dalam memastikan akses internet yang inklusif.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IEC Telecom, Antoine Veillon berkata, syarikat itu berada dalam kedudukan kukuh untuk menyokong aspirasi digital Malaysia memandangkan IEC Telecom adalah antara rakan awal Starlink sejak Disember 2022.
“Dengan pengalaman lebih 30 tahun di peringkat antarabangsa serta kehadiran melebihi dua dekad di Asia Pasifik, pembukaan pejabat di Malaysia yang ketiga di rantau APAC mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan ketersambungan yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.
“Selain menawarkan perkhidmatan jalur lebar satelit Starlink, IEC Telecom Malaysia membangunkan ekosistem ketersambungan bersepadu yang menggabungkan rangkaian satelit, terestrial dan hybrid,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan ini membolehkan syarikat mereka bentuk seni bina terurus yang menyokong pelbagai pengguna dan kes penggunaan dalam satu platform tunggal.
Penyelesaian itu dikuasakan oleh lapisan pengurusan rangkaian termaju yang menyediakan keterlihatan berpusat, kawalan menyeluruh serta pengoptimuman prestasi melalui portal khusus, sekali gus memastikan ketersambungan yang selamat, berskala dan berprestasi tinggi.
Sementara itu, Pengarah Urusan APAC IEC Telecom, Hisham Ghaffar berkata, Malaysia adalah pasaran strategik dalam peluasan digital Asia Tenggara.
“Sebagai penjual semula Starlink yang sah, IEC Telecom Malaysia berperanan merapatkan jurang ketersambungan dengan menawarkan penyelesaian satelit di kawasan yang tidak diliputi infrastruktur konvensional, sekali gus membantu perniagaan beroperasi secara konsisten dan membolehkan komuniti luar bandar menikmati akses internet yang lebih stabil,” katanya.
IEC Telecom Malaysia turut memaklumkan syarikat itu telah memperoleh lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), membolehkannya menyediakan perkhidmatan komunikasi satelit secara sah di negara ini.
Dengan sokongan teknikal tempatan, konfigurasi yang disesuaikan serta perkhidmatan nilai tambah, pejabat Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menyokong keutamaan pembangunan digital negara.
Kemasukan IEC Telecom sebagai penjual semula Starlink di Malaysia bukan sahaja memperkukuh landskap komunikasi satelit negara, malah membuka peluang baharu kepada perusahaan dan komuniti luar bandar untuk memanfaatkan teknologi ketersambungan berkelajuan tinggi dalam mempercepat transformasi digital dan pertumbuhan ekonomi inklusif.
PETALING JAYA – Seramai 49 keluarga miskin bandar di sekitar daerah Petaling disantuni menerusi Program Sinar Kasih Ramadan anjuran Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd.
Penyaluran bantuan itu diadakan sempena Ramadan tahun ini yang memberi tumpuan kepada keluarga yang dikenal pasti melalui pangkalan data e-Kasih, dengan sebahagian besar sumbangan telah disampaikan lebih awal oleh pegawai bertugas sebelum lawatan turun padang diadakan.
Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom, berkata program berkenaan bukan sekadar mengagihkan bantuan makanan, malah bertujuan melihat sendiri realiti kehidupan keluarga miskin bandar bagi memastikan sokongan yang diberikan benar-benar berkesan.
Menurut beliau, selain 49 penerima di Petaling, bantuan turut diagihkan ke beberapa daerah lain di Selangor sebagai sebahagian daripada gerakan menyeluruh sempena Ramadan.
Beliau turut berkongsi kisah sebuah keluarga dengan 10 orang anak yang menerima bantuan, di mana salah seorang anak mereka kini berada di peringkat akhir pengajian dan dijangka mampu mengubah nasib keluarga keluar daripada kitaran kemiskinan.
Dalam memastikan masa depan anak-anak keluarga terbabit lebih terjamin, YBK menawarkan kemudahan asrama sama ada di sekolah rendah di Tanjung Malim atau sekolah menengah di Serendah, Rawang, dengan keseluruhan kos ditanggung sepenuhnya.
Langkah itu mencerminkan komitmen berterusan yayasan dalam menjadikan pendidikan sebagai jalan keluar jangka panjang daripada belenggu kemiskinan.
Zainal Abidin turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah ICU Selangor, Dato’ Mohd Khidir Majid serta rakan korporat yang komited menyokong agenda pembasmian kemiskinan melalui program tanggungjawab sosial korporat.
Pada tahun ini, pihak ICU memperuntukkan lebih 200 bakul makanan untuk diagihkan kepada keluarga yang memerlukan di seluruh negeri.
Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Islam dan Perhubungan Kerajaan Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd, Ahmad Syukry Ibrahim berkata, penglibatan syarikat itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan secara konsisten sejak lebih lima tahun lalu bersama Yayasan Basmi Kemiskinan.
“Pada tahun ini Mamee menyumbang lebih 200 beg bantuan makanan untuk diagihkan kepada penerima yang layak sebagai usaha “memberi kembali kepada masyarakat”,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah ICU JPM Selangor memaklumkan statistik terkini menunjukkan terdapat 19,839 ketua isi rumah miskin di Selangor pada tahun 2026, dengan 76 peratus daripadanya terdiri daripada miskin bandar.
Angka itu memperlihatkan cabaran besar yang memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat.
Bagaimanapun, Selangor mencatat satu pencapaian penting apabila kategori miskin tegar berjaya disifarkan pada 20 Februari lalu, sekali gus menandakan keberkesanan pendekatan berfokus yang dilaksanakan.
Kerajaan Madani kini memberi tumpuan kepada empat kluster utama dalam usaha membasmi kemiskinan iaitu pendidikan, kebajikan, perumahan dan peningkatan pendapatan isi rumah.
Beliau berkata, pendidikan adalah kaedah paling berkesan dalam jangka panjang untuk memutuskan rantaian kemiskinan.
Justeru, pelbagai peruntukan disediakan bagi membantu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah meningkatkan akses kepada pendidikan dan peluang mobiliti sosial.
Program Sinar Kasih Ramadan turut menzahirkan realiti kehidupan golongan B40 di kawasan bandar seperti Petaling Jaya dan kawasan perumahan rakyat (PPR).
Antara penerima bantuan ialah Eddie Irwan Che Rahim, 45, seorang penghantar barang yang menetap di PPR Lembah Subang 1 bersama tujuh ahli keluarga lain.
Dengan pendapatan isi rumah sekitar RM5,603.17 dan pendapatan per kapita RM700.39, beliau dan isteri yang bekerja sambilan menjual makanan perlu menanggung lima anak yang masih bersekolah.
Keluarga ini menerima Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah, bantuan kewangan serta makanan bulanan daripada Lembaga Zakat Selangor selain bantuan khas Ramadan dan keperluan pendidikan berjumlah RM1,650 tahun ini.
Seorang lagi penerima, Mohamad Nor Malek, 49, pemandu lori yang tinggal di Flat PPR Lembah Subang bersama enam ahli keluarga, memperoleh pendapatan isi rumah sekitar RM2,976.33 dengan pendapatan per kapita RM425.19.
Isterinya turut menjual makanan secara sambilan bagi menampung perbelanjaan lima anak yang masih belajar.
Keluarga ini menerima pelbagai bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah, bantuan bulanan LZS serta bantuan sekali beri bagi keperluan Ramadan, pendidikan dan kos sara hidup berjumlah RM3,520.
Di Taman Medan, Petaling Jaya, Suhaimi Omar, 62, seorang juruteknik yang mempunyai 12 ahli keluarga turut disantuni.
Dengan pendapatan isi rumah sekitar RM7,930.06 dan isteri yang tidak bekerja kerana menguruskan anak-anak, dua orang anaknya bekerja sebagai pembantu kilang bagi membantu keluarga.
Suhaimi menerima Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah serta bantuan BINGKAS daripada kerajaan negeri Selangor.
Turut menerima bantuan ialah Suaslina Ibrahim, 43, peniaga makanan yang tinggal di Taman Medan bersama suami dan sembilan anak yang masih belajar, termasuk dua di universiti.
Dengan pendapatan sekitar RM2,600 sebulan, keluarga ini menerima Sumbangan Tunai Rahmah, bantuan kanak-kanak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta bantuan kewangan dan sewa rumah daripada Lembaga Zakat Selangor.
Kisah-kisah ini menggambarkan realiti kemiskinan bandar yang masih memerlukan intervensi berterusan dan bersepadu.
Program Sinar Kasih Ramadan bukan sekadar penyaluran bakul makanan, tetapi simbol solidariti antara kerajaan, NGO dan sektor korporat dalam memastikan tiada golongan terpinggir menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Usaha berterusan seperti ini diharap dapat memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan membuka lebih banyak peluang mobiliti ekonomi kepada keluarga berpendapatan rendah di Selangor.
SERI KEMBANGAN – Industri perfileman tempatan terus diperkaya dengan naskhah berteraskan isu semasa apabila syarikat produksi Key Billions Sdn. Bhd. melancarkan filem terbaharu terbitannya berjudul Tiket Sehala.
Filem arahan Rahila Ali ini tampil berani mengangkat kisah mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di luar negara, satu masalah global yang semakin membimbangkan termasuk dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Rahila, Tiket Sehala diinspirasikan daripada kisah benar yang mencerminkan realiti pahit dihadapi mangsa yang terperdaya dengan tawaran pekerjaan luar negara.
Katanya, karya itu dihasilkan atas dasar tanggungjawab sosial untuk memaparkan kesan dan akibat yang perlu ditanggung apabila seseorang terjebak dalam sindiket sedemikian.
“Pendekatan penceritaan yang realistik dan emosional diharap mampu membuka mata masyarakat agar lebih berwaspada sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan di luar negara,” katanya.
Filem ini menampilkan barisan pelakon tempatan popular seperti Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh serta Shaharudin Jamaludin.
Menariknya, Tiket Sehala turut membariskan pelakon dari empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, sekali gus memberikan dimensi antarabangsa kepada penceritaan.
Antara pelakon luar negara yang terbabit termasuk Hyunjun Sun dari Korea Selatan, Ninja dari kumpulan SuperThai (Thailand) dan Naufal Samudra dari Indonesia.
Gabungan pelakon rentas negara ini bukan sahaja menguatkan aspek naratif, malah berpotensi menarik perhatian penonton serantau serta memperluas pasaran filem Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Sinopsis Tiket Sehala membawa penonton menyusuri kisah gelap sekumpulan pekerja warga Malaysia yang terperangkap dalam sistem pemerdagangan manusia yang kejam di Korea Selatan.
Watak Alif, Putri dan Taqy digambarkan sebagai mangsa keadaan yang dieksploitasi oleh sindiket tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan atas kesempitan hidup dan harapan untuk masa depan lebih baik.
Naratif ini sarat dengan emosi, konflik dan mesej kesedaran yang kuat tentang bahaya sindiket penipuan kerja luar negara.
Majlis pelancaran filem berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa robot di bawah kelolaan Shadow Combat League, sekali gus memberikan kelainan kepada acara itu.
Shadow Combat League adalah kategori hiburan sukan baharu yang menggabungkan sukan tempur, permainan, teknologi dan hiburan digital yang dikuasakan oleh Virtuals serta dibina di atas rangkaian blockchain Base.
Pendekatan inovatif ini memperlihatkan gabungan dunia hiburan dan teknologi yang semakin berkembang.
Sementara itu, Pengasas Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap berkata, pihaknya tertarik untuk menerbitkan Tiket Sehala kerana kelainan naskhah yang jarang diketengahkan dalam industri perfileman tempatan.
Menurutnya, isu sindiket penipuan kerja di luar negara adalah masalah besar yang wajar diberikan perhatian serius melalui medium filem sebagai platform kesedaran masyarakat.
“Penggambaran filem ini dijalankan di Korea Selatan dengan penglibatan kru produksi dari Malaysia dan negara berkenaan.
“Kerjasama rentas negara ini bukan sahaja memperkaya pengalaman produksi, malah membuka ruang kepada kru tempatan untuk mempelajari teknik dan standard kerja antarabangsa dalam usaha meningkatkan kualiti filem tempatan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Key Billions kini melangkah setapak lagi dalam industri apabila menubuhkan cabang pengedaran sendiri dikenali sebagai Key Billions Distribution. Penubuhan syarikat pengedaran ini menandakan keseriusan mereka dalam membangunkan ekosistem perfileman yang lebih mampan dan berdaya saing.
Eddie berkata, jika sebelum ini filem Soloz: Game Of Life yang diterbitkan syarikatnya diserahkan kepada pengedar lain untuk tayangan pawagam, namun bagi Tiket Sehala, semua urusan pengedaran termasuk promosi akan diuruskan sepenuhnya oleh Key Billions Distribution.
Malah, syarikat itu turut membuka peluang kepada penerbit lain untuk menggunakan khidmat mereka sebagai pengedar filem tempatan mahupun antarabangsa.
Selain Tiket Sehala, Key Billions Distribution juga telah memperoleh hak pengedaran bagi dua filem lain iaitu Gayong 2 dan Tarung Unforgiven yang dijangka menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.
Langkah ini memperlihatkan strategi agresif syarikat dalam memperkukuh portfolio serta jaringan pengedaran mereka.
Tiket Sehala bukan sahaja memperkenalkan sebuah filem berunsur kesedaran sosial yang relevan dengan isu semasa, malah menjadi bukti komitmen Key Billions dalam memperkasa industri perfileman Malaysia melalui penerbitan berkualiti dan sistem pengedaran yang lebih tersusun.
Dengan gabungan tema berani, pelakon antarabangsa serta pendekatan produksi profesional, Tiket Sehala dijangka menjadi antara filem tempatan yang mencuri perhatian dan memberi impak besar kepada penonton.
KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) menerusi jenama kulinarinya, SAJI, terus memperkukuh kedudukannya sebagai jenama pilihan isi rumah Malaysia dengan pelancaran kempen terbaharu bertemakan “Menyala Lagi Raya”.
Kempen bersempena Aidilfitri ini mengangkat semangat kemeriahan Raya yang sentiasa menyala dalam setiap rumah, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan SAJI dalam menyemarakkan tradisi dan kebersamaan keluarga di dapur rakyat Malaysia.
Majlis pelancaran yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna di Menara Felda menyaksikan pelbagai pengumuman penting termasuk pengenalan maskot rasmi baharu serta pelancaran dua produk inovatif bagi memenuhi keperluan pengguna moden.
Hadir melancarkan majlis ialah Pengerusi FELDA; Dato Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengarah Besar FELDA; Dato Dr Suzana Idayu Wati Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad; Dato Fakhrunniam Othman, Ahli Lembaga Pengarah FGV Holdings Berhad; Nurul Muhaniza Hanafi dan Ketua Produk Pengguna Kumpulan FGV Holdings Berhad; Aznur Kama Azmir.
Sejak lebih 25 tahun bertapak di pasaran tempatan, SAJI dikenali menerusi minyak masak berasaskan sawit berkualiti tinggi dan kini berkembang sebagai jenama kulinari menyeluruh yang menawarkan pelbagai produk keperluan dapur seperti marjerin, krimer, mi segera serta aneka bahan masakan termasuk sos, kicap dan pes.
Perkembangan ini selari dengan aspirasi FGV untuk menjadikan SAJI sebagai “Teman Kulinari” rakyat Malaysia, membantu setiap keluarga menyediakan hidangan lazat, praktikal dan penuh kasih sayang.
Sebagai tunjang utama kempen “Menyala Lagi Raya”, SAJI bakal mempersembahkan sebuah muzikal lagu Raya yang menggabungkan elemen hiburan, emosi dan tradisi dalam penceritaan yang dekat dengan realiti masyarakat.
Lebih daripada sekadar karya kreatif, inisiatif ini mencerminkan usaha jenama itu dalam menghidupkan semula nostalgia dan kehangatan Aidilfitri melalui pendekatan yang segar serta relevan dengan generasi masa kini.
Kekuatan jenama SAJI turut dibuktikan apabila ia kini menguasai lebih 37 peratus pasaran minyak masak tempatan, mencerminkan tahap kepercayaan pengguna yang kukuh sepanjang lebih dua dekad.
Selain SAJI, FGV juga menerajui beberapa jenama pengguna lain seperti SERI PELANGI, ADELA, PREMEO dan GULA PRAI dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negara dengan memastikan akses kepada produk berkualiti, berkhasiat dan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.
Dalam majlis yang sama, SAJI turut memperkenalkan maskot rasmi pertamanya yang dikenali sebagai “Kak Ji”.
Watak ini bukan sekadar simbol yang menceriakan, malah melambangkan nilai teras jenama seperti kualiti, kehangatan dan semangat dalam memasak.
Kehadiran Kak Ji mencerminkan peranan SAJI sebagai keperluan asas dapur yang serbaguna dan sentiasa menjadi sentuhan istimewa dalam menyempurnakan setiap hidangan keluarga.
Bagi memperkukuhkan lagi kedudukan sebagai pengeluar produk pengguna yang dinamik dan inovatif, SAJI turut melancarkan dua produk baharu iaitu SAJI Pelengkap Rasa dan SAJI Tepung Goreng Serbaguna.
SAJI Pelengkap Rasa merupakan campuran rempah serbaguna yang boleh ditambah terus semasa memasak atau digunakan sebagai bahan perapan dan gosokan kering pada daging serta ikan.
Tekstur granulnya memudahkan penggunaan, manakala pembungkusan zip lock membantu mengekalkan kesegaran.
Produk ini diperbuat daripada bawang asli tanpa pewarna tambahan, sekali gus memberikan rasa autentik yang lebih menyerlah dalam setiap masakan.
Sementara itu, SAJI Tepung Goreng Serbaguna hadir dalam dua variasi iaitu Gorengan Asli dan Gorengan Pedas.
Dirumus khas untuk menghasilkan tekstur rangup dan keemasan, tepung ini sesuai untuk pelbagai jenis hidangan dan bukan sahaja boleh digunakan untuk kaedah gorengan menggunakan minyak, malah turut sesuai untuk air fryer.
Ciri ini menjadikannya pilihan praktikal untuk gaya masakan moden yang lebih mudah dan serba guna.
Sebagai sebahagian daripada kempen Aidilfitri 2026, SAJI turut meneruskan Peraduan SAJI Beli & Menang dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM50,000.
Pengguna hanya perlu membeli produk SAJI atau jenama di bawah FGV seperti SERI PELANGI, PREMEO, ADELA dan GULA PRAI bernilai RM25 ke atas sebelum menghantar bukti pembelian melalui WhatsApp untuk menyertai peraduan tersebut.
Lebih menarik, SAJI turut menjalin kolaborasi strategik bersama Felda Travel dan Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur.
Menerusi kerjasama dengan Felda Travel, pemenang hadiah utama berpeluang menikmati Pakej Umrah Super Saver untuk dua orang bernilai RM5,555 seorang atau pakej percutian setara bagi pemenang bukan Muslim, dengan jumlah keseluruhan hadiah sehingga RM10,000.
Dalam usaha memperkaya pengalaman Ramadan pengguna, SAJI turut mempersembahkan “Inspirasi Citarasa Ramadan” musim kedua yang menampilkan 15 video resipi eksklusif hasil air tangan chef terkemuka dari Seri Pacific Hotel.
Menggunakan rangkaian produk SAJI, setiap resipi direka khas untuk memberikan inspirasi juadah berbuka dan sahur, dan telah disiarkan sepanjang bulan Ramadan menerusi platform media sosial rasmi SAJI termasuk Instagram, Facebook, TikTok dan YouTube.
Selain itu, setiap pembelian pakej Buffet Ramadan di Seri Pacific Hotel sepanjang bulan Ramadan turut melayakkan pelanggan menyertai Peraduan SAJI Beli & Menang.
Pengunjung juga berpeluang mendapatkan Pakej Balik Kampung SAJI yang ditawarkan di hotel berkenaan, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan sambutan Aidilfitri tahun ini.
Bagi mendekatkan lagi jenama dengan pengguna, SAJI akan menjalankan aktiviti pensampelan selama 320 hari di pasar raya terpilih di seluruh Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengalaman mencuba produk secara langsung serta mengukuhkan hubungan jenama dengan masyarakat.
Orang ramai juga disaran menantikan pelancaran rasmi muzik video Raya SAJI “Menyala Lagi Raya” yang bakal menemui penonton tidak lama lagi di semua saluran digital rasmi SAJI.
Dengan gabungan elemen tradisi, inovasi produk dan pendekatan digital yang menyeluruh, kempen “Menyala Lagi Raya” dilihat sebagai langkah strategik SAJI dalam terus relevan, kompetitif dan menjadi pilihan utama dapur rakyat Malaysia menjelang Aidilfitri 2026.
KUALA LUMPUR – Empat Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan yang memegang jawatan kanan dalam Badan Pimpinan Negeri (BPN) mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa hari ini.
Keputusan itu membabitkan jawatan Timbalan Ketua BPN, Setiausaha Negeri, Ketua Penerangan Negeri dan Bendahari Negeri.
Ini sekali gus memberi implikasi besar terhadap struktur kepimpinan Bersatu Wilayah Persekutuan yang kini diterajui oleh Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin.
Menurut kenyataan yang dimaklumkan oleh Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Datuk Qobin, beliau menerima pengesahan berhubung keputusan itu menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu terbabit.
Datuk Qobin yang juga mantan Ketua Bahagian Bersatu Lembah Pantai dan sebelum ini antara pemimpin bahagian yang telah meletakkan jawatan serta keluar parti.
Empat Ketua Bahagian yang terbabit ialah Ketua Bahagian Seputeh yang memegang jawatan Timbalan Ketua BPN Bersatu Wilayah Persekutuan, Ketua Bahagian Segambut selaku Setiausaha Negeri, Ketua Bahagian Bukit Bintang sebagai Ketua Penerangan Negeri dan Ketua Bahagian Titiwangsa yang menyandang jawatan Bendahari Negeri. Peletakan jawatan serentak ini dilihat sebagai satu perkembangan signifikan yang memberi kesan langsung terhadap kestabilan organisasi parti di peringkat Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini, tiga Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan iaitu Lembah Pantai, Kepong dan Cheras telah mengambil langkah meletakkan jawatan di bahagian masing-masing serta keluar daripada parti pada bulan lalu.
Rentetan itu, situasi terkini menambahkan lagi tekanan terhadap kepimpinan negeri yang sedang berusaha menstabilkan struktur dalaman parti.
Wilayah Persekutuan mempunyai 13 bahagian keseluruhannya, namun beberapa daripadanya kini berdepan isu dalaman.
Bahagian Labuan masih berstatus penaja, manakala Ketua Bahagian Bandar Tun Razak kini memangku jawatan.
Armada Negeri pula dilaporkan belum bersidang, sementara Naib Ketua Srikandi Negeri telah keluar parti.
Selain itu, Bersatu Wilayah Persekutuan sebelum ini turut menyaksikan pembubaran Bersekutu Wilayah Persekutuan.
Perkembangan ini berlaku ketika Radzi Jidin baru sahaja dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Melaka, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai fokus dan keupayaan kepimpinan dalam menangani cabaran di Wilayah Persekutuan.
Situasi ini juga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pemerhati politik berhubung kestabilan dan hala tuju Bersatu di ibu negara dalam menghadapi dinamika politik semasa.
Pemerhati melihat episod peletakan jawatan berantai ini sebagai tamparan hebat kepada kepimpinan BPN Wilayah Persekutuan.
Dengan beberapa jawatan utama kini kosong, perhatian tertumpu kepada langkah seterusnya yang akan diambil oleh pucuk pimpinan parti bagi memastikan kelangsungan organisasi dan keyakinan akar umbi terus terpelihara.
Krisis dalaman yang berlarutan ini dijangka menjadi penentu penting terhadap kekuatan dan pengaruh Bersatu di Wilayah Persekutuan menjelang fasa politik seterusnya, sekali gus memberi implikasi lebih luas kepada landskap politik nasional.
KUALA LUMPUR – Gabungan seni silat dan tarian zapin dalam satu persembahan flashmob yang berlangsung di perkarangan Pavilion Bukit Bintang baru-baru ini berjaya mencuri perhatian pengunjung tempatan dan pelancong asing.
Persembahan unik itu bukan sekadar hiburan spontan, sebaliknya menjadi strategi kreatif memperkenalkan jenama pakaian lokal yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, Keris & Co.
Dalam suasana moden dan kosmopolitan pusat beli-belah terkenal itu, elemen tradisional Melayu diketengahkan dengan penuh gaya dan keyakinan.
Persembahan yang menggabungkan seni mempertahankan diri silat serta lenggok zapin yang lembut dan tersusun mewujudkan kontras menarik antara warisan budaya dan landskap urban.
Pendekatan ini secara tidak langsung memperkukuh identiti jenama Keris & Co sebagai pengeluar pakaian yang mengangkat nilai tradisional dalam sentuhan kontemporari.
Pengasas Keris & Co, Hanzat Azmi, berkata, idea flashmob dipilih sebagai medium promosi kerana lebih santai, segar dan dekat dengan masyarakat.
Bagi lelaki berusia 31 tahun itu, silat dan zapin cukup sinonim dengan budaya Melayu dan apabila dipersembahkan di lokasi moden seperti Pavilion, ia menghasilkan suasana yang unik serta berupaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat.
“Kami merancang untuk menganjurkan acara flashmob yang lebih besar pada tahun hadapan di lokasi berbeza sebagai sebahagian daripada strategi pengukuhan jenama.
“Usaha ini dilihat sebagai langkah berterusan untuk memperkenalkan pakaian tradisional dalam pendekatan yang lebih dinamik dan relevan dengan gaya hidup masa kini,” katanya.
Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Keris & Co turut mengambil inisiatif mengagihkan sebanyak 100 helai baju kurta secara percuma kepada orang ramai.
Inisiatif itu bukan sahaja mencerminkan semangat berkongsi, malah memberi peluang kepada masyarakat merasai sendiri kualiti dan keselesaan pakaian yang ditawarkan sejak penubuhan jenama itu pada tahun 2024.
Hanzat berkata, kurta yang diberikan sesuai digayakan oleh lelaki dan wanita.
Bagi wanita, ia boleh dipadankan bersama kain untuk tampil seperti baju kurung Kedah, sekali gus menampilkan gaya yang sopan dan versatil.
Menariknya, sambutan bukan sahaja diterima daripada orang tempatan, malah pelancong asing turut menunjukkan minat dan keterujaan mendapatkan kurta berkenaan, sekali gus membuka ruang memperkenalkan budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Walaupun masih baharu dalam industri fesyen tempatan, Keris & Co hadir dengan visi jelas untuk mengangkat baju Melayu sebagai pakaian versatil yang tidak terhad kepada musim perayaan semata-mata.
Jenama ini berusaha menjadikan busana tradisional sebagai pilihan harian yang selesa dan bergaya untuk pelbagai acara.
Koleksi yang ditawarkan menggunakan fabrik ‘Japanese Cotton’ premium yang terkenal dengan teksturnya yang lembut, selesa dan sesuai dengan cuaca tropika negara ini.
Keistimewaan utama terletak pada kualiti fabrik yang tidak mudah berbulu, namun tetap ditawarkan pada harga mampu milik bermula RM39 hingga RM129, menjadikan ia antara pilihan berbaloi dalam pasaran pakaian Melayu moden.
Setakat ini, Keris & Co menawarkan lebih 40 pilihan warna merangkumi lebih 18 koleksi, dengan jualan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi platform digital seperti TikTok, Shopee serta laman web rasmi jenama berkenaan.
Pendekatan e-dagang ini membolehkan jenama itu mencapai pelanggan lebih luas termasuk pasaran luar negara seperti Singapura dan Brunei.
Dalam perancangan jangka panjang, Keris & Co berhasrat membuka outlet fizikal bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih dekat dan eksklusif kepada pelanggan.
Selain itu, jenama ini juga merancang untuk memperkenalkan koleksi pakaian wanita pada masa akan datang sebagai langkah memperluaskan segmen pasaran dan menjadikan jenama berkenaan lebih inklusif.
Dengan pendekatan pemasaran kreatif, penekanan terhadap kualiti premium pada harga mampu milik serta komitmen mengangkat warisan budaya dalam gaya kontemporari, Keris & Co dilihat berpotensi menjadi antara jenama pakaian Melayu moden yang signifikan dalam industri fesyen tempatan dan serantau.
KUALA LUMPUR – Bagaimana jika rahsia masa lampau yang disimpan rapi akhirnya terbongkar? Sejauh manakah seseorang sanggup berkorban demi mempertahankan cinta dan maruah?
Persoalan inilah yang menjadi tunjang kepada Amira Amir, filem drama sosial terbaharu terbitan Astro Shaw yang menemui penonton secara eksklusif di Astro First bermula 26 Februari 2026.
Mengangkat tagline ‘Setiap Rahsia Ada Harganya’, filem ini diarahkan oleh Reen Emran dan menampilkan barisan pelakon ternama seperti Zahiril Adzim, Sophia Albarakbah, Fezrul Khan, Zarynn Min serta Kartina Aziz.
Skrip filem ini digarap oleh Eenaz Mokhtar, Zuli Ismail dan Ctna Marzuki, manakala Ababil bertindak sebagai guru lakonan bagi memperkukuh emosi dan kredibiliti persembahan watak.
Amira Amir mengisahkan Ziyad, seorang lelaki yang berkahwin atas dasar cinta pandang pertama dengan seorang wanita bernama Amira.
Namun, kebahagiaan rumah tangga yang dibina atas kepercayaan dan kasih sayang mula goyah apabila satu kebenaran besar mengenai identiti Amira terbongkar.
Pendedahan itu bukan sahaja mengubah kehidupan mereka, malah menggugat prinsip dan persepsi Ziyad terhadap makna cinta serta kesucian sebuah perkahwinan.
Lebih daripada sekadar kisah romantik, filem ini menyelami konflik sosial yang lebih kompleks iaitu realiti menyembunyikan kebenaran yang bertentangan dengan norma dan hukum, serta kesannya terhadap individu, keluarga dan penerimaan masyarakat.
Naratif yang dipersembahkan mengajak penonton menilai sejauh mana masyarakat benar-benar bersedia memahami dan menerima individu yang dianggap ‘berbeza’.
Menurut Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, filem ini dihasilkan untuk memberikan pengalaman tontonan yang lebih intim bersama insan tersayang di rumah.
“Topik yang diketengahkan berkait rapat dengan isu kejujuran identiti yang memberi kesan mendalam kepada diri sendiri serta orang sekeliling.
“Naratifnya pula disampaikan daripada pelbagai perspektif secara seimbang bagi mencetuskan perbincangan matang dalam kalangan penonton, khususnya apabila ditayangkan menjelang Ramadan yang sarat dengan mesej keinsafan dan refleksi diri,” katanya.
Sebagai pelengkap emosi penceritaan, Amira Amir turut menampilkan lagu tema berjudul ‘Hati Yang Tak Terbalas’ nyanyian Marsha Milan, yang dikenali dengan vokal penuh penghayatan dan mampu menyentuh jiwa pendengar.
Filem ini ditayangkan secara eksklusif di Astro First bermula 26 Februari 2026 dan boleh dilanggan pada harga RM15 untuk tempoh tontonan selama 48 jam melalui platform Astro dan sooka.
Seiring dengan mesej Ramadan Astro tahun ini, ‘Bila Bersama Lagi Jadi’, karya ini dijangka lebih bermakna apabila ditonton bersama keluarga dan insan tersayang, sekali gus membuka ruang dialog tentang nilai kejujuran, penerimaan dan harga sebuah rahsia dalam kehidupan.